Friday, April 25, 2008

Mandi Wajib Ketika Demam Campak

Tangguh mandi wajib
SOALAN: Saya mengalami demam campak yang agak teruk di muka dan tubuh badan. Kebetulan pula saya ingin mandi wajib selepas selesai haid. Tetapi keluarga menasihatkan saya jangan mandi, untuk mengelakkan kulit badan pecah dan meninggalkan parut. Adakah cara lain untuk mengatasinya?

– Siti Payung,

Klebang Besar, Melaka.

JAWAPAN: Anda patut mendengar nasihat keluarga anda tersebut demi untuk kebaikan diri sendiri. Ini kerana penyakit tersebut boleh menyebabkan kesan buruk sebagaimana yang diketahui umum. Begitu juga pada pendapat pakar perubatan, anda boleh melakukan tayamum sebagai ganti mandi wajib tadi. Kerana pada masa Rasulullah pernah berlaku di kalangan sahabat yang mati kesejukan akibat mandi wajib tersebut. Caranya amatlah mudah iaitu dengan menepuk dua tangan sebanyak dua kali, kali pertama untuk menyapu muka dan kali kedua untuk tangannya. Justeru dua anggota itu saja yang wajib disapu sebagai anggota tayamum. Apabila anda sudah bertayamum maka anda tidak perlu melakukan mandi wajib lagi. Dalam agama kita ini banyak kemudahan dan kelonggaran yang diberikan sesuai dengan keadaan dan kemampuan masing-masing. Wallahualam.

sumber

Melihat Allah s.w.t.

Soalan: Kenapa Allah s.w.t. tidak boleh dilihat dan tidakkah ia dapat menambah keyakinan manusia terhadap-Nya? Adakah keadaan ini akan berterusan? Kenapa Nabi Musa minta untuk melihat Allah? Tidakkah Musa tahu, Allah tidak boleh dilihat.

– Taufik Mustafa,

Kuala Kerai, Kelantan.

Jawapan: Setiap yang ada itu harus dilihat. Begitu juga wujud Allah boleh dilihat, tetapi ianya tidak akan berlaku di dunia ini (mustahil berlaku) selain dalam mimpi atau dengan hati dan cahaya keimanan. Sebab itu Musa mohon untuk melihatnya tetapi jawab Allah: Kamu tidak akan dapat melihat-Ku (di dunia ini) tetapi lihatlah kepada bukit itu, sekiranya bukit itu dapat bertetap di tempatnya maka kamu akan dapat melihat-Ku” (surah al-Araf ayat 143). Musa tahu hakikat ini semuanya tetapi kerana terlampau rindunya sewaktu datang menghadap-Nya di waktu yang Kami tetapkan, lalu terkeluar permohonan tersebut dari mulutnya.

Ternyata bila Allah tajalli (menzahirkan kehebatan-Nya ke bukit itu lalu jadilah bukit itu hancur seperti debu. Sehingga akhirnya Musa tersungkur dan jatuh pengsan. Dan bila dia sedar lalu berkata: Maha suci Engkau (ya Allah!) aku bertaubat kepada-Mu dan aku adalah sebahagian orang (benar-benar) berimam kepada-Mu sambungan akhir ayat (surah al-Araf ayat 143). Jadi apa yang dapat difahami bahawa hukum melihat Allah itu adalah harus tetapi mustahil berlaku di dunia ini. Tetapi pada hari akhirat memang akan berlaku. Ini seperti firman Allah s.w.t.: Muka pada hari itu akan berseri-seri melihat dan memandang kepada Tuhannya (surah al-Qiamah ayat 22-23).

Dan lagi syarat yang diberikan untuk melihat-Nya itu juga adalah harus, bila syarat suatu itu harus maka suatu itu juga (masyrutnya) adalah harus. Kita janganlah mengingkari nikmat melihat Allah ini kerana nikmat yang paling agung ini tidak akan dikurniakan kepada mereka yang menafikannya seperti kaum Muktazilah dan mereka yang sesat. Dalam hal ini Allah berfirman bermaksud: Untuk mereka yang (berusaha melakukan) kebaikan itu balasan syurga dan tambahan (satu kebaikan lagi) (surahYunus ayat 26). Kata ulama: Maksud satu tambahan kebaikan itu ialah nikmat melihat kepada Allah yang tidak ada sebarang nikmat lain dapat mengatasinya.

Kesimpulannya isu melihat Allah ini adalah merupakan kesalahan dan tidak harus diminta oleh sesiapapun. Sebab itu Musa bertaubat dari kesilapannya dan lupa bahawa Allah itu Maha Suci dari sebarang tempat yang tertentu sehingga dapat dilihat. Nabi Ibrahim tidak memintanya tetapi meminta untuk melihat rahsia kejadian-Nya sahaja. Allah berfirman bermaksud: Tuhanku perlihatkan kepadaku bagaimana Engkau hidupkan orang yang sudah mati, firman-Nya apakah kamu belum beriman (dengan kekuasaan-Ku) jawabnya; bahkan! Tetapi untuk penetapan dan keyakinan hatiku (surah al-Baqarah 260).

Anda perlu sedar bahawa berapa banyak perkara dari perbuatan manusia sendiri sudah lemah fikiran kita untuk memikirnya seperti peralatan perhubungan sekarang dan kecanggihan ciptaan sains. Di mana pada suatu masa dahulu perkara tersebut termasuk dalam perkara mustahil dan tidak masuk akal tetapi hari ini semuanya di hadapan mata. Allah berfirman bermaksud: Akan Kami perlihatkan mereka akan tanda kekuasaan Kami dari ufuk-ufuk langit dan pada diri mereka juga sehingga terbukti jelas bahawa al-Quran itu adalah benar (dari Allah) (surah Fusillat ayat 53). Tambahan pula sekiranya Allah dapat dilihat maka hilanglah hikmat dan tujuan kejadian alam dunia sebagai negeri tempat ujian ini kerana semua manusia akan beriman dan bertuhankan-Nya tidak ada se- orang pun yang syirik kepada-Nya. Dan juga batal dan sia-sialah kejadian syurga dan neraka-Nya. Wallahualam.

SUMBER

Kanak-kanak Meninggal Akan ke Syurga

SOALAN: SAYA sudah mendirikan rumah tangga sejak tiga tahun lalu. Baru-baru ini kami dikurniakan anak tetapi malangnya ia meninggal sejurus dilahirkan.

Hati saya dan suami sangat sedih sehinggakan ada kalanya kami seolah-olah mempertikaikan takdir yang menimpa. Bagaimanakah kami mahu meredakan peristiwa ini?

JAWAPAN

Allah SWT berjanji bahawa manusia pasti diuji. Firman-Nya yang bermaksud: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah: 155).

Sementara itu dalam surah al-Mulk ayat 2, Allah SWT menjelaskan: Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).

Apa yang menimpa puan pernah menimpa Baginda Rasulullah SAW. Baginda dikurniakan tujuh orang anak, enam hasil perkahwinan dengan Khadijah. Mereka ialah Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqayyah, Fatimah, Ummu Kalthum. Seorang lagi bernama Ibrahim hasil perkahwinan Baginda dengan Mariah Qibtiyah.

Anak-anak lelaki Rasulullah SAW meninggal sewaktu kecil lagi, manakala tiga anak perempuan meninggal dunia selepas berkahwin dan semasa Nabi SAW masih hidup. Hanya Fatimah yang hidup lebih lama daripada bapanya.

Kesemua anak lelaki Baginda meninggal ketika usia mereka masih kecil. Qasim dikatakan meninggal ketika umurnya tujuh tahun, begitu juga Abdullah. Ibrahim pula meninggal ketika berusia 16 bulan. Baginda yang menjadi kekasih Allah SWT telah diuji dengan pemergian anak-anak Baginda.

Kanak-kanak yang meninggal di awal usia ditempatkan di dalam syurga. Oleh itu sabarlah, dan berserahlah kepada Allah SWT terhadap takdirnya. Yang pastinya darah daging puan sudah ada di dalam syurga. Di sana mereka akan dijaga dan disusukan oleh ibu susuan. Mereka tiada di hadapan kita tetapi mereka melalui kehidupan di alam lain dengan penuh nikmat.

seterusnya

Thursday, April 10, 2008

Sambutlah Maulidurrasul: Qardhawi

Dr. Yusuf Qaradhawi, Ketua Persatuan Ulama Islam Antarabangsa membolehkan perayaan maulid Nabi Muhammad saw. Perayaan seperti itu boleh dimanfaatkan untuk mengingat kembali sirah perjuangan Rasulullah saw, keperibadian Rasulullah saw yang agung dan misi yang dibawanya daripada Allah swt kepada alam semesta. Menurut Qaradhawi, perayaan Maulid Nabi saw tidak termasuk dalam kategori bid’ah.


Dalam fatwanya, Qaradhawi melandaskan pendapatnya dengan mengatakan bahawa memperingati kelahiran Rasulullah saw adalah mengingatkan umat Islam terhadap nikmat luar biasa kepada mereka. “Mengingat nikmat Allah adalah sesuatu yang disyariatkan, terpuji dan memang diperintahkan. Allah swt memerintahkan kita untuk mengingat nikmat Allah swt, ” ujar Qaradhawi.

Namun demikian, Qaradhawi juga mengatakan bahwa peringatan Maulid Nabi saw jangan sampai dicampur dengan pelbagai kemungkaran dan penyimpangan syariat serta melakukan apa yang tidak diberikan kekuatan apapun oleh Allah swt.

“Menganggap peringatan Maulid adalah bid’ah dan semua bid’ah itu sesat dan tempatnya di neraka, itu tidak benar sama sekali. Yang kita tolak adalah mencampur peringatan itu dengan pelbagai penyimpangan syariah Islam dan melakukan sesuatu yang tidak diberi kekuasaan apapun oleh Allah swt seperti yang terjadi di sebahagian tempat, ” kata Qaradhawi.

Fatwa Qaradhawi dikeluarkan untuk menjawab pertanyaan sejumlah umat Islam yang menanyakan, “Apa hukumnya merayakan maulid Nabi saw dan perayaan Islam lainnya, seperti perayaan tahun baru hijriyah, isra mi’raj dan lainnya?” Maka, Qaradhawi menjawab antara lain bahawa, “Mengingat nikmat itu diperintahkan, terpuji dan memang dianjurkan. Mengingatkan umat Islam dengan pe;bagai peristiwa penting dalam sejarah Islam yang di dalamnya terdapat pelajaran yang bermanfaat, bukan sesuatu yang tercela, dan tidak boleh disebut sebagai bid’ah atau kesesatan.”

Beliau menambah lagi, “termasuk hak kami adalah mengingat sirah perjalanan Rasulullah saw dalam pelbagai peringatan. Ini bukan peringatan yang bid’ah kerana kita mengingatkan manusia dengan sirah nabawiyah yang mengikatkan mereka dengan misi Muhammad saw. Ini adalah kenikmatan luar biasa. Adalah dahulu para sahabat radhiallahu anhum kerap mengingat Rasulullah saw dalam pelbagai kesempatan.”

Di antara contohnya, Qaradhawi menyebutkan, perkataan sahabat bernama Sa’d bin Abi Waqash radhallahu anhu, “Kami selalu mengingatkan anak-anak kami dengan peperangan yang dilakukan Rasulullah saw sebagaimana kami menjadikan mereka menghafal satu surah dalam Al-Quran.” Ungkapan ini, menurut DR. Qaradhawi menjelaskan bahwa para sahabat kerap menceritakan apa yang terjadi dalam perang Badar, Uhud dan lainnya, kepada anak-anak mereka, termasuk peristiwa saat perang Khandaq dan Bai’atur Ridhwan.” (na-str/iol)

sumber



Berhadas Besar Tapi Tak Boleh Kena Air

SOALAN: Saya mengalami demam campak yang agak teruk di muka dan tubuh badan. Kebetulan pula saya ingin mandi wajib selepas selesai haid. Tetapi keluarga menasihatkan saya jangan mandi, untuk mengelakkan kulit badan pecah dan meninggalkan parut. Adakah cara lain untuk mengatasinya?

– Siti Payung,

Klebang Besar, Melaka.

JAWAPAN: Anda patut mendengar nasihat keluarga anda tersebut demi untuk kebaikan diri sendiri. Ini kerana penyakit tersebut boleh menyebabkan kesan buruk sebagaimana yang diketahui umum. Begitu juga pada pendapat pakar perubatan, anda boleh melakukan tayamum sebagai ganti mandi wajib tadi. Kerana pada masa Rasulullah pernah berlaku di kalangan sahabat yang mati kesejukan akibat mandi wajib tersebut. Caranya amatlah mudah iaitu dengan menepuk dua tangan sebanyak dua kali, kali pertama untuk menyapu muka dan kali kedua untuk tangannya. Justeru dua anggota itu saja yang wajib disapu sebagai anggota tayamum. Apabila anda sudah bertayamum maka anda tidak perlu melakukan mandi wajib lagi. Dalam agama kita ini banyak kemudahan dan kelonggaran yang diberikan sesuai dengan keadaan dan kemampuan masing-masing. Wallahualam.

sumber

Bayangkan Lelaki Lain Semasa Bersetubuh

Soalan: Saya ingin bertanya dan musykil, kerana setiap kali bersama suami, saya selalu membayangkan lelaki lain untuk meningkatkan rangsangan dan keberkesanan dalam persetubuhan itu. Suami saya tidak mengetahui perangai pelik saya ini. jadi bolehkah saya berbuat demikian untuk kebahagiaan kami?

– Isteri keliru,

Labok Machang.

JAWAPAN: Persoalan anda ini, memerlukan banyak penjelasan dan kajian yang lebih terperinci. Ini kerana bayangan yang dinyatakan itu tidak jelas. Adakah gambaran yang anda lakukan itu dengan membuat persetubuhan dengan orang lain dan bukan suami anda? Jika demikian, maka itulah yang dikatakan zina hati. Sedangkan dosa itu apa yang terguris di hati dan malu untuk ditonton atau diketahui manusia lain, atau melakukannya dengan suami anda yang dibayangkan rupanya seperti lelaki lain, sebab kalau begitu tidak boleh dikatakan zina. Malah masih dalam lingkungan yang halal lagi dibenarkan. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: Apabila seseorang itu terpesona melihat seorang wanita dan terdapat rangsangan, maka bersegera kembali ke rumahnya sendiri, kerana di rumahnya juga, kamu akan dapati seperti (apa yang dapat kita faham itu juga adalah gambaran) apa yang ada padanya.

Ertinya perasaan hati yang di luar kawalan itu tidak diambil salah tetapi perlu disalurkan perasaan tersebut ke tempat yang dibenarkan iaitu suami atau isteri masing-masing dan jangan sekali-kali dengan orang lain. Terimalah pasangan kita itu seadanya, itulah punca kebahagiaan rumah tangga, boleh jadi mereka yang kita rasakan indah dan menawan itu tidak dapat menandingi pasangan kita yang ada bersama di samping kita. Dan ingatlah pesanan Allah s.w.t. yang bermaksud: sekiranya kamu benci (pasangan kamu itu) pada sesuatu, barangkali banyak lagi kebaikan lain yang ada pada dirinya (selama ini) (an-Nisaa’ ayat 19). Sehingga kita dapat hidup selesa di sampingnya, sedangkan orang lain yang kita rindukan itu, mungkin cuma bala yang akan menderitakan hidup kita selamanya. Wallahualam.

SUMBER

Baca Quran Tanpa Wuduk

SOALAN:
Saya difahamkan bahawa beberapa guru agama mengatakan tidak boleh membaca al-Quran tanpa wuduk sedangkan basmalah itu pun satu ayat daripada al-Quran juga. Hadis Rasulullah ada mengatakan setiap urusan yang baik itu apabila tidak dimulakan dengan basmalah ianya kurang berkat. Saya pun jadi musykil bila kita hendak mandi janabah kita disuruh membaca basmalah. Begitu juga mereka yang hendak berwuduk disunatkan juga membaca basmalah. Adakah betul cakap mereka tadi ?

– Sufyan Bin Misdar, Tawau.

JAWAPAN: Membaca basmalah hukumnya adalah sunat, lebih-lebih lagi apabila kita ingin memulakan pekerjaan yang baik-baik. Sabda Nabi yang bermaksud: setiap urusan penting yang tidak dimulakan dengan basmalah akan terputus (tidak berkat) dan banyak lagi hadis lain yang menyatakan kelebihan basmalah tersebut. Adapun semasa hadas kecil, kita tidak dilarang untuk membaca al-Quran dan basmalah tetapi semasa dalam hadas besar dan berjanabah sahaja yang kita dilarang membacanya. Sebab itu kata ulama: “bagi mereka yang berhadas besar tidak dibenarkan untuk membacanya melainkan dengan niat zikir sahaja atau tanpa sebarang niat, kerana kalau diniatkan membaca al-Quran sahaja atau serta zikir maka ianya dilarang juga. Kerana haram bagi mereka yang berjanabah untuk mebaca al-Quran atau disertakan dengan tujuan yang lain.”

Adapun membacanya tanpa sebarang niat seperti terlancar lidahnya atau tujuan zikir semata-mata atau doa atau untuk mengambil berkat atau hafalan dan sebagainya maka ianya dibenarkan. Ini kerana di samping bukti dan tujuan, bacaan itu tidak akan menjadi al-Quran melainkan dengan ada kasad dan niat membacanya, sekalipun dengan apa (bacaan) yang tidak ada susunannya selain dalam al-Quran sahaja seperti surah al-Ikhlas. Kata ulama lagi bacaan tersebut diharamkan apabila dapat didengar oleh dirinya namun kalau bacaan itu tidak dapat didengar seperti disebut di dalam hati sahaja atau gerak lidahnya sahaja tanpa berbunyi dan berlafaz maka hams (bisikan hati) itu dibolehkan. Wallahualam.

sumber

Bacaan Quran Kepada Si Mati

SOALAN:
Apakah hukumnya membaca al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati. Saya ada terbaca artikel mengatakan pahalanya tidak sampai. Persoalannya betulkah pandangan yang mengatakan bacaan al-Quran tidak sampai kepada si mati?

JAWAPAN;
Sebenarnya dalam persoalan ini ada dua pandangan. Pandangan yang menolak dan pandangan yang mengharuskan. Maka bila kita membawa hujah adalah lebih baik kita kemukakan hujah golongan yang menolak dan golongan yang menerima. Supaya berlaku adil di dalam berhujah.

Memandangkan saudara telah membaca alasan dan hujah yang menolak, di sini saya kemukakan alasan serta hujah golongan yang menerima.

Membaca al-Quran dan menghadiahkannya kepada si mati, ulama ada beberapa pendapat. Ada yang mengharuskan dan ada yang melarang. Ulama yang mengharuskan berpendapat bahawa amalan membaca al-Quran dengan niat menyedekahkannya kepada si mati diharap mendapat manfaat kepada si mati.

Ulama yang menganggap pahala daripada bacaan al-Quran tidak akan sampai kepada si mati kerana membaca al-Quran adalah amalan badaniah tidak boleh dilakukan oleh orang lain untuknya. Dalam erti kata yang lain amalan badan ketika masih hidup, apabila mati terputuslah amalannya dan tiada siapapun yang boleh memberi manfaat kepada si mati. Amalannyalah yang akan menjadi penyelamat baginya dalam kubur.

Namun tidak kurang banyaknya riwayat daripada Rasulullah s.a.w. yang diistinbat oleh para ulama di dalam mengharuskan bacaan al-Quran kepada si mati. Dan diharapkan melalui amalan itu si mati dapat dirahmati Allah s.w.t.

Kita sebagai hamba memohon Allah berhak menentukan, ini kerana keampunan Allah lebih luas daripada kemurkaannya.

Hujah yang dikemukakan oleh ulama yang mengharuskan seperti berikut:

1- Fatwa Mufti Atiyyah Saqar pada tahun 1997 mengharuskan bacaan al-Quran di sisi mayat kerana yang demikian akan memberi manfaat kepada si mati. Sama ada di bacaan dengan niat menyedekahkannya atau tidak. Hukum ini lebih kepada bacaan di sisi mayat.

Seperti mana hadis-hadis yang terdapat dalam kitab-kitab al-Hadis. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, Para malaikat akan menghamparkan sayapnya serta menyebut-nyebut kehadiran di sisi Allah, mereka juga akan dilimpahi dengan rahmat Allah s.w.t. serta mendapat ketenangan. (Riwayat Muslim)

Al-Quran adalah zikir, malahan sebaik-baik zikir. Di dalam membicarakan masalah ini terdapat riwayat yang menyebut secara jelas saranan Nabi s.a.w. supaya membaca Yasin kepada si mati.

Riwayat ini disebut oleh Ahmad, Abu Daud, al-Nasaie termasuk juga Ibn Majah manakala Ibn Hibban telah memperakui akan kesahihan hadis ini.

Seperti mana yang diriwayatkan, sesungguhnya Rasulullah telah bersabda, yang bermaksud: “Jantung al-Quran ialah Yasin, tidak seorangpun yang membacanya melainkan dia mengharapkan pembalasan di hari akhirat melainkan dia diampuni Allah swt, justeru hendaklah kamu membacanya kepada yang hampir mati dan orang-orang Islam yang lebih awal meninggalkan kamu.”

Imam An-Nawawi di dalam Syarah al-Muhazzab berpendapat: “Disunatkan bagi orang yang ziarah kubur itu membaca ayat-ayat al-Quran yang mudah-mudah baginya dan mendoakan mereka setelah membaca itu. Lebih lanjut beliau menambah: “Jika mereka mengkhatamkannya, itu adalah lebih afdal lagi.

Imam Ahmad bin Hanbal juga pada mulanya menolak pendapat ini kerana menganggap tidak ada dalil, tetapi menerimanya kemudian setelah mendapati terdapat dasar mengenainya. Asy-Sya’bi pula berkata: “Jika seorang daripada kaum Ansar meninggal dunia, mereka akan pulang dan pergi semula ke kuburnya untuk membaca al-Quran baginya.

Imam al-Darqutni dan ibn al-Qattan telah menyatakan bahawa bacaan al-Quran dalam ayat ini bermakna: “Membaca Yasin ketika sakaratul al-Maut”. Namun pandangan ini telah dikritik sebahagian ulama dengan menyatakan “lafaz am-mayyit dalam hadis tersebut adalah lafaz umum, tidak dikhususkan bagi orang yang hampir mati sahaja, maka tidak ada yang menghalang dari sampainya manfaat bacaan ayat-ayat suci al-Quran biarpun orang telah meninggal.” (Musnad al-Firdaus)

Tiga keadaan menghadiahkan bacaan al-Quran kepada si mati:

1- Apabila seseorang itu membaca al-Quran kemudian berdoa kepada Allah supaya si mati itu diampuni dan dirahmati insya-Allah diterima Allah, seperti mana seseorang itu bertawasul dengan amalan-amalan soleh.

Tidak harus menolak manfaat doa selepas bacaan al-Quran kepada si mati.

2- Membaca al-Quran kemudian berdoa supaya Allah menghadiahkan pahala bacaan al-Quran itu kepada si mati. berkata Ibn Solah: “Harus meyakini manfaatnya kepada si mati supaya dikurniakan Allah kepada si mati pahala bacaan seperti mana pahala bacaan yang diperolehi oleh hamba yang hidup.”

3- Membaca al-Quran dari awal diniatkan kepada si mati, maka pahalanya akan sampai kepada si mati dengan izin Allah s.w.t.

Berkata Abu Abdullah al-Ubay: “Jika dibaca al-Quran dari mula sudah diniatkan untuk dihadiahkan kepada si mati akan sampai seperti mana yang diniatkan, seperti pahala sedekah dan doa.”

Imam Ibn Rusyd di dalam Nawazil pula menyebut: “Jika seseorang itu membaca al-Quran kemudian di hadiahkan kepada si mati harus dan si mati akan peroleh pahala dan manfaatnya”

Kebanyakan ulama mengharuskan orang yang masih hidup menghadiahkan atau menyedekahkan pahala bacaan al-Quran kepada si mati. Pendapat ini disetujui oleh ulama-ulama bermazhab al-Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam al-Nawawi. Fatawa alAzhar ( jld; 8, 302 )

Bukan sahaja bacaan surah al-Fatihah malahan keseluruhan al-Quran bacaannya boleh dihadiahkan kepada para arwah yang telah lebih awal meninggalkan kita.

Di dalam al-Quran, Allah menyarankan agar kita berdoa kepada orang yang telah kembali lebih awal daripada kita seperti mana firman-Nya yang bermaksud: Ya Tuhan kami, berilah kami keampunan dan keampunan bagi saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami. (al-Hasyr: 10).

Kita berdoa dengan harapan agar Allah s.w.t. merahmati serta mengampuni mereka yang lebih dahulu kembali kepada alam baqa. Maksudnya Allah memberi harapan kepada yang masih hidup supaya berdoa kepada saudara-saudara mereka yang meninggal lebih awal. Kita boleh membantu saudara kita yang masih hidup dengan wang ringgit, bagi yang sudah meninggal bantuannya ialah dengan berdoa dan menyedekahkan fatihah dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Biarpun apa yang kita kirimkan kepada mereka tidak dapat membebaskan mereka dari kemurkaan Allah, namun harapan dapat diringankan dengan belas ihsan serta rahmatnya yang luas. Sekurang-kurangnya ada usaha dari insan-insan yang masih hidup.

Sebarang soalan untuk ruangan Kemusykilan Agama boleh dihantar melalui e-mel ke agama@utusan.com.my atau ke Ruangan Agama, Utusan Malaysia, 46M, Jalan Lima, Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.

Faks: 03-9222 4967.

sumber

Larangan Bermegah Dengan Keturunan

Syeikh al-Maghari berkata: Nabi Muhammad s.a.w pernah berkhutbah ketika hajjatul wada’, pada hari kedua dari hari Tasyrik dan menunjukkan kepada umatnya supaya meninggalkan sifat bermegah-megahan dengan keturunan.

Sabda Rasulullah, seraya bersabda: “Hai manusia, ketahuilah Tuhan kamu adalah satu dan ayah kamu adalah satu. Ketahuilah, tiada kelebihan bangsa arab terhadap ‘ajam, begitu ‘ajam terhadap bangsa arab. Tiada kelebihan bagi yang berkulit merah atas yang berkulit hitam dan begitulah bagi yang berkulit hitam atas yang berkulit merah kecuali dengan takwa. Tidakkah aku sampaikan? Mereka menjawab: Rasulullah telah menyampaikan.”

Allah berfirman, Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.

Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.

SETERUSNYA