Showing posts with label TAUBAT. Show all posts
Showing posts with label TAUBAT. Show all posts

Monday, August 1, 2011

Syaitan masuki tubuh menerusi 10 pintu

Soalan:

USTAZ, mungkin kita boleh kata segala perbuatan jahat yang berlaku di muka bumi ini seperti tamak harta, sombong, memfitnah orang, suka menzalimi orang, ambil harta orang, riak dan sebagainya berpunca daripada syaitan. Untuk pengetahuan ustaz, Saya seorang tua yang baru hendak insaf. Cuma adakah cara untuk kita lari daripada terus dihasut oleh syaitan. Kalau ada bagaimanakah caranya.

ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ala rasulillah wabad.

Untuk membantu manusia dalam menghadapi cabaran-cabaran syaitan dan fantasi Iblis, Islam sudah menunjukkan kepada manusia beberapa perkara supaya dapat menolongnya bertahan dalam bertarung dengan syaitan dan membolehkan ia berjaya menewaskan musuh ketatnya itu. Dalam sebuah kitab yang ditulis oleh seorang ulama Syeikh Fathi Yakan menulis kitabnya yang terkenal iaitu Maza yakni intimaI lil Islam.

Dalam kitab itu menyatakan, perkara itu sudah pun disimpulkan oleh seorang yang salih dengan katanya:
Ku renung dan ku fikir, dari pintu manakah syaitan itu memasuki hati manusia, tiba-tiba aku mendapati syaitan masuk dari sepuluh pintu iaitu:
Pertama: Tamak dan jahat sangka, lantas aku menghadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan yang ada sesudah berusaha dan berikhtiar.

Kedua: Cintakan hidup dan panjang angan-angan, lalu aku menghadapinya dengan rasa takut dengan kedatangan mati yang tiba-tiba.

Ketiga: Cintakan kerehatan dan nikmat, lalu aku menghadapinya dengan meyakini bahawa nikmat itu akan hilang dan meyakini balasan buruk.

Keempat: Kagum pada diri sendiri (ujub), lalu aku menghadapi dengan mensyukuri nikmat pemberian Allah dan takutkan balasan seksaan.

Kelima: Pandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka, lalu aku menghadapinya dengan cara mengetahui hak dan kehormatan mereka.

Keenam: Hasad dengki, lalu aku menghadapinya dengan sifat qanaah (iaitu berpuas hati dengan apa yang ada setelah berusaha dan berikhtiar) dan reda terhadap pemberian Allah kepada makhluknya.

Ketujuh: Riak dan sukakan pujian manusia, lalu aku menghadapinya dengan sifat ikhlas.

Kelapan: Kedekut atau bakhil, lalu aku menghadapinya dengan meyakini bahawa apa yang di tangan makhluk itu akan binasa sedangkan apa yang ada di sisi Allah akan kekal.

Kesembilan: Takbur atau sombong, lalu aku menghadapinya dengan sifat tawaduk.

Kesepuluh: Tamak, lalu aku menghadapinya dengan yakin terhadap balasan Allah dan tidak mengharapkan sesuatu yang ada pada manusia.

Antara arahan yang dituntut oleh Islam sebagai suatu jalan untuk mengelak diri daripada panah dan tipu daya Iblis ialah mengingati Allah sewaktu mula melakukan semua kerja. Dalam hubungan ini Abu Hurairah sudah meriwayatkan bahawa syaitan bagi orang mukmin telah bertemu syaitan bagi orang kafir.

Didapati bahawa syaitan bagi orang kafir itu dalam keadaan gemuk sedangkan syaitan bagi orang mukmin kurus kering dan dalam keadaan duka cita. Lalu syaitan orang kafir bertanya kepada syaitan orang mukmin: Kenapa kamu kurus kering dan duka cita. Syaitan orang mukmin menjawab: Aku mendampingi seorang lelaki untuk menggodanya. Apabila lelaki itu hendak makan, dia menyebut nama Allah. Jadi aku terus lapar.

Apabila minum dia menyebut nama Allah. Jadi aku kehausan. Apabila dia memakai pakaian dia menyebut nama Allah dengan itu aku terus bertelanjang. Apabila dia memakai minyak rambut, dia terus menyebut nama Allah. Dengan itu rambutku terus kusut kering.

Syaitan yang kafir pula berkata: Tetapi aku mendampingi seorang yang sedikit pun tidak melakukan daripada apa yang engkau sebutkan tadi. Oleh itu aku berkongsi dengannya pada makanan, minuman dan pakaiannya.

Sumber

Ummah dilarang putus asa, segera bertaubat

Soalan:

USTAZ, saya berumur 35 tahun, belum berkahwin. Saya mahu jadi manusia baik, tapi melakukan pelbagai dosa. Kalau bosan saya suka ke pusat hiburan dan minum arak berbotol besar kerana lebih nikmat, pernah juga langgan pelacur, mencuri dan menipu kerana desakan hidup. Disebabkan itu saya dibuang kerja. Kini saya rasa menderita, terbuang dan terhina. Saya sudah lama tidak sembahyang dan tidak ingat bagaimana nak sembahyang. Saya banyak berdosa, tapi ingin jadi baik macam orang lain. Adakah taubat saya akan diterima Allah.

Jawapan:

Alhamdulillah wassolatuwassalam ‘ala rasulillah. Sifat orang beriman hendaklah sentiasa mengharapkan rahmat Allah. Allah SWT berfirman dalam al-Quran, surah al-A’raf ayat 156: “Dan rahmat-Ku meliputi segala.” Firman-Nya lagi dalam surah az-Zumar ayat 53: “Katakanlah, wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu sekalian berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia adalah Zat Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: “Ketika Allah menciptakan makhluk, Dia menulis pada suatu kitab yang mana kitab itu berada di sisi-Nya di atas Arasy (iaitu): Sesungguhnya rahmat-Ku itu mengalahkan murka-Ku.”

Imam an-Nawawi ada menyebut dalam kitab beliau iaitu Riyadhus Solihin pada Bab Taubat iaitu taubat daripada perbuatan dosa adalah wajib. Apabila perbuatan dosa itu tidak menyangkut dengan sesama manusia (iaitu) hanya dosa antara seseorang dengan Allah, maka hendaklah memenuhi tiga syarat. Syarat itu adalah menghentikan perbuatan dosa, menyesal atas perbuatannya itu dan menetapkan hati untuk tidak mengulangi lagi perbuatan dosa itu selama-lamanya. Apabila tidak memenuhi tiga syarat berkenaan, maka tidak akan diterima taubatnya.

Ada satu kisah pengajaran yang diceritakan Nabi SAW dalam satu hadis diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim. Kisahnya begini, pada zaman dulu, ada seorang lelaki yang membunuh 99 orang. Kemudian dia bertanya mengenai orang yang paling alim di negeri itu, lalu ditunjukkan kepada seorang pendeta (ahli ibadat), lalu dia berjumpa dengannya. Dia bertanya bahawa dia membunuh 99 orang, adakah masih boleh bertaubat? Pendeta itu menjawab: “Tidak.” Lalu lelaki itu membunuh pendeta itu maka genaplah 100.
Kemudian dia bertanya lagi mengenai orang yang paling alim di negeri itu, lalu ditunjukkan kepada orang yang sangat alim. Dia pun berjumpa orang alim itu dan bertanya bahawa dia telah membunuh 100 orang, adakah Tuhan masih boleh menerima taubatnya? Orang alim itu menjawab: “Ya, masih boleh. Siapa yang menghalang di antara dirinya dengan taubat. Pergilah ke tempat sekian sekian, maka di sana penduduknya beribadat menyembah Allah. Sembahlah bersama-sama dengan mereka dan jangan pulang ke kampung halamanmu kerana ia adalah tempat yang buruk.”

Maka pergilah orang itu ke negeri terbabit, namun dalam pertengahan jalan ajalnya sampai. Maka terjadilah perdebatan di antara malaikat rahmat dan malaikat azab. Malaikat rahmat berkata: “Lelaki ini berangkat untuk benar-benar bertaubat dan menyerahkan dirinya dengan sepenuh hati kepada Allah.”

Malaikat azab berkata: “Namun, dia belum pernah membuat sebarang kebaikan.” Lalu datanglah seorang lagi malaikat dalam bentuk rupa manusia, maka dua malaikat itu bertindak sebagai hakim. Kemudian malaikat ketiga berkata: “Ukurlah dua daerah itu maka daerah yang lebih dekat itu ketentuan nasibnya.” Maka dua malaikat itu mengukurnya kemudian mendapati daerah yang dituju lelaki itu adalah lebih dekat, maka orang itu nyawanya dicabut oleh malaikat.

Amat malang kalau seseorang itu berputus asa dari rahmat Allah sedangkan rahmat Allah sangat luas. Saudara patut bersyukur kerana masih diberi kesedaran dan peluang hidup. Segeralah kepada keampunan Allah dengan membaiki dan mendekatkan diri kepada-Nya. wallahua’lam

Sumber

Sunday, July 31, 2011

Cemburu Melihat Agamawan

SOALAN :

Kenapa saya tak ada rasa yang ikhlas dan jujur kepada Allah? Saya solat,saya percaya kepada Allah...tapi saya tak dapat nak cari ilmu yang lebih mendalam kerana saya bukan dari kalangan yang bijak dari segi akademik...Allah terima tak doa orang yang bodoh dan lemah dalam segala hal ni? Kenapa Allah lahirkan saya dalam keluarga yang jauh dari agama. Kekadang saya cemburu tengok ustaz-ustaz ustazah-ustazah yang berpeluang mendekati agama sebab keluarga keturunan yang baik dari segi agama. Kenapa saya terasa disisih Allah dalam hal ni. Saya akan dihukum kerana sesuatu semulajadi yang Allah dah berikan pada saya. Kenapa saya tak dapat kecerahan sepertimana saudara, kenapa saya tak dapat lihat keindahan Islam seperti Tuan......doa saya tak laku kah? Solat saya tak cukup baik untuk Allah?

JAWAPAN :

“Kenapa saya tak ada rasa yang ikhlas dan jujur kepada Allah?”

Rasa jujur dan ikhlas itu ialah sesuatu yang DIBINA. Ia tidak datang secara tiba-tiba kepada kita (tapi tidak mustahil jika Tuhan mahu menganugerahkannya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki walau dalam masa sesaat). Sifat jujur dan ikhlas ini termasuk dalam SIFAT-SIFAT MAHMUDAH, iaitu sifat-sifat yang terpuji pada syarak. Imam Al-Ghazali menghuraikan dengan panjang lebar tentang sifat-sifat mahmudah ini dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin. Jadi, untuk membina sifat jujur dan ikhlas ini, antara usaha yang boleh dilakukan ialah:

1. Berdoa minta Tuhan jadikan kita seorang yang jujur dan ikhlas. Hanya Dia yang berkuasa menjadikan kita jujur dan ikhlas. Berdoalah pada bila-bila masa pun. Lebih baik jika dapat berdoa selepas solat tahajjud. Bangun mengerjakan solat tahajjud itu sendiri sebenarnya mendidik kita untuk jujur dan ikhlas, kerana ibadah itu tidak disaksikan/diketahui oleh orang lain. Kita tidak dapat menunjuk-nunjuk kepada sesiapa pun, hanya diri kita dengan Kekasih kita (Tuhan) sahaja. Cubalah.

2. Banyakkan bergaul dengan orang yang baik-baik, terutamanya yang cenderung ke arah keagamaan. Jika tidak punya rakan-rakan sebegini, rapat-rapatkanlah diri dengan golongan ini, cari kawan-kawan baru. Pergaulan dan interaksi kita dengan orang yang baik-baik banyak mempengaruhi peribadi kita termasuklah pembinaan sifat jujur dan ikhlas.

3. Carilah kelas-kelas agama terutamanya guru-guru yang mengajarkan tasawuf. Dari situ kita akan mengetahui tentang sifat jujur dan ikhlas, ciri-cirinya, punca-puncanya, cara-cara ke arahnya dan sebagainya. Memang sukar untuk mendapatkan jujur dan ikhlas sekiranya kita sendiri belum mengenal apa itu jujur dna ikhlas menurut pandangan agama. Begitulah antara pesanan Imam Al-Ghazali. Duduklah dalam majlis-majlis pengajian tersebut.

“Saya solat,saya percaya kepada Allah...tapi saya tak dapat nak cari ilmu yang lebih mendalam kerana saya bukan dari kalangan yang bijak dari segi akademik...”

Alangkah besarnya NIKMAT SOLAT dan NIKMAT PERCAYA KEPADA ALLAH yang anda perolehi selama ini... Sebenarnya di luar sana sangat ramai orang di seluruh dunia yang tidak mengerjakan solat malah ramai lagi yang tidak percaya kepada Allah. Anda mungkin tidak menyedari bahawa selama ini anda sudah pun diletakkan Tuhan di tempat yang baik berbanding ratusan juta orang lain, kerana anda seorang yang mengerjakan solat dan percaya kepada Allah!

Bahkan, perasaan ingin jujur dan ikhlas yang anda ingini itu sebenarnya satu nikmat yang cukup besar! Berapa ramai orang di dunia ini yang ada terfikir untuk memperolehi jujur dan ikhlas? Bahkan dalam kalangan ilmuwan agama termasuklah ustaz ustazah pun ada yang buat tidak endah perihal jujur dan ikhlas ini! Mereka hanya belajar ilmu, menyampaikan ilmu dan melakukan amal ibadah. Itu sahaja kerja mereka. Jujur dan ikhlas tidak diusahakannya pun, malah tidak dikenalinya pun.

Oleh itu, tidak perlulah anda keterlaluan menyesali perjalanan hidup anda, kerana anda sudah pun berada di laluan/ landasan yang betul. Tugas anda sekarang ialah untuk memperbaiki lagi apa yang sudah anda miliki. Berusahalah sekadar termampu untuk menambahkan ilmu-ilmu agama, meningkatkan keimanan dan menambah amal-amal soleh.

Selain itu, Tuhan juga tidak memberatkan seseorang itu di luar daripada kemampuan dirinya. Setakat mana beban yang mampu kita tanggung, seberat itu sahajalah yang Tuhan bebankan buat kita, tidak lebih. Tuhan tahu beban yang termampu kita tanggung ialah beban seorang insan biasa, maka setakat itu sahajalah beban yang diberi-Nya dan perlu kita tanggung, tidak lebih. Sebab itulah kita tidak dijadikannya ustaz, ulama, khalifah dan lain-lain. Tuhan tahu beban yang termampu untuk orang lain tanggung ialah beban seorang ustaz, ulama, khalifah dan lain-lain, maka seberat itulah beban yang diberi-Nya kepada mereka dan mesti mereka tanggung. Begitulah adilnya pekerjaan Allah SWT.

Kiat dimasukkan ke dalam syurga kerana rahmat Allah, bukannya kerana akademik. Akademik hanyalah salah satu usaha yang mesti kita lakukan sebagai menyahut perintah Allah, tapi ia bukan tiket untuk mendapatkan kejayaan. Kan ramai ahli akademik dan orang yang punya akademik tinggi tetapi jahil dan jauh dari agama? Oleh itu anda tidak perlu terlalu risau. Risau itu boleh, tetapi biarlah berpada-pada risaunya. Jangan sampai terlalu memberatkan akal fikiran.

“Allah terima tak doa orang yang bodoh dan lemah dalam segala hal ni?”

Tuhan Maha Pemurah. Dia juga Maha Penyayang. Tidak ada yang lebih pemurah dan lebih penyayang selain Allah. Dengan sikap Pemurah dan PenyayangNya itu, pasti saja Dia menerima doa hamba-hamba-Nya tanpa mengira bodoh pandai atau lemah gagah. Tugas kita ialah berdoa dan terus berdoa. Selebihnya urusan Tuhan. Allah memang memerintahkan kita berdoa. Apabila kita berdoa sahaja, bertambahlah kasih sayang Allah kepada kita.

“Kenapa Allah lahirkan saya dalam keluarga yang jauh dari agama. . kekadang saya cemburu tengok ustaz2 ustazah2 yang berpeluang mendekati agama sebab keluarga keturunan yang baik dari segi agama.

”

Allah mengetahui rahsia yang tidak kita ketahui. Kebanyakan para rasul dan nabi pun lahir dalam kalangan keluarga dan masyarakat yang jauh dari agama. Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Lut, Nabi Yunus, Nabi Muhammad dan lain-lain kan menerima nasib seperti itu? Maksudnya, lahir dalam keluarga yang jauh dari agama pastinya punya hikmah tersendiri, kerana Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana. Boleh jadi, jika anda lahir dalam keluarga yang ustaz ustazah, anda tidak punya kesedaran untuk meningkatkan ikhlas dan jujur sebagaimana sekarang.

Terlalu ramai ilmuwan agama dan orang biasa yang soleh serta para pendakwah yang saya temui, berasal dari keluarga yang jauh dari agama. Saya sendiri datang dari keluarga, saudara-mara, kejiranan dan masyarakat yang jauh dari agama. Ketika kecil dan remaja, saya langsung tidak pernah terfikir untuk mengambil tahu hal ehwal agama, apatah lagi untuk mengajar dan mendakwahkannya kepada orang lain. Tidak ada minat. Namun perancangan Allah begitu ajaib, saya dipilihnya untuk mengalami perubahan drastik suatu ketika dahulu.

Orang yang datang dari keluarga yang baik-baik pun adakalanya jauh dari Tuhan. Contohnya salah seorang anak Nabi Adam, salah seorang anak Nabi Nuh, isteri Nabi Lut dna lain-lain. Ada pula orang yang datang dari keluarga yang jauh dari Tuhan, tetapi dia menjadi orang yang soleh. Contohnya isteri Fir’aun, anak Abu Jahal, Nabi Ibrahim sendiri dan lain-lain.

Oleh itu, janganlah disesali kelahiran kita dari keluarga yang jauh dari agama. Itu perancangan Tuhan yang sudah berlaku. Tugas kita sekarang ialah untuk berusaha sekadar yang termampu (jangan melebihi kemampuan) untuk menambahkan ilmu-ilmu agama, meningkatkan keimanan dan mempertingkatkan amal-amal soleh. Yang sudah berlalu itu, memang kita kena kenang juga dan ambil iktibar. Niatkan (contohnya) : “Aku mahu diri aku dan keluarga aku sekarang lebih baik daripada diri dan keluarga aku ketika kecil dahulu.” Dan kita usahakan matlamat itu.

“Kenapa saya terasa disisih Allah dalam hal ni? Saya akan dihukum kerana sesuatu semulajadi yang Allah dah berikan pada saya. Kenapa saya tak dapat kecerahan sepertimana saudara, kenapa saya tak dapat lihat keindahan Islam seperti Tuan......doa saya tak laku kah? Solat saya tak cukup baik untuk Allah?”

Sebenarnya Allah Maha Penyayang. Dia tidak pernah menyisihkan anda sebagaimana yang anda rasai. Kita renung kembali nikmat yang Allah kurniakan kepada kita baik-baik...

Dalam jutaan ekor sperma yang mengalir ke rahim ibu kita, kan Dia memilih kita untuk disenyawakan? Jutaan sperma lagi (iaitu adik-beradik kita) tidak terpilih pun. Mereka tidak berpeluang pun untuk lahir melihat kecerahan alam dan isi kandungan alam yang ajaib-ajaib ini. Bahkan mereka tidak sempat pun menikmati syariat Nabi Akhir Zaman, penghulu sekelian nabi. Mereka tidak sempat merasai makanan yang lazat-lazat, nikmat oksigen, nikmat memandang, nikmat mengerjakan solat dan sebagainya. Bagaimana kita boleh mengatakan yang Allah menyisihkan kita?

Selama hari ini juga, sama ada kita langgar perintah Allah (melakukan dosa) atau tidak, Tuhan masih berterusan mengurniakan nikmat-nikmat-Nya kepada kita. Sepatutnya, setiap kali kita melakukan kesalahan/ dosa, teruslah kita dihukum. Tapi, atas kasih sayangNya Dia tak menyekat pun makanan kita, penglihatan kita, oksigen kita dan sebagainya.

Katakanlah kalau kita tidak menunaikan satu waktu solat, sebelah tangan akan hilang diambil oleh Tuhan. Tapi Tuhan tak buat begitu. Katakanlah sekali kita tinggalkan solat Subuh, Tuhan kunci mulut kita sampai waktu Zohor, tidak boleh makan dan minum. Tapi Tuhan tak buat begitu. Pendek kata, Tuhan tidak pernah menyisihkan kita.

Kesimpulannya, yang perlu anda lakukan sekarang ialah dengan meneruskan doa dan usaha ke arah yang dikehendaki, dengan lebih gigih. Di akhirat nanti, ada jauh lebih banyak nikmat-nikmat Allah yang menanti kita berbanding dalam kehidupan di dunia ini. WaAllahua’lam.


Abu Zulfiqar

27 JULAI 2011


sumber

Wednesday, January 9, 2008

Dipaksa Bersetubuh, Bagaimana Cara Taubatnya?

SOALAN: Ketika berumur 13 tahun, saya telah dipaksa tidur bersama oleh abang angkat yang tinggal serumah. Saya langsung tidak tahu hal-hal yang berkaitan dengan seks atau zina.

Setelah dewasa, saya mempunyai seorang teman yang ingin mengahwini saya. Apa yang berlaku telah saya ceritakan kepadanya tetapi ia mengambil kesempatan daripada kejujuran saya, menyebabkan saya terpaksa menggugurkan kandungan sebanyak dua kali.

Sekarang saya telah bersuami dan benar-benar menyesal terhadap apa yang telah saya lakukan, biarpun bukan atas kerelaan saya yang sebenar. Saya benar-benar mahu bertaubat, tetapi bagaimana? Latar belakang saya begitu minimum. Kedua-dua ibu bapa saya boleh dikatakan terlalu sibuk, seumpama tidak peduli dengan apa yang terjadi kepada saya.

seterusnya

Saturday, January 5, 2008

Balasan Pelaku Dosa

SOALAN:
Lima tahun lepas saya pencen dan mempunyai wang tunai lebih daripada RM200,000. Malangnya saya ditipu oleh anak saudara sendiri. Separuh daripada jumlah wang tersebut saya serahkan kepadanya, tetapi rumah, sampai sekarang tidak siap juga.

Saya menginsafi siapa saya yang sebenarnya. Banyak menyalah guna kuasa. Memberi tender kepada teman-teman rapat dan saudara-mara dengan imbuhan biasa. Saya menjadi insaf apabila masalah terus-menerus melanda, menyebabkan saya begitu banyak hutang, yang tidak mungkin dapat saya langsaikan. Hidup saya seumpama tidak terurus.

Kadang-kadang saya bercakap sendiri atau mengeluh dan sakit kepala yang bersangatan ketika bersendirian. Apa yang berlaku adalah di luar kesedaran diri. Perubahan ini saya sedari apabila isteri saya menegur apa yang berlaku.

– Sani, Setapak.

seterusnya

Friday, December 14, 2007

Gay Mahu Bertaubat

SOALAN 2:

Saya seorang lelaki gay tetapi dari luaran kelihatan seperti lelaki normal. Seingat saya tidak pernah melalui pengalaman pahit sehingga menjadikan saya begini. Sekarang umur saya hampir mencecah 30-an. Saya bukan seorang gay yang aktif tetapi pernah mempunyai pasangan sesama jantina. Sejak kebelakangan saya mula berfikir hidup begini tidak ke mana (melukakan, kesunyian dan kebanyakannya berorientasikan seks semata-mata) dan dilaknat Allah. Apa yang harus saya lakukan?

JAWAPAN:

Apa yang berlaku dan kecenderungan saudara adalah sesuatu yang tidak normal bagi seorang lelaki. Allah s.w.t. menjadikan pasangan bagi manusia adalah kaum lain jenis, lelaki sukakan perempuan dan begitu sebaliknya. Ini yang dinamakan fitrah tabie manusia. Apabila seorang lelaki atau seorang perempuan sukakan jenis yang sama, malahan sanggup melakukan perbuatan yang terkutuk di sisi agama. Puncanya manusia hilang hala tuju kehidupan yang sebenar. Setiap orang perlu melihat kepada asal usul kejadiannya.


seterusnya