Monday, August 1, 2011

Ummah dilarang putus asa, segera bertaubat

Soalan:

USTAZ, saya berumur 35 tahun, belum berkahwin. Saya mahu jadi manusia baik, tapi melakukan pelbagai dosa. Kalau bosan saya suka ke pusat hiburan dan minum arak berbotol besar kerana lebih nikmat, pernah juga langgan pelacur, mencuri dan menipu kerana desakan hidup. Disebabkan itu saya dibuang kerja. Kini saya rasa menderita, terbuang dan terhina. Saya sudah lama tidak sembahyang dan tidak ingat bagaimana nak sembahyang. Saya banyak berdosa, tapi ingin jadi baik macam orang lain. Adakah taubat saya akan diterima Allah.

Jawapan:

Alhamdulillah wassolatuwassalam ‘ala rasulillah. Sifat orang beriman hendaklah sentiasa mengharapkan rahmat Allah. Allah SWT berfirman dalam al-Quran, surah al-A’raf ayat 156: “Dan rahmat-Ku meliputi segala.” Firman-Nya lagi dalam surah az-Zumar ayat 53: “Katakanlah, wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu sekalian berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia adalah Zat Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: “Ketika Allah menciptakan makhluk, Dia menulis pada suatu kitab yang mana kitab itu berada di sisi-Nya di atas Arasy (iaitu): Sesungguhnya rahmat-Ku itu mengalahkan murka-Ku.”

Imam an-Nawawi ada menyebut dalam kitab beliau iaitu Riyadhus Solihin pada Bab Taubat iaitu taubat daripada perbuatan dosa adalah wajib. Apabila perbuatan dosa itu tidak menyangkut dengan sesama manusia (iaitu) hanya dosa antara seseorang dengan Allah, maka hendaklah memenuhi tiga syarat. Syarat itu adalah menghentikan perbuatan dosa, menyesal atas perbuatannya itu dan menetapkan hati untuk tidak mengulangi lagi perbuatan dosa itu selama-lamanya. Apabila tidak memenuhi tiga syarat berkenaan, maka tidak akan diterima taubatnya.

Ada satu kisah pengajaran yang diceritakan Nabi SAW dalam satu hadis diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim. Kisahnya begini, pada zaman dulu, ada seorang lelaki yang membunuh 99 orang. Kemudian dia bertanya mengenai orang yang paling alim di negeri itu, lalu ditunjukkan kepada seorang pendeta (ahli ibadat), lalu dia berjumpa dengannya. Dia bertanya bahawa dia membunuh 99 orang, adakah masih boleh bertaubat? Pendeta itu menjawab: “Tidak.” Lalu lelaki itu membunuh pendeta itu maka genaplah 100.
Kemudian dia bertanya lagi mengenai orang yang paling alim di negeri itu, lalu ditunjukkan kepada orang yang sangat alim. Dia pun berjumpa orang alim itu dan bertanya bahawa dia telah membunuh 100 orang, adakah Tuhan masih boleh menerima taubatnya? Orang alim itu menjawab: “Ya, masih boleh. Siapa yang menghalang di antara dirinya dengan taubat. Pergilah ke tempat sekian sekian, maka di sana penduduknya beribadat menyembah Allah. Sembahlah bersama-sama dengan mereka dan jangan pulang ke kampung halamanmu kerana ia adalah tempat yang buruk.”

Maka pergilah orang itu ke negeri terbabit, namun dalam pertengahan jalan ajalnya sampai. Maka terjadilah perdebatan di antara malaikat rahmat dan malaikat azab. Malaikat rahmat berkata: “Lelaki ini berangkat untuk benar-benar bertaubat dan menyerahkan dirinya dengan sepenuh hati kepada Allah.”

Malaikat azab berkata: “Namun, dia belum pernah membuat sebarang kebaikan.” Lalu datanglah seorang lagi malaikat dalam bentuk rupa manusia, maka dua malaikat itu bertindak sebagai hakim. Kemudian malaikat ketiga berkata: “Ukurlah dua daerah itu maka daerah yang lebih dekat itu ketentuan nasibnya.” Maka dua malaikat itu mengukurnya kemudian mendapati daerah yang dituju lelaki itu adalah lebih dekat, maka orang itu nyawanya dicabut oleh malaikat.

Amat malang kalau seseorang itu berputus asa dari rahmat Allah sedangkan rahmat Allah sangat luas. Saudara patut bersyukur kerana masih diberi kesedaran dan peluang hidup. Segeralah kepada keampunan Allah dengan membaiki dan mendekatkan diri kepada-Nya. wallahua’lam

Sumber

No comments: