Showing posts with label SUNNAH. Show all posts
Showing posts with label SUNNAH. Show all posts

Sunday, September 7, 2008

Yang Sunat dan Makruh Sepanjang Ramadhan

SOALAN: Bolehkah tuan sebutkan perkara sunat dan makruh yang dilakukan di bulan Ramadan Ini. Adakah selawat antara solat tarawih itu disunatkan?

– Mat Ismail, Kajang, Selangor.

Jawapannya: Antara perkara sunat yang amat digalakkan untuk dilakukan pada bulan Ramadan ialah membaca al-Quran dan bertadarus, mendirikan solat tarawih, bersedekah, beriktikaf di masjid terutama pada 10 hari terakhir Ramadan, menjamu makan, mengadakan program yang dapat merapatkan hubungan antara umat Islam, menambah ilmu pengetahuan, membantu mereka yang memerlukan bantuan, mendamaikan antara dua puak yang bersengketa dan banyak lagi. Antara perkara makruh pula ialah banyak tidur pada siang hari, tidak melakukan perkara yang disunatkan di atas, mengumpat dan bercakap kosong, berkelahi sesama saudara Islam, dan bermain catur, aji di kedai kopi. Pada masa yang lain tidak dilarang tetapi perkara tersebut dilarang dan dibenci sekiranya dilakukan pada bulan Ramadan. Adapun selawat antara solat tarawih hanyalah sunat dan digalakkan seperti firman-Nya bermaksud Allah dan Malaikat-Nya berselawat atas nabi, wahai orang yang beriman selawat dan salamlah keatasnya (maksud al-Quran surah Al- Ahzab). Dan ini boleh dilakukan di mana-mana, tetapi kerana solat tarawih dilakukan secara tenang dan diceritakan pada masa sahabat dulu ada mereka (sahabat) yang selesai satu solat, terus bertawaf, dan selesai tawaf disambung dengan solat tarawih, demikianlah seterusnya. Wallahualam.

sumber

Sunnah Berbuka Puasa Dengan Kurma

MENURUT Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji kurma yang segar sebelum menunaikan solat (Maghrib). Sekiranya tidak ada kurma yang segar, baginda akan berbuka dengan kurma kering. Jika tidak ada juga kurma kering, Baginda mengambil beberapa cedok air. (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Abu Daud dan Tirmizi meriwayatkan daripada Sulaiman bin Amir bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila seorang di antara kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan kurma. Sekiranya tidak ada kurma, hendaklah ia berbuka dengan air kerana air itu bersih lagi membersihkan.

Diriwayatkan dari Anas bin Malik yang berkata: “Adalah Nabi (SAW), tidak berangkat menuju musolla kecuali baginda memakan beberapa biji kurma, dan baginda memakannya dalam jumlah bilangan ganjil.” (Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim).

Amalan berbuka Rasulullah SAW menggambarkan kurma itu banyak khasiatnya, terutama untuk badan yang keletihan selepas sehari berpuasa.

baca seterusnya

Saturday, August 9, 2008

Hukum Bersunat Lelaki & Perempuan

Hukum bersunat bagi lelaki, wanita

SOALAN: Apakah sebenarnya hukum bersunat sama ada lelaki atau wanita, ini kerana ada yang menyatakan ianya sunat sahaja kerana namanya pun bersunat. Bagaimanakah keadaan sebenarnya ?

– Rozimi Awang,

Sri Damansara.

JAWAPAN: Menurut kebanyakan para ulama, hukum bersunat itu adalah wajib sama ada bagi lelaki atau wanita. Kata sesetengah ulama ianya sunat bagi wanita sahaja. Adapun yang dikatakan bersunat itu maksudnya sunah atau cara hidup Nabi kita dan datuknya Nabi Ibrahim. Baginda Nabi Ibrahim dikatakan yang mula-mula bersunat ketika umurnya sudah menjangkau 80 tahun. Oleh sebab itu berkhatan dan amalan fitrah yang lain perlu dilakukan dalam kehidupan ini, (sama ada sunat atau wajib) untuk mengikuti sunah atau cara hidup Nabi Ibrahim.

Sedangkan salah satu cara hidupnya adalah bersunat atau berkhatan di samping amalan-amalan lain seperti mengerat kuku, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak dan sebagainya. Firman Allah yang bermaksud: Siapa yang tidak mahu (tidak ada mereka yang membenci) cara hidup Nabi Ibrahim selain mereka yang memperbodohkan dirinya sendiri (al-Baqarah ayat 130) dan firman-Nya lagi yang bermaksud: kemudian Kami wahyukan kepadamu supaya mengikuti agama (cara hidup) Nabi Ibrahim a.s. jalan yang lurus (dan seimbang) (an-Nahl ayat: 123). Mengikut para ulama lagi, sepatutnya ibu bapa melaksanakan amalan tersebut semasa bayi itu masih kecil iaitu dalam tempoh tujuh hari atau bila berumur tujuh tahun. Ini kerana masa itulah mereka perlu mengajar anak-anak bersembahyang dan sebagainya . Dalam hadis Nabi ada bersabda yang bermaksud: sepuluh perkara termasuk dalam Fitrah dan antara amalan Fitrah yang menjadi sunnah itu 10 perkara tersebut, antaranya ialah berkhatan. Wallahualam.

sumber