Ziarah kubur
Soalan: Kenapa ada orang kita yang tidak membenarkan kita berziarah kubur pada hari raya sedangkan pada hari itulah kesempatan kita dan anak-anak untuk berkunjung ke pusara ibu bapa sekali setahun semasa balik kampung. Adakah hadis yang melarang amalan tersebut?
– Suri Zakaria,Petaling Jaya, Selangor.
JAWAPAN: Amalan ziarah kubur sememang disuruh oleh Rasulullah sebagaimana dalam hadis Muslim yang mengarah umat Islam semua menziarah kubur. Sabdanya yang bermaksud: Aku pernah melarang kamu dari menziarahi kubur, sekarang aku benarkan kamu menziarah kubur kerana ianya boleh mengingatkan kematian dan mendatangkan pengajaran. Rasulullah sendiri selalu pergi ziarah kubur Baqi’ al Gharqad. Pernah Rasulullah menziarahi kubur ibunya dan lalu duduk menangisi ibunya dan para sahabat di kelilingnya turut menangis sama. Tidak ada siapa yang dapat mempertikaikan kebaikannya. Yang kecohnya ialah orang kita menimbulkan persoalan kenapa ditentukan hanya dilakukan pada Hari Raya sahaja. Jawabnya kerana kebetulan kita pulang kampung pada hari itu sedangkan pada hari lain kita di bandar. Soal menentukan Hari Raya dengan amalan ziarah tidak timbul sama sekali melainkan bagi kumpulan yang ingin mencari pasal bermusuh dan berkelahi dengan kita. Bagi kita amalan ziarah kubur digalakkan pada bila-bila masa termasuk Hari Raya. Ini adalah untuk mendapat pengajaran dan mendidik anak-anak supaya dapat mengenal dan mengenang jasa orang tua mereka dengan mengenang jasa baik mereka berdua sebagaimana yang diajarkan al- Quran: Tuhanku! Kasihanilah dua ibu bapaku sebagaimana mereka mendidik aku semasa kecil dahulu (surah al Israk ayat 24). Tetapi sekiranya ada orang mengatakan ziarah kubur sunat dan disuruh Rasulullah hanya pada Hari Raya sahaja maka itulah fahaman bidaah dan karut. Wallahualam.
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm
No comments:
Post a Comment