Sunday, November 15, 2009

Hukum hebahkan bayar zakat

SOALAN:
ADAKAH membayar zakat secara terang-terangan misalnya disiarkan di media itu suatu yang dilarang? Adakah ia boleh mengurangkan pahala berzakat?

Jawapan:

Di dalam Islam, ada amal ibadah yang dikategorikan wajib dan ada yang dikategorikan sunat. Amal yang wajib, sama ada disukai ataupun tidak, wajib dilaksanakan sesempurnanya.

Jika amal yang sunat, maka kita digalakkan mengerjakannya kerana ia mendatangkan pahala dan kelak mampu lebih mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Oleh itu, sesiapa yang melakukannya amalan wajib dan diikuti amalan sunat, maka pastilah mereka lebih disukai Allah SWT berbanding mereka yang malas beramal.

Menyentuh amalan berzakat, ada ulama fikah beranggapan ia adalah sesuatu yang wajib dan kewajipannya itu menjadi sesuatu yang tidak salah jika ia dilakukan secara terang-terangan.

Samalah dengan wajibnya mendirikan solat, maka seseorang tidak perlu bersembunyi menunaikannya. Ia termasuklah kewajipan menunaikan solat berjemaah (fardu kifayah) di masjid secara terbuka.

Ia wajib ditunaikan demi mengelakkan semua umat Islam di sesuatu kariah itu menanggung dosa. Maka, tidak timbul orang berkenaan mahu menunjuk-nunjuk rajin dengan menunaikan solat berjemaah bahkan dituntut agar memberikan kesan kepada orang yang malas solat berjemaah.

Pandangan ini misalnya dikeluarkan oleh Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor, Datuk Mokhtar Syafiee.

Bahkan daripada satu aspek lain, zakat yang wajib itu apabila dikeluarkan secara terang-terangan akan mendatangkan aspek yang positif pada dua sudut.

Pertama, ia akan menjadi pemangkin kepada umat Islam yang lain, khususnya golongan yang kaya-raya agar sama-sama bangkit menyahut seruan berzakat.

Apatah lagi apabila seseorang yang menunaikan zakat itu mendedahkan, bahawa beliau menjadi kaya dan bertambah kaya berkat menunaikan zakat pada setiap tahun. Sudah pasti kenyataan ini akan menjadi motivasi pula kepada orang lain.

Keduanya ialah kesan positif kepada orang fakir miskin dan asnaf zakat yang lain. Apabila orang yang kaya-raya memberi zakat secara terbuka, barulah orang-orang fakir dan miskin menyedari bahawa si kaya berkenaan tidak kedekut atau tidak lokek dalam berkongsi kekayaan.

Sudah pastilah orang-orang miskin merasa sayang kepadanya bahkan hormat di atas komitmen yang tinggi orang kaya berkenaan dalam bab zakat.

Kesimpulannya, Islam tidak melarang jika pemberian zakat dihebahkan. Walau bagaimanapun, orang yang menunaikan zakat mestilah meletakkan perasaan tawaduk atau rendah diri yang tinggi di dalam hatinya.

Mereka mestilah menyedari, semua harta yang dizakatkan itu adalah harta Allah SWT, mereka hanya sekadar menjalankan amanah-Nya sahaja. Wallahua’lam.

Sumber

Wanita lebih utama solat di rumah

SOALAN:
SAYA ada kemusykilan tentang kedudukan wanita dalam solat berjemaah. Adakah hadis sahih yang kata perempuan tidak digalakkan turun surau?

Adakah sirah Nabi atau para sahabat yang mana ada muslimat yang komited untuk berjemaah di surau?

Jawapan:

Solat berjemaah di masjid atau surau sangat digalakkan dalam Islam. Hadis-hadis Rasulullah SAW juga cukup banyak yang sentiasa memberi motivasi bahawa pahala orang yang solat berjemaah jauh lebih baik berbanding solat bersendirian.

Di sana juga terdapat hadis-hadis Rasulullah SAW yang mengecam dan memberi amaran yang sangat keras bagi mereka yang tidak hadir solat berjemaah.

Malahan dalam suasana yang sangat getir pun mereka tidak mengabaikan solat berjemaah. Disebabkan keyakinan yang tidak berbelah bagi Rasulullah SAW bahawa penyatuan saf di dalam masyarakat adalah bermula dengan penyatuan saf di dalam masjid.

Masjid menjadi tempat bertemu dan bertanya khabar, peluang menyuburkan semangat persaudaraan. Sebab itulah, falsafah solat berjemaah adalah bertujuan menyatukan ummah sehingga dilabel sebagai khaira ummah (umat terbaik).

Masjid mampu merungkai persengketaan dan perbalahan, tempat menimba yang jernih. Dalam pada itu persoalan solat berjemaah dan fadilatnya banyak ditujukan kepada kaum lelaki bukan kaum wanita.

Namun demikian, ini tidaklah bermaksud wanita tidak perlu ke masjid atau surau untuk solat berjemaah. Untuk memberi jawapan kepada persoalan ini para ulama telah berbincang dan memberi beberapa saranan dan pandangan.

Solat berjemaah di masjid wajib hukumnya, di mana keterangan masalah ini nampak sekali imbas bahawa solat jemaah seakan-akan diwajibkan bagi setiap muslim, baik lelaki mahupun perempuan.

Padahal tidaklah demikian. Ini kerana di dalamnya terdapat beberapa pengecualian dan pengkhususan.

Di antara pengkhususan itu adalah tidak diwajibkan solat berjemaah bagi wanita. Hal itu sesuai dengan ijmak (kesepakatan) ulama. Adapun dibolehkan mereka ikut serta dalam solat berjemaah bukan bererti merupakan kewajipan bagi mereka sebagaimana yang telah dikatakan oleh Abu Muhammad bin Hazm rahimahullah; “Adapun bagi wanita maka hukum menghadiri solat berjemaah adalah tidak wajib. Dalam perkara ini tidak terdapat ikhtilaf di antara para ulama”. (Al Muhalla 4: 196)

Sebaliknya wanita dianjurkan untuk solat di rumahnya kerana fadilat (keutamaannya) lebih besar dibandingkan dengan solat berjemaah di masjid. Rasulullah SAW bersabda kepada seorang wanita yang bermaksud: “Solat di bilikmu (rumahmu) lebih baik daripada solat di rumahmu. Solat di rumahmu lebih utama daripada solat di masjid kaummu”. (riwayat Ibn Khuzaimah)

Di dalam hadis lain Rasulullah bersabda: “Janganlah kalian melarang wanita-wanita kamu (untuk pergi ke) masjid dan rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka”. (riwayat Ibnu Khuzaimah)

Berkata Imam Asy Syaukani r.h ketika menjelaskan lafaz “Rumah-rumah mereka lebih utama bagi mereka”, maksudnya adalah “Solat mereka (wanita) di rumahnya itu lebih utama bagi mereka dibandingkan dengan solatnya di masjid”.

Jika mereka mengetahui yang demikian (pastilah mereka tidak meminta untuk keluar masjid). Akan tetapi kerana mereka tidak mengetahuinya, maka mereka meminta izin untuk keluar ke masjid dengan berkeyakinan bahwa pahalanya lebih banyak daripada solat di rumahnya”. (al-Syaukani, Nailul Authar 3:131).

Dari riwayat-riwayat di atas, para ulama mengistinbatkan hukum bahawa solat wanita di dalam rumahnya lebih utama daripada solat di masjid.

Walaupun demikian mungkin akan timbul dalam benak kita suatu pertanyaan: “Manakah yang lebih utama, wanita solat di rumahnya dengan berjemaah atau solat sendiri. Dan apakah solat jemaahnya akan mendapatkan seperti apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW (yakni lebih utama 27 darjat)?”

Untuk menjawab pertanyaan ini terlebih dahulu kita melihat syarah hadis solat berjemaah lebih utama dibandingkan solat sendiri dengan dua puluh lima (dalam riwayat lain dengan dua puluh tujuh) darjat. Apakah hadis tersebut bersifat umum bagi lelaki dan wanita?

Hujah-hujah yang dikemukakan tadi adalah berdasarkan tuntutan bahawa wanita tidak disuruh dan jangan dilarang.

Hukum awal wanita tidak digalakkan ke masjid atas tujuan mengelak fitnah yang mungkin berlaku, kerana perumahan di zaman Madinah dan Mekah agak jauh dari Masjid. Atas kebimbangan keselamatan adalah lebih baik solat di rumah masing-masing.

Perkara kedua, budaya masyarakat Arab memang tidak akan membenarkan wanita keluar bersendirian, suami akan dikata sebagai tidak bertanggungjawab.

Namun demikian hari ini ramai wanita yang ke masjid tidak ditemani oleh suami tapi dengan izin. Ini kerana suasana hari ini mungkin lebih selamat, apatah lagi dalam suasana kampus.

Beberapa Syarat

Telah menjadi ijmak (kesepakatan) para ulama bahawa Rasulullah tidak mencegah sama sekali para wanita untuk solat berjemaah di masjid bersama beliau sehingga wafatnya.

Demikian pula para Khulafah Rasyidin sesudah beliau SAW. Rasulullah SAW bersabda: Apabila salah satu wanita di antara kalian meminta izin ke masjid, maka janganlah kalian cegah mereka. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Ibnu Umar ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Janganlah kalian melarang hamba (para wanita) Allah ke masjid-masjid Allah. (riwayat al-Bukhari)

Menyoroti hadis-hadis di atas, Imam Nawawi r.a berkata: Hadis ini dan yang semisalnya (menjelaskan) dengan jelas sekali bahawa wanita tidak dilarang pergi ke masjid. Akan tetapi dengan syarat-syarat yang telah disebutkan oleh para ulama yang diambil daripada hadis-hadis iaitu: Tidak memakai wangi-wangian, tidak tabarruj (berhias-hias, bersolek-solek), tidak memakai gelang kaki yang dapat terdengar bunyinya, tidak memakai baju yang mewah, tidak berikhtilat dengan kaum lelaki dan bukan gadis yang dengannya dapat menimbulkan fitnah, tidak terdapat sesuatu yang dapat menimbulkan bahaya di jalan yang akan dilalui. Apabila dia mempunyai suami atau tuan dan terpenuhi syarat-syarat yang disebutkan tadi, maka dimakruhkan melarang mereka ke masjid. Namun jika dia belum/tidak mempunyai suami atau tuan, maka diharamkan melarang mereka ke masjid apabila terpenuhi syarat-syarat di atas. (Syarh Shahih Muslim 4:382-383).

Inilah syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh para ulama yang disyariatkan kepada para wanita yang ingin ke masjid. Syarat-syarat ini diambil daripada hadis-hadis Nabi SAW.

Sumber

Tuesday, November 10, 2009

MENGENALI TAHARAH

Pengertian Taharah
  • dari segi istilah, tahara bermaksud bersih atau suci.
  • dari segi syarak, taharah bererti sucinya mushalli (orang yang solat), badannya, pakaiannya dan tempat solatnya daripada najis seperti kentut dan sebagainya.
Maka firman-Nya dalam Al-Quran:

"Dan pakaianm bersihkanlah."

(Al-Muddatstir:4)

"Dan jika kamu junub, maka mandilah."
(Al-Maidah:6)

"Allah tidak mahu menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, supaya kamu bersyukur."

(Al-Maidah:6)

Rasulullah SAW pernah bersabda:


"Kebersihan itu sebahagian dari Iman"
(HR Muslim dan Ahmad)

Jenis-jenis Taharah
  1. Bersuci dari hadas, baik dari hadas besar mahupun hadas kecil. Jenis taharah ini adalah khusus yang mengenai tubuh seperti wuduk, mandi dan tayammum.
  2. Bersuci dari najis, baik yang ada pada tubuh, pakaian mahupun tempat, iaitu dengan cara menghilangkan najis tersebut.

Friday, November 6, 2009

Mengenali Nifas

Pengertian Nifas
  • sejenis darah yang keluar melalui faraj seorang wanita selepas ia melahirkan anak.
Masa Nifas
  • masa nifas paling lama ialah 40 hari. Tidak ada ketentuan berapa lamakah masa nifas yang paling singkat. Oleh kerana itu, untuk mengetahui nifas memang tidak diperlukan tanda lain selain melahirkan anak.
  • tidak ada had bagi jangka pendek bagi nifas, ia boleh berlaku dalam jangka yang hanya sedetik. Apabila seseorang wanita melahirkan anaknya dan terus terputus darahnya (nifas), sesudah kelahiran itu, atau ia melahirkan anaknya tanpa darah(nifas), maka dikira sudah habis masa nifasnya dan wajiblah diatasnya apa yang diwajibkan ke atas wanita-wanita yang suci.
  • sebelum itu kita telah menyebut bahawa Fatimah al-zahra r.a. telah melahirkan anaknya diwaktu senja merah, lantas ia mensucikan dirinya daripada nifas lalu ia mandi dan terus menunaikan solat Isyak dalam waktunya. Lantaran itu dikatakan bahawa jangka pendek bagi nifas ialah sedetik.
Kelahiran anak kembar
  • Apabila seorang wanita itu melahirkan anak kembar, maka masa nifasnya dikira dari saat kelahiran bayinya yang kedua. Jika terdapat jarak masa diantara kelahiran pertama dengan kedua, maka masa nifasnya dikira dari saat kelahiran yang pertama, biarpun masa itu adalah sepanjang masa nifas yang panjang.
  • kalaulah diandaikan kelahiran bayinya yang kedua selepas empat puluh hari dari kelahiran yang pertama, maka darah yang keluar sesudah kelahiran kedua dikira sebagai darah penyakit dan rosak, bukanlah darah nifas.
Terhentinya darah selama masa nifas
  • keluarnya darah selama masa nifas, bagi beberapa wanita kadang-kadang tidak lancar. Umpamanya sehari keluar sehari tidak. Pendapat ulama mazhab Syafi' masih menganggap nifas, jika terhentinya hanya 15 hari, yakni menurut pendapat yang lebih kuat dalam mazhab ini. Tetapi kalau sesudah melahirkan sama sekali tidak keluar darah dan sesudah itu sampai 15 hari juga tidak keluar darah sama sekali, maka hari-hari itu semuanya dianggap suci. Dengan demikian, seluruh kewajipan yang tertinggal selama itu wajib diqadha. Adapun kalau sesudah itu kemudian keluar darah, maka darah itu darah haid. Jadi dalam kes seperti ini wanita tidak bernifas sama sekali.
Perkara-perkara yang dilarang selama masa nifas

  • semua yang tidak boleh dilakukan selama haid, maka tidak boleh dilakukan selama masa nifas, iaitu solat, puasa, masuk masjid, membaca dan menyentuh Al-Quran, tawaf dan bersetubuh.
Sumber

Permasalahan berkaitan haid

Larangan bagi orang yang sedang haid.
  • bagi wanita yang sedang haid, dia tidak diperbolehkan melakukan solat, puasa, masuk masjid, membaca dan menyentuh Al-Quran, tawaf keliling kaabah dan melakukan persetubuhan.
Sebab haid.
  • Adapun sebab terjadinya haid adalah kerana fitrah atau pembawaan yang dianugerahkan Allah swt kepada kaum wanita iaitu anak cucu Nabi Adam sebagai cubaan, apakah dengan mereka tetap patuh kepada-Nya hingga berhak mendapat pahala dari-Nya atau tidak. Demikian sebagaimana dapat kita baca dalam sebuah hadis riwayat Aishah r.a. bahawa Rasulullah saw pernah mengatakan tentang haid.
"Sebenarnya ini adalah hal yang telah menjadi ketetapan Allah atas puteri-puteri Nabi Adam."
(Muttafaq 'alaih)

Persetubuhan yang dilakukan setelah berhentinya darah haid.

Syaikh Mahmud Khithab As-Subki mengatakan bahawa menurut kebanyakkan para ulama (Jumhur) persetubuhan yang dilakukan sehabis berhentinya darah haid sebelum mandi adalah haram, sekalipun berhentinya itu pada akhir masa haid yang terpanjang.

Kerana Allah swt berfirman:

" Dan janganlah kamu (hai laki-laki) mendekati mereka (kaum wanita) sebelum mereka suci".
(Al-Baqarah:222)

Ayat ini bermaksud sebelum mereka mandi.

Sumber