Friday, November 2, 2007

Hukum Menghisap Rokok

Nikmat Sementara Undang Bencana

Oleh: LOKMAN ISMAIL

KEMPEN Tak Nak Merokok wajar menggunakan pendekatan agama. Mengikut kaedah hukum fikah, sesuatu yang mendatangkan keburukan wajib dijauhi.

Kebanyakan perokok beranggapan merokok hukumnya makruh. Makruh, maknanya tidak berdosa. Sebab itu di kalangan ulama, ustaz, guru agama, pak haji dan pak imam juga merokok.

Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke-37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa merokok adalah perbuatan haram di sisi agama Islam. Perbuatan itu wajib dijauhi setiap orang Islam. Banyak perokok mendakwa perasaan menjadi tenteram dan gembira setiap kali merokok, satu kepuasan yang mengasyikkan. Merokok menjadi pencetus perasaan positif untuk melakukan kerja dan mengelak perasaan bosan.

Pandangan itu tidak wajar diterima sebagai meletakkan hukum. Islam tidak menghalalkan sesuatu berdasarkan kepada sesuatu andaian dan alasan saja. Sekiranya ingin rasa tenteram, gembira, bekerja gigih dan cemerlang bukan bergantung kepada rokok kerana rokok memberi kesan sebaliknya jika tidak merokok. Apakah kita perlu merokok sepanjang masa untuk terus dalam keadaan yang diingini itu. Kesan ketagih rokok samalah dengan kesan ketagih dadah, bezanya hanya tahapnya.

Perokok yang tidak dapat merokok dalam tempoh masa beberapa jam akan ketagih, serba tidak kena dan tidak boleh meneruskan tugas dengan sempurna selagi tidak merokok yang menyebabkan produktiviti menurun apabila lebih menumpukan kepada keinginan merokok.

Manfaat yang sedikit tidak menjadikan sesuatu itu halal jika keburukannya lebih banyak. Islam tidak membenarkan perbuatan mendatangkan keburukan dilakukan kerana ingin mendapat sedikit kebaikan.

Sekiranya manusia dibenarkan melakukan sesuka hati, sudah pasti kehidupan manusia menuju kehancuran. Nafsu mudah tertarik kenikmatan sementara tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang.

Rasulullah menjelaskan bahawa di kalangan umatnya ada yang akan menyalahgunakan sesuatu yang memabukkan dengan menukar nama atau istilah untuk menghalalkan penggunaan benda-benda itu. Mengapakah kita perlu mencari sumber yang mendatangkan keburukan sedangkan banyak terdapat pilihan yang baik-baik. Cara terbaik mengelak daripada merokok ialah tidak mencubanya dari awal. Kanak-kanak dan remaja perlu diberi lebih tumpuan untuk menghalang daripada cuba merokok. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting mencegah kanak-kanak dan remaja merokok.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm

SEKADAR PANDANGAN AL MARBAWI:
Menghisap rokok yang biasa kita kenal yang dijual di kedai-kedai hari ini hukumnya haram kerana membazir, merosakkan kesihatan, mengalirkan wang kepada musuh-musuh Islam, memudaratkan orang lain yang tidak merokok, tidak sopan dan lain-lain.
Wallahualam.

No comments: