Saturday, August 9, 2008

Hukum Bersunat Lelaki & Perempuan

Hukum bersunat bagi lelaki, wanita

SOALAN: Apakah sebenarnya hukum bersunat sama ada lelaki atau wanita, ini kerana ada yang menyatakan ianya sunat sahaja kerana namanya pun bersunat. Bagaimanakah keadaan sebenarnya ?

– Rozimi Awang,

Sri Damansara.

JAWAPAN: Menurut kebanyakan para ulama, hukum bersunat itu adalah wajib sama ada bagi lelaki atau wanita. Kata sesetengah ulama ianya sunat bagi wanita sahaja. Adapun yang dikatakan bersunat itu maksudnya sunah atau cara hidup Nabi kita dan datuknya Nabi Ibrahim. Baginda Nabi Ibrahim dikatakan yang mula-mula bersunat ketika umurnya sudah menjangkau 80 tahun. Oleh sebab itu berkhatan dan amalan fitrah yang lain perlu dilakukan dalam kehidupan ini, (sama ada sunat atau wajib) untuk mengikuti sunah atau cara hidup Nabi Ibrahim.

Sedangkan salah satu cara hidupnya adalah bersunat atau berkhatan di samping amalan-amalan lain seperti mengerat kuku, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak dan sebagainya. Firman Allah yang bermaksud: Siapa yang tidak mahu (tidak ada mereka yang membenci) cara hidup Nabi Ibrahim selain mereka yang memperbodohkan dirinya sendiri (al-Baqarah ayat 130) dan firman-Nya lagi yang bermaksud: kemudian Kami wahyukan kepadamu supaya mengikuti agama (cara hidup) Nabi Ibrahim a.s. jalan yang lurus (dan seimbang) (an-Nahl ayat: 123). Mengikut para ulama lagi, sepatutnya ibu bapa melaksanakan amalan tersebut semasa bayi itu masih kecil iaitu dalam tempoh tujuh hari atau bila berumur tujuh tahun. Ini kerana masa itulah mereka perlu mengajar anak-anak bersembahyang dan sebagainya . Dalam hadis Nabi ada bersabda yang bermaksud: sepuluh perkara termasuk dalam Fitrah dan antara amalan Fitrah yang menjadi sunnah itu 10 perkara tersebut, antaranya ialah berkhatan. Wallahualam.

sumber

No comments: