Sunday, November 25, 2007

Cara Iring Jenazah

Mengiringi jenazah

Bersama: MOHD. YUSOF ABAS
SOALAN: Apakah hukum mengiringi jenazah ke tanah perkuburannya dan bagaimanakah cara untuk kita mengiringi jenazah tersebut? Menurut kata kawan saya, kita perlu mengikut menghantar jenazah ke perkuburan dari belakang. Adakah benar cakap tersebut?

– Hasbullah Hassan,

Ampang, Selangor.

JAWAPAN: Menurut kata ulama, kita hendaklah berjalan di hadapan ketika mengiringi jenazah ke tanah perkuburannya bukan mengikuti dari belakang. Ini kerana rombongan yang datang menghantarnya itu sebahagian mereka yang dikira sebagai pemohon syafaat kepadanya. Maka sesuai dengan keadaan tersebut, kita berjalan di hadapan untuk menghantar jenazah ke kubur, bukan di belakangnya sebagai mana yang biasa dilakukan. Menurut kata ulama berjalan di belakang juga dibolehkan tetapi pahalanya kurang sedikit. Ini kerana ada hadis dari Rasulullah s.a.w. bermaksud: Rasulullah mengarah kita semua untuk menghantar jenazah, melawat orang sakit hingga akhir (hadis Sahihain). Dan sunat menunggu sehingga selesai pengkebumian tersebut. Nabi s.a.w bersabda lagi bermaksud: “Siapa mengiringi jenazah lalu disembahyangkan atasnya maka baginya satu bukit (emas) pahala dan siapa yang menunggu sehingga selesai pengebumiannya maka baginya dua bukit emas (pahala) (HR Sahihain). Adapun bagi kaum wanita maka makruh mereka mengikuti jenazah. Ini berdasarkan satu hadis Rasulullah s.a.w. bermaksud: kata Ummu Atiah ra. kita dilarang untuk mengikuti jenazah tetapi tidak diwajib atau dipastikan (makruh sahaja bukan haram) larangan tersebut (HR Sahihain). Melainkan keluarganya yang terdekat seperti bapa, anak atau suaminya. Wallahualam.

UM 25 11 07

No comments: