Monday, October 26, 2009

Suara dan Muka Tidak Aurat

BARU-baru ini isu niqab (cadur) timbul apabila Sheikhul Azhar Sheikh Muhammad Tantawi meminta para siswi Al-Azhar agar melepaskan niqab.

Walaupun ada pandangan mazhab lain mengatakan suara dan seluruh badan wanita adalah aurat namun yang jelas mazhab Shafie yang menjadi ikutan majoriti umat Islam negara kita meletakkan bahawa suara wanita, muka dan tangannya adalah bukan aurat.

Dan yang jelas lagi, tidak ada dalil al-Quran serta hadis mengatakan bahawa suara dan muka wanita serta tangannya itu aurat sebagaimana sangkaan sesetengah pihak.

Apakah mereka sedar bahawa Allah S.W.T membenarkan para sahabat berkomunikasi dan bercakap-cakap dengan mereka (isteri Nabi) di sebalik tirai sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Bertanyalah kepada mereka dari belakang tabir yang demikian itu lebih bersih bagi hati kamu dan mereka juga. (Al-Ahzab: 32 dan 53).

Dalam suatu hadis, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Apabila seorang gadis itu dewasa (sampai umur), maka tidak halal badannya terdedah selain muka dan tangannya sahaja."

Hakikat ini menggambarkan sebagaimana apa yang berlaku terhadap Asma binti Abu Bakar apabila Asma datang berjumpa Nabi SAW dengan pakaian jarang dan nipis. Baginda berpaling daripadanya lalu bersabda yang bermaksud: Wahai Asma, seorang wanita apabila sudah baligh, tidak elok lagi badan (tubuhnya) kelihatan selain muka dan tangannya sahaja. (Riwayat Abu Daud).

Demikian juga kaum wanita itu disuruh melabuhkan (tutupkan) atas lubang tengkuknya sahaja bukan bermaksud tutup atas muka mereka.

Kata Syaikh Yusuf al-Qardawi, pendapat Ibnu Abbas lebih kuat dan masyhur pada pandangan jumhur (kebanyakan) ulama, kerana katanya, banyak ayat dan hadis yang mengarahkan kaum lelaki daripada umat Islam menyekat atau menutup pandangan mata mereka, sama juga dengan kaum wanita disuruh merendahkan pandangan mata mereka.

Jika muka dan aurat wanita sudah tertutup kemas di depan mereka maka pastilah arahan tersebut menjadi sia-sia dan percuma tanpa sebarang makna dan tujuan.

Pada prinsipnya suara, muka dan tangan wanita bukanlah termasuk aurat. Sekiranya perkara tersebut memang merupakan aurat, maka sukarlah bagi kaum wanita dan tentunya taklif atau beban syariat yang dikenakan kepada mereka bersifat usr iaitu sangat sukar.

Ini bercanggah dengan prinsip agama Islam bahawa Ad-Dinu Yusr, iaitu agama itu mudah, sedangkan kaum wanita juga merupakan 'makhluk sosial' yang berhajat untuk berkomunikasi dengan sesama insan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki ajnabi) kerana yang demikian menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (Surah al-Ahzab: 32)

Allah tidak melarang mereka secara mutlak untuk bercakap dengan kaum lelaki bahkan membolehkan, selama tidak mendatangkan fitnah bagi dirinya dan bagi kaum lelaki itu.

Allah melarang kaum wanita untuk melembutkan suara dan mendedah kecantikan mereka semasa bercakap dengan kaum lelaki supaya mereka tidak tergoda ataupun tergugat keimanannya dan menimbulkan berahinya.

Dengan demikian, pada prinsip suara, muka dan tangan wanita bukanlah aurat yang dilarang untuk dilihat atau didengarkan.

Dahulu para sahabat daripada golongan lelaki dan wanita sering bertanya (berdialog) kepada Rasulullah SAW tentang masalah-masalah hukum-hakam dalam agama dan didengar oleh kaum lelaki dan wanita yang hadir daripada sahabat-sahabat baginda.

Bahkan sering pula mereka berdialog dengan para sahabat dan sebaliknya sebagaimana di saat ada seorang wanita yang mengkritik Umar r.a. tentang perkara mas kahwin.

Rasulullah SAW pernah didatangi seorang wanita yang menawarkan dirinya untuk dikahwini oleh Rasulullah SAW dan membiarkan Rasulullah memerhatikan dirinya dari atas ke bawah, tetapi setelah tidak ada sambutan yang memberangsangkan, maka dia pun terus duduk di situ, lalu berkatalah salah seorang daripada kalangan sahabat: "Kahwinkanlah wanita ini dengan saya."

Maka Rasulullah SAW terus mengahwinkan wanita tersebut dengan lelaki yang berminat kepadanya itu. Ini semua bukti melihat kepada muka wanita itu adalah harus dan bukan aurat.

Menurut Al-Qurtubi, suara wanita di saat berkata-kata bukanlah termasuk aurat, lelaki dibolehkan bercakap-cakap atau berdialog dengan wanita kerana ada hajat.

Demikian juga sebaliknya mereka dibolehkan membuka muka dan tangannya kerana tujuan tertentu tetapi wanita tidak dibolehkan memerdukan, melembutkan atau mengindahkan suaranya ketika bercakap dengan lelaki.

Ia kerana perkara demikian boleh menimbulkan berahinya dan juga membuat ia tergoda dan suka. Dengan demikian sangat dianjurkan bagi kaum wanita untuk tidak berdialog dengan kaum lelaki yang bukan mahramnya.

Dalam ketentuan syariah yang lebih berhati-hati (warak), dimakruhkan kepada kaum wanita untuk meninggikan suara dalam membaca al-Quran, demikian pula tidak disyariatkan 'azan' kecuali untuk jemaah wanita sahaja.

Di dalam syariat fikah, apabila seorang wanita ingin menegur kesilapan yang dilakukan oleh imam di dalam solat berjemaah, maka ia tidak boleh menegur dengan membaca 'tasbih' sebagaimana yang dilakukan oleh lelaki, tetapi cukup dengan menepuk tangannya sahaja sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.

Demikian pula wanita tidak disyariatkan untuk membaca bacaan-bacaan dalam sembahyang dengan bacaan yang nyaring pada sembahyang Maghrib, Isyak dan Subuh sebagaimana yang disyariatkan bagi kaum lelaki sewaktu melakukan sembahyang sendirian.

Semua ini menunjukkan bahawa wanita mesti menjaga dan berhati-hati terhadap fitnah yang boleh disebabkan oleh suara dan perhiasan mereka, bukan bermakna suaranya dan perhiasan yang zahir merupakan aurat.

Di antara yang menggoda lelaki adalah derai tawa (ketawa) seorang wanita di depan mereka, apalagi jenis ketawa yang memberahikan.

Demikian pula senyuman diiringi dengan ketawa kecil yang seksi lagi menggoda, inilah yang sangat dilarang oleh agama kerana untuk menjaga harga diri wanita dan juga mencegah daripada timbulnya fitnah. Sama juga membunyikan perhiasan yang tersembunyi di kakinya.

Jika perkara tersebut dikatakan aurat, kenapa Rasulullah SAW sendiri pernah mengizinkan isteri baginda melihat pertunjukan dua orang lelaki Habsyi bermain pedang di pekarangan masjid dan mendengar dua wanita bernyanyi di rumahnya.

Ini berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah r.a, katanya, Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk ke tempatku. Ketika itu di sampingku ada dua orang gadis yang sedang mendendangkan nyanyian tentang hari Bu'ats. Ku lihat Rasulullah SAW berbaring tetapi dengan memalingkan mukanya.

Pada saat itulah Abu Bakar masuk dan ia marah kepadaku'. Katanya, "Di tempat rumah Nabi ada seruling syaitan?'' Mendengar seruan itu, Nabi SAW menghadapkan muka baginda kepada Abu Bakar dan berkata: "Biarkanlah kedua-duanya, hai Abu Bakar.

Dalam satu peristiwa lain, Rasulullah SAW mendengar nyanyian seorang wanita yang bernazar untuk memukul rebana dan bernyanyi di hadapan Rasulullah SAW.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Tarmizi, daripada Buraidah, menyebut: "Suatu hari Rasulullah SAW pergi untuk menghadapi suatu peperangan.

Setelah baginda pulang dari medan perang, datanglah seorang wanita kulit hitam lalu berkata, "Ya Rasulullah, aku telah bernazar, iaitu kalau tuan dipulangkan Allah dengan selamat, aku akan menabuh rebana dan bernyanyi di hadapan tuan. Mendengar hal itu, Rasulullah SAW bersabda: Jika demikian nazarmu, maka tabuhlah. Tetapi kalau tidak, maka jangan lakukan.

Kesemua keterangan tersebut menunjukkan bahawa suara wanita dan perhiasan yang zahir daripadanya bukan aurat.

Rasulullah SAW juga secara praktikal pernah berbicara dengan kaum wanita seperti mana ketika menerima bai'at daripada kaum ibu sebelum dan sesudah hijrah.

Bahkan dari segi syarak, baginda tidak pernah menghalang kaum wanita untuk melaksanakan urusan jual beli, menyampaikan ceramah, mengaji al-Quran, membaca qasidah atau syair. Jika suara wanita itu dianggap aurat, sudah tentu dari segi hukum syarak dianggap haram.

Keterangan ayat al-Quran dan hadis, ditambah dengan kisah-kisah yang dapat dijadikan teladan pada zaman Rasulullah SAW dahulu seharusnya membuka mata fikir kita untuk tidak terus 'menzalimi dan menghukumi' wanita secara sewenang-wenangnya.

- Mohd Shauki Abd Majid

Penulis ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

sumber

Cara Jawab Salam Bukan Islam

Soalan:

SAYA selalu mengalami masalah di dalam pergaulan dengan rakan-rakan yang bukan Islam. Mohon penjelasan ustaz pendekatan terbaik yang disyorkan Islam seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW agar kekurangan yang ada tidak menimbulkan salah sangka terhadap agama yang suci ini akibat dari kejahilan saya.

Apa yang perlu dilakukan bila bertemu dengan sahabat yang bukan Islam, selalu kedengaran ucapan assalamualaikum tidak dibolehkan dan ucapan selamat dalam bahasa orang bukan islam tidak dibolehkan contohnya Vanakam (Tamil) Sastriakal (Punjabi) dam sebagainya?

Jawapan:

Seperti yang dijelaskan oleh para ulama di antaranya Sheikh Muhammad bin Shalih Al-Uthaimin menjawab: Mendahului ucapan salam kepada orang bukan Islam adalah haram hukumnya.

Sebab Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Janganlah kamu memulai salam kepada orang Yahudi dan Nasrani. Apabila kamu bertemu mereka di suatu jalan, maka paksalah mereka kepada jalannya yang paling sempit. (riwayat Muslim)

Tetapi apabila mereka mengucapkan salam kepada kita, maka kita wajib menjawabnya, berdasarkan kepada umumnya firman Allah yang bermaksud: Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (An-Nisa': 86).

Soalnya, salam yang diucapkan oleh orang bukan Islam adalah lafaznya bermaksud baik, bukan cercaan dan bukan pula doa kehancuran seperti yang ucapkan oleh segelintir yahudi terhadap Rasulullah SAW.

Orang Yahudi mengucapkan salam kepada nabi SAW dengan ucapan: As-Samu 'alaika ya Muhammad! As-samu maksudnya kematian. Bererti mereka mendoakan mati kepada baginda. Lalu baginda menjawab: wa alaikum yang maksudnya, "dan ke atas kamu jugalah kematian".

Hari ini hampir kebanyakan orang bukan Islam fasih memberi salam. Sehingga kadang-kadang orang Islam yang mendengar menjawab secara spontan tanpa berfikir panjang akan hukumnya.

Kadang-kadang dah jawab baru perasaan yang bagi salam itu kawannya yang bukan beragama Islam.

Apabila bukan Muslim mengucapkan salam: Assalamualaikum, maka kita harus membalasnya dengan ucapan: Wa'alaikum. Perkataan beliau: Wa'alaikum, merupakan dalil bahwa apabila mereka mengucapkan: Assalamualaikum, yang bererti pada diri mereka ada keselamatan, maka kita juga membalas dengan ucapan yang sama.

Maka sebahagian ulama berpendapat apabila orang-orang Yahudi dan Nasrani mengucapkan secara jelas: As-salaamu 'alikum, maka kita juga boleh membalas dengan ucapan: Alaikum salam.

Kesimpulan jawapan ini dapat saya katakan: "Orang muslim tidak boleh memulai ucapan salam kepada bukan Muslim. Sebab Nabi SAW melarang hal itu, di samping hal itu merendahkan martabat orang muslim bila harus mengagungkan orang bukan Islam".

Orang muslim lebih tinggi kedudukannya di sisi Allah. Maka tidak selayaknya dia merendahkan diri dalam hal ini. Tetapi apabila mereka yang lebih dahulu mengucapkan salam kepada kita, maka kita boleh membalasnya seperti salam yang mereka ucapkan.

Namun di sini saya mempunyai cadangan salam diharus diucapkan kepada kawan-kawan kita yang bukan beragama Islam. Ucapan salamnya adalah: Assalamulaikum man ittaba' al-Huda' yang bermaksud: salam sejahtera ke atas mereka yang menurut (mengikut) petunjuk (Islam).

Maksudnya salam sejahtera yang diucapkan itu tertangguh sehingga dia mendapat hidayah dalam masa yang sama kita memohon hidayah daripada Allah SWT.

Salam inilah yang menjadi pembuka bicara dalam surat-surat yang dihantar oleh Rasulullah SAW kepada pembesar-pembesar negara dalam misi menyebarkan empayar Islam. Cuma di negara kita dan mana-mana negara Islam yang lain juga tidak digunakan ucapan ini.

Saya pernah mengucapkan demikian kepada seorang kawan yang bukan beragama Islam, lalu dia tanya. Apa maksudnya, dan kenapa lain?

Saya jelaskan bahawa kesejahteraan sebenarnya bagi seseorang itu ialah apabila dia menjadikan agama Islam sebagai cara hidup, dan itu satu-satunya jalan selamat bagi kesejahteraan.

Saya dapati dia berfikir panjang dan meneruskan soalan berkaitan Islam dengan penuh minat. Hari ini dia bergelar seorang muslim.

Manakala ucapan good morning dan selamat sejahtera tidaklah haram hukumnya. Kita juga tiada ucapan lain dalam uruf (suasana atau kebiasaan) hari ucapan selain itu.

Ada segelintir ulama mengharamkan ucapan salam sejahtera dan hampir sama maknanya dengan alasan orang Islam lebih mulia dan tinggi dari orang bukan Islam maka kita tidak seharusnya merendahkan diri dengan memberi ucapan kepada orang bukan Islam.

Mungkin ada benarnya dari konteks hukum tapi tidak dari konteks dakwah. Maka tidak salah dan harus kita mengucapkan salam sejahtera, very good morning dan seumpamanya, mudah-mudahan kerahmatan Islam lebih menyerlah.

Orang bukan Islam juga berhak menerima ucapan-ucapan yang baik dari orang Islam sebagai jambatan keharmonian dan kesejahteraan.

sumber

Wednesday, October 21, 2009

Terlewat Niat Puasa Sunat

SOALAN:
Saya ingin bertanya mengenai puasa sunat. Saya tersedar pukul 6 pagi, terus saya rasa saya nak berpuasa sunat bulan Syaaban. Adakah sah puasa saya?

JAWAPAN:

Niat bagi puasa sunat boleh dilewatkan, tempohnya ialah sehingga tergelincir matahari. Jika anda terlupa berniat di malam hari atau sebelum subuh tidak menjadi masalah asalkan anda sempat berniat sebelum tergelincir matahari dengan syarat tidak makan dan minum atau tidak didahului dengan perkara yang boleh membatalkan puasa.

Waktu yang seharusnya berniat bagi setiap puasa ialah malam hari atau berniat sebelum masuk waktu subuh. Namun, ulama dalam fiqh seperti Imam Ahmad bin Hambal, Abu Hanifah dan Imam al-Syafie meriwayatkan daripada Abi al-Darda’ dan Abi Thalhah dan lainnya berpendapat harus berniat di siang hari.

Ini berdasarkan riwayat daripada Aisyah yang bermaksud: “Aisyah r.a. telah memberitahu: “Rasulullah SAW telah berkata pada suatu hari: Wahai Aisyah ada apa-apa di sisi engkau untuk dimakan? Aisyah menjawab: Wahai Rasulullah tidak ada apa-apa di sisiku untuk dimakan. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya aku berpuasa.” Kemudian baginda telah datang kepada kami (isteri-isteri baginda) lalu kami berkata: “Wahai Rasulullah kami telah dihadiahkan dengan hais (sejenis makanan yang diperbuat daripada minyak sapi dan tepung gandum )”. (riwayat Muslim).

Falsafah sebelum tergelincir matahari adalah kerana separuh daripada hari itu dia telah menahan dirinya dari makan dan minum. Kedua, jika ingin berniat selepas tergelincir matahari bermaksud sudah lebih daripada setengah hari sedangkan setiap amalan itu perlukan niat dan tidak berlaku lagha (sia-sia).

Ada beberapa persoalan lain dalam puasa sunat yang perlu diketahui umum. Di antaranya adalah:

* Persoalan berkaitan dengan hukum menyempurnakan puasa sunat. Boleh atau tidak baginya memutuskan puasa sunat itu?

Jumhur ulama berpendapat tidak wajib disempurnakan malahan sunat baginya menyempurnakan puasa tersebut. Jika dia memutuskan atau membatalkan puasanya maka tidak wajib dia menggantikan puasa tersebut.

Ini berdasarkan riwayat Abdullah bin Umar yang menyatakan yang bermaksud: “Tidak menjadi dosa bagi mereka yang ingin memutuskan puasa selagi mana puasa itu bukan puasa nazar atau puasa ganti Ramadan”.

Ibn Abbas menjelaskan dalam satu riwayat yang bermaksud: “Sekiranya ada di kalangan kalian yang berpuasa sunat, kemudian dia mahu memutuskan (membatalkan) lakukanlah…”

Wanita yang berpuasa sunat dengan izin suaminya

Syarat puasa sunat sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadan iaitu Islam, baligh, berakal, suci dari haid dan nifas serta disyaratkan dengan niat dan meminta izin suami bagi wanita yang berumahtangga.

Maka di antara syarat sah puasa sunat bagi wanita adalah meminta izin suaminya. Ini jelas dalam tegahan Nabi SAW yang dikeluarkan oleh Ibn Majah yang bermaksud: “Rasulullah SAW telah menegah para isteri dari berpuasa sunat tanpa izin suami mereka”. (riwayat Ibn Majah, jld:1, hlm:560 ).

Di dalam kitab al-Majmu’ karya fiqh mazhab al-Syafieyyah dinukilkan yang bermaksud: “Tidak harus bagi seorang isteri berpuasa sunat sedang suaminya ada di sisi.” (al-Majmu’, jld:6, hlm; 453-454)

Kesimpulannya

Kita disunatkan berpuasa setiap bulan. Seboleh-bolehnya jangan berlalu bulan tanpa kita berpuasa, sama ada dengan puasa tiga hari setiap bulan, puasa Isnin dan Khamis atau puasa-puasa lain yang disunatkan.

Menurut ulama, puasa sunat harus dilakukan pada mana-mana hari di sepanjang tahun kecuali di bulan Ramadan, hari raya dan hari-hari Taysriq. Namun, digalakkan memilih hari-hari khusus yang disunatkan oleh Rasulullah SAW kita berpuasa.

sumber

Hukum Mengahwini Wanita Hamil

SOALAN: Adakah benar pandangan yang mengatakan sah seseorang itu berkahwin dengan wanita yang sedang mengandungkan anaknya dan harus dia sendiri berkahwin dengan wanita itu?

– Musa Harun, Melor Kota Bharu, Kelantan.

JAWAPAN: Pandangan itu adalah benar dan tepat sekali, kerana kandungan yang tidak halal itu tidak dihormati langsung dan tidak sabit nasabnya dengan bapa kandung (anak) haram tersebut sekalipun benih itu daripada dirinya sendiri. Perkahwinan yang dikatakan tidak sah ialah apabila dilakukan dalam edah, iaitu seorang wanita yang sedang mengandung hasil perkahwinan dengan suaminya yang sah. Edahnya ialah selepas melahirkan kandungan tersebut. Jadi kedua-dua pendapat itu adalah benar. Yang mengatakan sah ialah perkahwinan dengan wanita yang sedang mengandung kandungan yang haram hasil perbuatan haramnya . Manakala yang mengatakan sebaliknya dan tidak sah itu ialah perkahwinan yang dilakukan semasa edah dengan wanita yang sedang mengandung kandungannya yang halal daripada suaminya yang sah. Wallahualam.

sumber

Tolak Hukum Rejam

SOALAN: Sahabat saya menolak hukuman rejam kerana katanya al-Quran tidak pernah menyebut hukuman tersebut. Beliau memberitahu, apa yang ada hanyalah hukuman sebatan 100 kali sahaja. Adakah kenyataannya itu benar?.

– Yusof Ibrahim, Gua Musang, Kelantan.

JAWAPAN: Kita umat Islam mesti mengakui bahawa sumber hukum dalam agama itu berdasarkan kepada empat sumber yang telah diterima iaitu al-Quran, hadis ijmak dan kias. Jadi sekalipun hukuman rejam itu tidak terdapat dalam al-Quran tetapi ada dalam hadis Rasulullah SAW. Ini kerana berapa banyak hukum dalam agama yang tidak disebut dalam al-Quran tetapi ada disebut dan dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW. Sebagai contoh hukum rejam ini ada disebut dengan jelas dalam hadis yang diriwayatkan oleh jamaah dari Ubadah bin Samit ra.katanya: Rasulullah bersabda katanya: Ambillah dan terimalah (ajaran agama dariku) mereka yang belum kahwin itu hukumnya seratus rotan dan buang kawasan setahun, sedangkan mereka yang sudah berkahwin itu hukumnya seratus kali sebatan dan rejam. Sedangkan apa yang disebut dalam al-Quran itu hanyalah hukum mengenai kesalahan zina yang dilakukan oleh teruna dan dara yang belum berkahwin . Begitu juga hadis dari Jabir bin Samurah, bahawa Rasulullah SAW telah merejam sahabatnya, Ma‘iz bin Malik yang telah mengaku melakukan kesalahan zina tersebut. (HR Ahmad).

Ini semua merupakan dalil yang menunjukkan bahawa hukuman terhadap mereka yang muhson ( sudah melalui perkahwinan yang sah) itu direjam sampai mati apabila melakukan kesalahan tersebut berdasarkan firman Allah SWT : Apa (ajaran agama) yang dibawa kepada kamu oleh Rasulullah itu hendaklah kamu terima dan apa yang dilarangnya hendaklah kamu jauhi (al-Hasyr ayat 7). Wallahualam.

sumber

Bertaruh dalam Permainan Golf

SOALAN: Adakah dikira berjudi apabila dalam satu-satu permainan sukan, contohnya golf, kita secara suka-suka mempertaruhkan sedikit wang sebagai memberi semangat untuk bermain dengan bersungguh-sungguh dan bukan dengan maksud bermain judi yang sebenar.

- Ismail Lah, Putrajaya.

JAWAPAN: Sebarang jenis permainan atau senaman itu dibenarkan oleh agama pada masa tertentu untuk kesihatan dan mengeratkan hubungan sesama kenalan. Tetapi amalan judi itu tetap dilarang sama ada ianya sedikit atau banyak. Judi itu menurut definisinya ialah pertaruhan yang mengandungi untung dan rugi seperti apa yang anda katakan sekalipun untuk berseronok sahaja. Sebab, kedua belah pihak akan mengalami keadaan yang sama kalau tidak untung, dia akan rugi. Ini kerana ia telah mengeluarkan modal atas dasar mencari untung. Lainlah modal yang dikeluarkan atas dasar perniagaan atau semata-mata untuk bertabarru‘a dan bersedekah atau membantu mereka yang dalam keperluan. Tetapi apa yang anda timbulkan ini, bukan atas dasar yang dibenarkan. Berlainan daripada hadiah atau sumbangan yang diberikan atas dasar membantu atau kenang-kenangan, seperti hadiah dan cenderamata kepada mereka yang menang dalam pertandingan yang disediakan oleh pihak tertentu (pihak ketiga bukan dari peserta). Anda dinasihatkan supaya menukar pendekatan untuk mendapatkan galakan atau semangat (berbentuk hadiah dan sebagainya) melalui penajaan pihak ketiga bukannya kutipan wang daripada peserta yang terlibat. Ini kerana nanti akan termasuk dalam definisi judi yang dilarang kerana wang itu akan diagih dan dimenangi oleh mereka yang tertentu sahaja manakala peserta lain mengalami kerugian. Inilah judi yang dilarang. Wallahualam.

sumber

Bidaah dalam Solat

Arkib SEPTEMBER 2009