SOALAN: Sahabat saya menolak hukuman rejam kerana katanya al-Quran tidak pernah menyebut hukuman tersebut. Beliau memberitahu, apa yang ada hanyalah hukuman sebatan 100 kali sahaja. Adakah kenyataannya itu benar?.
– Yusof Ibrahim, Gua Musang, Kelantan.
JAWAPAN: Kita umat Islam mesti mengakui bahawa sumber hukum dalam agama itu berdasarkan kepada empat sumber yang telah diterima iaitu al-Quran, hadis ijmak dan kias. Jadi sekalipun hukuman rejam itu tidak terdapat dalam al-Quran tetapi ada dalam hadis Rasulullah SAW. Ini kerana berapa banyak hukum dalam agama yang tidak disebut dalam al-Quran tetapi ada disebut dan dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW. Sebagai contoh hukum rejam ini ada disebut dengan jelas dalam hadis yang diriwayatkan oleh jamaah dari Ubadah bin Samit ra.katanya: Rasulullah bersabda katanya: Ambillah dan terimalah (ajaran agama dariku) mereka yang belum kahwin itu hukumnya seratus rotan dan buang kawasan setahun, sedangkan mereka yang sudah berkahwin itu hukumnya seratus kali sebatan dan rejam. Sedangkan apa yang disebut dalam al-Quran itu hanyalah hukum mengenai kesalahan zina yang dilakukan oleh teruna dan dara yang belum berkahwin . Begitu juga hadis dari Jabir bin Samurah, bahawa Rasulullah SAW telah merejam sahabatnya, Ma‘iz bin Malik yang telah mengaku melakukan kesalahan zina tersebut. (HR Ahmad).
Ini semua merupakan dalil yang menunjukkan bahawa hukuman terhadap mereka yang muhson ( sudah melalui perkahwinan yang sah) itu direjam sampai mati apabila melakukan kesalahan tersebut berdasarkan firman Allah SWT : Apa (ajaran agama) yang dibawa kepada kamu oleh Rasulullah itu hendaklah kamu terima dan apa yang dilarangnya hendaklah kamu jauhi (al-Hasyr ayat 7). Wallahualam.
No comments:
Post a Comment