Showing posts with label DARAH WANITA. Show all posts
Showing posts with label DARAH WANITA. Show all posts

Tuesday, November 10, 2009

MENGENALI TAHARAH

Pengertian Taharah
  • dari segi istilah, tahara bermaksud bersih atau suci.
  • dari segi syarak, taharah bererti sucinya mushalli (orang yang solat), badannya, pakaiannya dan tempat solatnya daripada najis seperti kentut dan sebagainya.
Maka firman-Nya dalam Al-Quran:

"Dan pakaianm bersihkanlah."

(Al-Muddatstir:4)

"Dan jika kamu junub, maka mandilah."
(Al-Maidah:6)

"Allah tidak mahu menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, supaya kamu bersyukur."

(Al-Maidah:6)

Rasulullah SAW pernah bersabda:


"Kebersihan itu sebahagian dari Iman"
(HR Muslim dan Ahmad)

Jenis-jenis Taharah
  1. Bersuci dari hadas, baik dari hadas besar mahupun hadas kecil. Jenis taharah ini adalah khusus yang mengenai tubuh seperti wuduk, mandi dan tayammum.
  2. Bersuci dari najis, baik yang ada pada tubuh, pakaian mahupun tempat, iaitu dengan cara menghilangkan najis tersebut.

Friday, November 6, 2009

Mengenali Nifas

Pengertian Nifas
  • sejenis darah yang keluar melalui faraj seorang wanita selepas ia melahirkan anak.
Masa Nifas
  • masa nifas paling lama ialah 40 hari. Tidak ada ketentuan berapa lamakah masa nifas yang paling singkat. Oleh kerana itu, untuk mengetahui nifas memang tidak diperlukan tanda lain selain melahirkan anak.
  • tidak ada had bagi jangka pendek bagi nifas, ia boleh berlaku dalam jangka yang hanya sedetik. Apabila seseorang wanita melahirkan anaknya dan terus terputus darahnya (nifas), sesudah kelahiran itu, atau ia melahirkan anaknya tanpa darah(nifas), maka dikira sudah habis masa nifasnya dan wajiblah diatasnya apa yang diwajibkan ke atas wanita-wanita yang suci.
  • sebelum itu kita telah menyebut bahawa Fatimah al-zahra r.a. telah melahirkan anaknya diwaktu senja merah, lantas ia mensucikan dirinya daripada nifas lalu ia mandi dan terus menunaikan solat Isyak dalam waktunya. Lantaran itu dikatakan bahawa jangka pendek bagi nifas ialah sedetik.
Kelahiran anak kembar
  • Apabila seorang wanita itu melahirkan anak kembar, maka masa nifasnya dikira dari saat kelahiran bayinya yang kedua. Jika terdapat jarak masa diantara kelahiran pertama dengan kedua, maka masa nifasnya dikira dari saat kelahiran yang pertama, biarpun masa itu adalah sepanjang masa nifas yang panjang.
  • kalaulah diandaikan kelahiran bayinya yang kedua selepas empat puluh hari dari kelahiran yang pertama, maka darah yang keluar sesudah kelahiran kedua dikira sebagai darah penyakit dan rosak, bukanlah darah nifas.
Terhentinya darah selama masa nifas
  • keluarnya darah selama masa nifas, bagi beberapa wanita kadang-kadang tidak lancar. Umpamanya sehari keluar sehari tidak. Pendapat ulama mazhab Syafi' masih menganggap nifas, jika terhentinya hanya 15 hari, yakni menurut pendapat yang lebih kuat dalam mazhab ini. Tetapi kalau sesudah melahirkan sama sekali tidak keluar darah dan sesudah itu sampai 15 hari juga tidak keluar darah sama sekali, maka hari-hari itu semuanya dianggap suci. Dengan demikian, seluruh kewajipan yang tertinggal selama itu wajib diqadha. Adapun kalau sesudah itu kemudian keluar darah, maka darah itu darah haid. Jadi dalam kes seperti ini wanita tidak bernifas sama sekali.
Perkara-perkara yang dilarang selama masa nifas

  • semua yang tidak boleh dilakukan selama haid, maka tidak boleh dilakukan selama masa nifas, iaitu solat, puasa, masuk masjid, membaca dan menyentuh Al-Quran, tawaf dan bersetubuh.
Sumber

Permasalahan berkaitan haid

Larangan bagi orang yang sedang haid.
  • bagi wanita yang sedang haid, dia tidak diperbolehkan melakukan solat, puasa, masuk masjid, membaca dan menyentuh Al-Quran, tawaf keliling kaabah dan melakukan persetubuhan.
Sebab haid.
  • Adapun sebab terjadinya haid adalah kerana fitrah atau pembawaan yang dianugerahkan Allah swt kepada kaum wanita iaitu anak cucu Nabi Adam sebagai cubaan, apakah dengan mereka tetap patuh kepada-Nya hingga berhak mendapat pahala dari-Nya atau tidak. Demikian sebagaimana dapat kita baca dalam sebuah hadis riwayat Aishah r.a. bahawa Rasulullah saw pernah mengatakan tentang haid.
"Sebenarnya ini adalah hal yang telah menjadi ketetapan Allah atas puteri-puteri Nabi Adam."
(Muttafaq 'alaih)

Persetubuhan yang dilakukan setelah berhentinya darah haid.

Syaikh Mahmud Khithab As-Subki mengatakan bahawa menurut kebanyakkan para ulama (Jumhur) persetubuhan yang dilakukan sehabis berhentinya darah haid sebelum mandi adalah haram, sekalipun berhentinya itu pada akhir masa haid yang terpanjang.

Kerana Allah swt berfirman:

" Dan janganlah kamu (hai laki-laki) mendekati mereka (kaum wanita) sebelum mereka suci".
(Al-Baqarah:222)

Ayat ini bermaksud sebelum mereka mandi.

Sumber

Thursday, September 3, 2009

Hubungan Ketika Haid

SOALAN:
Adakah suami boleh makan dan minum bersama isteri yang sedang haid?

JAWAPAN:
Maksud firman Allah SWT:
Adalah jauhilah bersama mereka sewaktu haid.”
(Al-Baqarah: 222)

Ada orang yang menyangkakan tidak boleh makan pun bersama-sama isteri. Rasulullah saw menerangkan bahawa tidak demikian maksud ayatnya. Tetapi apa yang dimaksudkan hanyalah agar jangan melakukan persetubuhan dengan mereka yakni isteri.

Aisyah menceritakan:
Saya minum ketika sedang haid, lalu minuman itu saya berikan kepada Rasulullah saw. Maka ditempelkan mulut baginda kepadaku, baru sesudah itu baginda minum. Dan pernah juga ketika saya sedang haid, saya memakan daging yang masih lekat pada tulang, lalu saya berikan daging itu kepada Rasulullah saw. Maka baginda tempelkan mulutnya pada salah satu tempat dari tubuhku.”
(Hadis riwayat jamaah selain al-Bukhari & At-Tirmizi)

Dan dari Abdullah bin Said, bahawa dia mengatakan: “Pernah aku tanyakan kepada Rasulullah saw tentang makan bersama isteri yang sedang haid, maka jawab baginda: “Makanlah bersamanya.”
(Ahmad, Abu Daud & Tirmizi)

Sumber:
http://wangiancempaka.blogspot.com/

Tuesday, August 25, 2009

Hubungan Ketika Haid

PERSOALAN

Apakah yang boleh dilakukan oleh suami terhadap isterinya ketika isterinya sedang haid?

JAWAPAN

Suami boleh menyentuh tubuh isterinya kecuali faraj ketika isterinya sedang didatangi haid. Ini berdasarkan kepada Firman Allah SWT dan beberapa hadis Nabi.

Maksud Firman Allah SWT:

“Jika ditanya orang kepadamu (ya Muhammad) mengenai haid, katakanlah ia adalah sesuatu yang kotor, sebab itu hindarkanlah (jauhilah) isteri kamu ketika dalam haid, janganlah setubuhi/ menjimak mereka sehingga mereka suci. Apabila mereka bersuci (sudah mandi wajib), bercampurlah dengan mereka seperti yang telah disuruh Allah. Sesungguhnya Allah mengasihani orang-orang yang bertaubat dan mengasihani orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang bersuci.”

(Al-Baqarah: 222)

Hadis-hadis yang berkaitan:

“Dan dari Marwan bin Ajda’, katanya: “Pernah saya tanyakan kepada Aisyah ra, “Apakah yang boleh dilakukan laki-laki terhadap isterinya apabila sedang haid?” Maka jawab beliau: “Apa sahaja boleh selain farajnya.”

(Bukhari)

“Dan dari Hizam bin Hakim, dari bapa saudaranya bahawa bapa saudaranya itu pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah yang halal dari isteriku ketika ia sedang haid?” Jawab baginda: “Boleh kamu lakukan apa sahaja di atas kakinya.”

(Abu Daud)

“Dari Masruq bin Ajda’ katanya: “Aku tanyakan kepada Aisyah ra mengenai apakah yang diperkenankan bagi orang lelaki terhadap isterinya yang sedang dalam keadaan haid?” Jawab Aisyah: “Segala sesuatu selain kemaluannya.”

(Bukhari)


sumber

Sunday, November 23, 2008

Bolehkah Berjimak Ketika Haid?

SOALAN: Apakah berdosa apabila saya menolak kehendak suami yang mengajak bersamanya (berjimak) sedangkan selepas itu didapati haid saya masih belum betul-betul kering?

– Nurshuhada Samsi, Alor Gajah, Melaka.

JAWAPAN: Tidak halal bagi seseorang itu melakukan persetubuhan selepas kedatangan haid melainkan sesudah dia bersuci dan mandi hadas, dan selepas mandi hadas (dan bersuci) itu, barulah larangan tersebut terangkat kembali. Ini berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: Maka jangan kamu hampiri mereka sehingga mereka bersuci (mandi hadas) dan bila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka sebagaimana yang disuruh Allah. Allah suka orang yang bertaubat dan bersuci, wanita (isteri) kamu itu ladang kamu maka datangilah ladang (kebun) kamu itu sekehendak (hati) kamu. (Surah al-Baqarah ayat 222-223).

Tetapi sekiranya terlanjur juga semasa dalam pantang tersebut kerana sesuatu kesilapan seperti hitungan dan perkiraan yang salah maka kata ulama digalakkan melakukan sedekah satu dinar atau satu cupak (makanan) kepada fakir miskin untuk satu kesalahan yang telah berlaku sebagai kafarahnya. Demikianlah pendapat kebanyakan ulama. Wallahualam.

sumber

Friday, April 25, 2008

Mandi Wajib Ketika Demam Campak

Tangguh mandi wajib
SOALAN: Saya mengalami demam campak yang agak teruk di muka dan tubuh badan. Kebetulan pula saya ingin mandi wajib selepas selesai haid. Tetapi keluarga menasihatkan saya jangan mandi, untuk mengelakkan kulit badan pecah dan meninggalkan parut. Adakah cara lain untuk mengatasinya?

– Siti Payung,

Klebang Besar, Melaka.

JAWAPAN: Anda patut mendengar nasihat keluarga anda tersebut demi untuk kebaikan diri sendiri. Ini kerana penyakit tersebut boleh menyebabkan kesan buruk sebagaimana yang diketahui umum. Begitu juga pada pendapat pakar perubatan, anda boleh melakukan tayamum sebagai ganti mandi wajib tadi. Kerana pada masa Rasulullah pernah berlaku di kalangan sahabat yang mati kesejukan akibat mandi wajib tersebut. Caranya amatlah mudah iaitu dengan menepuk dua tangan sebanyak dua kali, kali pertama untuk menyapu muka dan kali kedua untuk tangannya. Justeru dua anggota itu saja yang wajib disapu sebagai anggota tayamum. Apabila anda sudah bertayamum maka anda tidak perlu melakukan mandi wajib lagi. Dalam agama kita ini banyak kemudahan dan kelonggaran yang diberikan sesuai dengan keadaan dan kemampuan masing-masing. Wallahualam.

sumber

Saturday, February 2, 2008

Lahir anak tanpa lelaki perlu ditolak

KUALA LUMPUR 1 Feb. - Kajian untuk membolehkan wanita melahirkan anak tanpa lelaki perlu ditolak di negara ini walaupun daripada satu sudut ia membuktikan kebesaran Allah tentang sejarah Nabi Isa yang dilahirkan tanpa bapa.

Ahli akademik, Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, kaedah mencipta sperma melalui sumsum tulang wanita adalah jelas bercanggah dengan fitrah manusia dan bertentangan dengan agama Islam yang mementingkan pemeliharaan keturunan.

Katanya, Islam menekankan soal pemeliharaan nasab atau keturunan yang mensyaratkan pernikahan antara wanita dan lelaki untuk melahirkan anak.

‘‘Cuma daripada ilmu sains, penyelidikan di Universiti Tyne, Newcastle itu membuktikan kepada umat manusia bahawa kejadian Siti Mariam melahirkan Nabi Isa tanpa lelaki itu sememangnya boleh berlaku.

“Ilmu sains ini juga adalah ilmu Allah sebab itu walau setinggi mana ilmu yang ada pada manusia ia perlu dibataskan oleh agama, moral dan etika,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang merupakan bekas Profesor di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka hadapan Utusan Malaysia hari ini berhubung kajian di Britain untuk membolehkan wanita melahirkan anak tanpa kehadiran lelaki.

Kajian pakar biologi, Profesor Karim Nayernia yang dijangka dimulakan dalam tempoh dua bulan itu akan dilakukan dengan mengubah sel stem daripada seorang wanita penderma sumsum tulang kepada sperma dengan bantuan bahan kimia khas dan vitamin.

Namun berdasarkan laporan, pengkritik memberikan amaran bahawa perkembangan itu akan meminggirkan lelaki dan membawa prospek kelahiran bayi secara tiruan sepenuhnya tanpa proses semula jadi.

Sementara itu, Presiden Perubatan Islam Malaysia, Prof. Dr. Abdul Latiff Mohamad berkata, sebagai umat Islam, kajian seumpama itu wajar dihalakan untuk mencipta sesuatu sel atau organ manusia yang lain dan bukan sperma yang melibatkan soal zuriat.

Katanya, ini kerana tidak mustahil jika sel stem sumsum tulang boleh menghasilkan sperma, kaedah yang sama juga boleh mencipta sesuatu yang lain.

“Malah ada laporan bahawa di Jepun terdapat sekumpulan saintis mencipta buah pinggang dengan sel stem.

“Ilmu sains itu memang luas tetapi seluas mana pun saya percaya ia perlu dipandu mengikut batas agama dan moral untuk membolehkannya dimanfaatkan manusia.

“Macam yang hendak di buat di Universiti Tyne itu, jelas Islam tidak membenarkannya walau macam mana darurat keadaannya sekalipun,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Tan Sri Zaleha Ismail turut menegaskan kaedah seumpama itu wajar ditolak oleh masyarakat di negara ini tanpa mengira agama dan kaum.

Katanya, jika kajian itu berjaya dan diperluaskan ke negara ini, ia dibimbangi boleh menimbulkan lebih banyak kemudaratan kepada manusia sendiri.

“Tak usahlah kita hendak melawan fitrah kejadian manusia. Mungkin dari sudut sains ia berhasil tetapi kena lihat pula dari sudut sosial dan lain-lain.

“Saya bimbang ia boleh membawa masalah lebih besar daripada soal mengatasi masalah kemandulan,” ujarnya.

sumber

Wednesday, January 9, 2008

Dipaksa Bersetubuh, Bagaimana Cara Taubatnya?

SOALAN: Ketika berumur 13 tahun, saya telah dipaksa tidur bersama oleh abang angkat yang tinggal serumah. Saya langsung tidak tahu hal-hal yang berkaitan dengan seks atau zina.

Setelah dewasa, saya mempunyai seorang teman yang ingin mengahwini saya. Apa yang berlaku telah saya ceritakan kepadanya tetapi ia mengambil kesempatan daripada kejujuran saya, menyebabkan saya terpaksa menggugurkan kandungan sebanyak dua kali.

Sekarang saya telah bersuami dan benar-benar menyesal terhadap apa yang telah saya lakukan, biarpun bukan atas kerelaan saya yang sebenar. Saya benar-benar mahu bertaubat, tetapi bagaimana? Latar belakang saya begitu minimum. Kedua-dua ibu bapa saya boleh dikatakan terlalu sibuk, seumpama tidak peduli dengan apa yang terjadi kepada saya.

seterusnya

Wednesday, December 19, 2007

Bolehkah Baca Doa Daripada Al-Quran Ketika Haid?

SOALAN

Orang perempuan yang haid, tak boleh baca quran, doa-doa yang 'seketul' dari al-Quran bagaimana? Contohnya doa naik kenderaan, doa belajar dan lain-lain.


JAWAPAN

Alhamdulillah

Apabila orang-orang tersebut (wanita haidh, nifas, istihadhoh dan juga lelaki junub dan wanita junub) membaca sebahagian dari zikir dari Al Quran, seperti ketika hendak makan dia membaca "bismillah" dan akhir makannya dia membaca "alhamdulillah". Atau ketika hendak naik kenderaan dia membaca "Subhanalladzi sakharalanaa... dst" Dan lain-lain sebagainya, demikian itu apabila orang itu hanya berniat zikir saja, tidak haram. Jika orang itu berniat membaca Al Quran, hukumnya haram. Atau berniat kedua-duanya, juga haram.

wallahu'alam
(sila rujuk Kitab Kifayatul Akhyar oleh Imam Taqiyuddin Abu Bakr bin Muhammad Al Husni Al Husaini)

*Jawapan oleh Ustaz Miskin

http://www.bicarasufi.com/bsc/viewtopic.php?t=17509