Showing posts with label SENI HIBURAN. Show all posts
Showing posts with label SENI HIBURAN. Show all posts

Monday, October 26, 2009

Suara dan Muka Tidak Aurat

BARU-baru ini isu niqab (cadur) timbul apabila Sheikhul Azhar Sheikh Muhammad Tantawi meminta para siswi Al-Azhar agar melepaskan niqab.

Walaupun ada pandangan mazhab lain mengatakan suara dan seluruh badan wanita adalah aurat namun yang jelas mazhab Shafie yang menjadi ikutan majoriti umat Islam negara kita meletakkan bahawa suara wanita, muka dan tangannya adalah bukan aurat.

Dan yang jelas lagi, tidak ada dalil al-Quran serta hadis mengatakan bahawa suara dan muka wanita serta tangannya itu aurat sebagaimana sangkaan sesetengah pihak.

Apakah mereka sedar bahawa Allah S.W.T membenarkan para sahabat berkomunikasi dan bercakap-cakap dengan mereka (isteri Nabi) di sebalik tirai sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Bertanyalah kepada mereka dari belakang tabir yang demikian itu lebih bersih bagi hati kamu dan mereka juga. (Al-Ahzab: 32 dan 53).

Dalam suatu hadis, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Apabila seorang gadis itu dewasa (sampai umur), maka tidak halal badannya terdedah selain muka dan tangannya sahaja."

Hakikat ini menggambarkan sebagaimana apa yang berlaku terhadap Asma binti Abu Bakar apabila Asma datang berjumpa Nabi SAW dengan pakaian jarang dan nipis. Baginda berpaling daripadanya lalu bersabda yang bermaksud: Wahai Asma, seorang wanita apabila sudah baligh, tidak elok lagi badan (tubuhnya) kelihatan selain muka dan tangannya sahaja. (Riwayat Abu Daud).

Demikian juga kaum wanita itu disuruh melabuhkan (tutupkan) atas lubang tengkuknya sahaja bukan bermaksud tutup atas muka mereka.

Kata Syaikh Yusuf al-Qardawi, pendapat Ibnu Abbas lebih kuat dan masyhur pada pandangan jumhur (kebanyakan) ulama, kerana katanya, banyak ayat dan hadis yang mengarahkan kaum lelaki daripada umat Islam menyekat atau menutup pandangan mata mereka, sama juga dengan kaum wanita disuruh merendahkan pandangan mata mereka.

Jika muka dan aurat wanita sudah tertutup kemas di depan mereka maka pastilah arahan tersebut menjadi sia-sia dan percuma tanpa sebarang makna dan tujuan.

Pada prinsipnya suara, muka dan tangan wanita bukanlah termasuk aurat. Sekiranya perkara tersebut memang merupakan aurat, maka sukarlah bagi kaum wanita dan tentunya taklif atau beban syariat yang dikenakan kepada mereka bersifat usr iaitu sangat sukar.

Ini bercanggah dengan prinsip agama Islam bahawa Ad-Dinu Yusr, iaitu agama itu mudah, sedangkan kaum wanita juga merupakan 'makhluk sosial' yang berhajat untuk berkomunikasi dengan sesama insan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki ajnabi) kerana yang demikian menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (Surah al-Ahzab: 32)

Allah tidak melarang mereka secara mutlak untuk bercakap dengan kaum lelaki bahkan membolehkan, selama tidak mendatangkan fitnah bagi dirinya dan bagi kaum lelaki itu.

Allah melarang kaum wanita untuk melembutkan suara dan mendedah kecantikan mereka semasa bercakap dengan kaum lelaki supaya mereka tidak tergoda ataupun tergugat keimanannya dan menimbulkan berahinya.

Dengan demikian, pada prinsip suara, muka dan tangan wanita bukanlah aurat yang dilarang untuk dilihat atau didengarkan.

Dahulu para sahabat daripada golongan lelaki dan wanita sering bertanya (berdialog) kepada Rasulullah SAW tentang masalah-masalah hukum-hakam dalam agama dan didengar oleh kaum lelaki dan wanita yang hadir daripada sahabat-sahabat baginda.

Bahkan sering pula mereka berdialog dengan para sahabat dan sebaliknya sebagaimana di saat ada seorang wanita yang mengkritik Umar r.a. tentang perkara mas kahwin.

Rasulullah SAW pernah didatangi seorang wanita yang menawarkan dirinya untuk dikahwini oleh Rasulullah SAW dan membiarkan Rasulullah memerhatikan dirinya dari atas ke bawah, tetapi setelah tidak ada sambutan yang memberangsangkan, maka dia pun terus duduk di situ, lalu berkatalah salah seorang daripada kalangan sahabat: "Kahwinkanlah wanita ini dengan saya."

Maka Rasulullah SAW terus mengahwinkan wanita tersebut dengan lelaki yang berminat kepadanya itu. Ini semua bukti melihat kepada muka wanita itu adalah harus dan bukan aurat.

Menurut Al-Qurtubi, suara wanita di saat berkata-kata bukanlah termasuk aurat, lelaki dibolehkan bercakap-cakap atau berdialog dengan wanita kerana ada hajat.

Demikian juga sebaliknya mereka dibolehkan membuka muka dan tangannya kerana tujuan tertentu tetapi wanita tidak dibolehkan memerdukan, melembutkan atau mengindahkan suaranya ketika bercakap dengan lelaki.

Ia kerana perkara demikian boleh menimbulkan berahinya dan juga membuat ia tergoda dan suka. Dengan demikian sangat dianjurkan bagi kaum wanita untuk tidak berdialog dengan kaum lelaki yang bukan mahramnya.

Dalam ketentuan syariah yang lebih berhati-hati (warak), dimakruhkan kepada kaum wanita untuk meninggikan suara dalam membaca al-Quran, demikian pula tidak disyariatkan 'azan' kecuali untuk jemaah wanita sahaja.

Di dalam syariat fikah, apabila seorang wanita ingin menegur kesilapan yang dilakukan oleh imam di dalam solat berjemaah, maka ia tidak boleh menegur dengan membaca 'tasbih' sebagaimana yang dilakukan oleh lelaki, tetapi cukup dengan menepuk tangannya sahaja sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.

Demikian pula wanita tidak disyariatkan untuk membaca bacaan-bacaan dalam sembahyang dengan bacaan yang nyaring pada sembahyang Maghrib, Isyak dan Subuh sebagaimana yang disyariatkan bagi kaum lelaki sewaktu melakukan sembahyang sendirian.

Semua ini menunjukkan bahawa wanita mesti menjaga dan berhati-hati terhadap fitnah yang boleh disebabkan oleh suara dan perhiasan mereka, bukan bermakna suaranya dan perhiasan yang zahir merupakan aurat.

Di antara yang menggoda lelaki adalah derai tawa (ketawa) seorang wanita di depan mereka, apalagi jenis ketawa yang memberahikan.

Demikian pula senyuman diiringi dengan ketawa kecil yang seksi lagi menggoda, inilah yang sangat dilarang oleh agama kerana untuk menjaga harga diri wanita dan juga mencegah daripada timbulnya fitnah. Sama juga membunyikan perhiasan yang tersembunyi di kakinya.

Jika perkara tersebut dikatakan aurat, kenapa Rasulullah SAW sendiri pernah mengizinkan isteri baginda melihat pertunjukan dua orang lelaki Habsyi bermain pedang di pekarangan masjid dan mendengar dua wanita bernyanyi di rumahnya.

Ini berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah r.a, katanya, Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk ke tempatku. Ketika itu di sampingku ada dua orang gadis yang sedang mendendangkan nyanyian tentang hari Bu'ats. Ku lihat Rasulullah SAW berbaring tetapi dengan memalingkan mukanya.

Pada saat itulah Abu Bakar masuk dan ia marah kepadaku'. Katanya, "Di tempat rumah Nabi ada seruling syaitan?'' Mendengar seruan itu, Nabi SAW menghadapkan muka baginda kepada Abu Bakar dan berkata: "Biarkanlah kedua-duanya, hai Abu Bakar.

Dalam satu peristiwa lain, Rasulullah SAW mendengar nyanyian seorang wanita yang bernazar untuk memukul rebana dan bernyanyi di hadapan Rasulullah SAW.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Tarmizi, daripada Buraidah, menyebut: "Suatu hari Rasulullah SAW pergi untuk menghadapi suatu peperangan.

Setelah baginda pulang dari medan perang, datanglah seorang wanita kulit hitam lalu berkata, "Ya Rasulullah, aku telah bernazar, iaitu kalau tuan dipulangkan Allah dengan selamat, aku akan menabuh rebana dan bernyanyi di hadapan tuan. Mendengar hal itu, Rasulullah SAW bersabda: Jika demikian nazarmu, maka tabuhlah. Tetapi kalau tidak, maka jangan lakukan.

Kesemua keterangan tersebut menunjukkan bahawa suara wanita dan perhiasan yang zahir daripadanya bukan aurat.

Rasulullah SAW juga secara praktikal pernah berbicara dengan kaum wanita seperti mana ketika menerima bai'at daripada kaum ibu sebelum dan sesudah hijrah.

Bahkan dari segi syarak, baginda tidak pernah menghalang kaum wanita untuk melaksanakan urusan jual beli, menyampaikan ceramah, mengaji al-Quran, membaca qasidah atau syair. Jika suara wanita itu dianggap aurat, sudah tentu dari segi hukum syarak dianggap haram.

Keterangan ayat al-Quran dan hadis, ditambah dengan kisah-kisah yang dapat dijadikan teladan pada zaman Rasulullah SAW dahulu seharusnya membuka mata fikir kita untuk tidak terus 'menzalimi dan menghukumi' wanita secara sewenang-wenangnya.

- Mohd Shauki Abd Majid

Penulis ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

sumber

Wednesday, November 14, 2007

Auratkah Suara Wanita?

Benarkah suara wanita itu aurat utk diperdengar kpd umum kecuali utk membaca Quran/mendidik? Bagaimana jika utk berzanji, nasyid (seperti kumpulan Solehah), pertandingan berbalas pantun, bersajak, pertandingan debat, syair, nyanyian lagu tradisional & patriotik seperti lagu Negaraku & Jalur Gemilang? Saya musykil kerana terdapat banyak lagu yg dinyanyikan oleh wanita pada zaman ini. Adakah suara wanita itu aurat adalah ijtihad lama yg sudah tidak relevan dgn situasi di Malaysia sekarang? Saya meminati nyanyian Siti Nurhaliza kerana kemerduan suaranya. Adakah suaranya itu aurat utk umum, dan wanita sepertinya hanya boleh menyanyikan lagu nasyid sahaja. Bukannya lagu patriotik / tradisi / pop etnik. Sekian, terima kasih..

Dalam surah Al-Ahzab ayat 32 bermaksud :
" Wahai isteri-isteri nabi, kamu sekelian tidaklah seperti wanita-wanita yang lain. Jika kamu bertaqwa, maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucaplah perkataan yang baik"

Merujuk kepada Fatwa Negeri Kedah bahawa suara perempuan bukan aurat maka dengan itu tiada haram didengarkan kecuali jika timbul fitnah kepada lelaki yang ajnabi. Demikian juga haram hukumya jika terdapat kelazatan kepada pendengar yang ajnabi menurut pandangan Imam Zarkasyi ( Sila rujuk Tuhfah al Muhtaj Jilid 7 halaman 192) .

http://baheis.islam.gov.my/web/musykil.nsf

Saturday, November 10, 2007

HIBURAN MENURUT ISLAM- Ustaz Akil Hayy


Ikuti siri-siri seterusnya http://youtube.com/watch?v=hXcviHY_9Wo

JOM HEBOH HARAM

FATWA DAN JAKIM : ANTARA HARAM JOM HEBOH DAN BIDAAH MUALID NABI

Didalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 15.5.2007, dimuka depan, tertulis satu tajuk besar yang menyatakan “Jakim perlu pantau kenyataan mufti”[1]. Dalam akhbar tersebut menyatakan bahawa senator Datuk Syed Ali Alhabshee berkata tentang keperluan ini kerana sejak kebelakangan ini banyak kenyataan dikeluarkan oleh mufti negeri mengenai hukum Islam sehingga menimbulkan kekeliruan serta perbezaan pendapat dalam kalangan umat Islam di negara ini

Dalam akhbar berkenaan juga menukilkan kata-kata senator Datuk Syed Ali Alhabshee seperti berikut;

‘‘Sebagai contoh, baru-baru ini Mufti Perak telah mengeluarkan kenyataan bahawa haram hukumnya bagi umat Islam menghadiri karnival Jom Heboh yang ketika itu sedang berlangsung di Ipoh,’’

Disamping itu, Senator Mohd. Puad Zarkashi menyokong kenyataan senator Syed Ali disamping berkata;

‘‘Dulu ada seorang mufti yang mengeluarkan kenyataan bahawa menyambut Maulidur Rasul itu merupakan satu perbuatan bidaah dan ini mengelirukan umat Islam terutama di Johor yang menyambutnya berbulan-bulan lamanya bagi menghayati perjuangan Nabi Muhammad,’’



HUKUM QATII DAN ZANNI DALAM FATWA

Kalimah fatwa dalam Istilah fiqh dan usulnya adalah;

هو إخبار بحكم الله تعالى عن مسئلة دينية بمقتضى الأدلة الشرعية لمن سأل عنه فى أمر نازل على جهة العموم و الشمول , لا على وجه الإلزام

Maksudnya;
“memberitahu hukum Allah Taala berkenaan dengan masalah agama dengan tuntutan dalil-dalil syariah bagi mereka yang bertanya daripadanya berkenaan sesuatu urusan yang berlaku mengikut sudut yang umum dan merangkumi, juga ianya tidak dari sudut ilzam[2]”

Dari definisi ini, difahami bahawa fatwa adalah sesuatu hukum yang dijawab oleh seorang mufti dikala mufti itu ditanya.

Berdasarkan kepada ulasan Syaikhuna Al-Qadi Al-Mufti Muhammad Taqi Othmani didalam mensyarahkan kitab “Rasm Al-Mufti wa Mahahij Al-Ifta’” karangan As-Syaikh Al-ustaz Al-Mufti Muhammad Kamaluddin Ahmad Ar-Rasyidi, beliau menyatakan, sesuatu hukum yang tidak ditanya, lalu diterangkan oleh mufti, itu tidak dinamakan sebagai ifta’, tetapi ianya dinamakan sebagai “irsyad”[3].



FATWA : MEMBERITAHU HUKUM YANG QATII DAN ZANNI

Didalam definisi ifta’, dinyatakan bahawa sesuatu hukum yang dinyatakan oleh mufti tidak boleh diletak dibawah kategori “ilzam”, maksudnya, sesuatu fatwa yang dikeluarkan oleh mufti berkenaan hukum yang berkisar dalam perkara yang berbentuk Zanni, bukan qatii, maka fatwa tersebut tidak wajib ditaati, bahkan dibenarkan beramal dengan fatwa lain yang menyalahi fatwa mufti tersebut.

Adapun fatwa yang dikeluarkan oleh mufti berkaitan dengan hukum yang sudah qatii atau hukum yang sudah diijmakkan oleh ulama, maka hukum yang diberitahu oleh mufti tersebut adalah wajib diikut dan menafikannya merupakan kekufuran terhadap hukum Allah SWT.



PENUTUP

Dari perbahasan ini, pihak jakim tidak perlu memantau fatwa yang dikeluarkan oleh mufti Perak yang menyatakan bahawa program Jom Heboh dan menghadirinya adalah haram, ini kerana, keharaman disebalik pesta Jom Heboh tersebut sememangnya jelas keharamannya.

Adapun dalam isu fatwa bidaah yang dikeluarkan oleh mufti perlis tentang majlis mauled nabi, maka itu mesti mendapat pantauan dari pihak jakim. Ini kerana, membidaahkan amalan mauled nabi adalah perkara zanni yang berlaku khilaf dikalangan ulama, yang apabila dikeluarkan oleh seseorang mufti, ianya boleh memberi kekacauan kepada masyarakat Islam sendiri.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-bakistani

http://laptopdarulfiqh.blogspot.com

e-mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com



[1]http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_08.htm
[2] Al-Misbah fi Rasm Al-Mufti wa Manahij Al-Ifta’ : 1/16.
[3] Al-Misbah fi Rasm Al-Mufti wa Manahij Al-Ifta’ : 1/16

Sunday, November 4, 2007

Sudah Haji Tetapi Masih Jadi Penyanyi

Balik haji masih menyanyi

SOALAN: Kawan saya dulu kerjanya menyanyi dan sekembalinya dari Tanah Suci, dia masih lagi kekal dengan kerjaya lamanya. Bagaimanakah dengan ibadat hajinya?

– Mastura Said,

Hulu Klang, Selangor.

JAWAPAN: Seseorang yang ingin mengerjakan haji, kata ulama hendaklah memastikan ibadat haji adalah sebagai haji mabrur iaitu haji yang diterima Allah dan tidak ada balasannya selain syurga. Kata mereka, antara syarat untuk mendapatkan haji mabrur tersebut ialah ada syarat-syarat sebelum haji, semasa melakukannya dan selepasnya. Di antara syaratnya yang berterusan ialah keikhlasan hati dan kefahaman kita tentang tujuan ibadat tersebut iaitu untuk memperhambakan diri di bawah kebesaran Allah sehingga urusan yang lain-lain dipandang gampang dan tidak dapat memalingkan ibadat tersebut dari matlamat asalnya iaitu untuk menyatakan sebenar-benar kehambaan dan untuk keredaan Allah semata-mata.

Nyanyian tidak semesti semuanya berunsur melalaikan malah ada juga yang berbentuk memberi semangat patriotik dan rangsangan untuk tujuan baik seperti nyanyian berbentuk semangat keagamaan memuji kebesaran Allah dan kecintaan kepada negara. Sewajarnyalah sekembali dari mengerjakan ibadat tersebut, nyanyiannya sepatutnya berubah bentuk pengertian dan tujuannya, sesuai dengan ajaran dan tuntutan agama. Wallahualam.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=
1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm