Showing posts with label SOLAT. Show all posts
Showing posts with label SOLAT. Show all posts

Sunday, August 7, 2011

Basmalah dalam Fatihah

SOALAN:

Tuan Alex (Abu Zulfiqar), saya kira tuan Alex seorang pendakwah yang tidak menyekat @ terhalang untuk menjawab persoalan yang lahir dari pelbagai jenis tahap pemikiran dan saya kira tuan Alex juga seorang pemikir dan pengkaji( persepsi saya menerusi blog tuan).

Saya ada persoalan berkenaan bacaan Bismillah ketika membaca Fatihah dalam solat. Mengapa Imam Maliki menetapkan hukum makruh membaca Bismillah dalam Fatihah ketika solat sedang Imam Syafi'e menetapkan ia sebagai syarat sah. Seperti yang umum tahu, Rasulullah tidak menyukai perkara makruh dan umat yang mahu dekat dgn Rasulullah sudah pasti akan mengambil berat perkara-perkara yg dilakukan supaya ia paling tepat seperti Rasulullah.

Saya tidak kata perkara khilaf ini salah kerana ilmu saya sudah tentu tidak sampai kepadanya. Walaubagaimanapun sekiranya tuan Alex dapat berikan pandangan mahupun dalil daripada kedua imam ini, saya sangat-sangat berterima kasih dan saya mohon maaf jika ia membebankan tuan.

Terima kasih

JAWAPAN :

PANDANGAN MAZHAB SYAFIE

Basmalah ialah salah satu daripada ayat surah al-Fatihah. Membacanya dalam solat berhukum fardhu. Jika gugurkan walau satu huruf, batallah solatnya. Antara sandarannya ialah:

Dari Nuaim al-Mujammir : “Saya solat di belakang Abu Hurairah, maka dibacanya Bismillaahirrahmaanirraahim, lalu dibacanya Ummul Quran, dan ketika sampai kepada waladdhaallin, dia mengucapkan amiin....... Setelah dia memberi salam, dia berkata : “Demi Tuhan yang jiwa saya berada pada tanganNya,, saya ialah orang yang paling mirip solatnya dengan solat Rasulullah." (Nasai, Ibnu Khuziamah, Ibnu Hibban)

Solat Abu Hurairah ialah solat yang paling mirip dengan solat Rasulullah, dan Abu Hurairah membaca Bismillah. Hal ini menunjukkan Rasulullah membaca Bismillah.

“Apabila membaca Al-Fatihah, maka bacalah Bismillaahirrahmaanirrahiim, kerana sesungguhnya ia adalah Ummul Quran dan tujuh pujian yang diulang-ulang, dan Basmalah ialah salah satu daripada ayatnya.” (Daaraquthni)

Dari Ibnu Abbas : “Sesungguhnya Rasulullah membuka pembacaan dalam solatnya dengan bacaan Basmalah.” (Dari kitab Al-Umm karya Imam Syafie)

PANDANGAN MAZHAB HANAFI & HANBALI

Basmalah bukan salah satu ayat Al-Fatihah, tapi sunat membacanya secara perlahan.

PANDANGAN MAZHAB MALIKI

Anas berkata:

“Nabi, Abu Bakar dan Umar memulakan solat dengan membaca Alhamdulillahirabbil ‘alamin.” (Bukhari)

Anas berkata:

“Nabi, Abu Bakar dan Umar memulakan solat dengan membaca Alhamdulillahirabbil ‘alamin, dan mereka tidak membaca Bismillahirrahmanirahim pada awal mahupun pada akhirnya.” (Muslim)

PERTIMBANGAN:

IMAM SYAFIE mengatakan fardhu manakala IMAM MALIK mengatakan makruh berdasarkan sandaran-sandaran yang mereka nilai. Jadilah ia khilaf.

Kata tuan:

“Mengapa Imam Maliki menetapkan hukum makruh membaca Bismillah dalam fatihah ketika solat sedang Imam Syafi'e menetapkan ia sebagai syarat sah. Seperti yang umum tahu, Rasulullah tidak menyukai perkara makruh dan umat yang mahu dekat dgn Rasulullah sudah pasti akan mengambil berat perkara-perkara yg dilakukan supaya ia paling tepat seperti Rasulullah.”

Sebenarnya ADA DUA PERSOALAN di sini. Tuan sebutkan satu sahaja. Kedua-duanya ialah:

1. Rasulullah tidak menyukai perkara makruh. Maka sebaiknya janganlah kita membaca Basmalah kerana membacanya makruh, tapi tidaklah berdosa membacanya dan tidaklah batal solat kerana membacanya. (Namun begitu....)

2. Rasulullah juga tidak menyukai ibadah solat yang tidak sah. Maka semestinyalah kita baca Basmalah kerana jika tidak membacanya, solat kita tidak diterima. Apabila solat tidak sah, kan itu lebih teruk keadaannya berbanding makruh?

Jadi kita seolah-olah ada 2 pilihan, sama ada:

1. Melakukan perkara makruh (ataupun)

2. Solat tidak sah

KATAKANLAH kedua-duanya membawa kerugian, dari segi logiknya, baiklah kita MEMILIH KERUGIAN YANG LEBIH KECIL antara kedua-duanya.

Mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali mengatakan DAPAT PAHALA membacanya.

Mazhab Maliki mengatakan MAKRUH membacanya.

Wallahu’alam.

Abu Zulfiqar



sumber

Tinggal solat kerana tertidur tak dikira cuai

Soalan:

APA yang perlu saya lakukan sekiranya saya terlambat bangun untuk sembahyang Subuh?

Jawapan:

AL-HAMDULILLAH wassolatuwas salam ‘ala Rasulillah.
Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 103 yang bermaksud: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman yang tertentu waktunya.”

Jika saudara tertidur sehingga keluar waktu solat Subuh, maka saudara hendaklah segera bersiap-siap untuk mengqada solat Subuh. Jika tertinggal solat Zuhur umpamanya, dan dia sedar pada waktu Asar, maka hendaklah ia segera qadhanya pada waktu Asar.

Mengqada solat adalah wajib, manakala menyegerakannya adalah sunat seperti satu hadis yang diriwayatkan Muslim, daripada Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila tidur salah seorang kamu sehingga meninggalkan solat atau terlupa daripadanya, maka hendaklah ia segera solat apabila ia teringat kerana Allah SWT berfirman: “Dirikanlah kamu akan solat untuk mengingati-Ku.”
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Qatadah, beliau berkata: “Mereka menyebut kepada Nabi SAW tentang tidur mereka sehingga terlepas waktu solat. Maka Baginda bersabda: Tidaklah sebab tidur dikira kecuaian. Kecuaian itu hanya dikira sekiranya dalam keadaan jaga. Maka apabila salah seorang kamu lupa sembahyang, atau tidur lena sehingga meninggalkan sembahyang, maka hendaklah ia sembahyang apabila dia ingat.”

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawasanya Saidina Umar datang pada Hari Khandaq, sesudah terbenamnya matahari, yang mana dia mencaci orang kafir Quraisy seraya beliau berkata: “Wahai Rasulullah, aku hampir tidak solat Asar, sehingga hampir matahari masuk (terbenam).

Maka Nabi SAW menjawab: Demi Allah aku pun belum sembahyang. Maka Baginda berwuduk dan kami pun berwuduk. Maka Baginda sembahyang Asar sesudah matahari masuk (terbenam), kemudian Baginda mengerjakan sembahyang Maghrib sesudahnya. Demikianlah, Wallahua’lam.

Sumber

Sunday, July 31, 2011

Solat Jumaat boleh dijamak dengan Asar ketika musafir

Soalan:

ASSALAMUALAIKUM ustaz. Saya ingin bertanya solat Jumaat ketika musafir. Sekiranya saya sudah melakukan solat Jumaat, bolehkah saya jamakkan dengan solat Asar? Soalan kedua, ketika saya musafir, bolehkah saya mengikut imam solat Maghrib berjemaah dengan penduduk suatu tempat, kemudian saya terus melakukan solat jamak dan qasar solat Isyak bersendirian? Saya pernah mendengar ketika hujan boleh dilakukan solat jamak, betulkah begitu?

Jawapan

ALHAMDULILLAH, wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud: “Apabila kamu berjalan (musafir) di muka bumi, maka tidaklah berdosa bagi kamu qasarkan (memendekkan) solat, jika kamu takut diserang oleh orang kafir. Sesungguhnya orang kafir itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.”

Ayat itu diturunkan berkaitan dengan sekelompok orang Bani Najjar yang suatu ketika bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami ini sering merantau untuk berniaga. Bagaimana cara kami melakukan solat? (Hadis riwayat Ibnu Jarir).

Walaupun ayat 101 surah an-Nisa’ menceritakan keadaan yang ketakutan, solat Jamak dan Qasar juga boleh dilakukan ketika musafir dalam keadaan aman. Manakala disebut dalam satu hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Anas beliau berkata: “Rasulullah SAW apabila berangkat dalam perjalanan (rehlah) sebelum tergelincir matahari, Baginda akan menta’khirkan solat Zuhur ke waktu Asar. Kemudian Baginda turun (berhenti) Baginda menjamakkan kedua-duanya (Zuhur dan Asar). Maka jika sudah tergelincir matahari sebelum Baginda berangkat, Baginda solat Zuhur dulu kemudian Baginda baru naik kenderaan.

Berbalik kepada pertanyaan saudara, sekiranya saudara melakukan solat Jumaat ketika musafir, saudara boleh menjamak (menghimpun) dengan solat Asar. Begitu juga sekiranya saudara sudah melakukan solat Maghrib berjemaah dengan penduduk tempatan, saudara boleh terus melakukan solat Isyak qasar (memendekkan kepada dua rakaat) sebagai jamak taqdim.
Seseorang dibolehkan untuk menjamak antara Zuhur dan Asar atau Maghrib dan Isyak ketika:

Pertama: Berada di Arafah dan Muzdalifah

Kalangan ulama sudah sepakat bahawa jamak antara Zuhur dan Asar di Arafah, jamak takdim pada waktu Zuhur dan antara Maghrib dan Isyak, jamak takhir di Muzdalifah adalah sunnah seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Kedua: Berada dalam safar

Jamak (menghimpun) antara dua solat dalam musafir adalah harus (boleh) menurut pendapat kebanyakan ulama. Tidak ada beza antara musafir singgah pada suatu tempat atau sedang berjalan.

Ketiga: Kerana hujan

Ulama mazhab Syafie membolehkan jamak bagi orang yang bermukim, iaitu jamak taqdim sahaja dengan syarat ada hujan ketika ihram (takbir) solat pertama, sesudah selesai yang pertama kemudian dimulakan yang kedua. Perlu diketahui bahawa rukhsah (keringanan) ini tertentu dengan orang yang solat berjemaah di masjid yang datang dari jauh yang mengalami kesukaran dalam perjalanan. Adapun orang yang tinggal berdekatan masjid atau solat berjemaah di rumahnya atau boleh ke masjid dengan memakai payung, maka tidak dibolehkan mereka menjamak solatnya.

Keempat: Kerana sakit atau uzur

Imam Ahmad, al Qadhi Husain, al Khaththaby, Mutawalli daripada ashhab as-Syafi’I berpandangan bahawa menjamakkan solat kerana uzur (sakit), baik taqdim mahupun ta’khir dibolehkan kerana kesukaran. Sakit lebih kuat daripada kesukaran yang lain. Imam an-Nawawi berkata: Pendapat ini dalilnya kuat. Demikianlah, wallahua’lam

Sumber

Ketulusan hati, tenang rahsia khusyuk dalam solat

Soalan:

SAYA ingin bertanya, bagaimana sebenarnya cara untuk khusyuk dalam solat. Adakah petua-petua yang saya boleh gunakan untuk khusyuk? Ada kalanya saya boleh khusyuk dan pada masa lain pula sukar.

Jawapan:

ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala rasulillah, waba’d.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Mukminun ayat 1 dan 2 yang bermaksud: “Sesungguhnya sudah berjaya orang beriman. Iaitu orang yang khusyuk dalam solat.”

Persoalannya, bagaimanakah untuk kita mencapai tahap solat yang seharusnya dikerjakan oleh seorang yang beriman? Adakah mencukupi sekiranya seseorang itu mengerjakan solat bagai ayam makan padi, belum sempat dahi kepala menyentuh tempat sujud, sudah kembali bangkit dengan tergopoh gapah? Adakah orang begini dikira sebagai khusyuk? Sudah tentu tidak.

Ada ulama yang menjawab persoalan ini dengan mengatakan khusyuk ialah apabila seseorang itu bersolat dalam keadaan tetap, tenang tanpa bergerak, bergoyang atau menoleh ke kiri dan ke kanan. Diceritakan suatu ketika Saidina Umar bin al-Khattab terpandang seorang lelaki yang sedang memegang dan bermain-main janggutnya ketika solat, lalu Saidina Umar berkata: “Seandainya khusyuk hati lelaki ini nescaya khusyuklah segala anggota.”

Ada juga ulama mengatakan bahawa orang yang khusyuk adalah orang yang memberi sepenuh perhatian, pemikiran, ingatan dan lintasan hati kepada solat yang dikerjakan dengan meneliti makna ayat-ayat yang dibaca dan menghayati keseluruhan solat itu sendiri tanpa memasukkan dalam ingatan perkara-perkara yang tiada kaitan dengan solat yang mengganggunya untuk khusyuk.

Justeru, apabila seseorang hendak mendirikan solat, namun pada masa yang sama makanan sudah dihidangkan, maka Rasulullah memerintahkan untuk kita makan dulu sekiranya waktu solat masih panjang.

Selain itu kita dilarang untuk menahan kentut atau buang air kecil atau buang air besar sekiranya hendak mendirikan solat.

Imam Ghazali RHM meletakkan beberapa pendekatan untuk kita khusyuk iaitu:

  • Pertama - hendaklah mengetahui dan memahami benar-benar solat yang dikerjakan.

  • Kedua - Ketika solat hendaklah berhampiran hadapan dinding.

  • Ketiga - Hendaklah sentiasa memandang ke tempat sujud.

  • Keempat - Tempat sujud janganlah ada sebarang gambar atau lukisan.

    Jika anda mengerjakan solat dengan khusyuk dan penuh ketenangan, Allah akan menyegerakan pahala dan ganjaran anda. Tetapi jika anda tidak boleh khusyuk, anda tidak boleh meninggalkannya kerana solat itu wajib dan amal yang fardu.

    Jika anda mengerjakannya terus menerus tanpa meninggalkannya, anda akan mendapat pahala. Anda juga hendaklah faham bahawa Allah SWT tidak menuntut tanggungjawab terhadap persoalan-persoalan yang kita tidak mampu melaksanakannya. Mungkin kita perlu muhasabah kembali kenapa susah untuk khusyuk. Adakah kita masih tidak meninggalkan maksiat? Begitu juga hendaklah memastikan segala hajat seperti buang air besar atau kecil ditunaikan dulu.

    Usahakan untuk memahami bacaan dalam solat. Di samping itu, hendaklah menyedari setiap pertuturan dan pergerakan dalam solat. Seterusnya, hendaklah merasakan diri sangat kerdil dan lemah di hadapan Allah SWT. Demikianlah, wallahua’lam.

  • SAYA ingin bertanya, bagaimana sebenarnya cara untuk khusyuk dalam solat. Adakah petua-petua yang saya boleh gunakan untuk khusyuk? Ada kalanya saya boleh khusyuk dan pada masa lain pula sukar.

    Sunday, November 15, 2009

    Wanita lebih utama solat di rumah

    SOALAN:
    SAYA ada kemusykilan tentang kedudukan wanita dalam solat berjemaah. Adakah hadis sahih yang kata perempuan tidak digalakkan turun surau?

    Adakah sirah Nabi atau para sahabat yang mana ada muslimat yang komited untuk berjemaah di surau?

    Jawapan:

    Solat berjemaah di masjid atau surau sangat digalakkan dalam Islam. Hadis-hadis Rasulullah SAW juga cukup banyak yang sentiasa memberi motivasi bahawa pahala orang yang solat berjemaah jauh lebih baik berbanding solat bersendirian.

    Di sana juga terdapat hadis-hadis Rasulullah SAW yang mengecam dan memberi amaran yang sangat keras bagi mereka yang tidak hadir solat berjemaah.

    Malahan dalam suasana yang sangat getir pun mereka tidak mengabaikan solat berjemaah. Disebabkan keyakinan yang tidak berbelah bagi Rasulullah SAW bahawa penyatuan saf di dalam masyarakat adalah bermula dengan penyatuan saf di dalam masjid.

    Masjid menjadi tempat bertemu dan bertanya khabar, peluang menyuburkan semangat persaudaraan. Sebab itulah, falsafah solat berjemaah adalah bertujuan menyatukan ummah sehingga dilabel sebagai khaira ummah (umat terbaik).

    Masjid mampu merungkai persengketaan dan perbalahan, tempat menimba yang jernih. Dalam pada itu persoalan solat berjemaah dan fadilatnya banyak ditujukan kepada kaum lelaki bukan kaum wanita.

    Namun demikian, ini tidaklah bermaksud wanita tidak perlu ke masjid atau surau untuk solat berjemaah. Untuk memberi jawapan kepada persoalan ini para ulama telah berbincang dan memberi beberapa saranan dan pandangan.

    Solat berjemaah di masjid wajib hukumnya, di mana keterangan masalah ini nampak sekali imbas bahawa solat jemaah seakan-akan diwajibkan bagi setiap muslim, baik lelaki mahupun perempuan.

    Padahal tidaklah demikian. Ini kerana di dalamnya terdapat beberapa pengecualian dan pengkhususan.

    Di antara pengkhususan itu adalah tidak diwajibkan solat berjemaah bagi wanita. Hal itu sesuai dengan ijmak (kesepakatan) ulama. Adapun dibolehkan mereka ikut serta dalam solat berjemaah bukan bererti merupakan kewajipan bagi mereka sebagaimana yang telah dikatakan oleh Abu Muhammad bin Hazm rahimahullah; “Adapun bagi wanita maka hukum menghadiri solat berjemaah adalah tidak wajib. Dalam perkara ini tidak terdapat ikhtilaf di antara para ulama”. (Al Muhalla 4: 196)

    Sebaliknya wanita dianjurkan untuk solat di rumahnya kerana fadilat (keutamaannya) lebih besar dibandingkan dengan solat berjemaah di masjid. Rasulullah SAW bersabda kepada seorang wanita yang bermaksud: “Solat di bilikmu (rumahmu) lebih baik daripada solat di rumahmu. Solat di rumahmu lebih utama daripada solat di masjid kaummu”. (riwayat Ibn Khuzaimah)

    Di dalam hadis lain Rasulullah bersabda: “Janganlah kalian melarang wanita-wanita kamu (untuk pergi ke) masjid dan rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka”. (riwayat Ibnu Khuzaimah)

    Berkata Imam Asy Syaukani r.h ketika menjelaskan lafaz “Rumah-rumah mereka lebih utama bagi mereka”, maksudnya adalah “Solat mereka (wanita) di rumahnya itu lebih utama bagi mereka dibandingkan dengan solatnya di masjid”.

    Jika mereka mengetahui yang demikian (pastilah mereka tidak meminta untuk keluar masjid). Akan tetapi kerana mereka tidak mengetahuinya, maka mereka meminta izin untuk keluar ke masjid dengan berkeyakinan bahwa pahalanya lebih banyak daripada solat di rumahnya”. (al-Syaukani, Nailul Authar 3:131).

    Dari riwayat-riwayat di atas, para ulama mengistinbatkan hukum bahawa solat wanita di dalam rumahnya lebih utama daripada solat di masjid.

    Walaupun demikian mungkin akan timbul dalam benak kita suatu pertanyaan: “Manakah yang lebih utama, wanita solat di rumahnya dengan berjemaah atau solat sendiri. Dan apakah solat jemaahnya akan mendapatkan seperti apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW (yakni lebih utama 27 darjat)?”

    Untuk menjawab pertanyaan ini terlebih dahulu kita melihat syarah hadis solat berjemaah lebih utama dibandingkan solat sendiri dengan dua puluh lima (dalam riwayat lain dengan dua puluh tujuh) darjat. Apakah hadis tersebut bersifat umum bagi lelaki dan wanita?

    Hujah-hujah yang dikemukakan tadi adalah berdasarkan tuntutan bahawa wanita tidak disuruh dan jangan dilarang.

    Hukum awal wanita tidak digalakkan ke masjid atas tujuan mengelak fitnah yang mungkin berlaku, kerana perumahan di zaman Madinah dan Mekah agak jauh dari Masjid. Atas kebimbangan keselamatan adalah lebih baik solat di rumah masing-masing.

    Perkara kedua, budaya masyarakat Arab memang tidak akan membenarkan wanita keluar bersendirian, suami akan dikata sebagai tidak bertanggungjawab.

    Namun demikian hari ini ramai wanita yang ke masjid tidak ditemani oleh suami tapi dengan izin. Ini kerana suasana hari ini mungkin lebih selamat, apatah lagi dalam suasana kampus.

    Beberapa Syarat

    Telah menjadi ijmak (kesepakatan) para ulama bahawa Rasulullah tidak mencegah sama sekali para wanita untuk solat berjemaah di masjid bersama beliau sehingga wafatnya.

    Demikian pula para Khulafah Rasyidin sesudah beliau SAW. Rasulullah SAW bersabda: Apabila salah satu wanita di antara kalian meminta izin ke masjid, maka janganlah kalian cegah mereka. (riwayat Bukhari dan Muslim)

    Dari Ibnu Umar ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Janganlah kalian melarang hamba (para wanita) Allah ke masjid-masjid Allah. (riwayat al-Bukhari)

    Menyoroti hadis-hadis di atas, Imam Nawawi r.a berkata: Hadis ini dan yang semisalnya (menjelaskan) dengan jelas sekali bahawa wanita tidak dilarang pergi ke masjid. Akan tetapi dengan syarat-syarat yang telah disebutkan oleh para ulama yang diambil daripada hadis-hadis iaitu: Tidak memakai wangi-wangian, tidak tabarruj (berhias-hias, bersolek-solek), tidak memakai gelang kaki yang dapat terdengar bunyinya, tidak memakai baju yang mewah, tidak berikhtilat dengan kaum lelaki dan bukan gadis yang dengannya dapat menimbulkan fitnah, tidak terdapat sesuatu yang dapat menimbulkan bahaya di jalan yang akan dilalui. Apabila dia mempunyai suami atau tuan dan terpenuhi syarat-syarat yang disebutkan tadi, maka dimakruhkan melarang mereka ke masjid. Namun jika dia belum/tidak mempunyai suami atau tuan, maka diharamkan melarang mereka ke masjid apabila terpenuhi syarat-syarat di atas. (Syarh Shahih Muslim 4:382-383).

    Inilah syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh para ulama yang disyariatkan kepada para wanita yang ingin ke masjid. Syarat-syarat ini diambil daripada hadis-hadis Nabi SAW.

    Sumber

    Wednesday, October 21, 2009

    Tuesday, September 22, 2009

    Benarkah Hadis Fadhilat Terawih

    Soalan: SAYA ada menerima edaran risalah hadis fadilat harian solat tarawih riwayat Saidina Ali selepas bersolat tarawih di masjid kariah saya. Adakah ia hadis yang benar?

    Jawapan:

    Berdasarkan kajian yang dijalankan, hadis ini tidak terdapat di dalam al-Kutub al-Sittah (Buku yang Enam) yang merupakan buku-buku rujukan hadis paling utama.

    Ia terdiri daripada al-Sahihan (Buku Sahih yang Dua) iaitu Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim pada kelas yang pertama. Manakala baki empat buku lagi dipanggil al-Sunan al-Arba’ah (Buku Sunnah yang Empat) yang terdiri daripada Sunan Abu Daud, Sunan al-Tirmidzi, Sunan al-Nasa’i (yang diberi nama al-Mujtaba) dan Sunan Ibnu Majah.

    Malah tidak juga terdapat dalam Muwatta’ Imam Malik, Sunan al-Darimi, Musnad Imam Ahmad bin Hanbal atau Mustadrak al-Hakim.

    Malah satu cakera padat umpama perpustakaan bergerak tentang hadis seperti Maktabah Shamilah dan Sunnah Alfiyyah pun gagal menjejak hadis ini, hatta dalam buku-buku yang menyenaraikan hadis-hadis palsu.

    Oleh yang demikian, mahu tidak mahu, ia terpaksa digolongkan dalam hadis yang tidak berasas (la asla la hu).

    Apabila sesuatu hadis itu dilabelkan demikian maka ia adalah hadis yang palsu, baru diada-adakan dan haram hukumnya berpegang kepada.

    Mempercayai apalagi menyebarkannya berdasarkan satu hadis mutawatir yang paling masyhur dalam bidang hadis: “Sesiapa yang berdusta atas namaku, maka dia telah menempah tempatnya di neraka.” (Sumber: Sahih al-Bukhari (1/52) dan Sahih Muslim (1/7), Sunan Abu Daud (3/357), Sunan al-Tirmidzi (5/35), Sunan al-Nasa’i (3/457), Sunan Ibnu Majah (1/13), dan Sunan al-Darimi (1/87).

    Malahan ia tersenarai sebagai satu daripada 70 dosa besar dalam Islam - berdusta kepada Allah dan Rasul-Nya.

    Antara ciri-ciri hadis palsu ialah:

    1. Tidak terdapat hukum sedemikian di dalam fikah Islam yang diketahui

    2. Hadis itu bertentangan dengan al-Quran atau kaedah-kaedah agama yang diketahui

    3. Hadis itu bertentangan dengan hadis lain yang lebih tinggi status sahih dan penerimaannya dalam ilmu Islam

    4. Hadis itu bertentangan dengan ijmak ulama

    5. Hadis itu tidak terdapat dalam buku-buku kompilasi hadis yang muktabar - contoh yang jelas ialah seperti hadis yang ditanya oleh soalan ini.

    6. Terdapat lafaz dan makna yang janggal jika dibandingkan dengan kefasihan dan keindahan untaian kata hadis-hadis sebenar daripada Rasulullah s.a.w.

    7. Terdapat perkara-perkara yang melampau sifatnya di dalam hadis

    8. Perawi mengaku dia mengada-adakan hadis palsu untuk tujuan tertentu seperti untuk mendapatkan sokongan orang-orang atasan dan seumpamanya.

    Menurut Imam al-Nawawi hukumnya haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu’) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu’ atau dia hanya mengesyaki hadis itu maudhu’.

    Tiada perbezaan status hukum haram itu di antara hadis yang berkaitan dengan hukum-hukum atau selainnya seperti hadis-hadis targhib untuk memotivasikan orang ramai beribadat atau tarhib untuk menakut-nakutkan mereka terhadap maksiat atau dosa sekalipun atas tujuan nasihat.

    Di dalam asas fikah Islam, niat tidak menghalalkan cara. Maka kita perlu berhati-hati dalam merealisasikan praktik ajaran Islam agar niat yang murni itu tidak menjerumuskan kita kepada perbuatan yang mengakibatkan dosa pula.

    Oleh sebab itulah, al-Quran sering menyebut perkataan iman dahulu kemudian digandingkan dengan kalimah amal bagi mengisyaratkan bahawa sebagai penganut Islam, kita mesti berilmu dahulu sebelum beramal bagi mengelakkan perkara seumpama ini berlaku.

    sumber

    Puasa Tapi Tidak Solat


    SOLAT adalah ibadat yang wajib dilakukan sama ada dalam keadaan sihat atau sakit. - Gambar hiasan


    Lirik lagu nasyid berjudul 'Harapan Ramadan' dendangan Kumpulan Raihan jelas menggambarkan bulan Ramadan merupakan bulan yang dinanti-nantikan oleh semua umat Islam yang beriman.

    Ini kerana padanya terdapat limpahan kerahmatan, keampunan dan ganjaran Allah yang diberikan khusus kepada hamba-Nya yang berpuasa.

    Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: "Bulan Ramadan, bulan rahmat telah datang kepada kamu. Di mana Allah SWT telah berpaling kepadamu dan menurunkan ke atasmu rahmat yang istimewa, mengampunkan akan kesalahan-kesalahan, memperkenankan akan doa-doa, melihat di atas perlumbaan-perlumbaanmu bagi mendapatkan kebaikan yang besar dan berbangga-bangga kepada malaikat-malaikat mengenaimu. Maka tunjukkanlah akan kebaikan-kebaikan daripada kamu. Kerana sesungguhnya orang yang paling 'dikasihani' dan paling malang ialah seseorang yang terluput daripada rahmat Allah dalam bulan ini". (riwayat at-Tabrani)

    Bulan yang istimewa dan penghulu segala bulan ini hanya datang sekali dalam setahun. Setiap kali kemunculannya ia disambut dengan penuh kegembiraan oleh umat Islam seluruhnya.

    Malah, setiap umat Islam yang beriman, menantinya dengan penuh debaran dan harapan. Peluang untuk beribadah dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda pada bulan ini. Mereka tidak lepaskan dengan begitu saja. Mereka bagaikan ingin terus mendampingi Ramadan buat selama-lamanya.

    Mungkin agak pelik jika ada antara kita di kalangan umat Islam yang sanggup menahan lapar dan dahaga di bulan penuh keberkatan ini semata-mata memenuhi tuntutan Allah kepada hamba-Nya yang beriman, tetapi tidak mendirikan solat.

    Pengendali laman soal-jawab agama, www.ilmudanulamak.blogspot berkelulusan Universiti Al-Azhar, Ahmad Adnan Fadzil berkata, para ulama berbeza pandangan tentang hukum meninggalkan solat kerana malas atau segan (iaitu masih mengakui kewajipan solat, cuma ia malas melakukannya).

    Imam Ahmad berpandangan ia adalah kafir manakala Jumhur ulama pula bersependapat ia adalah fasiq iaitu melakukan dosa amat besar.

    Jika berpegang kepada pandangan Imam Ahmad tersebut, maka sebahagian ulama hari ini (terutamanya dari Arab Saudi seperti Sheikh Bin Baz, Ibnu Usaimin dan sebagainya) berpendapat, orang yang tidak menunaikan solat fardu, tidak sah puasanya, malah juga ibadah-ibadahnya yang lain (zakat, haji, sedekah dan amal-amal soleh selainnya) sehinggalah ia bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat.

    Adapun berdasarkan pandangan jumhur ulama (yang tidak menghukum kafir orang yang meninggalkan solat itu), puasa orang itu sah jika ia memenuhi rukun-rukun puasa yang ditetapkan dan tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Maksud sah di sini ialah dia tidak dituntut lagi menggantikan puasanya.

    Namun perlu dipersoalkan adakah puasanya itu diterima oleh Allah sedangkan ia telah mengabaikan ibadah yang cukup besar dalam Islam iaitu solat?

    Tidak semua ibadah yang sah diterima oleh Allah. Contohnya, seseorang yang mengerjakan solat dengan riak, solatnya sah (dari sudut fiqh) apabila cukup syarat-syarat dan rukun-rukunnya, namun solatnya ditolak oleh Allah kerana riak tersebut.

    Sheikh 'Atiyah Saqar menulis dalam fatwanya; "Sesiapa berpuasa tanpa mengerjakan solat, puasanya adalah sah dan tidak wajib ia mengulanginya. Akan tetapi dari segi penerimaan (Allah) terhadapnya, maka hadis Nabi SAW menunjukkan ia tidak diterima".

    Hadis yang dimaksudkan ialah yang bermaksud: Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (iaitu Allah tidak berhajat kepada puasanya). (riwayat Imam Bukhari, Abu Daud dan at-Tirmizi).

    puasa ditolak

    Daripada mafhum hadis di atas, jika dengan kerana akhlak mazmumah (kata-kata dusta dan sebagainya) telah pun menyebabkan puasa ditolak oleh Allah, maka lebih-lebih lagilah dengan meninggalkan solat fardu yang dosanya amatlah besar, berkali-kali ganda lebih besar dari dosa kerana akhlak mazmumah itu.

    Namun, itulah yang berlaku dalam realiti masyarakat Islam kini apabila mereka tidak mengendahkan tuntutan utama agama Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah yang mengakui tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah.

    Bertepatan dengan firman Allah SWT bermaksud: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (al-Baqarah: 45)

    Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, Md. Ali Sarbini memberitahu, menjadi satu perkara aneh jika sekiranya seseorang itu sanggup bertahan untuk berpuasa tetapi mengabaikan solat.

    Menurutnya, keadaan sebegitu adalah satu perkara yang tidak tepat atau selari dengan kehendak agama yang berlandaskan kepada rukunnya yang lima sebagai pegangan setiap penganutnya.

    Jelas Md. Ali, rukun Islam itu berkaitan antara satu sama lain serta saling sempurna dan menyempurnakan. Jika salah satu daripada rukun itu tidak dilaksana, maka pincanglah agama.

    Sebagaimana sabda nabi SAW bermaksud, "Sesungguhnya yang paling mula-mula dihisab pada seorang hamba di hari Kiamat daripada amalannya ialah solat . Sekiranya solatnya baik, maka dia akan berjaya dan selamat. Sekiranya solatnya rosak, maka dia akan kecewa dan rugi". (riwayat At Tirmizi, An Nasaei dan Ibnu Majah ).

    Kata Md. Ali, orang yang bersyahadah mesti dibuktikan dengan mengerjakan sembahyang, orang yang sanggup bersembahyang mesti dibuktikan dengan berpuasa, orang yang sanggup bersyahadah, bersembahyang dan berpuasa mesti sanggup mengeluarkan wangnya untuk diberikan kepada orang lain.

    "Begitu juga orang yang sanggup mengeluarkan wang untuk membayar zakat, sanggup pula mengeluarkan wang untuk menunaikan haji...jadi rukun yang lima ini saling berkait.

    "Oleh itu, menjadi satu perkara aneh sekiranya berlaku orang berpuasa tetapi tidak sembahyang seolah-olah tidak bertolak dari bawah. Ini yang banyak berlaku dalam masyarakat," katanya kepada MEGA, baru-baru ini.

    Bagaimanapun, menurut Md. Ali, ibadat puasa yang dilaksanakan oleh orang seperti ini tetap sah di sisi Islam walaupun ia tidak mendirikan solat kerana Islam merupakan agama praktikal.

    "Tetapi dia berdosa kerana meninggalkan sembahyang. Akan tetapi puasa itu tidak menjadi sempurna sebagai matlamat untuk membentuk masyarakat yang baik. Jadi sebaik-baiknya teruskan puasa dan laksanakan sembahyang untuk mengimbangi tuntutan agama.

    "Jangan jadikan alasan berpuasa sebagai salah satu sebab untuk meninggalkan sembahyang seperti sesetengah orang berpuasa yang hanya tidur sepanjang hari bermula sahur sehingga berbuka bagi mengelakkan rasa lapar," katanya.

    Bagaimanapun, Md. Ali menjelaskan, walaupun terdapat umat Islam yang berpuasa tetapi tidak bersembahyang, ia tidak boleh dikatakan sebagai satu adat atau trend yang berlaku dalam masyarakat kini.

    Ini kerana katanya, ibadat puasa dilaksanakan dengan baik sekali gus membuktikan keimanan dan ketaatan terhadap suruhan Allah.

    "Orang yang berpuasa walaupun tidak sembahyang masih mempunyai nilai-nilai keimanan dalam dirinya kerana mereka masih sanggup meninggalkan makan dan minum sepanjang hari.

    "Hanya orang yang betul-betul beriman sahaja sanggup melakukan tuntutan Allah ini, mereka tetap mendapat ganjaran pahala daripada yang Maha Esa di atas ketaatan berpuasa tetapi dosanya meninggalkan sembahyang tetap dikira oleh Allah," jelasnya.

    Bagaimanapun, Md. Ali turut menjelaskan, terdapat juga umat Islam yang berpuasa amat rajin melakukan ibadat di bulan rahmat ini tetapi tidak diteruskan amalan-amalan baik itu pada bulan-bulan lain.

    Katanya, amalan terbaik di bulan puasa adalah berpuasa itu sendiri sebagai satu petanda menambahkan dan menggambarkan keimanan kepada Allah.

    "Kita sanggup mendengar perintah Allah melalui al-Quran pada bulan mulai ini untuk meninggalkan perkara-perkara yang harus dilakukan di luar bulan puasa untuk beriman kepada Allah.

    bulan puasa

    "Jadi malang bagi sesiapa yang boleh bertahan berpuasa serta beribadah dengan melakukan amalan berlipat kali ganda, namun di luar bulan puasa mereka kembali kepada tabiat lama mereka dengan meninggalkan segala suruhan dan menolak perintah Allah," tambah beliau.

    Mengulas lanjut, Md. Ali berkata, bulan Ramadan seharusnya menjadi pendorong kepada umat Islam untuk mengekalkan sikap yang baik dan amalan mulia yang dilaksanakan sepanjang masa, tidak mengambil kira kebaikan ganjaran yang diterima hanya berdasarkan kemuliaan bulan tersebut.

    Amat janggal sekiranya kita tidak meneruskan amalan seperti berpuasa sunat dan apa yang menyedihkan lagi al-Quran ditinggalkan langsung sehingga Ramadan datang lagi. Sudah tentu ia tidak dikehendaki oleh Islam.

    Sekiranya tidak berlaku penerusan amalan di bulan lain, Md. Ali berpendapat, besar kemungkinan amalan yang dilaksanakan di bulan puasa tidak memberi kesan kepada kehidupan mereka itu.

    "Seumpama pelajar universiti yang tamat belajar tetapi melakukan jenayah seperti mencuri, ini menunjukkan pendidikan di universiti itu tidak memberi kesan kepada dirinya," jelas beliau.

    Hakikatnya bulan Ramadan adalah bulan yang sepatutnya menjadikan umat Islam agar lebih produktif, proaktif, aktif dan bertenaga berusaha menjanakan kekuatan untuk memperbanyakkan ibadah dan mentaqarrubkan (mendekatkan) diri kepada Allah.

    Hikmah puasa disyariatkan pula adalah untuk meningkatkan pengabdian dan perdampingan diri kepada Allah.

    Sebarang ibadat yang dilakukan oleh seseorang tetap akan menyebabkan dirinya lebih hampir kepada Allah.

    Kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya dan hamba pula menghampirkan diri kepada-Nya akan menjauhkan mereka daripada maksiat, mendekatkan diri kepada mentaati-Nya, dan segera membuat amal kebajikan.

    Oleh itu, mereka sentiasa dalam keadaan yang betul dan kehidupan yang sempurna.

    Semoga puasa yang kita lakukan diterima sama ada puasa perut daripada makanan, faraj daripada mengikut syahwat, mata daripada memandang yang haram, telinga daripada mendengar yang haram, tangan daripada mengambil yang haram, kaki daripada pergi ke tempat yang dimurkai Allah, lidah daripada segala kata nista dan cela dan seterusnya hati daripada nifak dan segala sifat mazmumah (yang tercela).

    Insya-Allah takwa daripada ibadat puasa akan bersama dengan kita.

    sumber

    Thursday, September 3, 2009

    Kuliah- Permasalahan Solat Tarawih

    Apa maksud 'tarawih'?
    Bilakah masa solat tarawih?
    Apakah hukum solat tarawih?
    Apa fadhilat solat tarawih?
    Berapa rakaatkah solat tarawih?
    Apakah Rasulullah menghadkan jumlah rakaatnya?
    Mengapa penduduk Madinah mengerjakan 36 rakaat?
    Mana lebih baik antara 36 dengan 20?
    Siapa yang mula-mula mengerjakan 20 rakaat?
    Apakah bidaah melebihkan jumlah rakaat?
    Jika benar, apa jenis bidaahnya?
    Mengapa banyak juga yang mengerjakan 8 rakaat hari ini?
    Apa kepentingan tazkirah tarawih?
    Mengapa Rasulullah tidak berjemaah tarawih di masjid?

    Ikuti kuliahnya di
    http://ribuanceramah.blogspot.com/2009/08/abu-zulfiqar-permasalahan-solat-tarawih.html

    Wednesday, January 28, 2009

    Solat Jenazah Tanpa Wudhuk?

    Jumaat lepas saya tunaikan tanggungjawab menyampaikan kuliah maghrib mingguan di sebuah surau sebagaimana biasa. Kuliah saya di surau tersebut satu-satunya pengajian menyentuh fiqh. Surau dan masjid lain, biasanya membicarakan kitab hadis atau aqidah. Itupun atas permintaan Jawatankuasa surau itu sendiri. Berbezanya kuliah saya di surau tersebut, jamaah surau sentiasa kemukakan soalan-soalan fiqh berkaitan tajuk yang dibincangkan. Kekadang mencabar minda saya yang masih muda dengan ilmu fiqh ini.

    Kitab yang saya gunakan ialah Terjemahan Fiqh Manhaj Mazhab Syafie karangan Dr Mustafa Bugho, Mustafa Khin dan Dr Ali Syarbaji. Bagusnya kitab ini kerana ia disertakan dengan dalil2 qur’an dan hadis. Waaubagaimanapun, saya sentiasa terpaksa mengulangkaji dengan menyemak kitab2 yg lebih tebal dan detail seperti majmuk syarah muhazzab, sabila muhtadin, furu’ masa’il, fathul mu’in untuk berhadapan soalan2 yg bakal diterima waktu berkuliah.

    Jadi, Jumaat lepas, saya menyambung kuliah yang masih berlegar dalam bab mandi yang diwajibkan. Tiba pada bab mandi kerana berlaku kematian, saya mengingatkan jemaah surau bahawa akan ada satu bab khusus membincangkan tentang jenazah pada masa akan datang, dengan hasrat ahli jamaah tak payahlah tanya terlalu detail dalam bab itu.

    Tapi memandangkan sikap ahli jamaah surau yang suka bertanya menyebabkan saya tidak mampu menyekat pertanyaan2 mereka. Antara soalan yang ditanya ialah;

    1. Ada orang kata selepas memandikan jenazah, tak boleh lagi sentuh kulit jenazah itu takut batal wudhu’, betulkah?

    Jawapannya: Yang batal wudhu’ ialah orang yang hidup, bukannya orang yang sudah mati. Itupun orang yang tertentu sahaja. Kalau anak, adik beradik, ibu bapanya dan orang2 yang tidak batal wudhu’nya jika bersentuh kulit ketika hidup. Adapun isteri dan ajnabi yang berlainan jantina, sudah tentu batal wudhu’ orang yang menyentuh.

    2.Ada ustaz yang kata solat jenazah tak wajib ada wudhu’. betulkah?

    Jawapannya: Tidak betul. Setakat yang saya tahu, tidak sah solat apa sekalipun tanpa wudhu’. Tak tahulah ulama’ mana yang dia ambil pendapat itu. Kena tengok kitab dahulu…

    Ada beberapa soalan lagi yang saya lupa. Yang menarik ialah soalan kedua. Saya teringat ada seorang Ustaz muda yang sedang meningkat naik namanya, sentiasa dijemput menyampaikan ceramah2. Asalnya dari Besut. Pernah saya tonton secara kebetulan berada di sebuah kedai makan yang memasang vcd ceramah ustaz yang dikenali sebagai Ustaz Budak dari Besut (bukan Ustaz Budak dari Kelantan). Dalam pada beliau sampaikan ceramah, beliau ada menyebut bahawa solat jenazah tak payah ada wudhu’. Sudah menjadi lumrah dalam diri saya apabila ada masalah dalam agama yang saya sendiri musykil, saya akan rujuk kitab2 untuk mencari jawapannya.

    Jawapan yang saya temui dalam Majmuk syarah muhazzab jilid 5, mukasurat 222 hingga 223 karangan Imam Nawawi rahimahullah;

    “Telah sepakat nas-nas Syafie dan ashab(nya) bahawasanya disyaratkan bagi sahnya solat jenazah akan suci dari hadas, dan suci dari najis pada badan, pakaian, tempat, dan (wajib) tutup aurat dan menghadap kiblat …”(m/s 222)

    Dan di sisi mazhab2 ulama’, Imam Nawawi menyebutkan ;

    “Telah kami sebut bahawa dalam mazhab kami, solat jenazah tidak sah tanpa taharah, dan maknanya sekiranya boleh berwudhu’, tidak sah (solat jenazah) tanpa wudhu’. Sekiranya tiada air, digantikan dengan tayammum. Dan tidak sah tayammum dalam keadaan ada air walaupun sekiranya takut luput waktu sekalipun. Inilah pendapat Malik(bin Anas), Ahmad(bin Hanbal), Abu Tsaur, dan Ibnul Munzir. Dan Imam Abu Hanifah berkata harus tayammum dalam keadaan ada air walaupun takut luput waktu sekiranya sibuk berwudhu’(kerana panjang masa ambil wudhu’). Dan (pendapat Abu Hanifah) diceritakan juga oleh Ibnul Munzir daripada Atta’, Salim, Az Zuhri, Ikrimah, An Nakha’ie, Saad bin Ibrahim, Yahya Al Ansari, Rabi’ah Al Laith, As Tsauri, al Auza’ie, Ishaq, Ashabur Ra’yi(Ulama2 Hanafiah), dan satu riwayat dari Imam Ahmad. Dan berkata As Sya’bi, Muhammad bin Jarir at Tabari dan puak Syiah bahawa HARUS SOLAT JENAZAH TANPA TAHARAH walaupun dalam keadaan mampu untuk berwudhu’ dan bertayammum kerana ianya(solat jenazah) adalah doa. Berkata tuan kitab al Hawi dan lainnya,”Inilah (pendapat)yang dikatakan oleh As Sya’bi sebagai PENDAPAT YANG BERCANGGAH DENGAN IJMA’, MAKA JANGAN MENILIK KEPADANYA.” (M/S 223).

    Cukuplah setakat itu sahaja sebagai bukti bahawa BERSUCI adalah syarat sah solat jenazah. Imam Nawawi berhujjah lagi selepas itu dengan membawa dalil Qur’an dan hadis yang menunjukkan bahawa solat jenazah memang dipanggil solat, bukan setakat do’a yang menjadi hujjah Syiah dan beberapa ulama’ yang sealiran dengan mereka.

    PESANAN BUAT USTAZ PENGKULIAH

    Sepatutnya kita sebagai ustaz yang mengajar orang awam harus menginsafi bahawa betapa besarnya tanggungjawab kita dalam menyampaikan ilmu yang benar. Jangan pakai hentam semberono sahaja tanpa menyebutkan siapakah yang berpendapat begitu. Ia akan ditanggapi oleh orang awam seolah-olah itulah pegangan kita ahli sunnah wal jamaah. Lebih-lebih lagi dalam masyarakat Malaysia yang masih lagi merasakan mereka mengikuti fiqh Mazhab Syafie. Ingat!! Orang awam jadi sesat kerana guru agamanya sesat!!

    YA ALLAH, JAUHIKANLAH AKU DARIPADA TERJEBAK DALAM MENFATWAKAN MASALAH YANG PELIK-PELIK…AMIN.

    sumber

    Sunday, November 23, 2008

    Qada' Sembahyang

    SOALAN: Saya dah lama meninggalkan solat dan tidak pernah mengqadakannya kerana dikatakan bidaah sebab Nabi tidak pernah melakukannya. Tetapi akhir-

    akhir ini saya diberitahu bahawa setiap solat yang kita tinggal sama ada sengaja atau tidak, wajib diqada.

    – Arman, Merlimau, Melaka.

    JAWAPAN: Pendapat yang mengatakan tidak perlu qada itu datang daripada segelintir ulama sahaja tetapi yang mengatakan wajib qada solat yang sengaja ditinggalkan adalah pendapat kebanyakan ulama, termasuk Imam kita Syafii ra.

    Ini kerana dalam agama, tidak ada hukum yang membolehkan solat ditinggalkan dengan sengaja. Yang ada ialah hukum solat yang tertinggal tanpa sengaja seperti tertidur atau terlupa, maka bila terjaga dan teringat hendaklah ditunaikan. Persoalannya ialah solat yang sengaja ditinggalkan. Rasulullah tidak pernah meninggalkan solatnya dengan sengaja, sebab itu Baginda tidak pernah melakukan qada solatnya kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah hidupnya. Tetapi kita sekarang selalu melakukannya dan Rasulullah apabila ditanya mengenai amal yang ditinggalkan dan tidak sempat dilakukan oleh seseorang itu maka sabdanya bermaksud “hutang Allah itu lebih berhak untuk dibayar”. Jadi dapatlah kita fahami bahawa apabila sesuatu kewajipan itu sengaja ditinggalkan, maka tugas yang pasti ditunaikannya bukan satu lagi (membayar kewajipan tersebut) tetapi juga perlu bertaubat dan menanggung dosa sengaja meninggalkan kewajipan tersebut, sedangkan mereka yang tidak sengaja tadi, satu sahaja tugasnya iaitu membayar amalan fardu yang tertinggal tadi dan tidak ada dosanya, kerana tanpa disengajakan. Wallahualam.

    SUMBER

    Friday, November 7, 2008

    Jumlah Rakaat Terawih

    Solat Tarawih adalah termasuk solat sunnat muakkad berdasarkan hadith-hadith yang telah disebutkan tadi. Bilangan raka'atnya berjumlah 20 raka'at tidak termasuk solat witir. Jika dimasukkan solat witir maka manjadi 23 raka'at. Demikian berdasarkan pada sunnah yang telah berlaku dan berdasarkan pada sunnah umat Islam, sama ada daripada golongan ulama Salaf maupun Khalaf sejak zaman Khalifah Umar Ibnu al- Khattab r.a. sehinggalah kezaman kita sekarang.
    Tidak seorang pun antara Imam-imam Mazhab yang empat, ahli fekah yang mujtahid memperselisihkannya kecuali ada sati riwayat saja yang menerangkan iaitu Imam Darul Hijrah (Imam Malik bin Anas) yang menambah sehingga 30 raka'at.
    Demikian pula dalam riwayat yang kedua dari Imam Malik yang berdasarkan pada amalam penduduk Madinah bersumberkan dari Nafi' yang berikut: "Saya menjumpai umat Islam (Madinah) mengerjakan solat Tarawih 39 raka'at bersama witirnya tiga raka'at."
    Akan tetapi menurut riwayat yang masyhur daripada Imam Malik dan bahkan riwayat yang amshyur ini sesuai dengan pendapat jumhur ulama daripada kalangan Syafi'i, Hambali dan Hanafi mengatakan bahawa solat Tarawih itu berjumlah 20 raka'at. Oleh kerana itu, berdasarkan pada riwayat yang mashyur ini, maka telah menjadi kesepekatan antara Imam-imam mazhab yang empat. Semoga Allah s.w.t. melindungi orang-orang Mukmin daripada permusuhan yang membinasakan.


    Dalil-dalil Para Mujtahidin


    ·Para Imam Mujtahid menetapkan bahawa solat Tarawih berjumlah 20 raka'at berdasarkan hadith riwayat al-Baihaqi dan riwayat lain dengan sanad yang sorih lagi sohih daripada Saib bin Ziyad, yakni seorang sahabat yang terkenal. Saib berkata: "Pada zaman Umar ibnu al-Khattab r.a. umat Islam mengerjakan solat Tarawih dalam bulan Ramadhan sebanyak 20 raka'at."


    ·Mereka berhujah juga dengan hadith riwayat Imam Malik dalam kitab Al-Muwatta' dan riwayat al-Baihaqi daripada Yazid bin Rauman. Yazid bin Rauman berkata: "Pada zaman Umar ibnu al-Khattab r.a. orang ramai mengerjakan solat Tarawih sebanyak 23 raka'at." Yakni, 20 raka'at Tarawih dan 3 Raka'at Witir.



    ·Mereka juga berhujah dengan hadith yang diriwayatkan daripada al-Hasan yang mengatakan bahawa Umar r.a. telah menghimpun orang ramai untuk mengerjakan solat dibelakang Ubai bin Ka'ab sebagai Imamnya dengan mengerjakan solat Tarawih 20 raka'at. Ubai bin Ka'ab tidak membaca qunut bersama mereka kecuali pada malam separuh kedua daripada bulan Ramadhan. Apabila masuk separuh ketiga yang akhir daripada bulan Ramadhan, Ubai bin Ka'ab menghilang, yakni dia mengerjakan solat dirumahnya sendiri, lalu jama'ah pun berkata: "Ubai telah lari."




    Ibnu Qudamah menceritakan didalam kitab Al-Mughni bahawa telah terjadi ijma atas bilangan solat Tarawih iaitu 20 raka'at. Dan diriwayatkan daripada Imam Malik bahawa bilangan raka'at Tarawih itu 36 raka'at. Dia berkata: "Solat pada malam-malam bulan Ramadhan adalah 20 raka'at. Ia adalah sunnat muakkad dan orang yang mula-mula mengerjakannya adalah Nabi Muhammad s.a.w. Adapun nama Tarawih itu dinisbahkan kepada Umar ibnu al-Khattab r.a. Ini kerana Umar menghimpun umat Islam untuk mengerjakan solat Tarawih secara jemaah dibelakang Ubai bin Ka'ab yang bertindak sebagai imam."


    Telah diriwayatkan oleh para ahli hadith bahawa pada suatu malam dalam bulan Ramadhan, Umar ibnu al-Khattab keluar kemasjid, kebetulan ketika itu umat Islam solat dimasjid sendiri-sendiri. Lalu Umar berkata: "Sebaiknya aku himpunkan mereka dibawah pimpinan seorang ahli qiraat." Maka beliau pun mengumpulkan umat Islam dan solat dibelakang Ubai bin Ka'ab. Kemudian pada malam berikutnya dia keluar lagi dan menyaksikan orang ramai mengerjakan solat dibelakang imam. Maka berkatalah Umar ibnu al-Khattab: "Sebaik-baik bida'ah adalah ini."


    Seterusnya Ibnu Qudamah menjelaskan bahawa yang dipilih oleh Imam Ahmad bin Hanbal adalah 20 raka'at. Demikian juga 20 raka'at ini dipilih oleh al-Thauri, Abu Hanifah dan al-Syafi'i, sedangkan Imam Malik memilih 36 raka'at dengan menyandarkan pada amalan penduduk Madinah dan bagi kami, sesungguhnya Umar ibnu al-Khattab ketika mengumpulkan orang ramai mengerjakan solat dibelakang Ubai bin Ka'ab sebanyak 20 raka'at.


    Imam Malik meriwayatkan dengan sanad dari Yazid bin Abdurrahman: "Umat Islam pada zaman Umar mengerjakan qiyamullail sebanyak 23 raka'at."


    Diriwayatkan daripada Ali k.w. bahawa beliau telah menyuruh seseorang untuk menjadi imam Tarawih pada bulan Ramadhan dan mengerjakan 20 raka'at. Ini adalah seperti ijma'. Seterusnya Ibnu Qudamah berkata: "Seandainya seluruh penduduk Madinah mengerjakan 36 raka'at, nescaya bilangan raka'at yang dikerjakan oleh Umar ibnu al-Khattab dan telah diijma'kan oleh para sahabat yang lain ketika itu lebih utama untuk diikuti. Kerana sesungguhnya penduduk Madinah mengerjakan bilangan raka'at sedemikian itu hanya kerana mereka ingin menyemai amalan penduduk Makkah bertawaf tujuh kali setiap selesai dua kali salam (empat raka'at). Oleh sebab itu penduduk Madinah menggantikan tujuh kali tawaf tadi dengan empat raka'at. Namun demikian, apa yang telah ditetapkan oleh para sabahat Nabi Muhammad s.a.w. adalah lebih utama untuk diikuti."


    Diriwayatjan juga Ali k.w. mengelilingi masjid-masjid pada bulan Ramadhan dengan membawa lampu sambil mengucapkan kata-kata yang bermaksud: "Semoga Allah s.w.t. menerangi kubur Umar sebagaimana dia telah menerangi masjid-masjid kami."



    Berhubung dengan ayat-ayat yang dibaca dalam solat Tarawih, Imam Ahmad berkata: "Seseorang yang menjadi imam solat Tarawih hendaklah membaca ayat-ayat yang dirasakan dapat meringankan makmumnya dan bukan yang memberat-beratkan mereka. Jadi bacaan ayat-ayatnya adalah yang meringankan bagi makmumnya."Al-Qadhi berpendapat bahawa bacaan ayat suci al-Quran itu sunnat khatam dalam satu bulan agar dapat didengar oleh semua jama'ah dan hendaknya jangan menambah daripada satu kali khatam itu kerana khuatir memberatkan kepada makmum yang solat dibelakang.


    Kami berpendapat bahawa yang masyhur dalam Mazhab Maliki adalah 20 raka'at berdasarkan bahawa inilah imam-imam mujtahid berijma atas keutamaan mengerjakan 20 raka'at.


    Syeikh Al-Dardir dalam kitabnya 'Aqrabul Masalik'ala Mazhab al-Imam Malik' Juzuk 1:552, beliau menulis: "bahawa solat Tarawih itu 20 raka'at dilaksanakn selepas solat Isyak dan salam setiap dua raka'at selain witir. Didalam Tarawih itu disunnatkan dikerjakan dirumah jika masjid telah penuh dengan jama'ah yang mendirikan solat Tarawih. Akan tetapi jika amsjid kosong daripada solat Tarawih maka yang lebih utama adalah masjid dengan berjama'ah."


    Begitu juga Imam Syafi'i dan Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa solat Tarawih itu berjumlah 20 raka'at berdasarkan ijma para sahabat pada zaman Khalifah Umar al-Faruq. Imam Ibnu Abdil Bar menerangkan: "Sungguh benar adanya daripada Ubai bin Ka'ab bahawa beliau solat Tarawih dengan 20 raka'at bersama umat Islam tanpa ada perselisihan antara para sahabat."


    Didalam kitab 'Al-Mukhtasor' yang disusun oleh Imam Al-Muzani disebutkan bahawa Imam Syafi'i berkata: Aku melihat orang ramai diMadinah mengerjakan solat Tarawih 39 raka'at tetapi yang lebih aku sukai adalah yang 20 raka'at kerana ia yang diriwayatkan daripada Umar. Demikian juga diMakkah, umat Islam mengerjakan solat Tarawih 20 raka'at dan mengerjakan solat Witir 3 raka'at."
    Penjelasan Imam Al-Turmuzi


    Imam al-Turmuzi didalam kitab hadithnya yang bertajuk 'Sunan Al-Turmuzi' menerangkan : "Majoriti ahli ilmu mengerjakan solat Tarawih berdasarkan kepada riwayat daripada Umar, Ali dan sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain, iaitu 20 raka'at. Bilangan ini juga yang dipegangi oleh Imam Sufyan al-Thauri, Ibnu al-mubarak dan al-Syafi'i. Syafi'i berkata: "Aku menjumpai umat Islam dinegeri aku Makkah mengerjakan solat Tarawih 20 raka'at."


    Ibnu Rusyd dalam kitab 'Bidayah al-Mujtahid' berkata: "Imam Malik dalam satu riwayat mengatakan Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafi'i dan Imam Ahmad memilih 20 raka'at selain witir."
    Imam Nawawi menerangkan: "Mazhab kami menetapkan bahawa solat Tarawih berjumlah 20 raka'at dengan sepuluh salam selain witir. Ini terdiri daripada lima "tarwihat" (istirahat) dan satu Tarawih terdiri daripada empat raka'at dengan terdiri dua salam."


    Demikian juga dengan pendapat Imam Abu Hanifah serta murid-muridnya, dan juga Imam Ahmad, Abu Daqud dan juga Qadhi 'Iyadh yang diambilnya daripada jumhul ulama. Imam Malik sendiri berkata: "Solat Tarawih terdiri daripada 9 tarwihat (istirahat) yang jumlahnya 36 raka'at selain witir."


    Seterusnya Imam Nawawi berkata: "Hujah mazhab kami berdasarkan keterangan yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dengan sanadnya yang sohih daripada al-Saib bin Yazid al-Sahabi r.a., beliau berkata: 'Umat I slam pada zaman Khalifah Umar ibnu al-Khattab mengerjakan solat Tarawih 20 raka'at dalam bulan Ramadhan, sedangkan pada zaman Khalifah Usman mereka mengerjakannya 200 (dua ratus) raka'at sehingga mereka bersandar pada tongkat-tongkat mereka kerana terlalu letihnya berdiri."


    Yazid bin Rauman berkata: " Umat Islam pada zaman Khalifah Umar ibnu al-Khattab r.a. mengerjakan Qiyam Ramadhan dengan solat 23 raka'at (Tarawih dan Witir)." (Riwayat Imam Malik dalam 'Al-Muwatta')


    Akan tetapi al-Baihaqi mengatakan bahwa hadith tersebut diatas adalah musral, sebab Yazid bin Rauman tidak bertemu dengan Umar ibnu al-Khattab. Seterusnya al-Baihaqi mengatakan bahawa dengan berpandukan kepada hadith-hadith yang diterangkan tadi, umat Islam mengerjakan solat Tarawih 20 raka'at dan Witir tiga raka'at. Al-Baihaqi meriwayatkan juga daripada Ali k.w. bahawa solat Tarawih 20 raka'at.


    Imam Ibnu Taimiyah menerangkan dalam kitab 'Al-Fatawa' : "Benar bahawa Ubai bin Ka'ab mengerjakan solat pada bulan Ramadhan bersama umat Islam sebanyak 20 raka'at dan Witir tiga raka'at. Jadi para ulama berpendapat bahawa yang demikian itu ditengah-tengah para sahabat Muhajirin dan para sahabat Ansar dan tidak ada seorang pun yang mengingkarinya (menentangnya)."


    Didalam kitab "majmu'ah al-Fatawa al-Najdiyah' disebut bahawa Sheikh Abdullah bin Abdul Wahhab memberikan jawapan tentang bilangan raka'at Tarawih: "Bahawa Umar r.a. ketika mengumpulkan umat Islam yang diimamkan oleh Ubai bin Ka'ab, bilangan raka'atnya adalah 20 raka'at."


    Demikianlah keterangan-keterangan daripada para ulama pimpinan Islam sama ada daripada golongan Salaf maupun Khalaf yang tidak dapat diragukan lagi kebenarannya. Jelaslah bahawa solat Tarawih itu 20 raka'at yang dikerjakan oleh Umat Islam sekarang ini adalah amalan yang benar, yang tidak dapat disangkal lagi.


    Perlu diketahui bahawa 20 raka'at inilah yang dikuatkan oleh amalan para sabahat Radiallahu'anhum dan diijmakan oleh imam-imam mujtadij iaitu imam mazhab yang empat. Mereka semua adalah lambang hidayah dan merupakan pancaran ilmu setiap masa dan setiap zaman. Bilangan 20 rakat'at inilah yang telah diperintahkan oleh Umar al-Faruq r.a. yang mana Allah s.w.t. telah menjadikan kebenaran pada lisan dan didalam hatinya sebagaimana yang diterangkan didalam hadith-hadith yang sahih.

    sumber

    Cara Percepatkan Solat Terawih

    SOALAN:
    Assalamu'alikum, Habib.
    Saya telah membaca cukup banyak pertanyan tentang sholah tarawih. Saya juga baru mengetahui di forum ini bahwa sholah tarawih dengan cepat merupakan sunnah Nabi kita. Yang ingin saya tanyakan adalah bagaimanakah cara kita mempercepat sholat tarawih kita? Apakah dengan menyingkat bacaan-bacaan di setiap gerakan sholat? Kalau memang iya bacaan apa saja yang bisa disingkat dan bacaan apa saja yang tidak bisa disingkat? Karena saya sering mengalami pada tahiyyat akhir belum sempat membaca "innaka hamidummajid" imam sudah membaca salam.
    Terima kasih, Habib atas segala bimbingannya.
    Jazakallah.
    Wassalamu'alaikum

    HABIB MUNZIR:
    Alaikumsalam warahmatullah wabarakatuh,

    Rahmat dan kelembutan Allah swt semoga selalu menerbitkan kebahagiaan pd hari hari anda,

    Saudaraku yg kumuliakan,
    dalam rukuk dan sujud, kita bisa menyingkatnya menjadi satu kali subhanallah saja atau 3X subhanallah, walau bukan subhana rabbiyal a'la wabihamdih 3X / subhana rabbiyal adhimi wabihamdih 3X.

    Sesingkat2nya rukuk dan sujud adalah kadar tumaninah (tumaninah = subhanallah 1X), yaitu sekitar satu detik, itulah minimalnya, jika kurang dari itu maka batal shalatnya.

    Mengenai tahiyyat anda bisa menyempurnakannya karena imam masih akan membaca doa antara tarawih, dan akan membaca fatihah, kita sempat menyelesaikannya insya Allah, demikian yg saya lakukan, saya tetap melengkapi tahiyyat akhir, jika tidak sempat maka ada pendapat boleh disingkat hanya sampai shalawat pada Nabi dan keluarga Nabi saw.

    Demikian saudaraku yg kumuliakan, semoga sukses dg segala cita cita, semoga dalam kebahagiaan selalu,

    Wallahu a'lam


    sumber

    Saturday, October 18, 2008

    Tak Sah Jemaah Jika Saf Putus

    Tidak sah jemaah jika saf putus

    SOALAN:
    SAYA ingin mendapatkan penjelasan berkenaan peraturan susunan saf yang betul semasa solat jemaah seperti solat Jumaat. Saya perhatikan walaupun masih ada ruang di dalam dewan masjid atau kawasan bangunan masjid, ramai yang lebih suka berada di luar masjid dan kawasan bangunan masjid seperti di tepi longkang, jalan, pagar tempat letak kereta dan lain-lain yang jauh dan terputus dari saf dalam masjid.

    Bukan sahaja saf demikian tidak bersambungan dari saf-saf lain tetapi juga syak dan tidak pasti kebersihannya tempat-tempat demikian. Juga adakah pahala berjemaah diperoleh dengan keadaan saf sedemikian?

    JAWAPAN:

    Persoalan menjaga saf dan merapatkan saf di dalam solat adalah merupakan suatu permasalahan yang kian terabai.

    Ramai dari kalangan masyarakat hari ini, mengambil mudah dalam hal ini sebagaimana yang banyak berlaku di masjid-masjid dan surau-surau sekeliling kita.

    Saf-saf solat mereka kelihatan renggang, tidak sekata. Lebih mengecewakan adalah apabila para imam sendiri tidak ambil peduli berkenaan hal ini. Sedangkan jika dilihat kepada hadis-hadis Rasulullah SAW dan athar para sahabat, dalam persoalan merapatkan saf ini, sungguh betapa dititik beratkan kesempurnaannya, dan malah jika gagal menyempurnakannya, ada pula hadis-hadis yang berbentuk ancaman.

    seterusnya

    Sunday, September 7, 2008

    Musafir Boleh Tidak Solat Jumaat

    SOALAN: Apakah orang yang musafir dibolehkan meninggalkan solat Jumaat?

    – Awang Lah Hamat, Pulau Kerbau,
    Sungai Pinang, Kelantan.

    JAWAPAN: Orang yang musafir diberi beberapa kelonggaran (keuzuran) seperti harus tidak berpuasa dan menggantikannya pada hari-hari lain. Bagaimanapun Allah mengatakan kamu lakukan juga puasa itu adalah lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui (Surah al-Baqarah ayat 184). Kemudian sabda Nabi bermaksud: Kelebihan satu hari puasa Ramadan itu tidak akan sama dengan semua hari puasa lain.

    Mereka juga tidak wajib melaksanakan solat Jumaat dan sebagainya tetapi kelebihan solat Jumaat itu amatlah besar. Oleh itu janganlah ditinggalkan tanpa sebab yang benar-benar menyusahkan yang boleh mengganggu perjalanan tersebut. Allah SWT mengasihi hamba-Nya yang menerima kelonggaran yang ditawarkan Tuhannya sama seperti melakukan arahan-Nya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Mereka yang meninggalkan tiga kali Jumaat akan disenaraikan dalam kumpulan munafikin. (Maksud hadis masuhur). Oleh itu hendaklah dilakukan solat Jumaat melainkan kerana kesuntukan dan benar-benar kesusahan. Apabila ditinggalkan solat Jumaat, gantilah dengan solat zuhur. Wallahualam.

    sumber

    Wednesday, September 3, 2008

    Menyapu Muka Selepas Solat

    InsyaAllah pada kali ini scene-r cuba berkongsi dengan sidang pembaca berhubung persoalan yang sering ditanyakan iaitu menyapu muka sambil berdoa sejurus selepas memberi salam selesai solat.

    Saya mengingatkan kepada pembaca supaya jangan mudah melatah apa lagi melenting seterusnya membidaah dan menghalang amalan yang dilakukan oleh orang ramai. Walaupun sesuatu amalan itu mempunyai sandaran daripada hadis yang dhaif ,amalan tersebut masih lagi boleh diguna pakai untuk fadhail a’mal. Jika anda tidak mahu melakukan jangan pula menghalang. Justeru, mengapa perlu bertikam lidah?

    InsyaAllah saya bawakan kepada anda apa kalam ulama tentang perkara ini. Saya mulakan kalamdaripada Syaikh Syed Abdul Rahman bin Muhammad Husain bin Umar Ba’alawi di dalam himpunan kitab Bughyatul Mustarsyidin muka surah 49


    (Faedah) Ibn Mansur telah meriwayatkan bahawa apabila Baginda s.a.w selesai solat.Baginda s.a.w akan menyapu dahinya (yang mulia) dengan telapak tangan kanannya, kemudian melalukannya ke wajah Baginda s.a.w sehingga sampai ke janggut Baginda s.a.w yang mulia seraya melafazkan :

    بسم الله الذي لا إله إلا هو عالم الغيب و الشهادة الرحمن الرحيم اللهم أذهب عني الهم و الحزن و الغم اللهم بحمدك انصرفت و بذنبي اعترفت أعوذ بك من شر ما اقترفت و أعوذ بك من جهد بلاء الدنيا و عذاب الآخرة


    Dengan nama Allah yang tiada tuhan (yang layak disembah) selainNya, (Allah) yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan perkara yang nyata.(Allah)Maha Pengasih ,Maha Penyayang. Ya Allah, hilangkanlah daripadaku segala kerisauan (kegundahan, keresahan), kesedihan dan kekesalan.Ya Allah, dengan pujianMu aku berpaling daripada dosa yang kulakukan. Aku tahu dosa yang aku lakukan (Aku mengaku). Aku berlindung dengan Mu ( Ya Allah) daripada segala kejahatan yang aku lakukan. Aku juga berlindung denganMu (Ya Allah) daripada kesukaran bala’ dunia dan azab akhirat.


    Seterusnya saya nukilkan kalam daripada Syaikh Daud Fathani di dalam kitab Munyatul Musolli muka surat 18


    Adapun sunat yang dikerjakan kemudian daripada sembahyang maka adalah Nabi s.a.w. apabila selesai daripada sembahyang menyapu dengan tangannya di atas kepalanya dan dibacanya:

    بسم الله الذي لا إله إلا هو الرحمن الرحيم. اللهم اذهب عني الهم و الحزن

    Dengan nama Allah yang tiada tuhan selain Dia yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Ya Allah, hilangkanlah daripadaku segala kerisauan dan kesedihan.

    Sidang pembaca sekalian,
    Amalan menyapu muka sambil berdoa setelah solat merupakan amalan para ulama kita terdahulu. Mereka adalah ulama yang tahu hukum.Ulama bagai bintang menjadi penunjuk arah panduan orang ramai. Alangkah indah lafaz doa memohon agar segala belenggu kegusaran yang kita lalui dihilangkan, mengakui segala kesilapan dan berazam tidak mengulanginya, memohon perlindungan daripada Allah s.w.t daripada segala kejahatan, kesukaran bala’ dunia dan akhirat.


    Bagi anda yang tidak mahu melakukan, itu pilihan anda. Anda tahu apa yang dinamakan fadhail a’mal. Kalau anda tidak mahu beramal dengan fadhail a’mal paling tidak beradablah dengan ulama.
    Baiklah cukup sekadar itu.


    Wassalam.


    sumber