Friday, November 9, 2007

Pelepah Tamar dan Baca Al-Quran: Imam Qurtubi Kata Ada Kaitan

PELEPAH TAMAR DAN BACA AL-QURAN : IMAM AL-QURTUBI KATA ADA KAITAN

Seorang sahabat menghantar e mail untuk merujuk satu tulisan yang termaktub dalam salah satu laman web yang terkenal juga, iaitu lamanweb al-ahkam. Disana terdapat satu tulisan yang bertajuk, “TIADA KAITAN ANTARA HADIS PELEPAH TAMAR DAN KONSEP MENGHADIAHKAN PAHALA KEPADA SI MATI” tulisan seorang ilmuan Islam yang bernama Muhammad Hanief Awang Yahya.

Padaku, tulisan tersebut menggambarkan sikap “berkeras” dalam perkara khilafiyyah, sedangkan perkara ini telah diulas oleh sebilangan ulama-ulama yang lebih mu’tabar dari sebilangan mereka yang didakwa sebagai ulama hatta mufti atau maulana sekalipun.

Walaubagaimanapun, pada pendirianku, aku tidak akan mengatakan pandangan al-fadhil al-ustaz itu salah, bahkan tetap mengakui kebenarannya, tetapi yang ingin aku tekankan adalah, perbincangan ini masih lagi dibawah perkara khilafiyyah.

Jika al-fadhil al-ustaz menyatakan tiada hubungan antara hadis pelepah tamar dan konsep baca al-quran untuk si mati, maka disini aku akan mengemukakan ulasan oleh seorang ulama yang dii’tiraf kealimannya oleh ulama seluruh dunia, iaitu Al-Imam Al-Qurtubi yang pandangannya agak bercanggah dengan pandangan al-fadhil al-ustaz.

HADIS PELEPAH TAMAR

Ulama berkhilaf berkenaan dengan tindakan Nabi SAW yang memacak pelepah tamar yang masih basah pada kubur. Ada ulama menyatakan, ianya adalah khususiyyat Rasulullah SAW. sebilangan ulama yang lain pula menyatakan, ianya adalah perbuatan Rasulullah SAW yang merupakan syariat umum yang boleh diamalkan oleh umat selepas dari itu[1].

Antara ulama yang menyatakan tindakan Nabi SAW itu merupakan syariat umum yang boleh diamalkan oleh umat selepas nabi adalah Imam Al-Qurtubi didalam kitabnya yang bertajuk “Al-Jami’ li Ahkam Al-Quran” atau dikenali sebagai “Tafsir Al-Qurtubi”. Pengakuan Imam Al-Qurtubi tersebut bukan sekadar menyatakan bahawa perbuatan itu boleh diamalkan bahkan beliau menyatakan juga;

اذا خفف عنهم بالأشجار فكيف بقراءة الرجل المؤمن القرآن

Maksudnya;
“Apabila di ringankan (azab) daripada mereka dengan pokok-pokok, maka bagaimana dengan bacaan Al-Quran dari lelaki yang mukmin?[2]

SEMUA BENDA BERTASBIH?

Firman Allah;

تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَوَاتُ السَّبْعُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَكِنْ لَا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا

Maksudnya;
“langit Yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk Yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih Dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya ia adalah Maha penyabar, lagi Maha Pengampun”

(Surah Al-Isra’ : 44)

Golongan yang menyatakan pelepah tamar yang basah itu tidak dapat mengurangkan azab si mati adalah bersebab dengan khususiyyat Rasulullah SAW menyatakan bahawa, firman Allah ini adalah pembuktian bahawa, tidak semestinya dengan pacak pelepah tamar sahaja, bahkan memadai dengan tanah dan pasir-pasir untuk bertasbih.

Adapun mengikut pandangan Al-Qurtubi, benda yang bertasbih adalah benda yang “jenis hidup” dan “jenis berkembang”. Adapun benda yang berbentuk “jamad” atau "benda yang mati atau keras”, maka ianya tidak bertasbih.

Oleh itu, Al-Qurtubi menyatakan bahawa, dengan hadis pelepah tamar dengan kata Nabi SAW;

لَعَلَّهُ يُخَفِّف عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا

Maksudnya;
“Mudah-mudahan diringankan dari kedua-duanya selama ianya belum kering”

dari hadis ini, Imam Al-Qurtubi menyatakan, hadis ini merupakan isyarat, selama ianya basah, maka ia akan bertasbih, dan sekiranya ia sudah kering, maka jadilah dia sebagai “jamad” (tidak bertasbih)[3]

PENUTUP

Perdebatan dikalangan ulama dalam menyatakan hukum adalah perkara lumrah dalam pengajian Fiqh. Kekhilafan bukanlah sebagai modal bagi kita untuk kita berpecah atau kita melupakan tugasan kita yang paling utama.

Begitulah halnya berlaku dalam perkara khilafiyyah dalam “mengistidlalkan” hukum pacak pelepah tamar ini. Mungkin ada dakwaan menyatakan, kaedah qiyas yang digunakan oleh Imam Al-Qurtubi adalah salah, yang ianya dikira sebagai qiyas ma’a Al-Fariq.

Padaku, tuduhan yang menyatakan ianya adalah qiyas ma’a Al-Fariq adalah tuduhan yang tidak tepat. Ini kerana, maksud Al-Qiyas ma’a Al-Fariq adalah illah antara Asl dan Furu’ tidak mempunyai kesamaan atau wujudnya percanggahan antara illah asl dan illat furu’.

Tetapi dalam hal bacaan Al-Quran muslim dan tasbih pelepah tamar, illatnya bukannya bercanggah, tetapi ianya sekadar menyatakan kelebihan bacaan Al-Quran dari mukmin berbanding tasbih pelepah tamar. Maka dengan itu, ianya tidak dipanggil sebagai Qiyas ma’a Al-Fariq, tetapi ianya disebut sebagai qiyas al-aula atau qiyas jali.

Begitujuga, tuduhan yang menyamakan antara amalan ini dengan amalan kristian merupakan tuduhan ghulu yang seakan-akan mengkategorikan Imam Al-Qurtubi sebagai orang yang mencetuskan pemikiran separa kristian ini.

Mudah-mudahan semuanya mendapat keberkatan disisi Allah, disamping tidak melalaikan tugasan untuk mendaulatkan Islam di muka bumi Allah ini.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
Http://laptopdarulfiqh.blogspot.com

e-mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com


[1] Taisir Al-‘Allam Syarh Umdah Al-Ahkam : 1/27.
[2] Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran : 10/267.
[3] Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran : 10/267.

No comments: