SOALAN:
Saya ingin bertanya mengenai puasa sunat. Saya tersedar pukul 6 pagi, terus saya rasa saya nak berpuasa sunat bulan Syaaban. Adakah sah puasa saya?
JAWAPAN:
Niat bagi puasa sunat boleh dilewatkan, tempohnya ialah sehingga tergelincir matahari. Jika anda terlupa berniat di malam hari atau sebelum subuh tidak menjadi masalah asalkan anda sempat berniat sebelum tergelincir matahari dengan syarat tidak makan dan minum atau tidak didahului dengan perkara yang boleh membatalkan puasa.
Waktu yang seharusnya berniat bagi setiap puasa ialah malam hari atau berniat sebelum masuk waktu subuh. Namun, ulama dalam fiqh seperti Imam Ahmad bin Hambal, Abu Hanifah dan Imam al-Syafie meriwayatkan daripada Abi al-Darda’ dan Abi Thalhah dan lainnya berpendapat harus berniat di siang hari.
Ini berdasarkan riwayat daripada Aisyah yang bermaksud: “Aisyah r.a. telah memberitahu: “Rasulullah SAW telah berkata pada suatu hari: Wahai Aisyah ada apa-apa di sisi engkau untuk dimakan? Aisyah menjawab: Wahai Rasulullah tidak ada apa-apa di sisiku untuk dimakan. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya aku berpuasa.” Kemudian baginda telah datang kepada kami (isteri-isteri baginda) lalu kami berkata: “Wahai Rasulullah kami telah dihadiahkan dengan hais (sejenis makanan yang diperbuat daripada minyak sapi dan tepung gandum )”. (riwayat Muslim).
Falsafah sebelum tergelincir matahari adalah kerana separuh daripada hari itu dia telah menahan dirinya dari makan dan minum. Kedua, jika ingin berniat selepas tergelincir matahari bermaksud sudah lebih daripada setengah hari sedangkan setiap amalan itu perlukan niat dan tidak berlaku lagha (sia-sia).
Ada beberapa persoalan lain dalam puasa sunat yang perlu diketahui umum. Di antaranya adalah:
* Persoalan berkaitan dengan hukum menyempurnakan puasa sunat. Boleh atau tidak baginya memutuskan puasa sunat itu?
Jumhur ulama berpendapat tidak wajib disempurnakan malahan sunat baginya menyempurnakan puasa tersebut. Jika dia memutuskan atau membatalkan puasanya maka tidak wajib dia menggantikan puasa tersebut.
Ini berdasarkan riwayat Abdullah bin Umar yang menyatakan yang bermaksud: “Tidak menjadi dosa bagi mereka yang ingin memutuskan puasa selagi mana puasa itu bukan puasa nazar atau puasa ganti Ramadan”.
Ibn Abbas menjelaskan dalam satu riwayat yang bermaksud: “Sekiranya ada di kalangan kalian yang berpuasa sunat, kemudian dia mahu memutuskan (membatalkan) lakukanlah…”
Wanita yang berpuasa sunat dengan izin suaminya
Syarat puasa sunat sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadan iaitu Islam, baligh, berakal, suci dari haid dan nifas serta disyaratkan dengan niat dan meminta izin suami bagi wanita yang berumahtangga.
Maka di antara syarat sah puasa sunat bagi wanita adalah meminta izin suaminya. Ini jelas dalam tegahan Nabi SAW yang dikeluarkan oleh Ibn Majah yang bermaksud: “Rasulullah SAW telah menegah para isteri dari berpuasa sunat tanpa izin suami mereka”. (riwayat Ibn Majah, jld:1, hlm:560 ).
Di dalam kitab al-Majmu’ karya fiqh mazhab al-Syafieyyah dinukilkan yang bermaksud: “Tidak harus bagi seorang isteri berpuasa sunat sedang suaminya ada di sisi.” (al-Majmu’, jld:6, hlm; 453-454)
Kesimpulannya
Kita disunatkan berpuasa setiap bulan. Seboleh-bolehnya jangan berlalu bulan tanpa kita berpuasa, sama ada dengan puasa tiga hari setiap bulan, puasa Isnin dan Khamis atau puasa-puasa lain yang disunatkan.
Menurut ulama, puasa sunat harus dilakukan pada mana-mana hari di sepanjang tahun kecuali di bulan Ramadan, hari raya dan hari-hari Taysriq. Namun, digalakkan memilih hari-hari khusus yang disunatkan oleh Rasulullah SAW kita berpuasa.
No comments:
Post a Comment