Friday, November 9, 2007

Hukum Memakai Pendakap Gigi

SOALAN

Apakah hukum sebenar memakai pendakap gigi atau braces? Ramai dalam kalangan rakan-rakan saya sudah pun memakai alat ini. Mereka semuanya mengatakan bahawa hukumnya tidak berdosa.

JAWAPAN

Hukum memakai pendakap gigi yang dikenal sebagai braces adalah harus. Kerana kebiasaannya mereka yang memakai pendakap gigi ini adalah bertujuan untuk merapatkan atau meratakan kedudukan gigi. Ini tidak termasuk dalam mengubah kejadian Allah pada seseorang.

Malahan memperelokkan gigi dengan pendakap gigi yang tidak tersusun dan kadang-kadang tidak menarik. Ingatlah bahawa Allah s.w.t. itu sukakan yang indah dan cantik. Sabda Baginda Rasulullah s.a.w. daripada Abdullah bin Mas’ud yang bermaksud: … Sesungguhnya Allah itu cantik sukakan yang cantik lagi indah… (Riwayat Muslim).

Jika kita teliti kehidupan Baginda seperti mana yang dijelaskan oleh Imam al-Tirmidzi dalam karya beliau yang berjudul, Kesempurnaan Nabi Muhammad s.a.w., Baginda begitu teliti di dalam menjaga keterampilan dengan kekemasan pakaian, rambut serta wangi-wangian. Lebih-lebih lagi, Baginda adalah Rasulullah yang membawa risalah Allah s.w.t. kepada manusia sejagat.

Sudah semestinya perlu menjaga keterampilan. Maka kita sebagai umat Rasulullah s.a.w. wajar mencontohi Baginda di dalam menjaga keterampilan yang kemas, ini termasuklah memperelokkan gigi.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt
=1109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

No comments: