Sunday, November 11, 2007

Baca Quran di Kubur

Rumah seperti kubur

Soalan: Saya terbaca hadis yang bermaksud: Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kubur, sesungguhnya syaitan akan lari daripada rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah. (Hadis riwayat Muslim, Tarmizi, Ahmad). Apakah maksud sebenar hadis tersebut?

– Osman Jailani, Sungai Nibong,

Pulau Pinang.

Jawapan: Meskipun hadis tersebut sahih dan boleh diterima, tetapi ianya kurang tepat untuk dijadikan hujah atau dalil menunjukkan amalan membaca al-Quran di tanah perkuburan itu bidaah dan sesat sebagaimana tuduhan yang dilemparkan kerana dalam hadis lain riwayat Ahmad melarang hanya perkataan palsu sebagai mana sabdanya bermaksud: pergilah ziarah kubur dan jangan ucapkan kata yang hajra (tidak disukai agama).

Ini kerana tidak ada di dalamnya sebarang larangan membaca al-Quran di mana-mana, sedangkan hadis yang menyatakan fadilat membaca al-Quran itu sangat banyak.

Kita percaya bahawa bacaan al-Quran adalah sebesar-besar amalan untuk mendapat syafaatnya. Apa yang dapat difahami bahawa Rasulullah s.a.w. tidak mahu kita hidup menjadi seperti orang yang sudah mati dan berada di perkuburan kerana kita masih boleh membaca al-Quran tetapi mereka di perkuburan tidak mampu berbuat apa-apa lagi.

Oleh yang demikian janganlah kita yang masih hidup menjadi seperti mereka yang sudah meninggal di perkuburan, sunyi sepi sahaja sesuai dengan sabdanya bermaksud: cahayakan (sinari) rumah kamu dengan al- Quran. Adapun mereka yang masih hidup bebas, untuk membaca al-Quran di mana-mana terutama dalam rumahnya supaya al-Quran dapat menyinari hidupnya.

Begitu juga matinya, bila al-Quran dibacakan atas perkuburannya dan dihadiahkan pahala kepadanya. Sedangkan amalan lain seperti sedekah haji istighfar jelas sampai pahalanya, inikan pula bacaan kalam-Nya Yang Maha Tinggi tentu akan dapat membantu dan memberi syafaat kepadanya. Allah selalu umpamakan orang yang mati hati dengan mereka yang sudah mati dalam kubur, juga dengan mereka yang berada di bawah panas terik matahari atau orang buta dan sebagainya.

Begitu juga dalam masalah ini kerana bila kita tidak menghiaskan rumah dengan al-Quran maka Nabi samakan kita dengan orang yang berada di tanah perkuburan sunyi dan sepi sahaja. Oleh itu jangan kamu jadikan rumah kamu (sunyi sepi) seperti tanah perkuburan, bukan ertinya kita dilarang membaca al-Quran di tanah perkuburan. Yang ada dalam hadis tersebut arahan membaca al- Quran. Kita bimbang bagaimana perkara yang digalakkan agama boleh dilarang.

Ada juga yang akan berdalil dengan ayat 28-29 dari surah an-Najmi. Kita katakan bahawa ayat tersebut menyatakan tentang dosa kesalahan seseorang tidak akan dipikul oleh orang lain sesuai dengan firman-Nya seseorang pemikul (bebanan ) itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain, sekiranya orang yang berat tanggungannya meminta orang lain untuk membantunya, tidak dapat dipikulnya sedikitpun sekalipun kaum keluarganya, Fatir ayat 18.

Tetapi dalam soal pahala dan rahmat Allah tidak boleh disamakan dengan kemurkaan dan azab-Nya. Firman-Nya bermaksud: siapa yang membawa amalan kebaikan maka diganda 10 kebajikan lagi dan siapa yang mendatangkan kejahatan maka dia tidak akan dibalas melainkan sama dengan kejahatan tersebut (sahaja). (al-Ana‘am 160) dan rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku.

Lantaran itulah Imam Bukhari pernah menceritakan bagaimana seorang yang telah membunuh 100 orang mendapat keampunan dari Allah s.w.t. kerana tindakannya untuk bertaubat. Demikian juga wanita jahat yang diampuni-Nya kerana masih tersemat di lubuk hatinya perasaan kasihan belas, sekalipun kepada anjing yang haus di padang pasir lalu diberinya minum air dengan menggunakan kasutnya.

Dan bagaimana pula dengan seorang wanita yang dimasukkan ke neraka kerana menahan kucing mati kelaparan tanpa perasaan belas kasihan dan tidak memberinya sebarang makanan? Allah mengampuni mereka yang dikehendak-Nya dan menyeksa siapa yang dikehendaki-Nya. Wallahualam.

- ALAMATKAN kemusykilan anda kepada Kemusykilan Anda Dijawab, Yadim, Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur atau e-mel mingguan@utusan.com.my. Nyatakan nama penuh dan nama samaran untuk siaran.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm

No comments: