Showing posts with label SYAABAN. Show all posts
Showing posts with label SYAABAN. Show all posts

Saturday, August 22, 2009

Kuliah - Penjelasan Nisfu Syaaban

Apa maksud Nisfu Syaaban?
Bila Nisfu Syaaban?
Apa amalan yang biasa dilakukan pada Nisfu Syaaban?
Adakah Rasulullah dan para sahabat berbuat begitu?
Apakah amalan tersebut bidaah?
Jika benar bidaah, apakah ia bedosa ataupun mendapat pahala?
Apakah bidaah 'confirm' berdosa?
Benarkah ada pembahagian bidaah?
Benarkah para ulama terdahulu meletakkan hukum yang berlainan mengikut jenis bidaah?
Bila masanya amalan membaca Yaasin 3 kali menjadi bidaah dhalalah?
Hendak baca berapa kali surah Yaasin?
Benarkah buku amalan kita ditukar pada Nisfu Syaaban?
Mengapa ada ulama yang menyusun amalan-amalan pada malam Nisfu Syaaban?
Apakah yang dilakukan oleh Rasulullah sempena Nisfu Syaaban?
Elokkah berpuasa pada 15 Syaaban?


Hukum Puasa Selepas Nisfu Syaaban 3

Menyambung lagi keterangan para ulama kita berhubung puasa sunnat selepas Nishfu Sya'baan. Kali ini kawan ambik keterangan beberapa ulama yang masanya hampir dengan kita serta yang memiliki tempat yang khusus di sisi para Saadah Bani Alawi. Yang pertamanya dipetik dari "Irsyadul Anaam fi tarjamati arkanil Islam" karangan Mufti Betawi, Habib 'Utsman bin 'Abdullah bin 'Aqil BinYahya rahimahUllah. Pada halaman 29 Yang Mulia Habib menyatakan:-

Sebagi lagi HARAM memulakan puasa dari hari 16 bulan Sya'baan hingga akhirnya.
Dan yang keduanya, kita ambil dari karya al-Imam al-'Allaamah al-Muhaqqiq az-Zahid asy-Syaikh 'Abdullah bin Ahmad BaSaudan al-Kindi al-Hadhrami rahimahUllah yang berjodol "al-Anwarul Laami`ah wat Tatimmatul Wasi`ah lir Risaalatil Jaami`ah wat Tadzkiratin Naafi`ah" di mana pada halaman 415 dinyatakan bahawa tidak sah berpuasa (sunnat) pada nishfu terakhir bulan Sya'baan melainkan jika berbetulan dengan kebiasaan orang yang berpuasa tersebut atau disambungkan dengan puasa sebelumnya (yakni puasa sebelum nishfu yang terakhir tersebut). [Perincian bagi pengecualian haram berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan ini, ikhwah bolehlah baca dalam entri-entri yang lepas].

Kawan harap dengan ini terungkailah masalah berpuasa sunnat selepas nishfu yang kedua bulan Sya'baan. Inilah pandangan ulama kita asy-Syafi`iyyah, jadi sesiapa yang punya pandangan yang berbeza, ya mungkin ianya pendapat mazhab lain atau qawl lain yang bukan mu'tamad dalam Mazhab Syafi`i. Maka pengamal Mazhab Syafi`i kenalah beri perhatian mengenai perkara ini kerana ketentuan hukumnya dalam mazhab ini adalah HARAM menurut kebanyakan ulama Syafi`i, kalaulah tidak dikatakan semuanya.

sumber

Hukum Puasa Selepas Nisfu Syaaban 2

Rupa-rupanya ada yang tersalah tanggap bahawa dengan dihukumkan haram berpuasa selepas Nishfu Sya'baan bererti kita tidak digalakkan berpuasa dalam bulan Sya'baan. Pengertian tersebut jelas menyalahi yang sebenar kerana apa yang benar ialah kita digalakkan memperbanyakkan berpuasa dalam bulan Sya'baan sebab telah warid beberapa hadits berhubung dengannya. Akan tetapi ianya hendaklah dimulakan sejak nishfu pertama bulan Sya'baan dan berterusan hingga menjelang Ramadhan. Oleh itu, apabila dalam mazhab kita menghukumkan HARAM DAN TIDAK SAH berpuasa sunnat, selain daripada apa yang diberikan pengecualiannya, maka tidaklah bermakna kita tidak menggalakkan orang berpuasa dalam bulan Sya'baan yang mulia. Fahamilah dengan benar.

Sebagai tambahan, kita lihat lagi keterangan mengenai hukum berpuasa selepas Nishfu Sya'baan ini dari beberapa karya ulama kita di Nusantara ini. Tok Syaikh Zainal 'Abidin bin Muhammad al-Fathani @ Tuan Minal rahimahUllah dalam karya beliau "Kasyful Litsaam 'an as-ilatil anaam" jilid 1 halaman 106 - 107 menulis, antara lain:-
Haram puasa dua hari raya dan Hari Syak dan segala Hari Tasyriq yang tiga dan nishfu yang keuda daripada bulan Sya'baan bagi yang lain daripada puasa mempunyai sebab, jika tiada dihubung akan dia dengan barang yang dahulunya dan tiada jdi puasa [yakni tidak sah puasa tersebut], intaha.

Tok Syaikh Muhammad bin Ismail Daud Fathani @ Syaikh Nik Mat Kecik rahimahUllah pula menulis dalam "Mathla`ul Badrain wa Majma`ul Bahrain" pada halaman 62 - 63:-
... Dan seperti haram puasa Hari Syak, haram puasa dengan tiada sebab pada nishfu yang kedua daripada Sya'baan, jika tiada dihubungkan dia dengan barang yang dahulunya dan hasil berhubung dengan barang yang dahulunya jikalau dengan hari yang ke 15 sekalipun dan berkekalan puasanya hingga akhirnya. Maka jika dihubungkan dia dengan barang yang dahulunya kemudian berbuka ia padanya, haram atasnya puasa kemudian daripadanya dengan tiada sebab yang telah terdahulu sebutnya.
Jika dua ulama tersebut di atas tadi mewakili ulama kita yang awal dan terdahulu, maka ini pula petikan tulisan daripada dua orang ulama kita yang sezaman. Ustaz Muhammad Taha bin Syaikh Muhammad Fadhlullah bin Syaikh Muhammad `Abdullah as-Suhaimi rahimahUllah menulis dalam karya beliau "Puasa & Zakat Harta" pada fasal "Hari-Hari Yang Haram Dikerjakan Puasa Didalamnya Serta Tidak Sah Puasa Itu" di halaman 68 - 69:-
Segala hari yang letaknya di dalam separuh yang kedua bagi bulan Sya'ban, iaitu daripada 16 Sya'ban hingga akhirnya, kerana Nabi s.a.w. telah bersabda:-"Apabila sampailah bulan Sya'ban itu separuhnya maka janganlah kamu berpuasa."

Tetapi jika seorang itu beradat sentiasa puasa, atau ia puasa tiap-tiap selang hari, atau ia puasa tiap-tiap hari Isnin dan Khamis, maka tiadalah haram ia puasa pada separuh yang kedua bagi bulan Sya'ban itu untuk meneruskan adatnya. Demikian juga sah dan tidak haram di dalam separuh yang kedua bulan Sya'ban jika puasa itu kerana menqada'kan puasa yang telah tertinggal, atau puasa itu kerana nazar atau kerana kafarah. Demikian juga sah dan tidak haram seseorang puasa di dalam separuh yang kedua bagi bulan Sya'ban itu jika ia puasa di dalam separuh yang pertama bagi bulan Sya'ban lalu ia terus puasa hingga masuk pada separuh yang kedua bagi Sya'ban itu, seperti ia puasa pada 15 Sya'ban dan 16 Sya'ban atau ia puasa daripada sebelum 15 Sya'ban dan terus puasa hingga selepas 15 Sya'ban, iaitu tidak boleh ditinggalkan 15 dan 16 Sya'ban itu. Jika ia puasa di dalam separuh yang pertama bagi Sya'ban hingga masuk terus ke dalam separuh yang kedua maka jika ia berhenti puasa sehari pun di dalam separuh yang kedua bagi Sya'ban nescaya haramlah ia sambung lagi puasanya pada bila-bila hari hingga akhir Sya'ban, melainkan kerana qada' atau nazar atau kafarah maka sahlah puasanya sebagaimana telah tersebut tadi.
Ustaz Segaf bin Hasan Baharun hafizahUllah, ulama muda murid Habib Zain bin Ibrahim BinSumaith dan Pengasuh Pondok Puteri Pesantren Darul Lughah wad Da'wah, Bangil, Jawa Timur, menulis dalam karangannya "Sudah Sahkah Puasa Anda?" pada fasal "Hari-hari Yang Diharamkan Untuk Berpuasa" di halaman 39-40 menyatakan:-
Paruh Kedua Dari Bulan Sya'ban

Berpuasa pada paruh kedua dari bulan Sya'ban hukumnya haram berdasarkan sabda Rasul Saw:-Artinya: "Jika sudah masuk paruh kedua dari bulan Sya'ban, maka janganlah kalian berpuasa".

Dan yang dimaksud paruh kedua adalah tanggal 16, 17, 18 sehingga akhir bulan. Akan tetapi jika berpuasa pada hari-hari itu, begitu pula hari syak, untuk mengerjakan puasa wajib, misalnya qodlo' puasa Ramadlan, kaffarah dan lain-lain, atau sudah terbiasa setiap Senin Kamis berpuasa, atau berpuasa Daud, atau juga jika disambung dengan hari sebelumnya, misalnya puasa hari 15, maka boleh puasa hari ke-16 dan seterusnya. Maka puasa-puasa tersebut di atas tidak haram pada hari - hari itu.
Diharap ikhwah memahami ketentuan hukum ini dengan jelas. Banyakkanlah berpuasa dalam bulan Sya'baan, asal sahaja tidak melanggar ketentuan yang dinyatakan oleh para ulama kita.

Selasa, Ogos 11

Mawlid Penangkal Wabak

Pembacaan mawlid Junjungan Nabi SAW telah lama dianjurkan oleh para ulama kita (baca: ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sebenar, bukan Sunnah wal Jamaah atau Salafi jadi-jadian) sebagai wasilah memohon keselamatan dunia dan akhirat melalui Junjungan Nabi SAW dan cinta kasih kepada baginda. Maka tercatatlah dalam karya agung Sayyidisy Syaikh Abu Bakar Syatho al-Bakri ad-Dimyathi rahimahUllah, "I`aanatuth Thaalibiin" jilid 3 halaman 414 akan perkataan ulama besar yang masyhur lagi harum namanya, Imam Jalaluddin as-Sayuthi rahimahUllah, sebagai berikut:-

Telah berkata Sulthanul-'Arifin Jalaluddin as-Sayuthi dalam kitabnya berjodol "al-Wasaail fi syarhisy Syamaail":- "Tidak ada sebuah rumah atau masjid atau tempat yang dibacakan padanya Mawlidin Nabi SAW melainkan dikerumuni para malaikat akan mereka yang ada di tempat tersebut dan Allah akan menebarkan rahmatNya kepada mereka. Para malaikat yang berkalungkan cahaya - iaitu Jibril, Mikail, Israfil, Qarbail, 'Aynail, ash-Shaafun, al-Haafun dan al-Karubiyyun - maka bahawasanya mereka berdoa bagi orang yang menjadi sebab untuk pembacaan Mawlidin Nabi SAW. Tidak ada seseorang muslim yang dibacakan dalam rumahnya akan Mawlidin Nabi SAW melainkan Allah selamatkan penghuni rumah tersebut daripada kemarau, wabak, kebakaran, malapetaka, bala bencana, kesengsaraan, permusuhan, hasad dengki, kejahatan 'ain (sihir pandangan) dan kecurian. Apabila dia mati, Allah akan mempermudahkan atasnya menjawab soalan Munkar dan Nakir dan adalah dia ditempatkan pada kedudukan as-shidq di sisi Allah Raja yang Maha Berkuasa."
Juga diceriterakan oleh Habib 'Ali bin 'Abdul Qaadir al-Habsyi dalam karya beliau "al-Mawaaizh al-Jaliyyah minal Majaalisil 'Aliyyah" akan perkataan Shohibul Mawlid, Habib 'Ali bin Muhammad al-Habsyi seperti berikut:- "Dahulu tempat kami sering dilanda berbagai penyakit, dan juga berbagai kekacauan. Namun setelah diadakan mawlid, semua penyakit dan kekacauan itu hilang. Sebagai gantinya kehidupan agama menjadi bersemangat, dakwah tersebar luas dan hasilnya pun nampak dengan jelas."

Marilah kita semarakkan majlis-majlis mawlid Junjungan Nabi SAW, kerana dalamnya terdapat sholawat dan mahabbah kepada Junjungan SAW juga permohonan keselamatan duniawi dan ukhrawi. Mudah-mudahan dengan berkat jah Junjungan Nabi SAW dicurahkan ke atas kita dan sekalian umat ini akan hujan rahmat yang berkekalan serta dihilangkan segala malapetaka dan wabak penyakit.

sumber

Hukum Puasa Selepas Nisfu Syaaban 1

Masih ramai kalangan awam yang keliru dengan hukum berpuasa selepas hari Nishfu Sya'baan (hari 15 Sya'baan). Ramai yang tidak tahu bahawa menurut qawl yang mu'tamad dalam Mazhab Syafi`i hukum berpuasa selepas Nishfu Sya'baan adalah HARAM DAN TIDAK SAH dengan beberapa pengecualian yang akan datang penjelasannya. Kekeliruan mungkin disebabkan mazhab-mazhab lain mempunyai pendapat yang berbeza dengan Mazhab Syafi`i berdasarkan kepada ijtihad mereka. Ulama Syafi`i mengistinbathkan pengharaman berpuasa tersebut berdasarkan beberapa dalil termasuklah hadits-hadits Junjungan Nabi SAW. Antaranya apa yang diriwayatkan dalam "Sunan at-Tirmidzi", juzuk 2, halaman 183, bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda sebagai berikut:-
"Telah diberitakan kepada kami oleh Qutaibah, telah diberitakan kepada kami oleh 'Abdul 'Aziiz bin Muhammad, daripada al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman, daripada ayahnya, daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. yang telah berkata: Telah bersabda Junjungan Rasulullah SAW: "Apabila tinggal baki separuh dari bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa". Dan telah berkata Abu `Isa (yakni Imam at-Tirmidzi): "Hadits Abu Hurairah ini adalah hadits hasan shohih dan tiada kami ketahui akan dia melainkan dengan wajah (riwayat) ini atas lafaz ini.
Selain daripada hadits di atas, Imam Abu Daud turut meriwayatkan dalam sunannya sebagai berikut:-
Daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawasanya Junjungan Rasulullah SAW bersabda: "Apabila masuk separuh bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa."
Imam ash-Shan`ani dalam "Subulus Salam" juzuk 2, halaman 345 menyatakan bahawa hadits ini adalah hasan shohih di sisi para muhadditsin selain Imam Ahmad. Imam Ahmad mendhoifkannya kerana bagi Imam Ahmad perawi yang bernama al-'Alaa` bin `Abdur Rahman adalah perawi yang dhoif. Menurut kajian Imam ash-Shan`aani, pendapat Imam Ahmad tersebut adalah tidak tepat kerana al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman adalah seorang perawi yang hadits-hadits yang diriwayatkannya diambil oleh Imam Muslim dan selanjutnya Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani dalam "at-Taqrib" menghukumkan al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman ini sebagai seorang perawi yang shaduuq (benar atau kepercayaan).

Sungguhpun dihukumkan haram, tetapi pengharaman berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan ini tidaklah mutlak seperti pengharaman berpuasa pada 5 hari yang diharamkan secara mutlak berpuasa, iaitu 2 hari raya dan 3 hari tasyriq. Pengharaman berpuasa pada hari-hari nishfu kedua Sya'baan dan hari Syak tidaklah mutlak kerana ianya mempunyai pengecualian. Maka hukum HARAM DAN TIDAK SAH puasa yang dilakukan selepas nishfu Sya'baan (iaitu selepas tanggal 15 Sya'baan) mempunyai PENGECUALIAN seperti berikut:-
  1. puasa sunnat tersebut disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari yang berada di nishfu pertama (separuh pertama) bulan Sya'baan walaupun dengan hanya satu hari sahaja (yakni dihubungkan dengan berpuasa pada hari 15 Sya'baan) dengan syarat ianya hendaklah berterusan sehingga Ramadhan, jika terputus walaupun dengan uzur maka tidaklah boleh disambung lagi puasa tersebut. Contohnya, jika seseorang berpuasa sunnat pada 15 Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada 16 Sya'baan dan hari-hari berikutnya. Tetapi katakanlah setelah berpuasa pada 15, 16, 17 dan 18 Sya'baan, dia tidak berpuasa pada 19 Sya'baan, dengan atau tanpa uzur, maka tidaklah boleh lagi dia berpuasa sunnat pada 20 Sya'baan dan hari-hari yang berikutnya sehinggalah Ramadhan.
  2. puasa sunnat tersebut telah menjadi amalan biasa seseorang (yakni yang telah dijadikan wirid kebiasaannya). Contohnya, seseorang yang telah mewiridkan puasa pada setiap Isnin, maka tidaklah jadi halangan untuk dia meneruskan wiridnya itu.
  3. puasa qadha` samada qadha puasa fardhu atau qadha puasa sunnat yang berwaktu
  4. puasa kaffarah atau puasa nazar dengan syarat ianya tidak dilakukan dengan sengaja dan dengan tahu yang hari yang dinazarkan itu adalah hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan. Misalnya, seseorang bernazar hendak berpuasa pada hari Khamis minggu hadapan tanpa menyedari bahawa Khamis hadapannya sudah masuk dalam nishfu kedua Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada Khamis tersebut. Maka jika sekiranya dia tahu yang Khamis tersebut adalah dalam nishfu kedua bulan Sya'baan, maka tidaklah boleh dia berpuasa dan tidaklah sah nazarnya itu.
Inilah perincian hukum bagi puasa yang dilaksanakan setelah nishfu Sya'baan menurut Mazhab Syafi`i yang menjadi pegangan kita, sebagaimana yang tersebut dalam kitab-kitab fiqhnya. Antaranya dalam "Anwarul Masaalik syarah 'Umdatis Saalik wa 'Uddatin Naasik" karya Syaikh Muhammad az-Zuhri al-Ghumrawi rahimahUllah yang menyatakan pada halaman 125 seperti berikut:-
(Dan haram berpuasa [sunnat] pada hari-hari selepas nishfu Sya'baan, jika sekiranya puasa tersebut tidak berbetulan dengan adat kebiasaan seseorang) sebagaimana yang telah disebut terdahulu ketika perbincangan tentang hari Syak, (dan [puasa tersebut] tidak berhubung / bersambung dengan hari yang sebelumnya) iaitu tidak bersambung puasa pada nishfu yang kedua [bulan Sya'baan] dengan berpuasa pada separuh yang pertama bulan tersebut. Maka jika sekiranya puasa tersebut berbetulan dengan adat kebiasaan baginya atau dihubungkan [dengan hari-hari separuh pertama Sya'baan], sahlah puasa tersebut dan hilanglah keharamannya.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahUllah menulis dalam "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah", jilid 2 halaman 82, sebagai berikut:-
Dan daripadanya [yakni daripada hadits-hadits berkaitan dengan] puasa dalam bulan Sya'baan, ialah hadits Sayyidatina 'Aisyah r.`anha yang menyatakan: "Tidak aku melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh, melainkan bulan Ramadhan dan tiada aku melihat baginda berpuasa lebih banyak daripada bulan Sya'baan", hadits diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, dan keduanya meriwayatkan juga hadits lain dengan kata-kata: "Tiada baginda berpuasa dalam suatu bulan yang lebih banyak daripada bulan Sya'baan, bahawasanya baginda berpuasa pada keseluruhan bulan Sya'baan", dan bagi Imam Muslim terdapat satu lagi riwayat dengan kata-kata:- "Adalah baginda berpuasa pada bulan Sya'baan keseluruhannya kecuali sedikit.".......... Kemudian hadits-hadits tersebut tidaklah menafikan hadits yang mengharamkan puasa pada hari-hari selepas nishfu bulan Sya'baan, kerana berlakunya pengharaman tersebut ialah kepada sesiapa yang hanya berpuasa selepas nishfu tersebut dan tidak menghubungkan puasanya [dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan (yakni hari 15 Sya'baan)]. Manakala berlakunya keharusan (baca: boleh / jaiz) berpuasa, bahkan sunnat berpuasa, ialah kepada sesiapa yang berpuasa sebelum nishfu lagi dan meninggalkan berpuasa selepasnya [yakni dia berpuasa sunnat pada nishfu pertama bulan Sya'baan dan berhenti setelah nishfunya tersebut]; ATAU dia meneruskan puasanya dengan menghubungkan puasanya itu dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan [yakni hari 15 Sya'baan]; ATAU dia tidak menghubungkan puasanya, akan tetapi puasanya pada hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan tersebut ialah puasa kerana qadha` atau puasa nazar atau puasa yang menjadi wiridnya (kebiasaannya). Dan hadits yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, Imam at-Tirmidzi, Imam an-Nasai dan Imam Ibnu Majah, iaitu: "Apabila berbaki separuh daripada bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa sehingga menjelang Ramadhan", adalah jelas pada yang demikan (yakni pada menyatakan haramnya berpuasa pada hari-hari selepas Nishfu Sya'baan).
Murid Imam Ibnu Hajar rahimahUllah, iaitu Syaikh Zainuddin bin 'Abdul 'Aziz al-Malibari, rahimahUllah, menulis dalam karya beliau "Fathul Mu`in"pada halaman 60:-
(Tatimmah) Haram puasa pada hari-hari tasyriq ......., dan demikian pula haram puasa selepas Nishfu Sya'baan, selagi mana ianya tidak berhubung / bersambung dengan hari sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan] atau jika puasa tersebut tidak muwafaqah dengan adatnya (yakni tidak berbetulan dengan kebiasaannya atau wiridnya); atau jika puasa tersebut bukan puasa nazar atau puasa qadha` walaupun hanya qadha` puasa sunnat.
Penjelasan 'Allaamah Sayyid Muhammad 'Abdullah al-Jurdani dalam "Fathul 'Allam" juzuk 4, halaman 152- 153, pula adalah seperti berikut:-
Dan haram puasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan, melainkan jika ianya disambung / dihubungkan dengan hari yang sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan], walaupun hanya satu hari [yakni walaupun dengan hanya berpuasa pada 15 Sya'baan sahaja] dan hendaklah berkekalan puasa tersebut sehingga ke akhirnya. Maka jika tidak berkekalan, bahkan jika berbuka (yakni tidak berpuasa) dengan uzur sekalipun, tertegahlah atasnya untuk berpuasa lagi dengan tanpa sebab.
Inilah khulasah hukum berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan. Harap kita sebagai pengamal Mazhab Syafi`i dapat beri perhatian sewajarnya. Allahlah yang Maha Mengetahui.

sumber

Saturday, October 18, 2008

Seputar Bulan Syaaban

BULAN Syaaban adalah antara bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Ia dianggap pintu gerbang sebelum kita menyambut Ramadan. Malah, Rasulullah SAW menganjurkan kita menggandakan amal ibadat dalam bulan ini.

Bagaimanapun, dalam keghairahan kita melakukan ibadat masih terdapat perselisihan pendapat berhubung pelaksanaan ibadat tertentu oleh masyarakat untuk dilakukan pada bulan ini.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto MOHD. SHAHARANI SAIRI menemu bual pensyarah kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Mohamad Shukran Abdul Razak bagi memperincikan hal ini.

Apakah maksud Syaaban dan apakah kelebihan yang terkandung di dalamnya?

MOHAMAD SHUKRAN: Dalam sebuah hadis Rasulullah ada bersabda yang antara lain maksudnya, Nabi bertanya kepada umatnya, Tahukah kamu kenapa bulan ini dinamakan Syaaban? Jawab umatnya: Allah dan Rasulnya lebih mengetahui maknanya. Baginda menjawab Syaaban ini kata dasarnya adalah yatasha’abu yang membawa maksud berkembang segala kebaikan.

Kelebihan Syaaban dapat dilihat apabila Rasulullah SAW pernah memberitahu sahabat mengenai Syaaban. Bulan itu dinamakan demikian kerana pada bulan itu Allah banyak memberi rahmat kepada hamba-Nya.

Antara amalan yang kerap dilakukan oleh umat Islam negara ini adalah membaca Yasin tiga kali dan mengaitkannya dengan malam Nisfu Syaaban. Adakah terdapat nas tentang perbuatan sedemikian?

MOHAMAD SHUKRAN: Umumnya, masyarakat Melayu di negara kita memang melakukan banyak amalan. Setengahnya kalau dirujuk kepada sumber asal ada percanggahan pendapat. Ada yang merujuk kepada nas sahih dan kadang-kadang ia dilakukan secara jemaah tetapi bila diselidiki amalan tersebut tidak ada nas yang sahih.

Melihat pada tradisi yang biasa dan masyhur dilakukan oleh umat Islam negara kita adalah amalan membaca Yasin tiga kali menyambut Nisfu Syaaban. Kali pertama ia diniatkan supaya dikuatkan iman, kedua dimurahkan rezeki dan ketiga dipanjangkan umur.

Sebenarnya amalan sebegini bukanlah berakar umbi di kalangan masyarakat Melayu sahaja tetapi ia berlaku sejak zaman tabien. Antaranya adalah solat sunat al-khair yang dibuat beratus-ratus rakaat pada malam tersebut.

Solat sedemikian ditolak oleh ulama fikah hijaz iaitu Mekah dan Madinah kerana tidak ada nas atau hadis sahih mengenainya.

SETERUSNYA