SOALAN:
Saya difahamkan bahawa beberapa guru agama mengatakan tidak boleh membaca al-Quran tanpa wuduk sedangkan basmalah itu pun satu ayat daripada al-Quran juga. Hadis Rasulullah ada mengatakan setiap urusan yang baik itu apabila tidak dimulakan dengan basmalah ianya kurang berkat. Saya pun jadi musykil bila kita hendak mandi janabah kita disuruh membaca basmalah. Begitu juga mereka yang hendak berwuduk disunatkan juga membaca basmalah. Adakah betul cakap mereka tadi ?
– Sufyan Bin Misdar, Tawau.
JAWAPAN: Membaca basmalah hukumnya adalah sunat, lebih-lebih lagi apabila kita ingin memulakan pekerjaan yang baik-baik. Sabda Nabi yang bermaksud: setiap urusan penting yang tidak dimulakan dengan basmalah akan terputus (tidak berkat) dan banyak lagi hadis lain yang menyatakan kelebihan basmalah tersebut. Adapun semasa hadas kecil, kita tidak dilarang untuk membaca al-Quran dan basmalah tetapi semasa dalam hadas besar dan berjanabah sahaja yang kita dilarang membacanya. Sebab itu kata ulama: “bagi mereka yang berhadas besar tidak dibenarkan untuk membacanya melainkan dengan niat zikir sahaja atau tanpa sebarang niat, kerana kalau diniatkan membaca al-Quran sahaja atau serta zikir maka ianya dilarang juga. Kerana haram bagi mereka yang berjanabah untuk mebaca al-Quran atau disertakan dengan tujuan yang lain.”
Adapun membacanya tanpa sebarang niat seperti terlancar lidahnya atau tujuan zikir semata-mata atau doa atau untuk mengambil berkat atau hafalan dan sebagainya maka ianya dibenarkan. Ini kerana di samping bukti dan tujuan, bacaan itu tidak akan menjadi al-Quran melainkan dengan ada kasad dan niat membacanya, sekalipun dengan apa (bacaan) yang tidak ada susunannya selain dalam al-Quran sahaja seperti surah al-Ikhlas. Kata ulama lagi bacaan tersebut diharamkan apabila dapat didengar oleh dirinya namun kalau bacaan itu tidak dapat didengar seperti disebut di dalam hati sahaja atau gerak lidahnya sahaja tanpa berbunyi dan berlafaz maka hams (bisikan hati) itu dibolehkan. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment