Showing posts with label TUHAN. Show all posts
Showing posts with label TUHAN. Show all posts

Saturday, August 22, 2009

Apakah Allah Bertempat?

I'tiqad Ahlus Sunnah wal Jama`ah adalah mensucikan Allah daripada berarah, bertempat dan terikat dengan masa. Arah, tempat dan masa adalah makhluk, maka pasti Allah tidak mengambil faedah daripada makhluk ciptaanNya. Bukankah Allah telah menjelaskan perkara ini dalam al-Quran dengan firmanNya pada surah al-'Ankabut ayat 6:

إِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِين

"Sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk." Yakni Allah itu sekali-kali tidak memerlukan atau tidak mengambil apa-apa faedah daripada makhluk ciptaannya. Ini adalah i'tiqad asas bagi kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah, kelompok as-sawadul a'dzam daripada umat Junjungan Nabi SAW. Jika kita telaah karya-karya ulama kita, pasti kita akan berjumpa dengan kata-kata yang menunjukkan bahawa wujudnya Allah itu tidak bertempat atau dalam sesetengah kitab ulama Jawi kita tertulis "tidak mengambil bagi lapang". Maka berilah perhatian wahai segala saudara sekalian, jangan sampai aqidah kita terpesong daripada landasan yang sebenar Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Kalaupun kita tidak mahu mentakwil ayat-ayat yang mutasyabbih maka sewajarnya kita serahkan pengertiannya kepada Zat yang menurunkan al-Quran. Jangan bermain-main dengan kata-kata yang boleh menimbulkan waham yang Allah itu serupa dengan makhluk dan beranggapan bahawa itulah perlakuan para salafnya umat ini.

Pehin Mufti Haji Ismail Omar Abdul Aziz rahimahUllah dalam "Ringkasan 'Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama`ah" pada halaman 3 dengan terang menyebut bahawa antara i'tiqad kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah adalah:-

Sentiasalah Allah ta`ala itu Esa, tiada ada tempat bagiNya dan tiada ada zaman bagiNya. Yakni Allah ta`ala wujud dengan sendirinya sebelum ada tempat dan sebelum ada zaman itu. Dan Allah ta`ala suci dari tempat dan zaman itu.
Maka marilah kita mensucikan Allah daripada mengambil faedah daripada makhluk ciptaanNya. Sungguh Sang Pencipta itu terkaya daripada segala ciptaanNya.

sumber

Sunday, September 7, 2008

Sunnah Berbuka Puasa Dengan Kurma

MENURUT Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji kurma yang segar sebelum menunaikan solat (Maghrib). Sekiranya tidak ada kurma yang segar, baginda akan berbuka dengan kurma kering. Jika tidak ada juga kurma kering, Baginda mengambil beberapa cedok air. (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Abu Daud dan Tirmizi meriwayatkan daripada Sulaiman bin Amir bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila seorang di antara kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan kurma. Sekiranya tidak ada kurma, hendaklah ia berbuka dengan air kerana air itu bersih lagi membersihkan.

Diriwayatkan dari Anas bin Malik yang berkata: “Adalah Nabi (SAW), tidak berangkat menuju musolla kecuali baginda memakan beberapa biji kurma, dan baginda memakannya dalam jumlah bilangan ganjil.” (Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim).

Amalan berbuka Rasulullah SAW menggambarkan kurma itu banyak khasiatnya, terutama untuk badan yang keletihan selepas sehari berpuasa.

baca seterusnya

Friday, April 25, 2008

Melihat Allah s.w.t.

Soalan: Kenapa Allah s.w.t. tidak boleh dilihat dan tidakkah ia dapat menambah keyakinan manusia terhadap-Nya? Adakah keadaan ini akan berterusan? Kenapa Nabi Musa minta untuk melihat Allah? Tidakkah Musa tahu, Allah tidak boleh dilihat.

– Taufik Mustafa,

Kuala Kerai, Kelantan.

Jawapan: Setiap yang ada itu harus dilihat. Begitu juga wujud Allah boleh dilihat, tetapi ianya tidak akan berlaku di dunia ini (mustahil berlaku) selain dalam mimpi atau dengan hati dan cahaya keimanan. Sebab itu Musa mohon untuk melihatnya tetapi jawab Allah: Kamu tidak akan dapat melihat-Ku (di dunia ini) tetapi lihatlah kepada bukit itu, sekiranya bukit itu dapat bertetap di tempatnya maka kamu akan dapat melihat-Ku” (surah al-Araf ayat 143). Musa tahu hakikat ini semuanya tetapi kerana terlampau rindunya sewaktu datang menghadap-Nya di waktu yang Kami tetapkan, lalu terkeluar permohonan tersebut dari mulutnya.

Ternyata bila Allah tajalli (menzahirkan kehebatan-Nya ke bukit itu lalu jadilah bukit itu hancur seperti debu. Sehingga akhirnya Musa tersungkur dan jatuh pengsan. Dan bila dia sedar lalu berkata: Maha suci Engkau (ya Allah!) aku bertaubat kepada-Mu dan aku adalah sebahagian orang (benar-benar) berimam kepada-Mu sambungan akhir ayat (surah al-Araf ayat 143). Jadi apa yang dapat difahami bahawa hukum melihat Allah itu adalah harus tetapi mustahil berlaku di dunia ini. Tetapi pada hari akhirat memang akan berlaku. Ini seperti firman Allah s.w.t.: Muka pada hari itu akan berseri-seri melihat dan memandang kepada Tuhannya (surah al-Qiamah ayat 22-23).

Dan lagi syarat yang diberikan untuk melihat-Nya itu juga adalah harus, bila syarat suatu itu harus maka suatu itu juga (masyrutnya) adalah harus. Kita janganlah mengingkari nikmat melihat Allah ini kerana nikmat yang paling agung ini tidak akan dikurniakan kepada mereka yang menafikannya seperti kaum Muktazilah dan mereka yang sesat. Dalam hal ini Allah berfirman bermaksud: Untuk mereka yang (berusaha melakukan) kebaikan itu balasan syurga dan tambahan (satu kebaikan lagi) (surahYunus ayat 26). Kata ulama: Maksud satu tambahan kebaikan itu ialah nikmat melihat kepada Allah yang tidak ada sebarang nikmat lain dapat mengatasinya.

Kesimpulannya isu melihat Allah ini adalah merupakan kesalahan dan tidak harus diminta oleh sesiapapun. Sebab itu Musa bertaubat dari kesilapannya dan lupa bahawa Allah itu Maha Suci dari sebarang tempat yang tertentu sehingga dapat dilihat. Nabi Ibrahim tidak memintanya tetapi meminta untuk melihat rahsia kejadian-Nya sahaja. Allah berfirman bermaksud: Tuhanku perlihatkan kepadaku bagaimana Engkau hidupkan orang yang sudah mati, firman-Nya apakah kamu belum beriman (dengan kekuasaan-Ku) jawabnya; bahkan! Tetapi untuk penetapan dan keyakinan hatiku (surah al-Baqarah 260).

Anda perlu sedar bahawa berapa banyak perkara dari perbuatan manusia sendiri sudah lemah fikiran kita untuk memikirnya seperti peralatan perhubungan sekarang dan kecanggihan ciptaan sains. Di mana pada suatu masa dahulu perkara tersebut termasuk dalam perkara mustahil dan tidak masuk akal tetapi hari ini semuanya di hadapan mata. Allah berfirman bermaksud: Akan Kami perlihatkan mereka akan tanda kekuasaan Kami dari ufuk-ufuk langit dan pada diri mereka juga sehingga terbukti jelas bahawa al-Quran itu adalah benar (dari Allah) (surah Fusillat ayat 53). Tambahan pula sekiranya Allah dapat dilihat maka hilanglah hikmat dan tujuan kejadian alam dunia sebagai negeri tempat ujian ini kerana semua manusia akan beriman dan bertuhankan-Nya tidak ada se- orang pun yang syirik kepada-Nya. Dan juga batal dan sia-sialah kejadian syurga dan neraka-Nya. Wallahualam.

SUMBER