Wednesday, September 3, 2008

Salahkah Penguasa Mengintip Maksiat?

SOALAN: Saya menjadi keliru apabila ada mereka yang mempersoalkan tindakan pihak berkuasa dalam menangani kepincangan sosial dalam masyarakat hari ini. Ini kerana apabila tindakan pengawalan itu pun dikatakan mengintip dan sebagainya maka akan bertambah lagi huru-hara dan kerosakan dalam masyarakat. Bagaimana kedudukan sebenarnya?

– Mohd Nazar Bin Mahad,

Pengkalan Chepa, Kota Bharu

JAWAPAN: Manusia ini apabila terlampau bijak dan terlampau tinggi kesarjanaannya akan menjadi lupa diri, lupa daratan dan mungkin pula ditambah dengan lupa Tuhannya. Ini kerana dia mungkin akan menjadi celaru dan haru-biru sahingga tidak dapat membezakan apa yang disuruh dan apa yang dilarang, sedangkan semua orang tahu usaha penyelidikan dan pemantauan itu disuruh agama. Ini jelas dari firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! sekiranya datang kepadamu berita (laporan atau aduan) dari mereka yang fasik (jahat) maka hendaklah kamu selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, nanti kamu akan bertindak terhadap suatu kaum itu tanpa pengetahuan, lalu kamu akan menyesal terhadap tindakan kamu itu (al-Hujurat ayat 6).

Sedangkan kerja pengintipan itu pula dilarang keras dalam agama. Ini dapat kita fahami dari firman-Nya yang bermaksud: wahai mereka yang beriman! jauhilah kebanyakan prasangka kerana sebahagian prasangka itu adalah dosa dan jangan kamu mengintip dan janganlah setengah kamu mengumpat akan sesetengah yang lain, adakah seorang kamu suka memakan daging bangkai saudaranya yang sudah mati, tentu kamu membencinya dan bertakwalah kepada Allah s.w.t. (al-Hujurat ayat 12).

Apa yang pasti antara keduanya amatlah berbeza dan dapat dipisahkan. Yang mana pemantauan atau penyelidikan itu tujuannya baik dan ikhlas, semata-mata untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, manakala pengintipan itu pula bertujuan jahat dan ingin menimbulkan fitnah dan huru-hara dalam rumah tangga dan masyarakat. Begitu juga dari segi puncanya amat jauh berbeza, kerana penyelidikan atau pemantauan itu berpunca dan berasaskan dari berita, laporan dan aduan sedangkan pengintipan itu pula langsung tidak ada sebarang puncanya dan tidak berasas sama sekali. Ini kerana ia hanya berpunca dari prasangka buruk, niat jahat dan was-was hati manusia yang berpenyakit sahaja.

Dengan ini amat jelas perbezaan antara keduanya ibarat langit dan bumi, dan kita tidak perlu teragak-agak untuk menjalankan pemantauan dan penyelidikan dalam menjalankan tugas masing-masing bagi menjamin kesejahteraan, keharmonian dan keselamatan keluarga, masyarakat dan negara dari angkara murka manusia yang jahat dan ingin mengambil kesempatan untuk sebarang kepentingan.

Dalam keadaan berjaga-jaga dan ada penguat kuasa yang menjalankan tugas, mereka ini (penyangak) masih ramai yang melakukan kejahatan di mana-mana. Perlu juga diingatkan bahawa mereka tertentu sahaja (orang baik-baik, bermaruah, beragama atau yang benar-benar muslim) yang perlu diberi pengutamaan supaya tidak didedahkan rahsianya. Tetapi mereka yang sememangnya penjahat dan selalu mencari peluang untuk melakukan kejahatan bahkan berbangga dengan kejahatan yang dilakukannya, perlu ditelanjangi dan didedahkan segala kejahatannya supaya dia insaf dan dapat menghentikan kejahatannya itu. Sebab itu, ulama Islam bersepakat mengatakan tindakan itu perlu diambil ke atas penjahat tadi, yang tidak peduli tentang kesalahan yang dilakukannya supaya menjadi pengajaran kepada orang lain. Ini kerana, ada sesetengah mereka yang berpura-pura berlagak seolah-olah mereka adalah orang yang baik-baik dan tidak pernah melakukan sebarang dosa. Sebab itu apabila dipanggil ke mahkamah, ramai yang berserban dan berketayap, malah mereka ini mengelirukan orang lain untuk menyatakan bahawa kalau mereka melakukan kesalahan, itu hanyalah satu kesilapan kecil sahaja

Ibnu Hazmi r.a. dengan sanadnya di bawah tajuk Allah s.w.t. tidak akan mengambil tindakan terhadap seorang hambanya dengan kesalahan kali pertama, kata Ibnu Hazmi r.a. lagi: seorang pencuri dibawa ke hadapan Abu Bakar r.a. lalu katanya, “potonglah tangannya,” jawab pencuri tadi. “Maafkan aku wahai khalifah Rasulullah s.a.w. kerana aku tidak pernah mencuri sebelum ini.” Jawab Abu Bakar, “Kamu berbohong, kerana Allah s.w.t. sekali-kali tidak akan mengira (mengambil salah) dengan kesalahan pertama yang dilakukan hamba-Nya. Demikian juga apa yang diriwayatkan dari Umar r.a. Apabila dibawa kepadanya seorang pencuri, kata pencuri tersebut, “Aku tidak pernah mencuri.” Jawab Umar r.a., “Kamu bohong, demi tuhanku, kerana Allah s.w.t. tidak akan mengambil tindakan dengan kesalahan pertama yang dilakukan hamba-Nya.” Lalu selepas tangannya dipotong Sayidina Ali r.a. berbisik kepadanya (pencuri). “Aku ingin bertanya kepadamu, dengan nama Allah s.w.t. berapa kali kamu sudah mencuri sebenarnya?” Jawab pencuri tersebut, “Sudah dua puluh satu kali aku mencuri.”

Sebab itu, usaha dan tugas amar makruf dan nahi mungkar umat Islam pada hari ini perlu diteruskan untuk membentuk manusia yang terbaik dan dapat melahirkan manusia yang mempunyai modal insan kelas pertama yang menjadi idaman kita semua hari ini. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: adakanlah satu kumpulan penguat kuasa (yang bertugas) menyeru manusia kepada kebajikan dan menyuruh melakukan segala kebaikan dan mencegah kemungkaran, mereka itulah orang yang berjaya (al-Imran 104). Lantaran itu, sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Barangsiapa yang melihat (atau mengetahui) sebarang kemungkaran maka robahlah dengan tangannya (kuasanya?), kalau tidak berkuasa maka robahlah dengan lidahnya dan kalau tidak mampu juga maka cegahlah dengan hati dan itulah selemah-lemah iman (hadis riwayat Muslim Ahmad dan lain-lain).

Mudah-mudahan dengan usaha tersebut, cita-cita murni pihak berkuasa hari ini, akan terlaksana. Kita pun sedar terdapat kekurangan atau kelemahan di mana-mana yang berlaku di kalangan pihak berkuasa dalam menjalankan tugas mereka, tetapi kesilapan dan kekurangan itu boleh diperbetulkan dari semasa kesemasa. Sebab itu orang kita jangan jadi pak kaduk pula, marahkan nyamuk (kelemahan teknikal) terus bakar kelambu (meninggalkan kewajipan tugas dan tanggung jawab amar makruf nahi mungkar). Wallahualam.

sumber

No comments: