Sunday, September 7, 2008

Puasa: Kelonggaran Untuk Ibu Mengandung

SOALAN: Ramai kawan bertanya adakah dengan hamil sahaja membolehkan wanita berbuka puasa, atau selepas tujuh bulan atau hampir bersalin? Saya masih mencari jawapan.

– Bakal ibu, Shah Alam.

JAWAPAN: Apa yang pasti jika seseorang yang mengandung itu menghadapi masalah seperti sakit buah pinggang, maka bolehlah dia berbuka puasa, bukan kerana ia mengandung tetapi kerana penyakitnya itu jika sudah diakui oleh doktor yang pakar. Puasa juga boleh dibuka oleh ibu yang mengandung atau tidak tetapi sedang menyusukan bayi, jika kerana berpuasa akan menyebabkan kekurangan susu daripada payu daranya. Atas keperluan anak susuan itu diizinkan berbuka puasa.

Apa pun ingin saya mengingatkan ada satu kajian di Universiti al-Azhar yang mengatakan puasa itu sendiri tidak memberi kesan buruk kepada mereka yang mengandung dan juga janin dalam perut ibu. Namun jika si ibu yang mengandung merasakan terlalu penat dan boleh menjejaskan kesihatannya, banyak pihak mengatakan ia boleh berbuka puasa.

Ada juga ibu-ibu mengandung yang disahkan oleh para doktor mempunyai masalah kekurangan darah. Jika ia memerlukan makanan berzat, serat atau sebagainya, tetapi kalau dia mampu menampung memakan makanan itu pada waktu berbuka puasa sehingga waktu sahur, tidaklah perlu untuk meninggalkan puasa. Tetapi jika dia tidak mampu mencukupkan makanan tersebut pada masa berbuka hingga waktu sahur, bolehlah dia berbuka.

baca seterusnya

Yang Sunat dan Makruh Sepanjang Ramadhan

SOALAN: Bolehkah tuan sebutkan perkara sunat dan makruh yang dilakukan di bulan Ramadan Ini. Adakah selawat antara solat tarawih itu disunatkan?

– Mat Ismail, Kajang, Selangor.

Jawapannya: Antara perkara sunat yang amat digalakkan untuk dilakukan pada bulan Ramadan ialah membaca al-Quran dan bertadarus, mendirikan solat tarawih, bersedekah, beriktikaf di masjid terutama pada 10 hari terakhir Ramadan, menjamu makan, mengadakan program yang dapat merapatkan hubungan antara umat Islam, menambah ilmu pengetahuan, membantu mereka yang memerlukan bantuan, mendamaikan antara dua puak yang bersengketa dan banyak lagi. Antara perkara makruh pula ialah banyak tidur pada siang hari, tidak melakukan perkara yang disunatkan di atas, mengumpat dan bercakap kosong, berkelahi sesama saudara Islam, dan bermain catur, aji di kedai kopi. Pada masa yang lain tidak dilarang tetapi perkara tersebut dilarang dan dibenci sekiranya dilakukan pada bulan Ramadan. Adapun selawat antara solat tarawih hanyalah sunat dan digalakkan seperti firman-Nya bermaksud Allah dan Malaikat-Nya berselawat atas nabi, wahai orang yang beriman selawat dan salamlah keatasnya (maksud al-Quran surah Al- Ahzab). Dan ini boleh dilakukan di mana-mana, tetapi kerana solat tarawih dilakukan secara tenang dan diceritakan pada masa sahabat dulu ada mereka (sahabat) yang selesai satu solat, terus bertawaf, dan selesai tawaf disambung dengan solat tarawih, demikianlah seterusnya. Wallahualam.

sumber

Sunnah Berbuka Puasa Dengan Kurma

MENURUT Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji kurma yang segar sebelum menunaikan solat (Maghrib). Sekiranya tidak ada kurma yang segar, baginda akan berbuka dengan kurma kering. Jika tidak ada juga kurma kering, Baginda mengambil beberapa cedok air. (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Abu Daud dan Tirmizi meriwayatkan daripada Sulaiman bin Amir bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila seorang di antara kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan kurma. Sekiranya tidak ada kurma, hendaklah ia berbuka dengan air kerana air itu bersih lagi membersihkan.

Diriwayatkan dari Anas bin Malik yang berkata: “Adalah Nabi (SAW), tidak berangkat menuju musolla kecuali baginda memakan beberapa biji kurma, dan baginda memakannya dalam jumlah bilangan ganjil.” (Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim).

Amalan berbuka Rasulullah SAW menggambarkan kurma itu banyak khasiatnya, terutama untuk badan yang keletihan selepas sehari berpuasa.

baca seterusnya

Musafir Boleh Tidak Solat Jumaat

SOALAN: Apakah orang yang musafir dibolehkan meninggalkan solat Jumaat?

– Awang Lah Hamat, Pulau Kerbau,
Sungai Pinang, Kelantan.

JAWAPAN: Orang yang musafir diberi beberapa kelonggaran (keuzuran) seperti harus tidak berpuasa dan menggantikannya pada hari-hari lain. Bagaimanapun Allah mengatakan kamu lakukan juga puasa itu adalah lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui (Surah al-Baqarah ayat 184). Kemudian sabda Nabi bermaksud: Kelebihan satu hari puasa Ramadan itu tidak akan sama dengan semua hari puasa lain.

Mereka juga tidak wajib melaksanakan solat Jumaat dan sebagainya tetapi kelebihan solat Jumaat itu amatlah besar. Oleh itu janganlah ditinggalkan tanpa sebab yang benar-benar menyusahkan yang boleh mengganggu perjalanan tersebut. Allah SWT mengasihi hamba-Nya yang menerima kelonggaran yang ditawarkan Tuhannya sama seperti melakukan arahan-Nya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Mereka yang meninggalkan tiga kali Jumaat akan disenaraikan dalam kumpulan munafikin. (Maksud hadis masuhur). Oleh itu hendaklah dilakukan solat Jumaat melainkan kerana kesuntukan dan benar-benar kesusahan. Apabila ditinggalkan solat Jumaat, gantilah dengan solat zuhur. Wallahualam.

sumber

Wednesday, September 3, 2008

Menyapu Muka Selepas Solat

InsyaAllah pada kali ini scene-r cuba berkongsi dengan sidang pembaca berhubung persoalan yang sering ditanyakan iaitu menyapu muka sambil berdoa sejurus selepas memberi salam selesai solat.

Saya mengingatkan kepada pembaca supaya jangan mudah melatah apa lagi melenting seterusnya membidaah dan menghalang amalan yang dilakukan oleh orang ramai. Walaupun sesuatu amalan itu mempunyai sandaran daripada hadis yang dhaif ,amalan tersebut masih lagi boleh diguna pakai untuk fadhail a’mal. Jika anda tidak mahu melakukan jangan pula menghalang. Justeru, mengapa perlu bertikam lidah?

InsyaAllah saya bawakan kepada anda apa kalam ulama tentang perkara ini. Saya mulakan kalamdaripada Syaikh Syed Abdul Rahman bin Muhammad Husain bin Umar Ba’alawi di dalam himpunan kitab Bughyatul Mustarsyidin muka surah 49


(Faedah) Ibn Mansur telah meriwayatkan bahawa apabila Baginda s.a.w selesai solat.Baginda s.a.w akan menyapu dahinya (yang mulia) dengan telapak tangan kanannya, kemudian melalukannya ke wajah Baginda s.a.w sehingga sampai ke janggut Baginda s.a.w yang mulia seraya melafazkan :

بسم الله الذي لا إله إلا هو عالم الغيب و الشهادة الرحمن الرحيم اللهم أذهب عني الهم و الحزن و الغم اللهم بحمدك انصرفت و بذنبي اعترفت أعوذ بك من شر ما اقترفت و أعوذ بك من جهد بلاء الدنيا و عذاب الآخرة


Dengan nama Allah yang tiada tuhan (yang layak disembah) selainNya, (Allah) yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan perkara yang nyata.(Allah)Maha Pengasih ,Maha Penyayang. Ya Allah, hilangkanlah daripadaku segala kerisauan (kegundahan, keresahan), kesedihan dan kekesalan.Ya Allah, dengan pujianMu aku berpaling daripada dosa yang kulakukan. Aku tahu dosa yang aku lakukan (Aku mengaku). Aku berlindung dengan Mu ( Ya Allah) daripada segala kejahatan yang aku lakukan. Aku juga berlindung denganMu (Ya Allah) daripada kesukaran bala’ dunia dan azab akhirat.


Seterusnya saya nukilkan kalam daripada Syaikh Daud Fathani di dalam kitab Munyatul Musolli muka surat 18


Adapun sunat yang dikerjakan kemudian daripada sembahyang maka adalah Nabi s.a.w. apabila selesai daripada sembahyang menyapu dengan tangannya di atas kepalanya dan dibacanya:

بسم الله الذي لا إله إلا هو الرحمن الرحيم. اللهم اذهب عني الهم و الحزن

Dengan nama Allah yang tiada tuhan selain Dia yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Ya Allah, hilangkanlah daripadaku segala kerisauan dan kesedihan.

Sidang pembaca sekalian,
Amalan menyapu muka sambil berdoa setelah solat merupakan amalan para ulama kita terdahulu. Mereka adalah ulama yang tahu hukum.Ulama bagai bintang menjadi penunjuk arah panduan orang ramai. Alangkah indah lafaz doa memohon agar segala belenggu kegusaran yang kita lalui dihilangkan, mengakui segala kesilapan dan berazam tidak mengulanginya, memohon perlindungan daripada Allah s.w.t daripada segala kejahatan, kesukaran bala’ dunia dan akhirat.


Bagi anda yang tidak mahu melakukan, itu pilihan anda. Anda tahu apa yang dinamakan fadhail a’mal. Kalau anda tidak mahu beramal dengan fadhail a’mal paling tidak beradablah dengan ulama.
Baiklah cukup sekadar itu.


Wassalam.


sumber