DI MANA AKAL?
xxxxxxxxxxx menulis:
alex,anta masih ada disini ker?ada satu soalan yang buat ana keliru cuma masih belum ana balas saja lagi.geng al-ahkam kata,akal kita terletak di hati dengan menggunakan ayat Al-Hajj : 46.saya kurang arif dalam bab agama ni tapi dari segi saintifik insyaAllah boleh.sebab apa yang saya tahu,andai kalau kita minum arak,sinaps dalam otak kita akan rosak lalu menyebabkan kita kurang akal untuk berfikir.jadi bagaimana boleh kata akal itu terletak di hati?
maaf kalau lari dari topik asal..
maaf kalau lari dari topik asal..
ALEXANDERWATHERN menulis:
Tuan xxxxxxxxxx,
Ayat yang dimaksudkan itu maknanya:
“Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut, mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.”
( Tafsir ar-Rahmaan- Surah al-Hajj: 46 )
“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.”
( Quran Explorer Bahasa Indonesia )
MAKLUMAN PENDAHULUAN
Ada dua perkara yang perlu kita fahami iaitu:
1. Perbicaraan soal akal ini melibatkan persoalan roh. Sebagaimana yang kita sedia maklum, pengetahuan tentang hal ehwal ruh ini sangat terbatas kepada pemikiran manusia.
Firman Allah:
“Dan mereka akan bertanya kepada engkau ya Muhammad berkenaan ruh, hendaklah engkau jawab kepada mereka bahawa ruh itu adalah daripada urusan Tuhan.”
2. Mengetahui di mana tempat akal itu bukanlah persoalan pokok dalam agama Islam.
HAKIKAT AKAL
Dari segi hakikatnya, tempat akal ialah pada roh, bukan pada mana-mana organ. Itu dari segi HAKIKAT nya. Dan inilah jawapan yang paling tepat.
Bukti mudah- ketika seseorang itu mati, rohnya bercerai daripada jasad dan semua organ.
Bolehkah jasad itu berfikir lagi? Tidak boleh.
Bolehkah kepala mayat itu berfikir? Tidak boleh.
Bolehkah otak dalam kepala mayat itu berfikir? Tidak boleh.
Bolehkah hati yang berupa seketul daging itu berfikir? Tidak boleh.
Bolehkah jantung yang berupa seketul daging itu berfikir? Tidak boleh juga.
Bolehkah mana-MANA organ ataupun bahagian tubuh berfikir? Memang tidak boleh.
Apabila terpisah saja roh daripada jasad, secara automatik akal juga hilang daripada jasad.
Bolehkah roh berfikir? Boleh.
Maksudnya, akal itu melekat pada roh, bukan pada mana-mana organ ataupun bahagian badan.
Sebelum kita lahir ke dunia ini, ‘DIRI KITA YANG ASAL’ sudahpun ada di alam arwah- dalam bentuk roh. Apabila jasad kita terbentuk di dalam rahim pada peringkat tertentu, barulah roh kita dimasukkan ke dalamnya.
Apabila kita mati, roh tadi diambil semula manakala jasad kita hancur menjadi debu. Namun, ‘diri kita yang asal’ tetap ada dan tidak musnah. Jasad yang hancur termasuklah segala organ seperti otak, hati, limpa, jantung, paru-paru dan lain-lain semuanya musnah. Akal tidak musnah, ia melekat pada roh, bukan pada jasad dan organ-organ.
Rasanya jawapan ini sudah memadai untuk kita memperolehi jawapannya. Namun begitu perbincangan di bawah saya sertakan juga sebagai pengkayaan.
AKAL MENURUT PANDANGAN ZAHIR
Menurut pandangan zahir, akal itu dikatakan ada pada sekurang-kurangnya empat tempat iaitu pada:
- otak/ kepala
- hati
- jantung
- perut
Kita biasa mendengar kisah bagaimana seorang anak kecil Muslim mengalahkan hujah gurunya yang atheis. Si guru menafikan kewujudan Tuhan kerana tidak ada siapa yang dapat menunjukkan Tuhan. Si anak kecil bertanya kembali, “Cikgu ada akal tak?” Gurunya menjawab , “Ada.” Kalau ada, cuba cikgu tunjuk mana akal cikgu.” Si guru gagal menunjukkan mana akalnya lalu kata si anak, “Maksudnya cikgu tak ada akallah ya?”
Daripada kisah teladan ini, fahamlah kita akal tidak dapat ditunjuk. Zat akal itu tidak diketahui bagaimana rupanya. Begitu jugalah dengan zat Allah, kita tidak mampu untuk memahaminya dan tidak dapat juga ditunjuk-tunjuk.
HUJAH-HUJAH MENGATAKAN AKAL DI OTAK / DALAM KEPALA
Mengikut kajian sains, umumnya akal itu terletak pada otak. Dikatakan otaklah yang mentafsirkan apa-apa maklumat yang kita dapat melalui mana-mana panca indera.
Fitrah manusia juga menunjukkan akal itu di otak ataupun dalam kepala. Kita biasa mendengar, “Engkau ni tak ada akal ke? Otak letak di lutut agaknya” menunjukkan akal melekat pada otak dan otak berada di kepala.
Kita juga biasa mendengar, “Cuba guna akal sikit” sambil jari telunjuk menunjuk ke kepala. Ataupun apabila kita mengisyaratkan seseorang itu ‘tak berapa betul’ kita akan menggerakan jari berputar di tepi kepala. Ini menunjukkan akal berada di kepala.
Hujah yang tuan beri juga munasabah. Apabila seseorang itu minum arak ataupun mengambil apa-apa yang mengkhayalkan, sasarannya ialah di otak dan bukannya di hati.
Jadi akal yang di kepala biasanya menunjukkan FIKIRAN.
HUJAH-HUJAH MENGATAKAN AKAL TERLETAK DI HATI/ DALAM DADA
Ayat 46 surah al-Hajj itu pula umumnya mengatakan akal terletak pada hati.
Manusia juga sering menggambarkan akal itu di hati/ dada tetapi lebih dalam bentuk PERASAAN. “Aku benar-benar rindu padamu”. Ketika kalimah ini diucapkan, tangan biasanya diletakkan di dada bukannya di kepala. Kita menenangkan orang yang marah dengan menggosok dada ataupun belakangnya sambil berkata “Sabar, sabar…”. Ini untuk menenangkan perasaan.
Disebut juga, “Sedihnya hatiku”, “Sakit sungguh hati ini”, “Sejuk rasa hati” dan seumpamanya. Semua ini menggambarkan perasaan.
Jadi, akal yang melekat pada hati di dalam dada itu biasanya berkait-rapat dengan PERASAAN.
HUJAH-HUJAH MENGATAKAN AKAL TERLETAK PADA JANTUNG
Hadis Rasulullah yang bermaksud:
“Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging yang apabila ia baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan apabila ia jahat nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah, itulah qalbu.”
(Bukhari & Muslim)
Qalbu dalam hadis ini biasanya dihuraikan sebagai ‘HATI’. Huraian hadis ini ada dua jenis. Jenis pertama membicarakan hati batin iaitu akal fikiran ataupun nafsu. Jika akal fikiran itu baik, baiklah perbuatan anggota badannya. Jika akal fikiran seseorang itu jahat, jahatlah perbuatan tubuh badannya.
Huraian kedua membicarakan hati zahir iaitu hati dalam bentuk daging. Sekiranya hati ini baik, tubuh badan seseorang itu akan sihat. Jika hati daging ini rosak, tubuh badan seseorang itu akan jadi tidak sihat.
Berdasarkan hadis ini, jelaslah akal itu melekat pada kalbu ataupun hati.
Namun begitu, perkataan QALB jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sebenarnya memberi maksud JANTUNG. Perkataan Arab untuk hati ialah KABID. Di sini timbul satu masalah kerana ayat dalam Surah al-Hajj itu juga menggunakan perkataan QALB/ QULUB yang bermaksud JANTUNG! Maksudnya akal terletak pada jantung!
Sebagaimana yang kita tahu, jantung dan hati adalah dua organ yang berbeza. Namun begitu, maksud hadis Bukhari & Muslim tadi masih tidak berubah. Jika jantung batin seseorang itu jahat, jahtlah perlakuannya. Jika jantung zahir seseorang itu rosak (lemah jantung, jantung berlubang, jantung tersumbat dan sebagainya), tubuh badan yang lain pun tidak seaktif orang yang sihat.
HUJAH-HUJAH YANG MENGATAKAN AKAL TERLETAK DI PERUT
“Engkau memang tidak berhati perut”. Ungkapan ini untuk menunjukkan seseorang itu tidak mahu menggunakan akal fikirannya dengan betul.
“Busuk perut betul si polan tu.” Ungkapan ini menunjukkan seseorang itu menpunyai pemikiran yang tidak baik.
Pantun “Limau purut tiga serangkai. Ada perut tak ada akai” juga menunjukkan akal di perut.
Akal yang di perut ini biasanya menggambarkan NAFSU BURUK.
CARA BERFIKIR AL-AHKAM
Sekiranya yang dimaksudkan oleh tuan itu ialah al-Ahkam.net, tulisan di bawah menceritakan tentang mereka. Sekiranya bukan, abaikan saja.
Majoriti pendokong dan peminat al-Ahkam.net berfahaman Salafi Tua @ Wahhabi. Wahhabi yang saya maksudkan bukanlah dakwah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab dari Najd dan para penerusnya kerana itu hanyalah salah satu daripada benua-benua yang ada dalam dunia Salafi Tua @ Wahhabi yang saya maksudkan.
Biasanya, mereka yang berfahaman Wahhabi ataupun yang cenderung kepadanya lebih suka melihat zahir teks sahaja. Ulama-ulama Ahlus Sunnah sebenar pula tidak begitu, mereka menyeimbangkan antara teks dengan maksud sebenar teks lalu membuat kesimpulan mana yang lebih hampir dengan ketepatan.
Jadi, tidak hairanlah jika sebahagian daripada mereka memahami tangan sebagai anggota, duduk sebagai duduk, turun sebagai berpindah daripada atas ke bawah, terhamparnya bumi sebagai bukti bumi ini lurus seperti sehelai tikar (tidak sfera) dan sebagainya kerana lebih bergantung kepada teks.
Jika ‘geng al-ahkam kata,akal kita terletak di hati’, kita perlu menentukan apakah maksud ‘hati’ bagi mereka. Adakah seketul daging yang terbina daripada darah yang ada di dalam dada kita ataupun selain itu.
Sekiranya mereka mengatakan akal itu terletak di hati berdaging tadi, sudah tentulah jawapannya tidak benar. Hujah kita, hati itu akan hancur menjadi debu, ke manakah akal pergi? Adakah akal juga lenyap? Bagaimana dengan ruh kita? Apakah ruh kita tidak berakal?
Bagaimana kalau hati itu didermakan dan dipindahkan kepada orang lain? Apakah orang yang menerima hati itu juga menerima akal pemilik asal hati itu? Kita ambil hati Bush (Presiden Amerika) sebagai ganti hati kita yang rosak. Apakah akal kita akan sama dengan akal Bush?
AKAL DALAM SURAH AL-HAJJ
“Geng al-Ahkam kata, akal kita terletak di hati.”
Hati yang dimaksudkan itu hati yang mana? Adakah hati dalam bentuk daging ataupun dalam bentuk roh?
Ayat itu mengatakan:
“… supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut, mereka menjadi orang-orang yang ada hati…”
Daripada ayat ini, jelaslah yang dimaksudkan dengan hati itu bukanlah hati yang berbentuk daging yang ada di dalam tubuh kita.
Hujahnya- manusia ‘yang belum melihat kesan-kesan tersebut’ ada hati (daging) tak? Tentulah ada kecuali yang tidak normal. Semua manusia sedia ada hati dalam bentuk daging dalam dada mereka sebaik-baik sahaja lahir. Sama ada mereka sudah melihat kesan-kesan itu ataupun belum, mereka memang ada hati (daging) itu.
“…atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar?”
Sama juga. Sebelum melihat kesan-kesan tersebut, manusia yang normal memang ada telinga. Ayat ini bukan bermaksud sesiapa yang belum melihat kesan-kesan itu, dia belum ada telinga- selepas melihatnya barulah tumbuh telinga. Bukan. Bukan itu yang dimaksudkan.
Jadi, jika geng al-Ahkam yang tuan maksudkan berkata bahawa akal itu terletak pada hati (daging), tentulah tidak tepat sebagaimana yang dimaksudkan oleh ayat ini. Jika mereka maksudkan yang lain, wallahualam.
MAKSUD SEBENAR AYAT ITU
Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut, mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.”
Sekitar ayat ini menceritakan nasib kaum-kaum terdahulu yang mendustakan para rasul mereka seperti kaum Nabi Nuh, kaum Nabi Hud yang disebut ‘Aad, kaum Nabi Soleh yang disebut Thamud, kaum Nabi Ibrahim, kaum Nabi Lut, kaum Nabi Syuaib yang disebut Madyan dan kaum Nabi Musa yang disebut Bani Israil. Banyak negeri-negeri telah dibinasakan sebagai azab seksa daripada Allah kerana keengkaran penduduknya.
Allah mengatakan ada baiknya mereka yang mendustakan Nabi Muhammad itu pergi mengembara melihat kesan-kesan azab seksa Allah ke atas kaum-kaum yang mendustakan para rasul mereka itu. Semoga dengan melihat kesan-kesan tersebut, hati mereka terbuka untuk menerima kebenaran dan mereka bersedia untuk mendengar kebenaran. Inilah yang dimaksudkan dengan:
“…bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut, mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar?”
Bukan maksudnya sebelum mereka pergi melihat kesan-kesan itu mereka belum ada hati berdaging, belum ada akal fikiran dan belum tumbuh telinga. Sebelum pergi pun mereka sudah ada kesemua itu.
“…kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.”
“…Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.”
Sebagaimana yang kita fahami tadi, HATI dalam ayat ini bukanlah HATI BERDAGING tetapi akal, perasaan, pemahaman, minda, nafsu dan seumpamanya.
Jadi, ayat ini memaksudkan:
“…kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah (BIJI) mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah AKAL yang ada di dalam dada.”
“…Karena sesungguhnya bukanlah (BIJI) mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah AKAL yang di dalam dada.”
Kesimpulannya, jika menggunakan sekadar ayat ini sebagai hujah, tidaklah benar jika dikatakan akal itu bertempat pada HATI BERDAGING melainkan bertempat di DALAM DADA. Lainlah kalau ia berbunyi “Hati (akal) yang bertempat di dalam hati (daging)”, maka barulah benar kita mengatakan akal itu bertempat pada hati (daging).
Lagi pula, QALB / QULUB bermaksud JANTUNG.
KESIMPULAN
Jawapan saya tetap mengatakan AKAL bertempat pada RUH bukan pada JASAD ataupun ORGAN. Sekiranya kita hendak mengatakan juga AKAL itu bertempat pada HATI, eloklah kita namakan juga tempat-tempat lain seperti kepala (otak), jantung, dada dan perut. Jangan kita katakan ‘akal itu bertempat pada hati SAHAJA’.
Wallahualam.
‘PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT’
Alexanderwathern
30 SEPT 2007
http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/gate.html?name=News&file=article&sid=243&mode=&order=0&thold=0
http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/gate.html?name=News&file=article&sid=243&mode=&order=0&thold=0
No comments:
Post a Comment