Sunday, November 4, 2007

Berapa Banyak Daging Korban Yang Boleh Kita Makan?

Makan daging korban

SOALAN: Saya berniat untuk melakukan korban tahun ini. Tetapi saya belum faham berapa banyak daging yang dapat saya makan dari bahagian daging korban saya itu. Harap mendapat penjelasan daripada tuan.

– Munir Samat, Besut, Terengganu.

JAWAPAN: Dalam isu ini terdapat berbagai-bagai pendapat ulama mengenainya. Sesetengah mengatakan sekiranya korban tersebut adalah sunat dan sukarela, maka digalakkan anda memakan daripada bahagian daging tersebut. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berkorban sebanyak 63 ekor unta di mana kemudian diberinya kepada Ali untuk meneruskan korban tersebut. Manakala yang bakinya lagi, lalu baginda perintahkan mengambil sedikit dari setiap bahagian daging korban tersebut dan lalu dimasukkan ke dalam periuk dan dimasaknya (hadis Riwayat Muslim).

Kata sesetengah ulama lagi, harus anda memakan separuh dan bersedekah dengan yang separuh lagi. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t. bermaksud: Maka hendaklah kamu makan sebahagian (separuh) daripadanya dan beri makan sebahagian lagi kepada fakir miskin yang merempat (maksud al-Quran surah Al-Hajj ayat 28).

Menurut kata Imam Syafii dalam kaul jadidnya: Hendaklah dimakan dari daging tersebut satu pertiga daripadanya dan dua pertiga lagi dibahagi dengan beri hadiah kepada al-Qania (orang berada) dan bersedekah kepada al-muktar (fakir melarat) dan ini sesuai dengan maksud firman Allah dalam surah al Hajj ayat 36. Jadi daging tersebut dibahagi tiga. Kata sesetengah ulama, bahagian untuk orang berada tadi boleh diberi makan sahaja tetapi orang miskin harus diberi daging korban itu untuk mereka. Wallahualam.


http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=
1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm

No comments: