Sunday, November 4, 2007

Bolehkah Memegang Al-Quran Tanpa Wudhuk?

SOALAN:

Bolehkah memegang al-Quran tanpa wudhuk?

JAWAPAN:

Maksud firman Tuhan:

“Tidak menyentuhnya kecuali mereka yang suci.”
(al-Waqiah: 79)

Maksud hadis Nabi:

“Tidak boleh menyentuh al-Quran kecuali orang yang suci.”
(ad-Darimi & ad-Daruquthni)

Jumhur ulama berpendapat tidak harus memegang al-Quran tanpa berwudhuk. Ada sebilangan kecil ulama yang mengharuskannya seperti Daud Ibn Hazm tetapi hujahnya tidaklah kuat. Rasulullah pernah mengutus surat berisi ayat al-Quran kepada Heraclius yang beragama Kristian. Tentu Heraclius dan orang-orangnya memegang surat itu tanpa berwudhuk. Namun bagi jumhur ulama, tulisan itu hanyalah sebahagian kecil daripada mushaf al-Quran.

Sebahagian ulama memberi kelonggaran jika perlu sangat seperti untuk menjaga kehormatan al-Quran, memudahkan anak-anak kecil belajar, strategi dalam dakwah dan lain-lain.

Kita mungkin pernah melihat ada segelintir umat Islam di negara luar menjadikan al-Quran sebagai lapik duduk sahaja. Hujah mereka, yang tertulis itu bukanlah al-Quran kerana al-Quran sebenar sebagaimana yang diturunkan Allah ke langit adalah tidak berbentuk tulisan. Hujah golongan ini sangat lemah maka kita menolaknya.


Kesimpulannya, sebagai menjaga adab, memelihara diri daripada kesamaran dan mengikuti jumhur ulama lebih baiklah kita memegang al Quran dalam keadaan berwudhuk.

Wallahualam.

Alexanderwathern

http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/

No comments: