Saturday, October 18, 2008

Niat Puasa Sebulan

Adakah wajib saya berniat setiap hari sepanjang bulan Ramadan atau memadai saya berniat sekali sahaja untuk sebulan?

JAWAPAN:

Kebanyakan ulama berpendapat seseorang yang berpuasa di bulan Ramadan hendaklah berniat setiap hari. Namun demikian diharuskan berniat untuk satu bulan Ramadan.

Perbezaan pendapat adalah berpunca dalam melihat bulan Ramadan itu sendiri. Golongan yang mensyaratkan niat setiap hari kerana ibadat puasa adalah ibadat yang terpisah antara hari-harinya.

Maksudnya, jika dilihat ibadat puasa serta rukunnya jelas ia terpisah. Ini kerana puasa itu bermula dari mula azan subuh hingga azan maghrib. Selepas azan maghrib hingga azan subuh kita tidak lagi berpuasa. Itulah yang dimaksudkan dengan ibadat yang terputus antara hari-harinya.

Bagaimanapun, golongan yang mengharuskan niat puasa untuk sebulan adalah berdasarkan kepada bulan itu sendiri. Maksudnya, bulan Ramadan adalah bulan puasa maka harus berniat puasa untuk keseluruhannya.

Maka dalam meneliti pendapat-pendapat ulama serta nas-nas yang serta dalil yang dikemukakan jelas kedua-duanya betul. Justeru, ingin disarankan di sini bahawa harus kita menghimpun kedua-dua kaedah di atas dengan berniat pada hari pertama dengan dua cara niat, satu untuk setiap hari dan satu lagi niat untuk sebulan.

Lafaz niat untuk sebulan dalam bahasa Melayu adalah: “Sahaja aku niat puasa fardu Ramadan untuk esok hari bagi tahun ini kerana Allah Taala”, manakala untuk sebulan pula: “Sahaja aku niat puasa bulan Ramadan keseluruhannya kerana Allah Taala”.

Maka dengan berbuat demikian kita telah mengambil jalan selamat, iaitu kita mesti berusaha untuk berniat setiap hari dalam masa yang sama kalau ada hari yang terlupa untuk berniat maka cukuplah niat kita pada permulaan Ramadan untuk sebulan.

sumber

No comments: