Sunday, November 25, 2007

Makna Haji Mabrur

Makna haji mabrur
SOALAN: Sekarang musim orang mengerjakan ibadah haji. Apakah yang menjadi ukuran mabrur atau tidak ibadah haji itu?

– Mama, Kuantan

JAWAPAN: Dalam konteks haji, dikatakan ibadat haji yang lengkap memerlukan mujahadah usaha yang sungguh-sungguh untuk mencapai musyahadah kesedaran barulah dapat disebut haji mabrur. Kesedaran ini akan melahirkan al-Mahadah cinta satu persiapan untuk berkorban apa sahaja kerana Allah s.w.t.

Ringkasnya ibadah yang telah sampai pada peringkat musyahadah adalah ibadah yang telah melahirkan kesedaran mengubah atau membentuk perilakunya kepada sikap yang sesuai dengan nilai moral dan spiritual daripada ibadah itu.

Dalam ibadah haji, yang menjadi ukuran mabrur atau tidak baik haji kita itu adalah seberapa banyak amal ibadat haji yang telah dilakukan itu melahirkan semangat untuk melaksanakan kebaikan dan kebajikan. Dengan kata lain, seberapa jauh ibadah haji mendorong terjadinya perubahan pada diri kita, sehingga dapat mengubah diri daripada sikap negatif kepada sikap positif.

Haji mabrur ditandai dengan bekasnya makna simbol-simbol amalan yang dilaksanakan di tanah suci, sehingga makna-makna tersebut terwujud dalam bentuk sikap dan tingkah laku setiap hari.

‘Pakaian biasa’ ditanggalkan dan ‘pakaian ihram’ dikenakan. Pakaian dapat melahirkan perbezaan, menggambarkan status sosial, di samping dapat menimbulkan pengaruh psikologi.

Menanggalkan pakaian biasa bererti menanggalkan segala macam perbezaan dan menghapuskan keangkuhan yang ditimbulkan oleh status sosial. Mengenakan pakaian ihram melambangkan persamaan darjat kemanusiaan serta menimbulkan pengaruh psikologi yang bererti bahawa itulah dan dalam keadaan demikianlah seseorang menghadap Tuhan pada saat kematiannya. Bukankah ibadah haji adalah kehadiran memenuhi panggilan Tuhan?

Apakah sekembalinya dari Tanah Suci, masih ada keangkuhan di dalam jiwa? Masih terasa adanya perbezaan darjat kemanusiaan? Masih ingin hipokrit dan menindas orang lain? Kalau masih ada, maka kita masih mengenakan pakaian biasa dan belum menanggalkannya.

Seseorang yang pulang dari menunaikan haji, bukan sahaja merasakan dirinya kembali ke fitrah kesucian tetapi juga tumbuh dalam dirinya perasaan menjadi sebahagian daripada satu masyarakat dunia bernama bangsa muslim. Suatu bangsa yang merapatkan barisan di atas landasan tauhid yang menyatukan raja dan rakyat jelata, ulama dengan kaum dhuafa, jeneral dengan rakyat jajahan. Landasan tauhid juga menjadikan bersaudara di antara orang Arab dan orang Melayu, perantau Cina dan mualaf Eropah, budak Afrika dan pedagang India. Muncul di dada setiap haji bahawa dirinya sebahagian daripada satu kekuatan yang besar. Wallahualam.

- ALAMATKAN kemusykilan anda kepada Kemusykilan Anda Dijawab, Yadim, Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur atau e-mel mingguan@utusan.com.my. Nyatakan nama penuh dan nama samaran untuk siaran.



UM 25 11 07

No comments: