Tuesday, August 23, 2011

Keutamaan berzakat dalam Ramadan

Soalan
APAKAH zakat yang paling utama dalam bulan Ramadan? Adakah menunaikan zakat fitrah lebih utama ataupun zakat harta? Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan

Alhamdulillah, kita masih dipanjangkan usia sehingga dapat lagi bertemu dengan tetamu istimewa, iaitu Ramadan al-Mubarak ini. Mudah-mudahan kita dapat mentransformasi diri menjadi manusia bertakwa setelah menjalani kursus fizikal dan disiplin rohani selama sebulan penuh di madrasah Ramadan.

Menyentuh mengenai ibadah zakat fitrah dan zakat harta, maka Ramadan memang waktunya bagi umat Islam menunaikan zakat fitrah.

Ibnu Umar r.a pernah meriwayatkan: Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadan kepada setiap orang Muslim, sama ada dia merdeka atau hamba, lelaki mahu pun perempuan. Iaitu (jumlahnya) segantang kurma atau gandum. (riwayat Imam Muslim)

Namun begitu, ulama khilaf bilakah waktu yang paling utama atau menjadi wajib menunaikannya. Sama ada di awal Ramadan, pertengahan mahu pun sejurus sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Maka dalam hal ini, fuqaha telah membahagikan waktu pembayaran zakat fitrah kepada empat segmen. Iaitu harus yang bermula dari awal Ramadan, menjadi wajib sebelum menunaikan solat Aidilfitri, makruh seandainya dikeluarkan selepas solat dan haram selepas terbenam matahari satu Syawal.

Bagi hikmahnya pula, Ibnu Abbas r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah dengan tujuan untuk menyucikan orang yang yang berpuasa daripada perkara buruk yang tidak berfaedah dan juga sebagai bantuan kepada fakir dan miskin.” (riwayat Abu Daud)

Oleh itu, bagaimana pula statusnya zakat harta? Jika Ramadan bulan khusus menunaikan fitrah, maka apakah zakat harta lebih baik ditunaikan pada bulan-bulan yang lain?

Maka, demi menjelaskan hal ini, sukacita dinyatakan bahawa zakat harta itu hukum asalnya tertakluk kepada haul. Iaitu tempoh matang terhadap pemilikan harta. Jika haulnya pada bulan Zulhijjah, maka saat itulah baharu datangnya waktu wajib mengeluarkannya sebagai zakat dan inilah waktu paling utama. Selama belum cukup masanya, maka ia dianggap harus mendahulukan zakatnya. Samalah kesnya jika kita mahu menunaikan zakat fitrah pada awal Ramadan, ia dianggap waktu yang harus.

Pun begitu, kita memang dianjurkan agar mengambil kesempatan Ramadan sebagai medan melipatgandakan sedekah, termasuklah zakat. Ini sesuai dengan tindakan nabi SAW sendiri yang memperbanyakkan sedekahnya pada bulan Ramadan. Bahkan nabi menyatakan: “Sebaik-baik sedekah itu adalah pada bulan Ramadan.” (riwayat at-Termizi)

Ramadan memang bulan keberkatan yang menjanjikan pahala berkali ganda dalam segala jenis amalan. Ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah bahawa nabi pernah menyatakan dalam sebuah hadis yang panjang, iaitu setiap amalan sunat diganjari pahala wajib dan setiap satu amalan wajib diganjari 70 kali ganda pahalanya jika dilakukan di dalam bulan Ramadan. Ulama hadis ada yang menyatakan hadis ini daif. Namun ia masih boleh dijadikan motivasi dalam beramal.

Maka, kita umat Islam wajar merenggut faedah bersedekah pada bulan Ramadan dengan melebarkannya kepada zakat harta, yakni tidak sekadar zakat fitrah semata.

Bayangkan, jika kita menunaikan zakat pendapatan RM1,000 pada bulan Ramadan, maka di sisi Allah SWT kita sebenarnya telah mendapat pahala berzakat RM70,000!

Untuk itu, sungguh pun haul kita mungkin belum sampai pada Ramadan ini, namun kita boleh sahaja menunaikannya lebih awal demi merebut gandaan pahala ini.

Bahkan daripada aspek fiqh zakat, proses mengawalkan haul zakat ini adalah diharuskan oleh Rasulullah SAW, justeru memang sudah pernah berlaku pada zaman baginda.

Saiyidina Ali kwj menyatakan, Abbas bin Abdul Mutallib dikhabarkan pernah meminta izin daripada Nabi Muhammad SAW untuk mempercepatkan haul zakatnya, lalu Nabi Muhammad SAW telah memberikan keizinan kepadanya. (Mafhum hadis riwayat Abu Daud)

Kesimpulannya, kita hendaklah merebut segala ganjaran pahala yang begitu besar yang telah pun disediakan oleh Allah SWT dalam bulan Ramadan dengan melakukan pelbagai sedekah sunat, seperti menaja majlis berbuka puasa, juga menunaikan sedekah wajib iaitu membayar zakat fitrah dan tidak sesekali melupakan zakat harta di sisinya.

Mudah-mudahan, puasa kita diterima Allah dan zakat kita juga digandakan pahala yang melimpah-ruah. Wallahua’lam.

Sumber

Sunday, August 7, 2011

Bagaimana Hendak Istiqamah Amal?

SOALAN:

Salam,ustaz. Bagaiman nak istiqamah dalam amalan kita? Kerana saya selalu payah nak istiqamah, dari dulu lagi, Kenapa? Adakah sebab dosa-dosa yang saya lakukan?

JAWAPAN:

Wlksm PD. Antara caranya ... selalu baca hadith-hadith tentang kelebihan/fadhilat beramal. Ia dapat menaikkan keghairahan kita. Tiap-tiap hari mesti baca sepotong dua hadith tentang kelebihan beramal. Kedua... kena ada berkawan. Jika ada jemaah-jemaah yang berhampiran tempat tuan, rajin-rajin le ikut aktiviti mreka. Dengan berjemaah, kita lebih terjaga terutamanya dari segi amal. Yang ketiga, niatkan untuk jadikan diri kita contoh kepada orang lain... sahabat, keluarga, jiran dan sebagainya.

Tuhan MAHA PENGAMPUN. Dosa yang dulu-dulu... kita bertaubat... kira habis. Kecuali dosa sesama manusia, kena selesaikan dengan manusia tu le.

BALASAN:

Masyallah... Allah Allah..terima kasih ustaz. Insyallah saya cuba amalkan apa yang ustaz nasihatkan.


SUMBER

Nabi Isa Lebih Hebat daripada Nabi Muhammad?

Orang ini cuba melebihkan Nabi Isa berbanding Nabi Muhammad saw. Dia meninggalkan komen pada salah satu audio kuliah saya.

TULISANNYA:

“(Ingatlah),ketika malaikat berkata : " Hai Maryam sesungguhnya Allah menggembirakan kamu dengan Kalimat (Firman) yang Allah namanya-Nya Almasih 'Isa Putera Maryam, seorang terkemuka di dunia dan di akhirat dan seorang yang paling dekat dengan Allah.” 3 Ali Imran 45

Cuba anda hayati ayat ini "seorang terkemuka di dunia dan di akhirat dan seorang yang paling dekat dengan Allah"

Isa dekat dengan Allah bukan Muhammad.

JAWAPAN:

Sebaiknya anda sendiri silakan mengulangkaji ayat tersebut. Dalam bahasa asalnya berbunyi : "wa minal muqarrabiin"... yang bermaksud... "dan dari orang-orang yang didekatkan/ dekat (dengan Tuhan)."

Anda jangan mudah terpengaruh dengan pihak-pihak yang tidak berhati jernih yang sengaja memutar-belitkan ayat itu supaya menjadi : "seorang yang PALING DEKAT dengan Allah." Ambillah ilmu daripada orang-orang yang tidak berdusta.


Abu Zulfiqar


sumber

Arkib JULAI 2011

Arkib JANUARI 2010

Arkib NOVEMBER 2009

Arkib OKTOBER 2009

Arkib SEPTEMBER 2009

Basmalah dalam Fatihah

SOALAN:

Tuan Alex (Abu Zulfiqar), saya kira tuan Alex seorang pendakwah yang tidak menyekat @ terhalang untuk menjawab persoalan yang lahir dari pelbagai jenis tahap pemikiran dan saya kira tuan Alex juga seorang pemikir dan pengkaji( persepsi saya menerusi blog tuan).

Saya ada persoalan berkenaan bacaan Bismillah ketika membaca Fatihah dalam solat. Mengapa Imam Maliki menetapkan hukum makruh membaca Bismillah dalam Fatihah ketika solat sedang Imam Syafi'e menetapkan ia sebagai syarat sah. Seperti yang umum tahu, Rasulullah tidak menyukai perkara makruh dan umat yang mahu dekat dgn Rasulullah sudah pasti akan mengambil berat perkara-perkara yg dilakukan supaya ia paling tepat seperti Rasulullah.

Saya tidak kata perkara khilaf ini salah kerana ilmu saya sudah tentu tidak sampai kepadanya. Walaubagaimanapun sekiranya tuan Alex dapat berikan pandangan mahupun dalil daripada kedua imam ini, saya sangat-sangat berterima kasih dan saya mohon maaf jika ia membebankan tuan.

Terima kasih

JAWAPAN :

PANDANGAN MAZHAB SYAFIE

Basmalah ialah salah satu daripada ayat surah al-Fatihah. Membacanya dalam solat berhukum fardhu. Jika gugurkan walau satu huruf, batallah solatnya. Antara sandarannya ialah:

Dari Nuaim al-Mujammir : “Saya solat di belakang Abu Hurairah, maka dibacanya Bismillaahirrahmaanirraahim, lalu dibacanya Ummul Quran, dan ketika sampai kepada waladdhaallin, dia mengucapkan amiin....... Setelah dia memberi salam, dia berkata : “Demi Tuhan yang jiwa saya berada pada tanganNya,, saya ialah orang yang paling mirip solatnya dengan solat Rasulullah." (Nasai, Ibnu Khuziamah, Ibnu Hibban)

Solat Abu Hurairah ialah solat yang paling mirip dengan solat Rasulullah, dan Abu Hurairah membaca Bismillah. Hal ini menunjukkan Rasulullah membaca Bismillah.

“Apabila membaca Al-Fatihah, maka bacalah Bismillaahirrahmaanirrahiim, kerana sesungguhnya ia adalah Ummul Quran dan tujuh pujian yang diulang-ulang, dan Basmalah ialah salah satu daripada ayatnya.” (Daaraquthni)

Dari Ibnu Abbas : “Sesungguhnya Rasulullah membuka pembacaan dalam solatnya dengan bacaan Basmalah.” (Dari kitab Al-Umm karya Imam Syafie)

PANDANGAN MAZHAB HANAFI & HANBALI

Basmalah bukan salah satu ayat Al-Fatihah, tapi sunat membacanya secara perlahan.

PANDANGAN MAZHAB MALIKI

Anas berkata:

“Nabi, Abu Bakar dan Umar memulakan solat dengan membaca Alhamdulillahirabbil ‘alamin.” (Bukhari)

Anas berkata:

“Nabi, Abu Bakar dan Umar memulakan solat dengan membaca Alhamdulillahirabbil ‘alamin, dan mereka tidak membaca Bismillahirrahmanirahim pada awal mahupun pada akhirnya.” (Muslim)

PERTIMBANGAN:

IMAM SYAFIE mengatakan fardhu manakala IMAM MALIK mengatakan makruh berdasarkan sandaran-sandaran yang mereka nilai. Jadilah ia khilaf.

Kata tuan:

“Mengapa Imam Maliki menetapkan hukum makruh membaca Bismillah dalam fatihah ketika solat sedang Imam Syafi'e menetapkan ia sebagai syarat sah. Seperti yang umum tahu, Rasulullah tidak menyukai perkara makruh dan umat yang mahu dekat dgn Rasulullah sudah pasti akan mengambil berat perkara-perkara yg dilakukan supaya ia paling tepat seperti Rasulullah.”

Sebenarnya ADA DUA PERSOALAN di sini. Tuan sebutkan satu sahaja. Kedua-duanya ialah:

1. Rasulullah tidak menyukai perkara makruh. Maka sebaiknya janganlah kita membaca Basmalah kerana membacanya makruh, tapi tidaklah berdosa membacanya dan tidaklah batal solat kerana membacanya. (Namun begitu....)

2. Rasulullah juga tidak menyukai ibadah solat yang tidak sah. Maka semestinyalah kita baca Basmalah kerana jika tidak membacanya, solat kita tidak diterima. Apabila solat tidak sah, kan itu lebih teruk keadaannya berbanding makruh?

Jadi kita seolah-olah ada 2 pilihan, sama ada:

1. Melakukan perkara makruh (ataupun)

2. Solat tidak sah

KATAKANLAH kedua-duanya membawa kerugian, dari segi logiknya, baiklah kita MEMILIH KERUGIAN YANG LEBIH KECIL antara kedua-duanya.

Mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali mengatakan DAPAT PAHALA membacanya.

Mazhab Maliki mengatakan MAKRUH membacanya.

Wallahu’alam.

Abu Zulfiqar



sumber

Amal doa pagi, petang atasi masalah jiwa

Soalan:

MENGAPA orang sekarang lebih banyak yang mengalami gangguan jiwa daripada orang dulu, sedangkan mereka sudah memiliki harta yang banyak. Ada yang mengatakan mereka sudah memiliki segala-galanya, namun jiwa terasa kosong. Boleh ustaz jelaskan?

Jawapan:

Alhamdulillah wassolatuwassalam ‘ala rasulillah waba’d.

Imam Muhammad Mutawalli Asy-Sya’rawi menjelaskan dalam kitab beliau Anta Tas’alu wa Islaamu Yujiibu seperti berikut: “Orang beriman menghadapi tiap persoalan kehidupan dunia dengan memohon pertolongan Allah dan bertawakal kepada-Nya. Apabila ia gagal mencapai apa yang dicita-cita, ia tidak susah hati dan bersedih meskipun ia sedar bahawa kegagalan itu adalah kerana persediaan yang kurang sempurna.

Orang yang tidak beriman bergantung nasib dalam usahanya kepada kesempurnaan persediaan. Apabila gagal, dia gelisah, fikirannya terganggu, hatinya risau, takut yang menyebabkan sakit jiwa dan akhirnya bunuh diri. Keadaan seperti ini banyak kita jumpa di negara maju bukan Islam. Negara seperti ini ramai rakyatnya terkena gangguan jiwa.
Lalu orang pun bertanya mengapakah di negara maju berlaku ramai yang menghidap gangguan jiwa? Bukankah yang sepatutnya kena adalah masyarakat di negara yang sedang berkembang atau negara yang mundur?

Mereka iaitu orang yang mengabdikan diri dengan ilmu pengetahuan dan membuang agama dari diri. Apabila keimanan lenyap dari jiwa manusia, akan lenyaplah ketenangan, ketenteraman, kebahagiaan dan rasa reda.

Apabila jiwa kosong dari iman, lalu ia terjun ke dalam perjuangan hidup untuk memiliki kekuasaan dan ia gagal, maka mudah saja ia terkena gangguan jiwa dan menjadi gila. Seorang Muslim yang tidak memiliki iman yang kuat, mudah terkena penyakit itu. Dalam kesibukannya ia lupa kepada Allah SWT lalu Allah SWT pun melupakannya.

Yang dikerjakan dan diusahakannya hanyalah mengumpul harta dan hidup mewah. Apabila lupa itu dibiar berlarutan tanpa cuba diatasi, ia akan membawa kepada kufur akan nikmat Allah, lalu ia akan lupa diri, hilang kebahagiaan atau mudah sakit jiwa.

Nabi SAW menyuruh umatnya agar mengamalkan doa pagi dan petang bagi mengatasi masalah jiwa, antaranya seperti diriwayatkan oleh Abu Daud, daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a iaitu:
“Allahumma inni a’uzubika minal hammi walhazan. Wa’a’uzubika minal ‘ajzi wal kasal wa’a’uzubika minal jubni wal bukhli, wa ‘a’uzubika min ghalabatid daini waqahrir rijaal (yang bermaksud: Ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada rundungan sedih dan duka. Aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Aku berlindung kepada-Mu dari beban hutang dan penindasan orang).”

Kedua, hendaklah mendekati al-Quran dengan membaca, memahami dan berusaha mengamalkannya dalam kehidupan nescaya anda akan menemui kebahagiaan bukan saja di dunia tetapi juga di akhirat.

Al-Quran adalah penyembuh yang paling berkesan mengubat penyakit jiwa seperti firman-Nya dalam surah Yunus ayat 57 yang bermaksud: “Wahai umat manusia!
Sesungguhnya sudah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang yang beriman.” Demikianlah, wallahua’lam.

Sumber

Dua kelompok orang miskin

SOALAN:

SAYA merasa pelik, ada orang miskin yang begitu mudah meminta-minta. Mereka merasa gembira menjadi penerima, malah seolah-olah bersyukur pula dengan kemiskinan yang menimpa. Namun, saya juga melihat ada kelompok fakir dan miskin yang cuba menyembunyikan kemiskinan dan mereka malu menerima bantuan. Apakah penjelasan ustaz terhadap kewujudan dua fenomena ini?

JAWAPAN:

Memang benar kenyataan saudara, bahawa wujudnya dua kelompok berbeza dalam kalangan orang-orang fakir dan miskin. Ada kelompok yang meminta-minta dan ada kelompok yang enggan meminta-minta.

Dalam hal ini, cuba kita renungi firman Allah dalam surah al-Ma'arij, ayat 24 dan 25: Dan orang-orang yang di dalam hartanya ada hak yang tertentu (bagi orang-orang fakir dan miskin), yang meminta-minta dan juga yang enggan meminta-minta.

Sebenarnya, sifat suka menzahirkan atau menyembunyikan kemiskinan ini mempunyai perkaitan yang amat rapat dengan tahap keimanan di dalam diri seseorang.

Orang yang teguh imannya, maka mereka mempunyai suatu senjata rahsia, iaitu 'kaya jiwa' atau 'kekayaan hati', yang menjadikan mereka cukup tinggi maruah dirinya.

Natijahnya, mereka amat malu menyatakan kemiskinan, bahkan seboleh-bolehnya mereka akan cuba menyembunyikan kemiskinannya daripada pengetahuan orang lain, walhal orang lain memang tahu bahawa mereka memang miskin.

Jujurnya, sikap ini mampu menerbitkan rasa hormat masyarakat kepada mereka dan sekali gus mengangkat martabat mereka pada kaca mata manusia.

Allah menukilkan dalam al-Quran dengan firman-Nya: (Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana (mereka) memelihara diri daripada meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 273)

Bahkan Nabi Muhammad SAW turut menegaskan seperti mana yang dilaporkan oleh Abu Hurairah: Yang dinamakan orang miskin (itu) bukanlah orang yang berkeliling-kelalang meminta-minta kepada orang ramai, lalu peminta-minta itu diberi orang (dengan) sesuap dua suap (makanan), atau sebutir dua butir kurma. Lalu bertanya para sahabat: "Kalau begitu, siapakah yang dinamakan miskin itu ya Rasulullah?" Jawab baginda: "Orang miskin itu sesungguhnya ialah orang yang tidak memiliki apa-apa untuk menutupi keperluannya, namun keadaannya itu tidak diketahui orang supaya orang bersedekah kepadanya, dan tidak pula dia meminta-minta ke sana-sini. (riwayat Muslim)

Apa yang patut disedari oleh orang-orang miskin, bahawa kemiskinan yang menimpa mereka adalah suatu ujian. Seandainya mereka bersabar, maka mereka beroleh pahala yang besar.

Bahkan orang-orang miskin amat sedikit hisabnya di sisi Allah di mahkamah akhirat. Lalu, ia memudahkan mereka memasuki syurga Allah lebih awal berbanding orang-orang kaya yang panjang hisabnya.

Ibnu Abbas telah melaporkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah menukilkan suatu hadis: (Kala baginda dibawa melihat neraka dan syurga pada peristiwa Israk wal Mikraj): Aku melihat ke syurga, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah orang-orang miskin. Dan aku melihat pula ke neraka, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah wanita. (riwayat Muslim)

Oleh itu, orang-orang miskin hendaklah menyemai benih kekayaan hati, yakni menyuburkan jiwa dengan zikrullah dan ilmu, mengukuhkan tauhid dalam dada dengan jitu, tidak berprasangka dengan Allah atas kemiskinan mereka itu, bahkan cuba berusaha merubah kehidupannya selagi mampu.

Andai mereka berusaha, maka tidak mustahil Allah SWT akan mengurniakan kekayaan kepada mereka, sama ada kekayaan zahir atau fizikal, juga kekayaan hati yang lebih praktikal dan kekal. Hakikatnya, orang yang kaya hati itulah sebenar-benarnya kaya, kerana mereka memandang kekayaan dunia tidak lebih hanya sementara cuma. Apa yang utama bagi mereka adalah kaya hati dengan iman dan takwa. Bahkan orang yang kaya hatilah yang akan melestarikan harta kekayaannya atas nama sedekah, infak dan zakat.

Tepatlah sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: Bukanlah kekayaan itu harta yang melimpah, akan tetapi kekayaan (yang sebenar-benarnya) ialah kaya jiwa. (riwayat Bukhari dan Muslim). Wallahua'lam.

Sumber

Hayati maksud sebenar tadarus

BULAN Ramadan merupakan bulan diturunkan al-Quran, maka marilah kita sama-sama menginsafi diri dengan membaca al-Quran. Inilah yang dilakukan oleh salaf al-soleh dan Rasulullah SAW sendiri. Persoalan di sini ialah apakah maksud tadarus itu? Adakah hanya membaca atau melihat terjemahan atau bagaimana?

Jika sekiranya dikehendaki dengan membaca, sudah tentu disebut dengan qiraah yang bermaksud bacaan. Justeru maksud tadarus lebih kepada saling semak menyemak dan mempelajari serta mengkaji yang menatijahkan penghayatan dan amalan mengikut hak al-Quran diturunkan.

Seperti kata al-Syahid Hasan al-Banna berkenaan dengan hak al-Quran dalam bukunya Majmu' Rasail: "Saya tidak pernah melihat sesuatu yang kelihatan seolah-olah dijaga rapi tetapi sebenarnya disia-siakan atau seolah-olah dipelihara tetapi sebenarnya diabaikan seperti mana yang berlaku pada al-Quran sebagai sebuah kitab yang lengkap, suatu sistem yang bersepadu dan menjadi tunjang kepada segala urusan agama dan dunia."

Allah SWT berfirman dalam surah al-Fussilat ayat 42 yang bermaksud: Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya, ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.

Menyentuh tentang al-Quran ada tiga perkara penting yang perlu ditekankan oleh umat Islam;

Kerapkan membaca al-Quran, beribadat dengan membaca al-Quran dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan membaca al-Quran.

Meletakkan al-Quran sebagai sumber rujukan kepada hukum dan syariat agama. Al-Quran perlu diambil, dipetik, dicedok dan dipelajari.

Meletakkan al-Quran sebagai asas undang-undang dunia yang akan dirujuk. Fasal-fasal dalam al-Quran yang bijaksana ini perlu dilaksanakan.

Ini adalah objektif utama Allah menurunkan kitab ini dan matlamat Allah mengutuskan Rasul-Nya. Allah SWT mewariskan kitab-kitab-Nya untuk kita agar ia menjadi penasihat, pembimbing, menjadi hukum yang adil dan neraca yang benar.

Generasi silam yang diredai Allah memahami objektif ini, kerana itu mereka bangkit melaksanakan sebaik-baiknya. Ada di kalangan mereka membaca seluruh al-Quran selama tiga hari. Ada yang membaca selama tujuh hari. Ada yang membaca al-Quran kurang dari tempoh itu dan ada yang lebih.

Ada di antara mereka yang tidak berkesempatan membaca al-Quran, mereka akan melihat mushaf al-Quran dan memaca beberapa ayat al-Quran kemudian berkata: "Mudah-mudahan saya tidak termasuk dalam golongan yang menyisihkan al-Quran."

Al-Quran adalah teman mereka. Al-Quran adalah wirid dalam ibadat mereka. Sepanjang malam dan siang mereka akan membaca al-Quran. Semoga Allah meredai khalifah ketika iaitu Saidina Uthman yang masih tidak bercerai daripada mushaf walaupun dikepung dan pedang terhunus di tengkuknya.

Dari awal malam dia membaca kitab Allah. Di hujung malam dia menemui ajalnya

Semoga Allah merahmati orang yang sedang meratap sedih kematiannya dengan ratapan yang paling indah ungkapannya: Mereka membunuh orang tua yang padanya ada tanda sujud. Orang yang menghabiskan malam dengan mengucap tasbih dan membaca al-Quran.

Jika anda kaji sejarah hidup mereka, anda akan dapati tiada seorangpun di antara mereka yang mengabaikan kitab Allah SWT atau tidak membaca kitab Allah selama seminggu. Apatah lagi untuk mengabaikannya selama sebulan atau setahun atau bertahun-tahun. Tidak perlulah saya bentangkan kepada anda kisah-kisah menarik dan mengkagumkan seperti yang tercatat dalam buku-buku sejarah.

Apabila mereka mahu meneroka hukum agama Allah, al-Quran akan menjadi rujukan pertama mereka. Apa lagi jika tidak kitab Allah yang akan menjadi rujukan pertama mereka? Anda dapat lihat bagaimana Nabi SAW telah bersetuju dengan Muaz apabila Baginda bertanya Muaz tentang apakah asas dia menjatuhkan hukuman. Muaz menjawab: "Dengan Kitab Allah. Muaz mulakan dengan Kitab Allah, kemudian barulah diikuti dengan sunnah yang suci."

Anda sendiri tahu bagaimana Umar melarang ramai sahabat yang dihormati daripada menyampaikan hadis kepada orang ramai. Sedangkan mereka begitu hampir dengan zaman Islam, mereka amat tahu tentang hadis dan pelbagai kisah. Apa yang dilakukan oleh Umar itu bertujuan supaya mereka dapat mengajar al-Quran terlebih dahulu kepada orang ramai agar mereka diajar apa yang dihalalkan dan diharamkan oleh al-Quran.

Anda juga tahu bagaimana imam yang masyhur di kalangan tabiin dan tabi' tabiin seperti Sa'id bin al-Musayyab, mereka tidak membenarkan orang ramai menulis fatwa mereka kerana mereka tidak mahu orang ramai hanya tertumpu kepada fatwa mereka dan mengabaikan kitab Allah.

Sa'id pernah mengoyakkan sehelai kertas daripada tangan orang yang menulis fatwanya. Beliau berkata: "Anda ambil kata-kata saya tetapi meninggalkan Kitab Allah kemudian anda pergi sambil berkata Sa'id berkata begini! Sa'id berkata begini! Sepatutnya anda berpegang dengan Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.

Apakah dengan kisah-kisah begini anda tidak dapat melihat bagaimana generasi silam yang soleh dan diredai Allah SWT meletakkan Kitab Allah sebagai asas yang menjadi rujukan ketika mereka mendalami agama dan hukum Allah?

Bagi mereka segala urusan dunia perlu menurut apa yang diperintahkan oleh Kitab Allah dan akur kepada hukum al-Quran.

Segala hak perlu ditunaikan, segala hukuman perlu dilangsungkan, segala hukum perlu dilaksanakan, segala perintah perlu dijalankan. Semua ini tidak boleh dimansuhkan dan diabaikan atau diubahsuai atau dipinda. Itulah yang berlaku suatu ketika dahulu.

Sumber

Tinggal solat kerana tertidur tak dikira cuai

Soalan:

APA yang perlu saya lakukan sekiranya saya terlambat bangun untuk sembahyang Subuh?

Jawapan:

AL-HAMDULILLAH wassolatuwas salam ‘ala Rasulillah.
Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 103 yang bermaksud: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman yang tertentu waktunya.”

Jika saudara tertidur sehingga keluar waktu solat Subuh, maka saudara hendaklah segera bersiap-siap untuk mengqada solat Subuh. Jika tertinggal solat Zuhur umpamanya, dan dia sedar pada waktu Asar, maka hendaklah ia segera qadhanya pada waktu Asar.

Mengqada solat adalah wajib, manakala menyegerakannya adalah sunat seperti satu hadis yang diriwayatkan Muslim, daripada Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila tidur salah seorang kamu sehingga meninggalkan solat atau terlupa daripadanya, maka hendaklah ia segera solat apabila ia teringat kerana Allah SWT berfirman: “Dirikanlah kamu akan solat untuk mengingati-Ku.”
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Qatadah, beliau berkata: “Mereka menyebut kepada Nabi SAW tentang tidur mereka sehingga terlepas waktu solat. Maka Baginda bersabda: Tidaklah sebab tidur dikira kecuaian. Kecuaian itu hanya dikira sekiranya dalam keadaan jaga. Maka apabila salah seorang kamu lupa sembahyang, atau tidur lena sehingga meninggalkan sembahyang, maka hendaklah ia sembahyang apabila dia ingat.”

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawasanya Saidina Umar datang pada Hari Khandaq, sesudah terbenamnya matahari, yang mana dia mencaci orang kafir Quraisy seraya beliau berkata: “Wahai Rasulullah, aku hampir tidak solat Asar, sehingga hampir matahari masuk (terbenam).

Maka Nabi SAW menjawab: Demi Allah aku pun belum sembahyang. Maka Baginda berwuduk dan kami pun berwuduk. Maka Baginda sembahyang Asar sesudah matahari masuk (terbenam), kemudian Baginda mengerjakan sembahyang Maghrib sesudahnya. Demikianlah, Wallahua’lam.

Sumber

Thursday, August 4, 2011

Asal Ilmu Tauhid Aliran Asya'irah

Yakni pertama-tama orang yang menghantarkan (menyusun) dia ((ilmu tauhid Ahli Sunnah wal Jamaah) itu iaitu Abul Hasan al-Asy’ari.

Dan adalah citeranya (Mengikut ceritanya), adalah Abu Hashim al-Jubbaa’i guru Abu Hasan al-Asya’ri lagi bapa tiri suami ibunya. Maka tinggal mengikut barang yang diambil daripada ilmu Mu’tazilah 40 tahun.

Kemudian maka telihat ia (Abu Hasan Asya’ri) akan Nabi pada tidurnya (mimpinya) tiga kali. Berkata ia (Rasulullan saw) baginya pada tiap-tiap kalinya “Hai Abul Hasan, tolong olehmu akan a’qaid yang diriwayatkan daripadaku. Maka bahawasanya ia yang sebenarnya.”

Maka sembah Abu Hasan pada yang ketiga kalinya, “Betapa aku tinggal akan mazhab yang sudah aku tasawurkan masalahnya dan aku ketahui akan dalilnya 30 tahun daripada bicara aku dengan ilmunya?”

Maka sabdanya Rasulullah saw: “Jika tiada aku ketahui bahawasanya Allah Taala menolong akan dikau dengan penolongNya (pertolonganNya), tiada aku suruh akan dikau.”

Kemudian maka jaga ia daripada tidurnya. Maka berkata ia, maka tiada kemudian daripada nyata yang sebenarnya melainkan sesat.

Kemudian maka mengambil akan beberapa hadith yang menolongkan (mengesahkan/mengukuhkan) akan i’tiqad Ahli Sunnah wal Jamaah. yang datang pada (beberapa persoalan yang ditolak oleh kaum Mu’tazilah seperti) melihat akan Allah pada Hari Qiamat, dan hadith memberi syafaat Nabi saw, dan lainnya. Maka ditolongkan Allah dengan petolongNya.

Maka adalah ia membukakan daripadanya beberapa bicara dan beberapa dalil dan burhaan yang tiada pernah mendengar daripada syeikhnya sekali-kali, dan tiada pernah dilihatnya di dalam kitab. Kemudian lenyap ia (ia menghilangkan diri) daripada mata manusia ( dengan berdiam diri) pada rumahnya 15 hari.

Kemudian keluar ia (perdi) kepada masjid jami’ dan naik ia ke atas mimbar dan berkata ia , “Hai segala manusia, sesungguhnya adalah ghaibku (menghilangnya aku) daripada kamu masa ini kerana bahawasanya aku tilik (meneliti) akan beberapa dalil. Maka aku dapat bersama-sama pada aku beberapa dalil yakni berlawanan dalil tiada dapat aku hendak lebih suatu daripada satunya.”

“Aku minta petunjuk daripada Allah Taala. Maka(Allah) menunjukkan daku kepada i’tiqad yang sebenarnya. Maka aku taruhkan (kumpulkan) di dalam ghaibku ini (selama aku menghilangkan diri ini). Dan sesungguhnya telah aku tinggalkan daripada segala ilmu (yang salah daripada fahaman MU’tazilah) yang ada aku i’tiqad akan dia seperti aku tanggalkan daripada kain ini.” Maka ditanggalkannya kain yang ia pakai yang ada padanya dan dilontarnya (sebagai gambaran bahawa dia sudah menanggalkan fahaman Mu’tazilah yang dianutinya selama ini).

Kemudian maka diangkatkan kitab yang ia karang atas Mazhab Ahlus Sunnah kepada manusia. Maka adalah ia pertama-tama orang yang mengedarkan (menyusun dan mengajarkan) ilmu ‘aqaid atas jalan Kitab dan Sunnah, yakni mengikut Quran dan hadith dan ijmak as-sahabat yang dahulu-dahulu yang soleh-soleh. Maka jadi hinalah segala ahli al-i’tizaal (para pengikut fahaman Mu’tazilah).

SUMBER:

Kitab Ad-Durruth Thamiin karya Asy-Syeikh Daud bin Asy-Syeikh ‘Abdullah al-Fatoni, mukasurat 3 dan 4


sumber

Muslimah Yang Berusaha Memperbaiki Diri

Salam....

Harap soalan saya tidak keterlaluan dan sudi dijawab ustaz. Saya malu sebenarnya hendak mengaku akan hal ini, tapi sedikit sebanyak ia amat mengganggu hidup saya...

Saya bermasalah. Saya kira saya seorang yang ingin menjaga agama, bertudung labuh lagi berstoking, tak pandai bergaul dengan lelaki, suka dengar ceramah agama dan orang yang solat dan mengaji tapi ada tabiat buruk dengan bahasa modennya onani.

Dah lama dan dah berkali saya taubat tak mahu ulangi... tapi saya buat lagi. Saya tahu dosa tapi saya buat suka hati, dan sekarang saya takut jika Allah murka dan memberi balasan dengan perkara ini.

Contoh situasinya, saya baru menonton tv Tanyalah Ustaz, membaca majalah Anis dan membuka radio alunan al-Quran. Tiba-tiba hati terdetik nak buat. Sedangkan saya dah benteng hati ke arah agama ustaz... saya dengan mudah berkhayal dan buat sendiri. Sedang radio masih mengalunkan bacaan al-Quran. Saya betul-betul buat tak malu dengan Tuhan.... (sebab orang tak nampak)

Tolong beri kata dua pada saya ustaz, hati saya cintakan agama tapi sikap buruk saya ini sangat-sangat menipu diri. Yang rugi saya. Saya mula bimbang jika generasi saya esok melakukan amal buruk ini...

Dan satu lagi, adakah orang boleh kenal/tahu kita jenis yg beronani.
Maaf dan terima kasih.


JAWAPAN:

Wlksm Ukhti,

Pertamanya saya ucapkan tahniah kerana anda dipilih Tuhan sebagai orang yang berusaha untuk memelihara agama, menutup aurat dengan sempurna, suka akan majlis-majlis dan ilmu agama, memelihara solat, istiqamah membaca Al-Quran dan lain-lain. Tidak ramai orang yang dipilih oleh Tuhan sebegitu rupa. Yang tidak kurang pentingnya, anda ada rasa bersalah dan mahu membuat perubahan. Sikap sebegini bukan mudah dicari, tapi ia ada pada anda. Alhamdulillah syukur.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Apabila kita bertaubat bersungguh-sungguh, dosa-dosa kita akan dihapuskan oleh Allah.

Tentang tabiat buruk (onani/martubasi) itu saya sarankan beberapa usaha dan ikhtiar yang boleh dilakukan.


Pertama: DARI SUDUT PERUBATAN ALTERNATIF ISLAM

Antaranya anda cubalah pergi dapatkan rawatan daripada pengamal perubatan alternatif Islamik (yang biasa kita sebut sebagai mu’allij, contohnya di Darussyifa’). Tak perlu ceritakan masalah anda kepada perawat, cukup minta perawat tolong ruqyahkan. Cakap saja yang anda berasa tidak sedap badan dan khuatir kalau-kalau ada ‘gangguan’. Sekiranya perawat itu wanita dan anda bersedia berkongsi masalah anda dengannya, bolehlah diceritakan.

Saya menyarankan langkah ini kerana maklumat yang anda beri menunjukkan ada kemungkinan wujudnya gangguan jin ataupun sihir. Di bawah ini ialah maklumat yang dimaksudkan:

“Contoh situasinya, saya baru menonton tv Tanyalah Ustaz, membaca majalah Anis dan membuka radio alunan al-Quran. Tiba-tiba hati terdetik nak buat. Sedangkan saya dah benteng hati ke arah agama ustaz... saya dengan mudah berkhayal dan buat sendiri. Sedang radio masih mengalunkan bacaan al-Quran. Saya betul-betul buat tak malu dengan Tuhan.... (sebab orang tak nampak).”

Jika sudah sampai ke tahap sebegini, mungkin anda mengalami ‘gangguan’. Katakanlah setelah dirawat nanti ternyata tidak ada sebarang gangguan, anda tidak rugi apa-apa. Perawat pun tidak tahu apa masalah sebenar/ rahsia anda. Malah berasa lega kerana diri anda ternyata selamat.

Tapi seandainya memang ada dan ia berjaya disingkirkan, saya yakin tabiat itu akan hilang dengan mudah. Oleh itu saya angat sarankan agar anda dapat menemui mana-mana muallij dengan segera.

Saya melihat, dorongan untuk anda melakukannya banyak datang dari dalam diri, bukannya dari luar diri seperti dirangsang orang lain, menonton, menatap, mendengar dan sebagainya. Hal ini kerana ketika berinteraksi dengan bahan-bahan keagamaan pun anda dengan sendirinya terdorong untuk melakukannya. Oleh itu keutamaan rawatan adalah ke atas diri anda yang rohani.


Kedua: DARI SUDUT PENGAWALAN DIRI & LATIHAN JIWA

Anda berusahalah membuang perlakuan itu. Hendak membuang terus secara mengejut memang sukar, oleh itu anda buangkanlah ia secara beransur-ansur. Kurangkan kekerapan melakukannya. Jika selama ini (sekadar contoh) ia dilakukan 2 kali seminggu, kurangkan jadi 1 kali seminggu. Kemudian kurangkan lagi 1 kali sebulan dan seterusnya. InsyaAllah suatu hari nanti tabiat itu akan mereda dan hilang.

Tapi seandainya anda dapat membuangnya serta-merta, hal itu adalah sangat baik lagi bermanfaat.


Ketiga: DARI SUDUT SUNNAH NABI & FITRAH MANUSIAWI

Anda berusahalah agar dapat lekas mendirikan rumahtangga. Dengan cara itu ‘kehendak’ anda dapat disalurkan pada tempatnya dan insyaAllah perlakuan itu akan hilang dengan sendirinya. Saya mendoakan agar anda bertemu jodoh yang sesuai, baik lagi soleh dalam masa yang terdekat.


Keempat: DARI SUDUT SAINS & KESIHATAN

Kawal pemakanan. Kita boleh mengurangkan keinginan dengan cara mengawal pengambilan makanan. Biasakan diri jangan makan sampai kenyang, tapi tidak terlalu sedikit sehinggakan tubuh kekurangan zat dan tenaga.

Kekuatan dan keinginan melakukan seks banyak datang daripada makanan yang diambil berlebihan. Sebab itu para ulama mengurangkan makanan. Rasulullah juga menasihatkan kita agar berhenti makan sebelum mencapai kenyang. Jika selepas makan kita berasa puas (maksudnya kita sudah memenuhkan perut), sebenarnya ia memudaratkan diri dalam jangka masa panjang. Jika selepas makan kita berasa seperti hendak makan lagi (maksudnya kita berhenti sebelum puas/kenyang), itulah yang terbaik untuk kesihatan.

Anda kurangkan bahan yang merangsang seperti kopi dan teh. Hal ini memang dipesan oleh Asy-Syahid Hasan al-Banna (Pengasas Ikhwanul Muslimin). Anda juga perlu kurangkan pengambilan gula, kerana ia merangsang kekuatan (dan pengurangan ini bagus untuk kesihatan) terutamanya air berkarbonat. Mengurangkan bahan-bahan yang merangsang kekuatan tubuh dapat mengurangkan kehendak dan keupayaan untuk melakukan perbuatan itu.

Kaedah yang biasa dianjurkan ialah berpuasa. Tapi takkanlah hendak berpuasa setiap hari, mungkin kita tidak mampu. Jadi anda boleh cuba istiqamah puasa Isnin dan Khamis, ataupun salah satunya. Cuma yang saya lihat di negara kita ini, cara kebanyakan orang berbuka puasa tidak sesuai untuk kesihatan. Memanglah perut dikosongkan seharian, tapi apabila berbuaka puasa, pelbagai benda dimakan dan dengan kuantiti yang banyak.

Oleh itu, jika anda berpuasa, ketika berbuka makanlah sekadarnya. Yang pentingnya berbukalah dengan makanan yang berkhasiat walaupun dalam jumlah yang sedikit.


Kelima: DARI SUDUT PERSEKITARAN DIRI

Perlakuan itu menjadi apabila anda bersendirian. Oleh itu, selalulah bersama-sama orang lain. Selalulah buat aktiviti bersama rakan-rakan atau saudara-mara walaupun sekadar berbual kosong ataupun menonton bersama-sama. Maksudnya, biarlah ada individu lain berhampiran anda. Sudah tentu ruang untuk anda melakukannya sangat kecil.


Keenam : DARI SUDUT AGAMA

Apabila timbul perasaan hendak melakukannya, ucapkan dengan bersuara dan penghayatan:

Dua Kalimah Syahadah

Selawat ke atas Rasulullah

Istighfar

Lakukan berulang-ulang.


Ketujuh: DARI SUDUT PSIKOLOGI / KUASA MINDA

Apabial timbul keinginan, sebut nama/ panggilan orang-orang yang anda hormati seperti ibu, ayah, guru, pendakwah dan sebagainya dan bayangkan mereka semua sedang berada hampir dengan anda dan memerhatikan perbuatan anda dengan perasaan dukacita pada wajah mereka. Teruskan ‘mencipta’ gambaran sebegitu.


Setahu saya, umumnya tidak ada ilmu untuk mengetahui seseorang itu sering melakukan onani/martubasi. Cuma orang tua-tua zaman dahulu ada kaedah tertentu untuk melihat sama ada seseorang itu masih dara ataupun tidak. Ada yang melihat pada suatu tempat di muka dan ada yang melihat pada tangan. Ada juga yang mendakwa mampu mengetahuinya melalui kaedah ghaib tetapi umumnya semua itu hanyalah sangkaan-sangkaan.

Pada zaman ini jumlah orang yang mengetahui kaedah ini pun amatlah kecil (saya sendiri tidak ada ilmu ini), dan peluang anda untuk terserempak dengan orang sebegini sangatlah kecil. Oleh itu janganlah risau. Tambahan pula, dara seseorang wanita itu adakalanya boleh pecah/hilang kerana sebab-sebab lain, bukan melalui aktiviti yang berkaitan dengan seks sahaja.

Doktor mungkin boleh mengetahui kekerapan seseorang melakukan onani/ martubasi melalui ujian dan pemeriksaan. Tapi, doktor mana yang saja-saja hendak/ boleh buat pemeriksaan bahagian itu? Jadi, tidak perlu risau.

Kesimpulannya, jika ada pun, orang itu hanya boleh mengetahui sama ada masih ada dara ataupun tidak, bukannya mengetahui sama ada selalu beronani atau tidak. Dan orang yang ada ilmu sebegitu pun sudah hampir pupus dan peratusan anda untuk terserempak dengan mereka adalah terlalu kecil.

Akhirnya, dengan penjelasan ringkas ini diharap dapatlah memberikan kesan positif pada diri anda dan menambahkan kekuatan jiwa anda untuk berubah kea rah yang lebih baik daripada sebelumnya. Semoga segala urusan kita semua khusunya anda dipermudahkan oleh Allah SWT.

Wassalam.


Abu Zulfiqar

23 Mei 2011


HAMBA ALLAH MENULIS:

Terima kasih ya ustaz...
Terharu rasa baca saranan-saranan ustaz yang lebih ke arah positif....

Sedih sebenarnya dengan dosa-dosa, dan mungkin ini juga penghalang untuk lekas bertemu jodoh.... Semoga keikhlasan ustaz, menjadi doa membantu diri ini menjadi lebih bertakwa dan berdamping dengan orang soleh...

Semoga ustaz sekeluarga dirahmati. Syukran.


SUMBER

Hukum Pakai Minyak Wangi Beralkohol

ADAKAH SAH SEMBAHYANG DENGAN MINYAK WANGIDAN MINYAK RAMBUT YANG MENGANDUNGI ALCOHOL
(BILANGAN 262)


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Islam telah meletakkan kebersihan sebagai kunci bagi sahnya ibadat sembahyang. Oleh karena itu tidak akan diterima sembahyang seorang muslim sehingga badannya bersih, pakaiannya bersih dan tempat yang digunakan pun dalam keadaan bersih. Kebersihan dikira sebagai menentukan sahnya sembahyang seseorang itu, kerana najis yang terdapat pada tubuh badan, pakaian atau tempat sembahyang boleh menyebabkan sembahyangnya tidak sah.

Persoalan alkohol selalu dikaitkan dengan sah atau ketidaksahan sembahyang, kerana itu timbullah keraguan adakah alkohol itu najis? Ini kerana ada sebahagian minyak wangi dan minyak rambut mengandungi alkohol sehingga timbul persoalan, bolehkah minyak wangi atau minyak rambut yang bercampur alkohol dibawa sembahyang?

Pengertian alkohol

Alkohol ialah bahan cecair tanpa warna yang mudah mengewap menjadi gas dan mudah terbakar. Ia boleh dihasilkan melalui dua cara.

i. Penapaian yis karbohidrat (yeast fermentation of carbohydrates)

ii. Sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia (yang bukan daripada sumber semula jadi seperti tumbuhan dan binatang) dengan penghidratan etil (hydration of ethylene). (The New Webster’s Encyclopedic Dictionary Of The English Language: 17)

Cara yang pertama di atas merupakan cara bagaimana menghasilkan khamar (arak) atau minuman yang memabukkan.

Kenajisan arak


Menurut jumhur (majoriti) ulama yang terdiri daripada Imam- Imam mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam asy-Syafi‘i, Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain ulama rahimahumullah, arak adalah najis berdasarkan firman Allah Ta‘ala:


Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengadu nasib dengan batangbatang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”(Surah al-Mâ’idah: 90)


Oleh kerana arak itu menurut jumhur ulama adalah najis, maka alkohol yang terdapat dalam arak itu pun adalah najis juga. Dari itu, mana-mana alkohol yang dihasilkan atau diambil daripada arak adalah najis juga hukumnya.

Ini memberi maksud bahawa kenajisan alkohol adalah bertitik tolak dari sebab kenajisan arak. Dari itu, dapat difahami bahawa alkohol itu bukanlah semestinya najis jika ia tidak diambil daripada arak, sebagai contoh tapai yang biasa dimakanpun menurut pakar ada mengandungi alkohol, namun ia tidak haram dimakan kerana sifatnya yang tidak memabukkan.

Akan tetapi, jika tapai itu sifatnya memabukkan (sampai ke peringkat boleh memabukkan), maka memakan tapai itu adalah haram. Adapun alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia yang mana sifatnya sangat memudharatkan seperti mana racun, ia adalah suci seperti sucinya ganja, candu, morfin dan lain-lain yang memudharatkan di mana tidak ada seorang ulamapun yang menghukumkannya sebagai najis ‘ainiyyah.

Imam an-Nawawi rahimahullah mengatakan bahawa salah satu najis itu ialah setiap yang memabukkan dalam bentuk cecair:

Ertinya: Setiap yang memabukkan lagi cair

Imam Ibnu Hajar rahimahullah dalam menghuraikan kata-kata Imam an-Nawawi rahimahullah di atas berkata:

Ertnya:
(Tiap-tiap yang memabukkan) ialah tiap-tiap yang boleh memabukkan. Maka termasuk dalam pengertian itu setitik yang memabukkan; dan yang dikehendaki dengan yang memabukkan di sini ialah apa jua yang boleh menutup atau menghilangkan upaya akal


Ibnu Hajar rahimahullah menghuraikan lagi:

Ertinya:
(Cecair) itu seperti arak dengan segala jenisnya yang diambil daripada anggur; dan nira (tuak) yang diambil selain daripada anggur

Dengan ini, dapat disimpulkan bahawa setiap arak mengandungi
alkohol, tetapi tidak semua alkohol berasal daripada arak.

Hukum alkohol daripada arak

Alkohol yang dihasilkan atau diambil daripada arak, meminumnya adalah jelas haram sebagaimana keterangannya di atas. Adapun menggunakan minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang diambil daripada arak adalah haram juga, kerana berlumur dengan najis tanpa ada keperluan yang syar‘i adalah haram hukumnya sebagaimana kata Ibnu Hajar rahimahullah:

Ertinya:
Haram berlumur dengannya (najis) di luar sembahyang pada badan dan pakaian dengan tiada apa sesuatu hajat (yang syar‘i)


Dengan itu, adalah tidak sah sembahyang seseorang yang memakai minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang diambil daripada arak kerana ia adalah najis.

Hukum alkohol sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia

Alkohol sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia adalah haram meminumnya kerana sifatnya yang memudharatkan seperti mana racun.

Bagaimanapun minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis.

Dari itu, adalah sah sembahyang seseorang yang memakai minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia kerana ia bukan najis.

Perkara yang meragukan hendaklah ditinggalkan Tetapi yang menjadi persoalan ialah kita tidak dapat mempastikan bahawa alkohol yang terkandung di dalam sesuatu minyak wangi atau minyak rambut itu, adakah ia diambil dari sumber yang suci atau najis?

Apabila timbul keraguan seumpama ini, menurut ajaran Islam, perkara tersebut hendaklah ditinggalkan. Hasan bin ‘Ali radhiallahu ‘anhuma meriwayatkan bahawa dia telah menghafal daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang bersabda:


Maksudnya:
Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu.

(Hadis riwayat at-Tirmidzi, an-Nasaâi, Ahmad dan ad-Darimi)


Dalam hadis yang lain pula dijelaskan bahawa meninggalkan perkara yang diragui kehalalan dan keharaman sesuatu perkara adalah menandakan kesungguhan seseorang itu dalam memelihara agama dan kehormatannya. Manakala membuat perkara yang masih di dalam kesamaran akan membawa kepada melakukan perkara yang haram sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ˜alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada an-Nu‘man bin Basyir radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya:
Maka barangsiapa yang menjauhi perkara-perkara yang syubhat, (maka) dia telah melepaskan bagi agamanya dan kehormatannya (dari kecaman); dan barangsiapa yang terjatuh di dalam perkara-perkara yang syubhat (maka) jatuhlah dia ke dalam perkara haram.(Hadis riwayat Muslim)


Oleh itu jelaslah menggunakan minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang bersumber daripada arak adalah haram, kerana ia adalah najis dan tidak sah dibawa sembahyang. Manakala minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia adalah diharuskan, kerana ia bukan najis dan sah dibawa sembahyang.

Walau bagaimanapun apabila timbul keraguan terhadap kedudukan alkohol yang terdapat dalam minyak wangi atau minyak rambut, sama ada ia diambil daripada sumber yang najis atau sumber yang suci, menurut ajaran Islam adalah lebih selamat perkara tersebut ditinggalkan dari menggunakannya. Tambahan pula di pasaran banyak terdapat minyak wangi atau minyak rambut yang sama sekali tidak mengandungi alkohol yang boleh menjadi pilihan kita

Sumber : Mufti Brunei

Tuesday, August 2, 2011

Yahudi, Kitab2 Suci, Sembelihan Ahli Kitab

GP BERTANYA:

Saya percaya anda seorang yang arif tentang agama..just nak tahu..zaman sekarang..ada lagi tak Yahudi yang baik-baik? Ada lagi tak kitab Taurat, Injil dan Zabur yang asal pada zaman kita? Ada lagi tak ahli kitab? Kalau ahli kitab ni ada..kenapa kita boleh makan sembelihan mereka..tolong la jawab persoalan yang selalu bermain-main dalam minda saya ni..tq.

JAWAPAN:

Pada pandangan saya, masih ada lagi Yahudi yang baik-baik tetapi jumlahnya sangatlah kecil. Jawapan saya ini SECARA UMUM sahaja kerana saya kurang jelas akan maksud istilah ‘baik’ yang anda gunakan. Apakah baik dari segi moralnya? Agamanya? Tauhidnya? Ataupun yang lain-lain? Jika anda dapat memberi penjelasan lanjut tentang pengertian perkataan “baik” yang digunakan itu, mungkin saya akan dapat memberikan penerangan lanjut.

Kitab Taurat, Injil dan Zabur yang asal BOLEH JADI masih wujud, boleh jadi juga sudah tidak ada lagi di dunia ini. Tapi kitab yang dikatakan Taurat, Zabur dan Injil YANG BERADA DALAM BIBLE HARI INI (yang dibaca oleh jutaan orang di seluruh dunia itu) secara keseluruhannya bukanlah yang asli, tetapi sudah bercampur aduk antara:

1. Wahyu Tuhan,

2. Kata-kata para nabi,

3. Tulisan ahli sejarah,

4. Tulisan orang-orang yang tidak diketahui.

Tentang ahli kitab, para ulama Islam berbeza pandangan. Ada yang mengatakan mereka masih ada, dan ada yang mengatakan mereka sudah tidak wujud. Bahagian ini agak panjang untuk dihuraikan.

Ada beberapa sebab orang Islam boleh memakan sembelihan Ahli Kitab. Antaranya:

1. Untuk MEMUDAHKAN UMAT ISLAM BERGERAK ke serata dunia, kerana lebih mudah memperolehi makanan. Hal ini kerana di mana-mana pelusuk dunia pun hari ini terdapat Ahli Kitab terutamanya penganut agama Kristian/ Nasrani.

2. Antara manfaat sembelihan menurut agama Islam ialah haiwan itu mati dengan cepat (tidak menyeksanya) dan kesemua benda/unsur tidak baik buat manusia (yang terkandung dalam darah haiwan itu) dikeluarkan. Oleh kerana sembelihan Ahli Kitab ADA PERSAMAAN MANFAAT, maka umat Islam dibolehkan memakannya.

3. Untuk menjalinkan hubungan rapat antara umat Islam dengan Ahli Kitab kerana agama para Ahli Kitab itu yang paling hampir dengan ajaran Islam. Hal ini juga sebagai salah satu usaha dakwah ke atas mereka.

4. Sebagai SALAH SATU panduan untuk umat Islam mengenalpasti Ahli Kitab yang masih ada pada hari ini. Hal ini kerana Ahli Kitab asli pasti akan MENYEMBELIH atau MEMAKAN DAGING HAIWAN YANG DISEMBELIH.

Ahli Kitab asli tentunya tidak akan mematikan haiwan dengan cara mengetuk, memesin hidup-hidup hingga hancur, menyuntik racun, memulas kepada, menghempas, melemaskan dalam air, menembak mati dan sebagainya melainkan dengan MENYEMBELIH.

Begitulah PENJELASAN RINGKAS dari saya, dengan harapan ada manfaat buat diri anda.

Abu Zulfiqar

19 Jun 2011

SUMBER

5 Bulan Tanpa Nafkah

*Seorang muslimah dari Indonesia bertanyakan suatu hal.

MUSLIMAH : Perempuan ditinggal suaminya 5 bulan tanpa nafkah.. Apa yang harus saya lakukan??
Mohon jawabnya.

ABU ZULFIQAR : Langkah pertama, anda harus membuat pengaduan kepada qadhi, atau wakilnya, atau di mana-mana gedung (bangunan) pentadbiran agama Islam berkaitan.

Kalo di negeri Perak, Semenanjung Malaysia ini, pada surat nikahnya ada tertera sebegini ... "Tiap-tiap aku (suami) tiada memberi nafkah yang layak bagiku akan isteriku 3 bulan atau lebih lamanya dan mengadu ia kepada mana-mana Kadi Syarei dan sabit (terbukti) pengaduannya pada sisi Kadi itu, maka tertalaq isteriku itu dengan satu talaq."

MUSLIMAH : Maksudnya sama keluarganya ya??

ABU ZULFIQAR : Si isteri sendiri boleh pergi membuat aduan.

MUSLIMAH : Ya di Indonesia juga ada seperti itu. Tapi kalo sudah kepengadilan, berarti saya minta cerai smaa suami. Apa hukumnya perempuan yang minta cerai?

ABU ZULFIQAR : Memohon cerai atas sebab-sebab yang layak/ sesuai... tidak mengapa. Sebab itu mesti mengadu kepaad tuan qadhi terlebih dahulu karena beliau lebih tahu situasi yang bagaimana dibenarkan mohon cerai, dan situai yang bagaimana tidak baik untuk memohon cerai.

Pihak pengurusan agama biasanya punya ahli motivasi/ pakar kaunselingnya. Puan akan dirujuk ke sana terlebih dahulu.

MUSLIMAH : Ya lah. Makasih (terima kasih atas) solusinya (jalan penyelesaiannya).

ABU ZULFIQAR : Saya berharap semoga Tuhan mudahkan segala urusan ukhti dan beroleh hidup yang lebih bahagia. Amin.

MUSLIMAH : Syukron akhi, nasehatnya.


sumber

Harta Muallaf

SOALAN:

Salam ustaz

Saya ingin bertanya, jika seorang muallaf yang belum berkahwin dan baru meninggal dunia; tetapi tidak mewasiatkan atau menghibahkan harta peninggalannya pada sesiapa, adakah ‘parents’ muallaf tersebut mempunyai hak? Atau akan disalurkan pada Baitulmal?

Saya bekerja di ‘environment’ yang majoritinya ‘non-muslim’ & tadi, saya telah ditalukan dengan soalan mengenai ketidakadilan dalam Islam. Mana yang saya tahu, saya telah menjelaskan tetapi ada beberapa perkara yang saya sendiri kurang jelas..

Harap ustaz dapat berkongsi ilmu...


JAWAPAN

Wlksm Fxxx Hxxxxx,

Saya tidak pernah membuat penelitian dalam hal ehwal muallaf, namun di sini saya kongsikan fatwa JAWI dan Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis.

PERTAMA :

Kedudukan Harta Seseorang Muallaf Yang Telah Meninggal Dunia

Tarikh Keputusan: 20 Aug, 1999

Keputusan:

1) Apabila seseorang muallaf meninggal dunia tanpa meninggalkan waris maka hartanya hendaklah diserahkan kepada baitulmal.

2) Apabila seseorang Muallaf meninggal dunia dan meninggalkan waris-waris yang beragama Islam maka hartanya hendaklah dibahagikan mengikut sistem pembahagian faraid.

Status Penwartaan: Diwartakan

Tarikh Diwartakan: 26 Aug, 1999

Nombor Rujukan: JAWI/A/145; PN(PU²)530/II

Akta/Enakmen: Seksyen 34 - Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah -Wilayah Perekutuan) 1993

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/kedudukan-harta-seseorang-muallaf-yang-telah-meninggal-dunia

KEDUA :

Kategori : Muamalat

Tajuk : Harta Pusaka Orang Bukan Islam Diwarisi Oleh Orang Islam

Isu : Harta Pusaka Orang Bukan Islam Diwarisi Oleh Orang Islam

Keputusan :
Orang yang bukan Islam adalah tidak boleh mewarisi harta orang yang beragama Islam dan orang yang beragama Islam tidak boleh mewarisi harta orang yang bukan Islam sebagaimana penjelasan dalam hadis sahih yang bermaksud:


“Orang kafir tidak boleh mewarisi harta orang Islam dan orang Islam tidak boleh mewarisi harta orang bukan Islam”.

Oleh : Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis

http://azharpusaka.com/hadis-hukum

KESIMPULAN :

Berdasarkan dua fatwa di atas, harta muallaf yang meninggal dunia tanpa ada waris, hendaklah diserahkan ke baitulmal.

WaAllahua’lam.



Abu Zulfiqar

JULAI 2011

sumber