Sunday, July 31, 2011
Wajib ganti setiap puasa ditinggalkan
Assalamualaikum ustaz. Saya tidak berpuasa beberapa hari kerana kedatangan haid pada bulan Ramadan. Ini berlaku beberapa tahun dulu dan saya masih belum menggantikannya. Adakah saya perlu menggantikannya dan dikenakan fidyah?
Jawapan:
ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala rasulillah, waba’d.
Alah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagai mana diwajibkan atas orang-orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.”
Sekiranya seseorang tertinggal beberapa hari puasa di bulan Ramadan, maka hendaklah dia menggantikannya sebelum tiba Ramadan yang baru. Dalam sebuah hadis yang riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah r.a berkata: “Aku masih berhutang puasa Ramadan dan aku tidak dapat menggantikannya sehingga Syaaban tiba dan itu adalah kerana sibuk melayani Rasulullah SAW.”
Menurut al-Hafiz Ibn. Hajar rhm: “Keinginan Aisyah yang tinggi untuk berpuasa pada bulan Syaaban adalah kerana syarak tidak membenarkan menangguhkan ganti puasa sehingga Ramadan yang baru tiba.
Seseorang yang melengahkan ganti puasa terbahagi kepada dua golongan. Golongan pertama, iaitu golongan yang berlengah atas alasan yang sah di sisi syarak seperti sakit yang berpanjangan. Jika keadaan ini berlaku, maka seseorang itu boleh menggantikan puasa walaupun selepas Ramadan yang kedua.
Golongan yang kedua pula adalah golongan yang tidak mempunyai alasan untuk melengahkan perkara itu.
Contohnya, dia berupaya menggantikan puasa tetapi tidak melakukannya sebelum Ramadan baru bermula dengan sengaja.
Golongan kedua ini berdosa kerana gagal menggantikan puasa tanpa alasan yang sah. Kalangan ulama bersepakat bahawa dia hendaklah menggantikan puasa.
Namun mereka berbeza pandangan sama ada dia kena menggantikan puasa di samping membayar fidyah atau tidak.
Imam Malik, Syafi’I dan Ahmad berpendapat bahawa mesti membayar fidyah di samping menggantikan puasa. Pandangan ini berdasarkan riwayat daripada beberapa orang sahabat seperti Abu Hurairah dan Ibnu Abbas RHM.
Imam Abu Hanifah pula berpendapat bahawa tidak perlu membayar fidyah. Cukup hanya menggantikan puasa. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang memerintahkan agar orang yang tidak berpuasa, hendaklah menggantikannya sebagai dalil. Ayat ini tidak menyebutkan tentang pembayaran fidyah kepada orang miskin. Itulah pendapat yang dipegang beliau.
Imam al-Bukhari RHM. memilih pandangan yang kedua. Beliau berkata dalam kitabnya Sahih al-Jami’: “Ibrahim al-Nakha’i berkata bahawa jika seseorang lalai (tidak menggantikan puasa yang ditinggalkan) sehingga Ramadan baru, dia hendaklah menggantikan hari-hari yang tertinggal bagi kedua-dua tahun. Tetapi dia tidak berpendapat perlunya membayar fidyah bagi setiap hari yang tertinggal.
Ada juga petikan mursal daripada Abu Hurairah dan ibnu Abbas yang berkata bahawa dia perlu membayar fidyah.
Kemudian Imam al-Bukhari menyebut: “Tetapi Allah tidak menyebut mengenai membayar fidyah kepada orang miskin (melalui firman-Nya).”
Oleh itu, apa yang wajib ialah menggantikan puasa saja tetapi jika seseorang ingin lebih selamat dengan membayar fidyah di samping menggantikan puasa, itu lebih baik.
Jika anda melambatkan ganti puasa tanpa sebarang alasan, anda hendaklah bertaubat kepada Allah dan bertekad tidak akan mengulangi kesilapan ini akan datang. Demikianlah, wallahua’lam
Sumber
Juruterbang diberi kelonggaran berbuka puasa
USTAZ, saya mempunyai beberapa soalan mengenai ibadat puasa. Saya juruterbang yang bertugas membabitkan perjalanan jauh. Adakah saya termasuk dalam golongan yang diberi kemudahan berbuka. Saya mendengar ada orang mengatakan tidak boleh berbuka kerana kapal terbang itu kenderaan mewah dan tugasan pula selalu dibuat. Kedua, apakah hukum menggosok gigi selepas gelincir matahari dan soalan terakhir, bagaimana cara terbaik mendapatkan manfaat Ramadan?
Jawapan
Alhamdulillah wassoalatu wassalam ‘ala rasulillah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 184: “(Puasa yang diwajibkan ialah) beberapa hari yang tertentu (29 atau 30 hari), maka sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam musafir (haruslah dia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dia buka) itu pada hari lain.”
Walaupun puasa Ramadan adalah kewajipan, Allah masih memberi keizinan kepada mereka yang sakit atau musafir untuk berbuka kerana Islam agama rahmat. Keizinan ini diberikan kepada mereka yang jarang musafir atau selalu musafir. Seperti Allah memberikan kelonggaran untuk jamak dan qasar solat bagi musafir, begitu juga puasa diberi keizinan untuk berbuka, tetapi hendaklah menggantikan bilangan hari yang dibuka itu pada bulan lain.
Dalam hadis riwayat Muslim daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata: “Saya musafir bersama Rasulullah SAW pada Ramadan. Orang berpuasa tidak mengingkari orang berbuka dan yang berbuka tidak mengingkari yang berpuasa.” Begitu juga hadis riwayat Muslim daripada Jabir RA, beliau berkata, Rasulullah SAW keluar ke Makkah ketika pembukaan Makkah pada Ramadan. Baginda SAW berpuasa hingga sampai di Kura’ Ghanim. Orang ramai juga turut berpuasa. Lalu dikhabarkan kepada Baginda SAW: “Sesungguhnya puasa membebankan orang ramai, mereka sedang menunggu apa yang tuan akan buat.” Kemudian selepas Asar, Baginda meminta sebekas air lalu meminumnya. Dalam hadis itu, jelas bagi mereka yang musafir, harus untuk berbuka.
Untuk soalan kedua, bersugi selepas gelincir matahari (sesudah masuk waktu Zuhur) makruh menurut pandangan mazhab Syafii. Bau mulut orang berpuasa adalah lebih baik di sisi Allah daripada bau kasturi. Justeru menghilangkannya adalah makruh seperti dinyatakan dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Demi Zat yang jiwa Muhammad berada digenggaman-Nya, sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.” Tetapi ada juga pandangan ulama mengatakan tidak makruh kerana Baginda SAW menggalakkan bersugi setiap kali solat. Seperti dalam hadis riwayat Ahmad daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Kalaulah tidak menjadi keberatan ke atas umatku, nescaya aku perintahkan mereka bersugi setiap kali hendak solat.”
Sebenarnya, antara hikmah ibadat puasa adalah menyuburkan rasa ketakwaan yang sebenarnya kepada Allah SWT. Ramadan adalah bulan rahmat, bulan maghfirah (keampunan) dan bulan yang penuh keberkatan. Sudah selayaknya umat Islam rasa gembira dikurniakan Ramadan.
Dalam satu hadis riwayat an-Nasa’i daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sudah datang kepada kamu Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan. Di mana diwajibkan kepada kamu untuk berpuasa. Pada bulan inilah pintu syurga dibuka dengan seluas-luasnya sementara ditutup rapat pintu neraka, diikat pula syaitan. Pada bulan inilah juga ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang terlepas keberkatan dan kebaikan malam itu, maka dia adalah orang rugi yang terlepas daripada segala kebaikan malam itu.”
Justeru, marilah kita berusaha untuk mendapat kebaikan Ramadan dengan melakukan amalan yang dapat meningkatkan ketakwaan serta dapat mendekatkan diri kita dengan syurga Allah SWT. Marilah kita berubah daripada orang yang lemah iman kepada teguh iman dengan berpuasa. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 183 bermaksud: “Wahai orang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa seperti diwajibkan kepada orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
Syeikh Said Hawwa mengatakan jika kita tidak dapat menjadi orang yang bertakwa pada Ramadan dan bulan selepasnya, maka tiada puasa buat kita atau sebenarnya kita tidak berpuasa. Wallahua’lam
Sumber
Tuesday, July 26, 2011
Bayar fidyah di pejabat zakat
Bayar fidyah di pejabat zakat
Saya telah ketinggalan membayar puasa wajib tiga tahun yang lepas selama 10 hari. Saya tidak mampu untuk membayar dalam bentuk berpuasa jadi saya ingin membayar fidyah.Apa yang saya ingin tanyakan pada ustaz adalah berapakah nilai yang saya perlu bayar sekiranya saya ingin membayar dalam bentuk tunai dan kepada siapakah yang layak untuk saya berikan fidyah ini?
Jawapan:
Maksud Fidyah adalah satu cupak makanan asasi tempatan yang disedekahkan kepada fakir miskin mewakili satu hari yang tertinggal puasa Ramadan padanya.
Makanan asasi masyarakat Malaysia adalah beras, maka wajib menyedekahkan secupak beras kepada fakir miskin bagi mewakili sehari puasa. Ukuran secupak beras secara lebih kurang sebanyak 670 gram.
Contohnya si polan telah meninggalkan puasanya sebanyak lima hari, maka dia wajib membayar fidyahnya sebanyak lima cupak beras kepada fakir miskin.
Firman Allah SWT yang bermaksud: (Puasa yang diwajibkan itu adalah beberapa hari tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang Yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari Yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (al-Baqarah: 184)
Fidyah adalah bayaran denda yang dikenakan terhadap individu Islam yang tidak dapat menggantikan puasanya di bulan Ramadan pada suatu tahun sehingga tiba Ramadan tahun berikutnya.
Bayaran fidyah ini boleh diserahkan kepada orang fakir miskin atau di mana-mana Jabatan Agama Islam Negeri yang menyediakan khidmat bayaran denda fidyah. Hukum membayar fidyah adalah wajib.
Penangguhan membayar zakat akan menyebabkan fidyahnya berganda mengikut tahun. Bagi mereka yang meninggalkan puasa dengan uzur syarie, selepas itu tidak mampu menggantikan puasa tersebut maka hendaklah membayar fidyah pada tahun yang sama dengan bagi setiap hari satu cupak.
Sekiranya seseorang itu telah mengetahui bahawa dia tidak akan dapat berpuasa atas alasan-alasan syarie maka hendaklah bersegera dalam melangsaikan fidyah tanpa bertangguh.
Apabila ditangguhkan pembayaran fidyah sehingga menjelma bulan Ramadan pada tahun berikutnya maka fidyah menjadi ganda mengikut tahun.
Contohnya Abu tertinggal puasa pada tahun 2005 sebanyak 10 hari kemudian dia didapati menghidap penyakit yang sukar diubati, dan dia juga disahkan tidak boleh berpuasa maka dia hendaklah membayar fidyah pada tahun 2005 tetapi dia tidak berbuat demikian.
Namun pada tahun 2011 dia sedar bahawa fidyah bagi puasa yang ditinggalkan pada tahun 2005 perlu dibayar. Apa yang harus dilakukan oleh Abu ialah pertamanya mengira hari yang tertinggal puasa, iaitu 10 hari x dengan gandaan 5, iaitu lewat 5 tahun, maka jawapannya adalah 50 hari, setiap hari satu cupak x dengan 50 hari> 50 cupak.
Kadar satu cupak adalah nilai zakat fitrah yang dibahagikan kepada 4. Katakan zakat fitrah bagi negeri Selangor tahun 2010 adalah RM7/4>1.75. Maksudnya 50 x RM1.75> RM87.50. Begitulah seterusnya dalam pengiraan bayaran fidyah.
Namun ada yang berpendapat bahawa fidyah tidak wajib bagi mereka yang mampu berpuasa, kerana fidyah hanya dikenakan ke atas mereka yang sudah tentu tidak dapat berpuasa. Bagi mereka yang mampu berpuasa hendaklah mengqadanya bukan dengan membayar fidyah.
Namun pandangan membayar fidyah bersama qada puasa juga disetujui oleh ulama Mazhab al-Syafieyyah.
Fidyah dikenakan kepada orang yang tidak mampu berpuasa dan memang tidak boleh berpuasa lagi. Maka dengan itu Islam memberikan keringanan (rukshah) kepada mereka yang tidak boleh berpuasa dengan cara membayar fidyah iaitu memberikan secupak beras kepada orang fakir miskin.
Begitu juga kepada orang yang meninggalkan puasa dan tidak menggantikan puasanya sehingga menjelang puasa Ramadan kembali (setahun), maka dengan itu mereka dikehendaki berpuasa dan juga wajib memberikan secupak beras kepada fakir miskin.
Begitu juga pada tahun seterusnya. Fidyah akan naik setiap tahun selagi mana orang tersebut tidak menggantikan puasanya.
Fidyah tidak boleh digantikan dengan zakat, kerana zakat dan fidyah adalah dua perkara yang berbeza.
Jika anda terlalu sibuk dan tidak ada masa untuk membayar fidyah, maka anda boleh mewakilkan kepada orang yang dipercayai untuk membayar fidyah anda kepada fakir miskin. Boleh juga membayar fidyah di kaunter-kaunter zakat negeri masing-masing.
Wednesday, October 21, 2009
Terlewat Niat Puasa Sunat
SOALAN:
Saya ingin bertanya mengenai puasa sunat. Saya tersedar pukul 6 pagi, terus saya rasa saya nak berpuasa sunat bulan Syaaban. Adakah sah puasa saya?
JAWAPAN:
Niat bagi puasa sunat boleh dilewatkan, tempohnya ialah sehingga tergelincir matahari. Jika anda terlupa berniat di malam hari atau sebelum subuh tidak menjadi masalah asalkan anda sempat berniat sebelum tergelincir matahari dengan syarat tidak makan dan minum atau tidak didahului dengan perkara yang boleh membatalkan puasa.
Waktu yang seharusnya berniat bagi setiap puasa ialah malam hari atau berniat sebelum masuk waktu subuh. Namun, ulama dalam fiqh seperti Imam Ahmad bin Hambal, Abu Hanifah dan Imam al-Syafie meriwayatkan daripada Abi al-Darda’ dan Abi Thalhah dan lainnya berpendapat harus berniat di siang hari.
Ini berdasarkan riwayat daripada Aisyah yang bermaksud: “Aisyah r.a. telah memberitahu: “Rasulullah SAW telah berkata pada suatu hari: Wahai Aisyah ada apa-apa di sisi engkau untuk dimakan? Aisyah menjawab: Wahai Rasulullah tidak ada apa-apa di sisiku untuk dimakan. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya aku berpuasa.” Kemudian baginda telah datang kepada kami (isteri-isteri baginda) lalu kami berkata: “Wahai Rasulullah kami telah dihadiahkan dengan hais (sejenis makanan yang diperbuat daripada minyak sapi dan tepung gandum )”. (riwayat Muslim).
Falsafah sebelum tergelincir matahari adalah kerana separuh daripada hari itu dia telah menahan dirinya dari makan dan minum. Kedua, jika ingin berniat selepas tergelincir matahari bermaksud sudah lebih daripada setengah hari sedangkan setiap amalan itu perlukan niat dan tidak berlaku lagha (sia-sia).
Ada beberapa persoalan lain dalam puasa sunat yang perlu diketahui umum. Di antaranya adalah:
* Persoalan berkaitan dengan hukum menyempurnakan puasa sunat. Boleh atau tidak baginya memutuskan puasa sunat itu?
Jumhur ulama berpendapat tidak wajib disempurnakan malahan sunat baginya menyempurnakan puasa tersebut. Jika dia memutuskan atau membatalkan puasanya maka tidak wajib dia menggantikan puasa tersebut.
Ini berdasarkan riwayat Abdullah bin Umar yang menyatakan yang bermaksud: “Tidak menjadi dosa bagi mereka yang ingin memutuskan puasa selagi mana puasa itu bukan puasa nazar atau puasa ganti Ramadan”.
Ibn Abbas menjelaskan dalam satu riwayat yang bermaksud: “Sekiranya ada di kalangan kalian yang berpuasa sunat, kemudian dia mahu memutuskan (membatalkan) lakukanlah…”
Wanita yang berpuasa sunat dengan izin suaminya
Syarat puasa sunat sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadan iaitu Islam, baligh, berakal, suci dari haid dan nifas serta disyaratkan dengan niat dan meminta izin suami bagi wanita yang berumahtangga.
Maka di antara syarat sah puasa sunat bagi wanita adalah meminta izin suaminya. Ini jelas dalam tegahan Nabi SAW yang dikeluarkan oleh Ibn Majah yang bermaksud: “Rasulullah SAW telah menegah para isteri dari berpuasa sunat tanpa izin suami mereka”. (riwayat Ibn Majah, jld:1, hlm:560 ).
Di dalam kitab al-Majmu’ karya fiqh mazhab al-Syafieyyah dinukilkan yang bermaksud: “Tidak harus bagi seorang isteri berpuasa sunat sedang suaminya ada di sisi.” (al-Majmu’, jld:6, hlm; 453-454)
Kesimpulannya
Kita disunatkan berpuasa setiap bulan. Seboleh-bolehnya jangan berlalu bulan tanpa kita berpuasa, sama ada dengan puasa tiga hari setiap bulan, puasa Isnin dan Khamis atau puasa-puasa lain yang disunatkan.
Menurut ulama, puasa sunat harus dilakukan pada mana-mana hari di sepanjang tahun kecuali di bulan Ramadan, hari raya dan hari-hari Taysriq. Namun, digalakkan memilih hari-hari khusus yang disunatkan oleh Rasulullah SAW kita berpuasa.
Tuesday, September 22, 2009
Puasa Tapi Tidak Solat
| |
| SOLAT adalah ibadat yang wajib dilakukan sama ada dalam keadaan sihat atau sakit. - Gambar hiasan |
Lirik lagu nasyid berjudul 'Harapan Ramadan' dendangan Kumpulan Raihan jelas menggambarkan bulan Ramadan merupakan bulan yang dinanti-nantikan oleh semua umat Islam yang beriman.
Ini kerana padanya terdapat limpahan kerahmatan, keampunan dan ganjaran Allah yang diberikan khusus kepada hamba-Nya yang berpuasa.
Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: "Bulan Ramadan, bulan rahmat telah datang kepada kamu. Di mana Allah SWT telah berpaling kepadamu dan menurunkan ke atasmu rahmat yang istimewa, mengampunkan akan kesalahan-kesalahan, memperkenankan akan doa-doa, melihat di atas perlumbaan-perlumbaanmu bagi mendapatkan kebaikan yang besar dan berbangga-bangga kepada malaikat-malaikat mengenaimu. Maka tunjukkanlah akan kebaikan-kebaikan daripada kamu. Kerana sesungguhnya orang yang paling 'dikasihani' dan paling malang ialah seseorang yang terluput daripada rahmat Allah dalam bulan ini". (riwayat at-Tabrani)
Bulan yang istimewa dan penghulu segala bulan ini hanya datang sekali dalam setahun. Setiap kali kemunculannya ia disambut dengan penuh kegembiraan oleh umat Islam seluruhnya.
Malah, setiap umat Islam yang beriman, menantinya dengan penuh debaran dan harapan. Peluang untuk beribadah dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda pada bulan ini. Mereka tidak lepaskan dengan begitu saja. Mereka bagaikan ingin terus mendampingi Ramadan buat selama-lamanya.
Mungkin agak pelik jika ada antara kita di kalangan umat Islam yang sanggup menahan lapar dan dahaga di bulan penuh keberkatan ini semata-mata memenuhi tuntutan Allah kepada hamba-Nya yang beriman, tetapi tidak mendirikan solat.
Pengendali laman soal-jawab agama, www.ilmudanulamak.blogspot berkelulusan Universiti Al-Azhar, Ahmad Adnan Fadzil berkata, para ulama berbeza pandangan tentang hukum meninggalkan solat kerana malas atau segan (iaitu masih mengakui kewajipan solat, cuma ia malas melakukannya).
Imam Ahmad berpandangan ia adalah kafir manakala Jumhur ulama pula bersependapat ia adalah fasiq iaitu melakukan dosa amat besar.
Jika berpegang kepada pandangan Imam Ahmad tersebut, maka sebahagian ulama hari ini (terutamanya dari Arab Saudi seperti Sheikh Bin Baz, Ibnu Usaimin dan sebagainya) berpendapat, orang yang tidak menunaikan solat fardu, tidak sah puasanya, malah juga ibadah-ibadahnya yang lain (zakat, haji, sedekah dan amal-amal soleh selainnya) sehinggalah ia bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat.
Adapun berdasarkan pandangan jumhur ulama (yang tidak menghukum kafir orang yang meninggalkan solat itu), puasa orang itu sah jika ia memenuhi rukun-rukun puasa yang ditetapkan dan tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Maksud sah di sini ialah dia tidak dituntut lagi menggantikan puasanya.
Namun perlu dipersoalkan adakah puasanya itu diterima oleh Allah sedangkan ia telah mengabaikan ibadah yang cukup besar dalam Islam iaitu solat?
Tidak semua ibadah yang sah diterima oleh Allah. Contohnya, seseorang yang mengerjakan solat dengan riak, solatnya sah (dari sudut fiqh) apabila cukup syarat-syarat dan rukun-rukunnya, namun solatnya ditolak oleh Allah kerana riak tersebut.
Sheikh 'Atiyah Saqar menulis dalam fatwanya; "Sesiapa berpuasa tanpa mengerjakan solat, puasanya adalah sah dan tidak wajib ia mengulanginya. Akan tetapi dari segi penerimaan (Allah) terhadapnya, maka hadis Nabi SAW menunjukkan ia tidak diterima".
Hadis yang dimaksudkan ialah yang bermaksud: Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (iaitu Allah tidak berhajat kepada puasanya). (riwayat Imam Bukhari, Abu Daud dan at-Tirmizi).
puasa ditolak
Daripada mafhum hadis di atas, jika dengan kerana akhlak mazmumah (kata-kata dusta dan sebagainya) telah pun menyebabkan puasa ditolak oleh Allah, maka lebih-lebih lagilah dengan meninggalkan solat fardu yang dosanya amatlah besar, berkali-kali ganda lebih besar dari dosa kerana akhlak mazmumah itu.
Namun, itulah yang berlaku dalam realiti masyarakat Islam kini apabila mereka tidak mengendahkan tuntutan utama agama Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah yang mengakui tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah.
Bertepatan dengan firman Allah SWT bermaksud: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (al-Baqarah: 45)
Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, Md. Ali Sarbini memberitahu, menjadi satu perkara aneh jika sekiranya seseorang itu sanggup bertahan untuk berpuasa tetapi mengabaikan solat.
Menurutnya, keadaan sebegitu adalah satu perkara yang tidak tepat atau selari dengan kehendak agama yang berlandaskan kepada rukunnya yang lima sebagai pegangan setiap penganutnya.
Jelas Md. Ali, rukun Islam itu berkaitan antara satu sama lain serta saling sempurna dan menyempurnakan. Jika salah satu daripada rukun itu tidak dilaksana, maka pincanglah agama.
Sebagaimana sabda nabi SAW bermaksud, "Sesungguhnya yang paling mula-mula dihisab pada seorang hamba di hari Kiamat daripada amalannya ialah solat . Sekiranya solatnya baik, maka dia akan berjaya dan selamat. Sekiranya solatnya rosak, maka dia akan kecewa dan rugi". (riwayat At Tirmizi, An Nasaei dan Ibnu Majah ).
Kata Md. Ali, orang yang bersyahadah mesti dibuktikan dengan mengerjakan sembahyang, orang yang sanggup bersembahyang mesti dibuktikan dengan berpuasa, orang yang sanggup bersyahadah, bersembahyang dan berpuasa mesti sanggup mengeluarkan wangnya untuk diberikan kepada orang lain.
"Begitu juga orang yang sanggup mengeluarkan wang untuk membayar zakat, sanggup pula mengeluarkan wang untuk menunaikan haji...jadi rukun yang lima ini saling berkait.
"Oleh itu, menjadi satu perkara aneh sekiranya berlaku orang berpuasa tetapi tidak sembahyang seolah-olah tidak bertolak dari bawah. Ini yang banyak berlaku dalam masyarakat," katanya kepada MEGA, baru-baru ini.
Bagaimanapun, menurut Md. Ali, ibadat puasa yang dilaksanakan oleh orang seperti ini tetap sah di sisi Islam walaupun ia tidak mendirikan solat kerana Islam merupakan agama praktikal.
"Tetapi dia berdosa kerana meninggalkan sembahyang. Akan tetapi puasa itu tidak menjadi sempurna sebagai matlamat untuk membentuk masyarakat yang baik. Jadi sebaik-baiknya teruskan puasa dan laksanakan sembahyang untuk mengimbangi tuntutan agama.
"Jangan jadikan alasan berpuasa sebagai salah satu sebab untuk meninggalkan sembahyang seperti sesetengah orang berpuasa yang hanya tidur sepanjang hari bermula sahur sehingga berbuka bagi mengelakkan rasa lapar," katanya.
Bagaimanapun, Md. Ali menjelaskan, walaupun terdapat umat Islam yang berpuasa tetapi tidak bersembahyang, ia tidak boleh dikatakan sebagai satu adat atau trend yang berlaku dalam masyarakat kini.
Ini kerana katanya, ibadat puasa dilaksanakan dengan baik sekali gus membuktikan keimanan dan ketaatan terhadap suruhan Allah.
"Orang yang berpuasa walaupun tidak sembahyang masih mempunyai nilai-nilai keimanan dalam dirinya kerana mereka masih sanggup meninggalkan makan dan minum sepanjang hari.
"Hanya orang yang betul-betul beriman sahaja sanggup melakukan tuntutan Allah ini, mereka tetap mendapat ganjaran pahala daripada yang Maha Esa di atas ketaatan berpuasa tetapi dosanya meninggalkan sembahyang tetap dikira oleh Allah," jelasnya.
Bagaimanapun, Md. Ali turut menjelaskan, terdapat juga umat Islam yang berpuasa amat rajin melakukan ibadat di bulan rahmat ini tetapi tidak diteruskan amalan-amalan baik itu pada bulan-bulan lain.
Katanya, amalan terbaik di bulan puasa adalah berpuasa itu sendiri sebagai satu petanda menambahkan dan menggambarkan keimanan kepada Allah.
"Kita sanggup mendengar perintah Allah melalui al-Quran pada bulan mulai ini untuk meninggalkan perkara-perkara yang harus dilakukan di luar bulan puasa untuk beriman kepada Allah.
bulan puasa
"Jadi malang bagi sesiapa yang boleh bertahan berpuasa serta beribadah dengan melakukan amalan berlipat kali ganda, namun di luar bulan puasa mereka kembali kepada tabiat lama mereka dengan meninggalkan segala suruhan dan menolak perintah Allah," tambah beliau.
Mengulas lanjut, Md. Ali berkata, bulan Ramadan seharusnya menjadi pendorong kepada umat Islam untuk mengekalkan sikap yang baik dan amalan mulia yang dilaksanakan sepanjang masa, tidak mengambil kira kebaikan ganjaran yang diterima hanya berdasarkan kemuliaan bulan tersebut.
Amat janggal sekiranya kita tidak meneruskan amalan seperti berpuasa sunat dan apa yang menyedihkan lagi al-Quran ditinggalkan langsung sehingga Ramadan datang lagi. Sudah tentu ia tidak dikehendaki oleh Islam.
Sekiranya tidak berlaku penerusan amalan di bulan lain, Md. Ali berpendapat, besar kemungkinan amalan yang dilaksanakan di bulan puasa tidak memberi kesan kepada kehidupan mereka itu.
"Seumpama pelajar universiti yang tamat belajar tetapi melakukan jenayah seperti mencuri, ini menunjukkan pendidikan di universiti itu tidak memberi kesan kepada dirinya," jelas beliau.
Hakikatnya bulan Ramadan adalah bulan yang sepatutnya menjadikan umat Islam agar lebih produktif, proaktif, aktif dan bertenaga berusaha menjanakan kekuatan untuk memperbanyakkan ibadah dan mentaqarrubkan (mendekatkan) diri kepada Allah.
Hikmah puasa disyariatkan pula adalah untuk meningkatkan pengabdian dan perdampingan diri kepada Allah.
Sebarang ibadat yang dilakukan oleh seseorang tetap akan menyebabkan dirinya lebih hampir kepada Allah.
Kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya dan hamba pula menghampirkan diri kepada-Nya akan menjauhkan mereka daripada maksiat, mendekatkan diri kepada mentaati-Nya, dan segera membuat amal kebajikan.
Oleh itu, mereka sentiasa dalam keadaan yang betul dan kehidupan yang sempurna.
Semoga puasa yang kita lakukan diterima sama ada puasa perut daripada makanan, faraj daripada mengikut syahwat, mata daripada memandang yang haram, telinga daripada mendengar yang haram, tangan daripada mengambil yang haram, kaki daripada pergi ke tempat yang dimurkai Allah, lidah daripada segala kata nista dan cela dan seterusnya hati daripada nifak dan segala sifat mazmumah (yang tercela).
Insya-Allah takwa daripada ibadat puasa akan bersama dengan kita.
Thursday, September 3, 2009
Memperbaiki Adab-adab Puasa Ramadhan
RAMADHAN AL MUBARAK... BULAN DIBERKATI, PENGAMPUNAN DAN LATIHAN.
اللهم انك تحب العفو فاعفوا عنا وعن والدينا وعن جميع المسلمين والمؤمنين والمؤمنات ..آمين... يا رب العالمين
Sempena bulan puasa ni , marilah kita menambahkan amal kebajikan sebanyak mungkin mudahan dimakbul Allah dan dibaiki sifat-sifat ubudiah kita terhadap Yang Maha Kuasa.
Rahsia Huruf dalam kalimah صومShaum ertinya Puasa..
Huruf Shad - mengisyaratkan الصبر = Sabar.
"Sesungguhnya dibalasi pahala orang yang bersabar dengan tanpa Hisab".. al Quran.
Huruf Waw- mengisyaratkan الورع = Wara. iaitu meninggal perkara yang samar (syubhat)." Wara itu penghulu amalan" -al hadis riwayat al Tirmizi.
Huruf Mim- mengisyaratkan المحسن = Muhsin. Berbuat ihsan." Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berlaku IHSAN diatas setiap perkara"- al hadis riwayat Muslim.
Sangatlah perlu memerhatikan tiga sifat ini apabila seseorang itu sedang berpuasa. Kebiasaannya perkara-perkara yang menjuruskan kepada tiga perkara inilah atau sebaliknya yang menjadi fokus latihan, ujian dan dugaan daripada Allah s.w.t kepada kita ketika menjalani ibadah puasa yang sempurna. Samaada puasa tingkatan khusus atau khusus al khusus. Sebaliknya kemungkinan puasa awami yang kita miliki, yang hanya menahan lapar dan dahaga disiang hari, jika kita tidak menjaga dan mengawasi ketiga-tiga perkara tersebut.Allahu Musta'an...
Rujukan:1. Asrarus al Shyiam.. Sheikh Soleh Al-Ja'fari.
2. Ihya Ulumiddin...... Imam Ghazali.
3. Siyarus Saalikin...... Sheikh Abd. Shamad al Falambani.
sumber:
http://pondoktampin.blogspot.com/2007/09/memperbaiki-adab-adab-puasa-di-bulan.html
Kuliah - Puasa & Ramadhan
Berapa besarkah pahala berpuasa?
Apakah kaitan puasa dengan syurga?
Apakah keistimewaan orang-orang yang berpuasa?
Apakah kaitan puasa dengan Ramadhan?
Mengapa sebahagian ulama sufi menggerakkan tasbih sedangkan mereka sedang berbicara?Apakah tingkatan-tingkatan orang yang berpuasa?
Mana lebih baik- puasa tapi tak solat ataupun solat tapi tak puasa?
Mana lebih utama, solat Subuh/ Isya' berjemaah ataupun terawih?
Mana lebih utama bagi wanita- solat sendirian di rumah ataupun solat berjemaah di masjid?Bolehkah berpuasa sedangkan kita belum mandi wajib?Bolehkah merasa makanan yang hendak dibeli ataupun dimasak?
Bolehkah kita menerima suntikan ubat?
Nabi Muhammad mendahulukan apa ketika berbuka?
Ketika bersahur, azan Subuh terdengar. Bagaimana?
Elokkah bermaaf-maafan menjelang Ramadhan?
Ikuti kuliahnya di http://ribuanceramah.blogspot.com/2009/08/abu-zulfiqar-ramadhan-puasa.html
Saturday, August 22, 2009
Apakah Kelebihan Bulan Ramadhan?
فضائل شهر رمضانوفي فضل شهر رمضان قال رسول الله رسول الله عليه وآله وسلم: " رمضان إلى رمضان، والجمعة إلى الجمعة، والصلاة إلى الصلاة، مكفرات لما بينهن إذا اجتنبت الكبائر " (حديث صحيح. رواه مسلم، وأحمد، والبيهقي عن أبي هريرة رضي الله عنه) وقال عليه السلام في شهر رمضان: " هو شهر الصبر، والصبر ثوابه الجنة (رواه ابن خزيمة ، والبيهقي عن سلمان الفرسي رضي الله عنه).وقال فيه: " أوله رحمة، وأوسطه مغفرة، وآخره عتق من النار، وأن الله تعالى ينظر في أول ليلة منه إلى المسلمين، ومن نظر إليه لم يعذبه، ويغفر لهم في آخر ليلة منه " (رواه ابن خزيمة، والبيهقي) وقال جبريل لرسول الله – عليهما السلام -: " من أدرك رمضان فلم يغفر له أبعده الله ، قل : آمين ، قال رسو الله رسول الله رسول الله عليه وآله وسلم : آمين "( الحديث رواه ابن حبان، والبيهقي، والحاكم، والطبراني )
(قلت): ذلك لتيسر أسباب المغفرة في رمضان أكثر منها في غيره من الشهور، فليس يحرم المغفرة فيه إلا من تفاحش إعراضه عن الله وعظمت جرائته على الله، فاستوجب البعد والطرد عن باب الله. نسأل الله العافية من سخطه وعذابه وجميع بلائه.
وقال عليه الصلاة والسلام : " من صام رمضان وقامه إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه " - حديث صحيح رواه الشيخان، وأبو داود ، والنسائي، وابن ماجه عن أبي هريرة رضي الله عنه
Mengenai kelebihan bulan Ramadhan, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:
Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda mengenai bulan Ramadhan:
Sabda Baginda صلى الله عليه وآله وسلم lagi:
Jibril عليه السلام berkata kepada Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:
Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:
Sekian dari,
Al-Fagir Abu Zahrah
Khamis, 29 Sya’ban 1430H
sumber
Kuliah - Penjelasan Nisfu Syaaban
Bila Nisfu Syaaban?
Apa amalan yang biasa dilakukan pada Nisfu Syaaban?
Adakah Rasulullah dan para sahabat berbuat begitu?
Apakah amalan tersebut bidaah?
Jika benar bidaah, apakah ia bedosa ataupun mendapat pahala?
Apakah bidaah 'confirm' berdosa?
Benarkah ada pembahagian bidaah?
Benarkah para ulama terdahulu meletakkan hukum yang berlainan mengikut jenis bidaah?
Bila masanya amalan membaca Yaasin 3 kali menjadi bidaah dhalalah?
Hendak baca berapa kali surah Yaasin?
Benarkah buku amalan kita ditukar pada Nisfu Syaaban?
Mengapa ada ulama yang menyusun amalan-amalan pada malam Nisfu Syaaban?
Apakah yang dilakukan oleh Rasulullah sempena Nisfu Syaaban?
Elokkah berpuasa pada 15 Syaaban?
Hukum Puasa Selepas Nisfu Syaaban 3
Menyambung lagi keterangan para ulama kita berhubung puasa sunnat selepas Nishfu Sya'baan. Kali ini kawan ambik keterangan beberapa ulama yang masanya hampir dengan kita serta yang memiliki tempat yang khusus di sisi para Saadah Bani Alawi. Yang pertamanya dipetik dari "Irsyadul Anaam fi tarjamati arkanil Islam" karangan Mufti Betawi, Habib 'Utsman bin 'Abdullah bin 'Aqil BinYahya rahimahUllah. Pada halaman 29 Yang Mulia Habib menyatakan:-
Sebagi lagi HARAM memulakan puasa dari hari 16 bulan Sya'baan hingga akhirnya.
Dan yang keduanya, kita ambil dari karya al-Imam al-'Allaamah al-Muhaqqiq az-Zahid asy-Syaikh 'Abdullah bin Ahmad BaSaudan al-Kindi al-Hadhrami rahimahUllah yang berjodol "al-Anwarul Laami`ah wat Tatimmatul Wasi`ah lir Risaalatil Jaami`ah wat Tadzkiratin Naafi`ah" di mana pada halaman 415 dinyatakan bahawa tidak sah berpuasa (sunnat) pada nishfu terakhir bulan Sya'baan melainkan jika berbetulan dengan kebiasaan orang yang berpuasa tersebut atau disambungkan dengan puasa sebelumnya (yakni puasa sebelum nishfu yang terakhir tersebut). [Perincian bagi pengecualian haram berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan ini, ikhwah bolehlah baca dalam entri-entri yang lepas].
Kawan harap dengan ini terungkailah masalah berpuasa sunnat selepas nishfu yang kedua bulan Sya'baan. Inilah pandangan ulama kita asy-Syafi`iyyah, jadi sesiapa yang punya pandangan yang berbeza, ya mungkin ianya pendapat mazhab lain atau qawl lain yang bukan mu'tamad dalam Mazhab Syafi`i. Maka pengamal Mazhab Syafi`i kenalah beri perhatian mengenai perkara ini kerana ketentuan hukumnya dalam mazhab ini adalah HARAM menurut kebanyakan ulama Syafi`i, kalaulah tidak dikatakan semuanya.sumber
Hukum Puasa Selepas Nisfu Syaaban 2
Rupa-rupanya ada yang tersalah tanggap bahawa dengan dihukumkan haram berpuasa selepas Nishfu Sya'baan bererti kita tidak digalakkan berpuasa dalam bulan Sya'baan. Pengertian tersebut jelas menyalahi yang sebenar kerana apa yang benar ialah kita digalakkan memperbanyakkan berpuasa dalam bulan Sya'baan sebab telah warid beberapa hadits berhubung dengannya. Akan tetapi ianya hendaklah dimulakan sejak nishfu pertama bulan Sya'baan dan berterusan hingga menjelang Ramadhan. Oleh itu, apabila dalam mazhab kita menghukumkan HARAM DAN TIDAK SAH berpuasa sunnat, selain daripada apa yang diberikan pengecualiannya, maka tidaklah bermakna kita tidak menggalakkan orang berpuasa dalam bulan Sya'baan yang mulia. Fahamilah dengan benar.
Sebagai tambahan, kita lihat lagi keterangan mengenai hukum berpuasa selepas Nishfu Sya'baan ini dari beberapa karya ulama kita di Nusantara ini. Tok Syaikh Zainal 'Abidin bin Muhammad al-Fathani @ Tuan Minal rahimahUllah dalam karya beliau "Kasyful Litsaam 'an as-ilatil anaam" jilid 1 halaman 106 - 107 menulis, antara lain:-Haram puasa dua hari raya dan Hari Syak dan segala Hari Tasyriq yang tiga dan nishfu yang keuda daripada bulan Sya'baan bagi yang lain daripada puasa mempunyai sebab, jika tiada dihubung akan dia dengan barang yang dahulunya dan tiada jdi puasa [yakni tidak sah puasa tersebut], intaha.
Tok Syaikh Muhammad bin Ismail Daud Fathani @ Syaikh Nik Mat Kecik rahimahUllah pula menulis dalam "Mathla`ul Badrain wa Majma`ul Bahrain" pada halaman 62 - 63:-... Dan seperti haram puasa Hari Syak, haram puasa dengan tiada sebab pada nishfu yang kedua daripada Sya'baan, jika tiada dihubungkan dia dengan barang yang dahulunya dan hasil berhubung dengan barang yang dahulunya jikalau dengan hari yang ke 15 sekalipun dan berkekalan puasanya hingga akhirnya. Maka jika dihubungkan dia dengan barang yang dahulunya kemudian berbuka ia padanya, haram atasnya puasa kemudian daripadanya dengan tiada sebab yang telah terdahulu sebutnya.
Jika dua ulama tersebut di atas tadi mewakili ulama kita yang awal dan terdahulu, maka ini pula petikan tulisan daripada dua orang ulama kita yang sezaman. Ustaz Muhammad Taha bin Syaikh Muhammad Fadhlullah bin Syaikh Muhammad `Abdullah as-Suhaimi rahimahUllah menulis dalam karya beliau "Puasa & Zakat Harta" pada fasal "Hari-Hari Yang Haram Dikerjakan Puasa Didalamnya Serta Tidak Sah Puasa Itu" di halaman 68 - 69:-Segala hari yang letaknya di dalam separuh yang kedua bagi bulan Sya'ban, iaitu daripada 16 Sya'ban hingga akhirnya, kerana Nabi s.a.w. telah bersabda:-"Apabila sampailah bulan Sya'ban itu separuhnya maka janganlah kamu berpuasa."
Tetapi jika seorang itu beradat sentiasa puasa, atau ia puasa tiap-tiap selang hari, atau ia puasa tiap-tiap hari Isnin dan Khamis, maka tiadalah haram ia puasa pada separuh yang kedua bagi bulan Sya'ban itu untuk meneruskan adatnya. Demikian juga sah dan tidak haram di dalam separuh yang kedua bulan Sya'ban jika puasa itu kerana menqada'kan puasa yang telah tertinggal, atau puasa itu kerana nazar atau kerana kafarah. Demikian juga sah dan tidak haram seseorang puasa di dalam separuh yang kedua bagi bulan Sya'ban itu jika ia puasa di dalam separuh yang pertama bagi bulan Sya'ban lalu ia terus puasa hingga masuk pada separuh yang kedua bagi Sya'ban itu, seperti ia puasa pada 15 Sya'ban dan 16 Sya'ban atau ia puasa daripada sebelum 15 Sya'ban dan terus puasa hingga selepas 15 Sya'ban, iaitu tidak boleh ditinggalkan 15 dan 16 Sya'ban itu. Jika ia puasa di dalam separuh yang pertama bagi Sya'ban hingga masuk terus ke dalam separuh yang kedua maka jika ia berhenti puasa sehari pun di dalam separuh yang kedua bagi Sya'ban nescaya haramlah ia sambung lagi puasanya pada bila-bila hari hingga akhir Sya'ban, melainkan kerana qada' atau nazar atau kafarah maka sahlah puasanya sebagaimana telah tersebut tadi.
Ustaz Segaf bin Hasan Baharun hafizahUllah, ulama muda murid Habib Zain bin Ibrahim BinSumaith dan Pengasuh Pondok Puteri Pesantren Darul Lughah wad Da'wah, Bangil, Jawa Timur, menulis dalam karangannya "Sudah Sahkah Puasa Anda?" pada fasal "Hari-hari Yang Diharamkan Untuk Berpuasa" di halaman 39-40 menyatakan:-Diharap ikhwah memahami ketentuan hukum ini dengan jelas. Banyakkanlah berpuasa dalam bulan Sya'baan, asal sahaja tidak melanggar ketentuan yang dinyatakan oleh para ulama kita.Paruh Kedua Dari Bulan Sya'ban
Berpuasa pada paruh kedua dari bulan Sya'ban hukumnya haram berdasarkan sabda Rasul Saw:-Artinya: "Jika sudah masuk paruh kedua dari bulan Sya'ban, maka janganlah kalian berpuasa".
Dan yang dimaksud paruh kedua adalah tanggal 16, 17, 18 sehingga akhir bulan. Akan tetapi jika berpuasa pada hari-hari itu, begitu pula hari syak, untuk mengerjakan puasa wajib, misalnya qodlo' puasa Ramadlan, kaffarah dan lain-lain, atau sudah terbiasa setiap Senin Kamis berpuasa, atau berpuasa Daud, atau juga jika disambung dengan hari sebelumnya, misalnya puasa hari 15, maka boleh puasa hari ke-16 dan seterusnya. Maka puasa-puasa tersebut di atas tidak haram pada hari - hari itu.
Selasa, Ogos 11
Mawlid Penangkal Wabak
Pembacaan mawlid Junjungan Nabi SAW telah lama dianjurkan oleh para ulama kita (baca: ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sebenar, bukan Sunnah wal Jamaah atau Salafi jadi-jadian) sebagai wasilah memohon keselamatan dunia dan akhirat melalui Junjungan Nabi SAW dan cinta kasih kepada baginda. Maka tercatatlah dalam karya agung Sayyidisy Syaikh Abu Bakar Syatho al-Bakri ad-Dimyathi rahimahUllah, "I`aanatuth Thaalibiin" jilid 3 halaman 414 akan perkataan ulama besar yang masyhur lagi harum namanya, Imam Jalaluddin as-Sayuthi rahimahUllah, sebagai berikut:-
Telah berkata Sulthanul-'Arifin Jalaluddin as-Sayuthi dalam kitabnya berjodol "al-Wasaail fi syarhisy Syamaail":- "Tidak ada sebuah rumah atau masjid atau tempat yang dibacakan padanya Mawlidin Nabi SAW melainkan dikerumuni para malaikat akan mereka yang ada di tempat tersebut dan Allah akan menebarkan rahmatNya kepada mereka. Para malaikat yang berkalungkan cahaya - iaitu Jibril, Mikail, Israfil, Qarbail, 'Aynail, ash-Shaafun, al-Haafun dan al-Karubiyyun - maka bahawasanya mereka berdoa bagi orang yang menjadi sebab untuk pembacaan Mawlidin Nabi SAW. Tidak ada seseorang muslim yang dibacakan dalam rumahnya akan Mawlidin Nabi SAW melainkan Allah selamatkan penghuni rumah tersebut daripada kemarau, wabak, kebakaran, malapetaka, bala bencana, kesengsaraan, permusuhan, hasad dengki, kejahatan 'ain (sihir pandangan) dan kecurian. Apabila dia mati, Allah akan mempermudahkan atasnya menjawab soalan Munkar dan Nakir dan adalah dia ditempatkan pada kedudukan as-shidq di sisi Allah Raja yang Maha Berkuasa."
Juga diceriterakan oleh Habib 'Ali bin 'Abdul Qaadir al-Habsyi dalam karya beliau "al-Mawaaizh al-Jaliyyah minal Majaalisil 'Aliyyah" akan perkataan Shohibul Mawlid, Habib 'Ali bin Muhammad al-Habsyi seperti berikut:- "Dahulu tempat kami sering dilanda berbagai penyakit, dan juga berbagai kekacauan. Namun setelah diadakan mawlid, semua penyakit dan kekacauan itu hilang. Sebagai gantinya kehidupan agama menjadi bersemangat, dakwah tersebar luas dan hasilnya pun nampak dengan jelas."Marilah kita semarakkan majlis-majlis mawlid Junjungan Nabi SAW, kerana dalamnya terdapat sholawat dan mahabbah kepada Junjungan SAW juga permohonan keselamatan duniawi dan ukhrawi. Mudah-mudahan dengan berkat jah Junjungan Nabi SAW dicurahkan ke atas kita dan sekalian umat ini akan hujan rahmat yang berkekalan serta dihilangkan segala malapetaka dan wabak penyakit.
sumber
Hukum Puasa Selepas Nisfu Syaaban 1
Masih ramai kalangan awam yang keliru dengan hukum berpuasa selepas hari Nishfu Sya'baan (hari 15 Sya'baan). Ramai yang tidak tahu bahawa menurut qawl yang mu'tamad dalam Mazhab Syafi`i hukum berpuasa selepas Nishfu Sya'baan adalah HARAM DAN TIDAK SAH dengan beberapa pengecualian yang akan datang penjelasannya. Kekeliruan mungkin disebabkan mazhab-mazhab lain mempunyai pendapat yang berbeza dengan Mazhab Syafi`i berdasarkan kepada ijtihad mereka. Ulama Syafi`i mengistinbathkan pengharaman berpuasa tersebut berdasarkan beberapa dalil termasuklah hadits-hadits Junjungan Nabi SAW. Antaranya apa yang diriwayatkan dalam "Sunan at-Tirmidzi", juzuk 2, halaman 183, bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda sebagai berikut:-
"Telah diberitakan kepada kami oleh Qutaibah, telah diberitakan kepada kami oleh 'Abdul 'Aziiz bin Muhammad, daripada al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman, daripada ayahnya, daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. yang telah berkata: Telah bersabda Junjungan Rasulullah SAW: "Apabila tinggal baki separuh dari bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa". Dan telah berkata Abu `Isa (yakni Imam at-Tirmidzi): "Hadits Abu Hurairah ini adalah hadits hasan shohih dan tiada kami ketahui akan dia melainkan dengan wajah (riwayat) ini atas lafaz ini.Selain daripada hadits di atas, Imam Abu Daud turut meriwayatkan dalam sunannya sebagai berikut:-

Daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawasanya Junjungan Rasulullah SAW bersabda: "Apabila masuk separuh bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa."Imam ash-Shan`ani dalam "Subulus Salam" juzuk 2, halaman 345 menyatakan bahawa hadits ini adalah hasan shohih di sisi para muhadditsin selain Imam Ahmad. Imam Ahmad mendhoifkannya kerana bagi Imam Ahmad perawi yang bernama al-'Alaa` bin `Abdur Rahman adalah perawi yang dhoif. Menurut kajian Imam ash-Shan`aani, pendapat Imam Ahmad tersebut adalah tidak tepat kerana al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman adalah seorang perawi yang hadits-hadits yang diriwayatkannya diambil oleh Imam Muslim dan selanjutnya Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani dalam "at-Taqrib" menghukumkan al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman ini sebagai seorang perawi yang shaduuq (benar atau kepercayaan).
Sungguhpun dihukumkan haram, tetapi pengharaman berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan ini tidaklah mutlak seperti pengharaman berpuasa pada 5 hari yang diharamkan secara mutlak berpuasa, iaitu 2 hari raya dan 3 hari tasyriq. Pengharaman berpuasa pada hari-hari nishfu kedua Sya'baan dan hari Syak tidaklah mutlak kerana ianya mempunyai pengecualian. Maka hukum HARAM DAN TIDAK SAH puasa yang dilakukan selepas nishfu Sya'baan (iaitu selepas tanggal 15 Sya'baan) mempunyai PENGECUALIAN seperti berikut:-
- puasa sunnat tersebut disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari yang berada di nishfu pertama (separuh pertama) bulan Sya'baan walaupun dengan hanya satu hari sahaja (yakni dihubungkan dengan berpuasa pada hari 15 Sya'baan) dengan syarat ianya hendaklah berterusan sehingga Ramadhan, jika terputus walaupun dengan uzur maka tidaklah boleh disambung lagi puasa tersebut. Contohnya, jika seseorang berpuasa sunnat pada 15 Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada 16 Sya'baan dan hari-hari berikutnya. Tetapi katakanlah setelah berpuasa pada 15, 16, 17 dan 18 Sya'baan, dia tidak berpuasa pada 19 Sya'baan, dengan atau tanpa uzur, maka tidaklah boleh lagi dia berpuasa sunnat pada 20 Sya'baan dan hari-hari yang berikutnya sehinggalah Ramadhan.
- puasa sunnat tersebut telah menjadi amalan biasa seseorang (yakni yang telah dijadikan wirid kebiasaannya). Contohnya, seseorang yang telah mewiridkan puasa pada setiap Isnin, maka tidaklah jadi halangan untuk dia meneruskan wiridnya itu.
- puasa qadha` samada qadha puasa fardhu atau qadha puasa sunnat yang berwaktu
- puasa kaffarah atau puasa nazar dengan syarat ianya tidak dilakukan dengan sengaja dan dengan tahu yang hari yang dinazarkan itu adalah hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan. Misalnya, seseorang bernazar hendak berpuasa pada hari Khamis minggu hadapan tanpa menyedari bahawa Khamis hadapannya sudah masuk dalam nishfu kedua Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada Khamis tersebut. Maka jika sekiranya dia tahu yang Khamis tersebut adalah dalam nishfu kedua bulan Sya'baan, maka tidaklah boleh dia berpuasa dan tidaklah sah nazarnya itu.

(Dan haram berpuasa [sunnat] pada hari-hari selepas nishfu Sya'baan, jika sekiranya puasa tersebut tidak berbetulan dengan adat kebiasaan seseorang) sebagaimana yang telah disebut terdahulu ketika perbincangan tentang hari Syak, (dan [puasa tersebut] tidak berhubung / bersambung dengan hari yang sebelumnya) iaitu tidak bersambung puasa pada nishfu yang kedua [bulan Sya'baan] dengan berpuasa pada separuh yang pertama bulan tersebut. Maka jika sekiranya puasa tersebut berbetulan dengan adat kebiasaan baginya atau dihubungkan [dengan hari-hari separuh pertama Sya'baan], sahlah puasa tersebut dan hilanglah keharamannya.Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahUllah menulis dalam "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah", jilid 2 halaman 82, sebagai berikut:-

Dan daripadanya [yakni daripada hadits-hadits berkaitan dengan] puasa dalam bulan Sya'baan, ialah hadits Sayyidatina 'Aisyah r.`anha yang menyatakan: "Tidak aku melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh, melainkan bulan Ramadhan dan tiada aku melihat baginda berpuasa lebih banyak daripada bulan Sya'baan", hadits diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, dan keduanya meriwayatkan juga hadits lain dengan kata-kata: "Tiada baginda berpuasa dalam suatu bulan yang lebih banyak daripada bulan Sya'baan, bahawasanya baginda berpuasa pada keseluruhan bulan Sya'baan", dan bagi Imam Muslim terdapat satu lagi riwayat dengan kata-kata:- "Adalah baginda berpuasa pada bulan Sya'baan keseluruhannya kecuali sedikit.".......... Kemudian hadits-hadits tersebut tidaklah menafikan hadits yang mengharamkan puasa pada hari-hari selepas nishfu bulan Sya'baan, kerana berlakunya pengharaman tersebut ialah kepada sesiapa yang hanya berpuasa selepas nishfu tersebut dan tidak menghubungkan puasanya [dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan (yakni hari 15 Sya'baan)]. Manakala berlakunya keharusan (baca: boleh / jaiz) berpuasa, bahkan sunnat berpuasa, ialah kepada sesiapa yang berpuasa sebelum nishfu lagi dan meninggalkan berpuasa selepasnya [yakni dia berpuasa sunnat pada nishfu pertama bulan Sya'baan dan berhenti setelah nishfunya tersebut]; ATAU dia meneruskan puasanya dengan menghubungkan puasanya itu dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan [yakni hari 15 Sya'baan]; ATAU dia tidak menghubungkan puasanya, akan tetapi puasanya pada hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan tersebut ialah puasa kerana qadha` atau puasa nazar atau puasa yang menjadi wiridnya (kebiasaannya). Dan hadits yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, Imam at-Tirmidzi, Imam an-Nasai dan Imam Ibnu Majah, iaitu: "Apabila berbaki separuh daripada bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa sehingga menjelang Ramadhan", adalah jelas pada yang demikan (yakni pada menyatakan haramnya berpuasa pada hari-hari selepas Nishfu Sya'baan).Murid Imam Ibnu Hajar rahimahUllah, iaitu Syaikh Zainuddin bin 'Abdul 'Aziz al-Malibari, rahimahUllah, menulis dalam karya beliau "Fathul Mu`in"pada halaman 60:-

(Tatimmah) Haram puasa pada hari-hari tasyriq ......., dan demikian pula haram puasa selepas Nishfu Sya'baan, selagi mana ianya tidak berhubung / bersambung dengan hari sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan] atau jika puasa tersebut tidak muwafaqah dengan adatnya (yakni tidak berbetulan dengan kebiasaannya atau wiridnya); atau jika puasa tersebut bukan puasa nazar atau puasa qadha` walaupun hanya qadha` puasa sunnat.Penjelasan 'Allaamah Sayyid Muhammad 'Abdullah al-Jurdani dalam "Fathul 'Allam" juzuk 4, halaman 152- 153, pula adalah seperti berikut:-

Dan haram puasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan, melainkan jika ianya disambung / dihubungkan dengan hari yang sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan], walaupun hanya satu hari [yakni walaupun dengan hanya berpuasa pada 15 Sya'baan sahaja] dan hendaklah berkekalan puasa tersebut sehingga ke akhirnya. Maka jika tidak berkekalan, bahkan jika berbuka (yakni tidak berpuasa) dengan uzur sekalipun, tertegahlah atasnya untuk berpuasa lagi dengan tanpa sebab.
sumber
Saturday, October 18, 2008
Niat Puasa Sebulan
JAWAPAN:
Kebanyakan ulama berpendapat seseorang yang berpuasa di bulan Ramadan hendaklah berniat setiap hari. Namun demikian diharuskan berniat untuk satu bulan Ramadan.
Perbezaan pendapat adalah berpunca dalam melihat bulan Ramadan itu sendiri. Golongan yang mensyaratkan niat setiap hari kerana ibadat puasa adalah ibadat yang terpisah antara hari-harinya.
Maksudnya, jika dilihat ibadat puasa serta rukunnya jelas ia terpisah. Ini kerana puasa itu bermula dari mula azan subuh hingga azan maghrib. Selepas azan maghrib hingga azan subuh kita tidak lagi berpuasa. Itulah yang dimaksudkan dengan ibadat yang terputus antara hari-harinya.
Bagaimanapun, golongan yang mengharuskan niat puasa untuk sebulan adalah berdasarkan kepada bulan itu sendiri. Maksudnya, bulan Ramadan adalah bulan puasa maka harus berniat puasa untuk keseluruhannya.
Maka dalam meneliti pendapat-pendapat ulama serta nas-nas yang serta dalil yang dikemukakan jelas kedua-duanya betul. Justeru, ingin disarankan di sini bahawa harus kita menghimpun kedua-dua kaedah di atas dengan berniat pada hari pertama dengan dua cara niat, satu untuk setiap hari dan satu lagi niat untuk sebulan.
Lafaz niat untuk sebulan dalam bahasa Melayu adalah: “Sahaja aku niat puasa fardu Ramadan untuk esok hari bagi tahun ini kerana Allah Taala”, manakala untuk sebulan pula: “Sahaja aku niat puasa bulan Ramadan keseluruhannya kerana Allah Taala”.
Maka dengan berbuat demikian kita telah mengambil jalan selamat, iaitu kita mesti berusaha untuk berniat setiap hari dalam masa yang sama kalau ada hari yang terlupa untuk berniat maka cukuplah niat kita pada permulaan Ramadan untuk sebulan.
Sunday, September 7, 2008
Puasa: Kelonggaran Untuk Ibu Mengandung
SOALAN: Ramai kawan bertanya adakah dengan hamil sahaja membolehkan wanita berbuka puasa, atau selepas tujuh bulan atau hampir bersalin? Saya masih mencari jawapan.
– Bakal ibu, Shah Alam.
JAWAPAN: Apa yang pasti jika seseorang yang mengandung itu menghadapi masalah seperti sakit buah pinggang, maka bolehlah dia berbuka puasa, bukan kerana ia mengandung tetapi kerana penyakitnya itu jika sudah diakui oleh doktor yang pakar. Puasa juga boleh dibuka oleh ibu yang mengandung atau tidak tetapi sedang menyusukan bayi, jika kerana berpuasa akan menyebabkan kekurangan susu daripada payu daranya. Atas keperluan anak susuan itu diizinkan berbuka puasa.
Apa pun ingin saya mengingatkan ada satu kajian di Universiti al-Azhar yang mengatakan puasa itu sendiri tidak memberi kesan buruk kepada mereka yang mengandung dan juga janin dalam perut ibu. Namun jika si ibu yang mengandung merasakan terlalu penat dan boleh menjejaskan kesihatannya, banyak pihak mengatakan ia boleh berbuka puasa.
Ada juga ibu-ibu mengandung yang disahkan oleh para doktor mempunyai masalah kekurangan darah. Jika ia memerlukan makanan berzat, serat atau sebagainya, tetapi kalau dia mampu menampung memakan makanan itu pada waktu berbuka puasa sehingga waktu sahur, tidaklah perlu untuk meninggalkan puasa. Tetapi jika dia tidak mampu mencukupkan makanan tersebut pada masa berbuka hingga waktu sahur, bolehlah dia berbuka.
Sunnah Berbuka Puasa Dengan Kurma
MENURUT Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji kurma yang segar sebelum menunaikan solat (Maghrib). Sekiranya tidak ada kurma yang segar, baginda akan berbuka dengan kurma kering. Jika tidak ada juga kurma kering, Baginda mengambil beberapa cedok air. (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).
Abu Daud dan Tirmizi meriwayatkan daripada Sulaiman bin Amir bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila seorang di antara kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan kurma. Sekiranya tidak ada kurma, hendaklah ia berbuka dengan air kerana air itu bersih lagi membersihkan.
Diriwayatkan dari Anas bin Malik yang berkata: “Adalah Nabi (SAW), tidak berangkat menuju musolla kecuali baginda memakan beberapa biji kurma, dan baginda memakannya dalam jumlah bilangan ganjil.” (Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim).
Amalan berbuka Rasulullah SAW menggambarkan kurma itu banyak khasiatnya, terutama untuk badan yang keletihan selepas sehari berpuasa.
Wednesday, September 3, 2008
Puasa Tapi Tidak Solat
SOALAN: Apakah hukum orang yang berpuasa pada bulan Ramadan tetapi tidak menunaikan solat. Jenis atau tingkatan puasa apa bagi golongan ini?
- Mohamad Jiwa, Kuala Lumpur.
JAWAPAN: Kita semua tahu bahawa agama itu adalah satu ajaran yang menyeluruh dan tidak harus dipilih atau dipisahkan. Sebab itu Rasulullah SAW menggambarkan ibadat solat seperti tiang agama manakala ibadat lain pula seperti atap, dinding dan sebagainya. Tentulah tidak dinamakan rumah sekiranya ada dinding tanpa tiang dan atapnya kerana ibadat itu bila sudah sempurna rukun dan syaratnya maka dikira sah tetapi tidak cukup dan belum sempurna. Maknanya ia dikira sah sahaja dan belum tentu diterima Allah SWT kerana belum ada asas dan tiangnya. Di mana kita boleh dirikan dinding tersebut selagi tiangnya belum ditegakkan? Begitulah contohnya lebih kurang apabila seseorang itu hanya berpuasa tetapi tidak bersolat dan sebagainya. Demikian juga mereka yang beriman dengan separuh dan sebahagian ajaran al-Quran dan kufur dengan sesetengah ajaran yang lain. Renungi firman Allah SWT sebagai balasan-Nya kepada mereka yang bersikap demikian iaitu firman-Nya bermaksud: Maka tidak ada balasan kepada mereka yang berlaku demikian (beriman dengan setengah kitab dan kufur dengan setengah yang lain) selain kehinaan di dunia ini dan pada hari akhirat nanti dia akan ditolak ke dalam azab seksa yang sangat hebat dan Allah tidak pernah lupa tentang segala perbuatan kamu" (al-Baqarah ayat 85). Kemungkinan besar ibadat puasa tersebut tidak diterima kerana dilakukan bukan ikhlas kepada-Nya tetapi hanya sebab lain. Ini kerana sekiranya seseorang beribadat semata-mata kerana Allah, pasti solat juga dilakukannya dengan ikhlas dan tidak dapat dipisah-pisah begitu, kerana semuanya adalah kewajipan dan perintah Tuhan yang menciptakannya. Biasanya mereka yang tidak ikhlas tidak dapat berpuasa dengan baik dan sempurna, malah dia makan atau minum jika ada kesempatan di mana-mana. Sebab itu puasa ini adalah ibadat yang Allah saja dapat memberi balasan pahala kerana ianya merupakan rahsia antara hamba dan Tuhannya. Justeru itu, Nabi dalam hadis qudsi bersabda bermaksud: Segala amalan manusia ini dia sendiri yang punya (boleh dilakukannya sesuka hati) melainkan puasa sahaja, yang aku punya, maka Akulah yang dapat membalas dan menilainya" HR Muslim. Wallahualam.
Saturday, May 10, 2008
Bayar Fidyah Puasa
Bayar fidyah dan puasa
SOALAN: Sebelum ini saya bayak melakukan kesalahan dalam hidup, dan saya ingin bertaubat sekarang. Bagaimana saya ingin membayar ibadat puasa yang tertinggal selama ini ?
– Maziah Abdul Karim,
Raub , Pahang ,
JAWAPANNYA:
Anda perlu kira berapa tahun ibadat puasa yang ditinggalkan itu mengikut perhitungan sendiri. Contohnya sangkaan anda 10 atau 11 tahun maka ambil yang lebih cermat yakin dan pasti iaitu 11 tahun. Maka dalam 11 tahun itu berapa hari atau bulan yang anda tinggalkan. Maka hari-hari itulah yang perlu anda qada dan anda dikehendaki berpuasa berapa hari yang tertinggal sahaja, dengan membayar fidyahnya sekali, satu cupak makanan untuk satu hari dan akan berulang fidyah tersebut sekiranya berulang tahunnya.
Katakan 11 tahun, kenalah dikali 10 tahun yang berulang tadi. Jadi kalau 11 tahun bererti anda dikenakan membayar fidyahnya sebanyak 3,600 cupak makanan sebagai fidyah untuk dibahagikan kepada fakir miskin.
Berlainan mereka yang langsung tidak ada kemampuan kerana mereka itu (yang tidak berkemampuan) tidak diwajibkan mengqada puasanya selain membayar fidyah .Allah s.w.t. berfirman bermaksud: Dan wajib atas mereka yang tidak terdaya untuk berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu dengan memberi makan fakir miskin, dan sesiapa yang bersukarela memberi kebajikan (bersedekah dan sebagainya) lebih dari yang ditentukan, maka itu adalah suatu kebaikan baginya, (Surah al-Baqarah ayat 184). Wallahualam .
Friday, December 14, 2007
Apakah Kelebihan Puasa Arafah?
Bersama: MOHD. FARID RAVI ABDULLAH
SOALAN 1:
Apakah kelebihan berpuasa pada hari Afarah?
JAWAPAN:
Terdapat beberapa hadis yang sahih menggalakkan orang Islam yang tidak ke Tanah Suci Mekah supaya berpuasa pada hari Arafah. Di antara sabda Baginda bermaksud:
Ditanya kepada Rasulullah s.a.w. berhubung puasa pada hari Arafah, maka Baginda bersabda: Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosanya setahun sebelum dan setahun selepas.
(riwayat Muslim).
Daripada Abi Qatadah daripada Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Berpuasa pada hari Arafah, sesungguhnya aku mengharapkan daripada Allah agar dihapuskan dosa selama satu tahun sebelumnya dan satu tahun selepasnya. (riwayat Abu Daud, al-Nasie dan al-Tirmizi)
Yang dimaksudkan setahun sebelum ialah setahun sebelum 9 Zulhijjah dan setahun selepasnya ialah setahun selepas 9 Zulhijjah, ini bermakna penghapusan dosa bagi dua tahun berturut-turut.
Dua hadis di atas, jelas bahawa sunat kita berpuasa pada hari Arafah di dalam, Bab Puasa Sunat. Sebagai anak Adam kita tidak terlepas daripada melakukan dosa sama ada yang kita sedar ataupun tidak, kecil mahupun besar. Maka dengan adanya peluang sebegini adalah untuk manusia mengambil peluang bertaubat dan menginsafi diri.
Bagi mereka yang ingin mengqada puasa wajibnya, sekiranya dia berpuasa pada hari Arafah dengan niat qada, puasanya sah dan pada masa yang sama mendapat ganjaran yang dijanjikan dalam hadis di atas. Ini tidak bermaksud menangguhkan puasa wajib qada sehingga hari Arafah, ini kerana qada puasa wajib perlu disegerakan. Namun jika ada yang ingin mengqada tidaklah terlepas daripada ganjaran yang dijanjikan. Kerana yang wajib itu sifatnya kulliy dan sunat Arafah ialah juz’iy. apabila kulliy bertemu dengan juz’iy, maka juz’iy ikut sekali. Ini juga kerana adanya musaadafah bertemu yang wajib dengan sunat yang mempunyai fadilat, maka fadilat akan diperoleh oleh orang yang berpuasa pada hari Arafah.
Monday, November 5, 2007
Bolehkah Memberus Gigi Ketika Berpuasa?
Soalan:
Apakah kita dibolehkan memberus gigi selepas waktu subuh ketika berpuasa?
Sengaja bersugi atau memberus gigi dalam berpuasa dengan benda basah atau kering tidaklah membatalkan puasa. Tiada ada perselisihan para ulama dalam masalah ini. Namun menurut Imam Syafei memakruhkan memberus gigi setelah tergelincir matahari dengan tujuan untuk menghilangkan bau mulut.
http://www.darulnuman.com/soal/urut12.html#116

