Saturday, August 9, 2008

Hukum Bersalaman Lelaki Wanita

Oleh: MOHD. FARID RAVI ABDULLAH

Soalan:
Saya adalah wanita yang terlibat secara langsung dalam bidang perniagaan dan korporat. Urusan seharian memerlukan saya untuk bertemu dengan para pelanggan dan pembekal yang kebanyakannya bukan Islam.

Masalah saya adalah apabila mereka (lelaki) menghulurkan tangan untuk bersalam, saya tanpa boleh memikir panjang terpaksa menyambut salam mereka. Apakah yang perlu saya lakukan untuk mengelak daripada bersalam?

JAWAPAN:

Kebanyakan ulama tidak mengharuskan berjabat tangan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram (ajnabi) ini termasuklah Dr. Abdul Karim Zaidan, Dr. Abdullah Faqih, hatta ulama-ulama dari kalangan al-Syafie juga tidak mengharuskan berjabat tangan dengan perempuan yang bukan mahram.

Bagi mereka yang bermazhab al-Syafie juga memaklumi pertimbangan yang halus dalam masalah ini. Hujah yang dikemukakan dalam mengharamkan berjabat tangan antara lelaki dengan wanita ialah Rasulullah s.a.w. tidak pernah berjabat tangan dengan wanita biarpun dalam peristiwa baiah, sabda baginda yang bermaksud: Demi Allah sesungguhnya aku tidak pernah berjabat tangan dengan wanita dalam baiah. (Riwayat al-Bukhari, jld:8, halaman:636).

Dalam sepotong hadis yang lain daripada Aisyah r.a.h memberitahu yang bermaksud: Demi Allah sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak pernah melakukan sesuatu apa pun yang tidak diperintah Allah, dan sesungguhnya tangan Rasulullah tidak pernah menyentuh tangan mana-mana perempuan.

Apabila Rasulullah menerima pengakuan baiah daripada mereka baginda berkata: Aku telah terima baiah kamu dengan perkataan. (riwayat Muslim, jld:12, hlm:188-189 ).

Dalam masa yang sama pandangan Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi juga banyak menyelesaikan persoalan ini. Beliau mengeluarkan fatwa berkaitan bab bersalaman dengan wanita (Fatawa Mu’asarah). Berikut adalah fatwa dan penjelasan beliau secara ringkas.

seterusnya

Sembelih dalam Perigi & dalam Perut

Sembelih dalam perigi

SOALAN: Bagaimana saya menyembelih binatang (lembu) yang terjatuh ke dalam perigi sedangkan keadaannya amat menyulitkan untuk saya memotong lehernya. Ini disebabkan kedudukannya tersorok ke bawah dan tidak ada orang yang dapat membantu saya pada masa itu. Bagaimanakah caranya dan bagaimana pula cara menyembelih anak (lembu) yang dalam perut ibunya?

– Roshidi Che Man,

Damansara.

JAWAPAN: Anda boleh menyembelih binatang tersebut di mana-mana anggotanya yang dapat sahaja, sekalipun bukan pada leher tempat biasa kita menyembelih binatang. Tetapi penyembelihan itu hendaklah dengan menggunakan senjata yang dapat melukakannya secara yang mendalam, bukan setakat gurisan sahaja. Selain itu, apabila didapati binatang itu masih kuat (hidup) maka kenalah disembelih lagi kecuali selepas tikaman yang pertama itu ianya terus mati maka halallah binatang itu

Manakala penyembelihan anak (lembu) yang dalam perut ibunya itu ialah dengan menyembelih ibunya sendiri sebagaimana sabda Nabi yang bermaksud: menyembelih anak yang dalam perut ibunya itu ialah dengan sembelih ibunya. Wallahualam.

sumber

Hukum Bersunat Lelaki & Perempuan

Hukum bersunat bagi lelaki, wanita

SOALAN: Apakah sebenarnya hukum bersunat sama ada lelaki atau wanita, ini kerana ada yang menyatakan ianya sunat sahaja kerana namanya pun bersunat. Bagaimanakah keadaan sebenarnya ?

– Rozimi Awang,

Sri Damansara.

JAWAPAN: Menurut kebanyakan para ulama, hukum bersunat itu adalah wajib sama ada bagi lelaki atau wanita. Kata sesetengah ulama ianya sunat bagi wanita sahaja. Adapun yang dikatakan bersunat itu maksudnya sunah atau cara hidup Nabi kita dan datuknya Nabi Ibrahim. Baginda Nabi Ibrahim dikatakan yang mula-mula bersunat ketika umurnya sudah menjangkau 80 tahun. Oleh sebab itu berkhatan dan amalan fitrah yang lain perlu dilakukan dalam kehidupan ini, (sama ada sunat atau wajib) untuk mengikuti sunah atau cara hidup Nabi Ibrahim.

Sedangkan salah satu cara hidupnya adalah bersunat atau berkhatan di samping amalan-amalan lain seperti mengerat kuku, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak dan sebagainya. Firman Allah yang bermaksud: Siapa yang tidak mahu (tidak ada mereka yang membenci) cara hidup Nabi Ibrahim selain mereka yang memperbodohkan dirinya sendiri (al-Baqarah ayat 130) dan firman-Nya lagi yang bermaksud: kemudian Kami wahyukan kepadamu supaya mengikuti agama (cara hidup) Nabi Ibrahim a.s. jalan yang lurus (dan seimbang) (an-Nahl ayat: 123). Mengikut para ulama lagi, sepatutnya ibu bapa melaksanakan amalan tersebut semasa bayi itu masih kecil iaitu dalam tempoh tujuh hari atau bila berumur tujuh tahun. Ini kerana masa itulah mereka perlu mengajar anak-anak bersembahyang dan sebagainya . Dalam hadis Nabi ada bersabda yang bermaksud: sepuluh perkara termasuk dalam Fitrah dan antara amalan Fitrah yang menjadi sunnah itu 10 perkara tersebut, antaranya ialah berkhatan. Wallahualam.

sumber

Istikharah Mencari Pasangan Hidup

SOALAN: Saya melakukan solat hajat dan istikharah untuk tujuan mencari jodoh. Sebelum ini saya juga pernah berkenalan dengan seorang tetapi sudah lama terputus. Apa yang menghairankan ingatan saya bertambah kuat terhadapnya. Adakah ingatan dan perasaan ini sebagai petunjuk Tuhan kepada saya terhadapnya?

– Ramzi Hassan,

Merapuh.

JAWAPAN: Anda sudah melakukan apa yang diarahkan agama dan ingatlah sabda Nabi yang bermaksud: tidak akan menyesal mereka yang beristikharah kepada Tuhannya. Perasaan anda itu perlu dilihat terlebih dahulu, adakah ianya (bakal calon pilihan anda) itu menepati ciri-ciri sebagaimana yang di gariskan agama atau tidak. Sebab arahan agama dalam perkara memilih calon, sangat jelas iaitu pengutamaan perlu diberikan kepada mereka yang mempunyai latar belakang agama perlu menjadi asas pilihan, sebagaimana sabdanya bermaksud: pilihlah mereka yang beragama pasti kamu akan berjaya. Wallahualam.

sumber

Suami Panas Baran

SOALAN: Suami saya seorang yang panas baran dan apabila marah dia selalu mengeluarkan kata-kata kesat dan buruk dari mulutnya. Seperti perkataan sumpah, laknat dan kalau saya mati saya akan masuk neraka. Apakah hukum suami yang bertindak semacam itu?

– Yani, isteri merana,

Kuala Lumpur.

JAWAPAN: Puan perlu banyak bersabar dan berlapang dada untuk melayani kerenah suami dengan mendoakan kebaikannya dan puan juga hendaklah berusaha mencari punca kemarahannya itu. Adakah kerana kesilapan puan atau kerana sikapnya yang saja panas baran? Seandainya punca tersebut daripada pihak puan, maka puan hendaklah berusaha mengikisnya dari diri sendiri, tetapi kalau dari pihaknya maka puan perlu berhati-hati untuk membimbingnya dengan pengetahuan agama dan dengan didikan yang baik serta penuh hikmah.

Adapun sumpah dan hukumannya supaya puan masuk neraka, itu bukan urusannya malah akan kembali kepada dirinya sendiri. Paling tidak mereka yang suka memaki hamun orang lain itu, akan merana dan menjadi muflis di akhirat nanti. Ini kerana kesalahannya terhadap orang lain itu akan ditukar atau dilangsaikan dengan kebaikannya sehingga habis kebaikannya diambil orang yang disumpah seranah tadi. Sehinggakan segala kebaikan dirinya akan habis diberikan kepada orang yang dimaki atau dianiayainya bahkan dia sendiri pula akan memikul kesalahan orang yang dizaliminya lalu dan akhirnya akan dihumbankan ke neraka sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasullullah s.a.w. dalam hadisnya yang masyhur.

Selain itu, Syaikh Hasan Basri pernah menghantar hadiah ke rumah mereka yang mengumpat dan memakinya kerana terlampau gembira dengan umpatan atau maki hamun tersebut, sebab setiap umpatan atau maki hamun itu akan ditukar dengan kebaikan kepadanya. Wallahualam.

SUMBER

Arkib JULAI 2008