Sunday, November 11, 2007

Mengapa Ada Perbezaan Mazhab?

Usah fanatik mazhab

Bersama: MOHD YUSOF ABAS
Soalan: sebagaimana yang saya ketahui kebanyakan umat islam di malaysia adalah bermazhab syafii. tetapi kenapa mereka jadi fanatik apabila berbeza pendapat dalam perkara ibadat sunat. adakah mereka bersikap asabbiah atau fanatik kepada mana-mana mazhab tertentu? sedangkan kita tahu di utara india ramai yang bermazhab hanafi dan di afrika khususnya aljeria dan lain -lain bermazhab maliki, apakah sebab dan puncanya?

– Muhammad Kudus,

Sungai Siput, Perak.

JAWAPAN: Antara sebab dan puncanya ialah sejarah pengajian orang tua kita dahulu. Ramai di kalangan mereka ketika itu yang ingin melanjutkan pelajaran merantau ke Pattani, Mekah, Mesir dan lainnya dan kebetulan saluran ilmu dan kitab-kitab yang sampai (dipelajari) adalah kitab karangan menurut sukatan ilmu mazhab Syafii. Bila mereka kembali ke tanah air, itulah ilmu yang dibawa dan di ajarkan kepada masyarakat sehingga hari ini.

Justeru itu buku-buku yang terdapat di pasaran kita hari ini juga adalah kitab ilmu fikah seperti Manhaj Tullab, Fathul Wahhab, Mukgnil Muhtaj, Mahalli Tuhfah. Manakala dalam bidang hadis pula seperti Sahihain, Sunan Sittah dan lain-lain Begitu juga disebelah utara India ramai yang bermazhab Hanafi kerana kitab pembacaan dan kajian mereka adalah kitab dari karangan ulama Hanafi seperti hadis Misykat bidayatul hidayah.

Sedangkan di Saudi kebanyakannya bermazhab Hanbali. Begitu juga di Tunisia di mana kitab aliran mazhab Maliki yang mereka pelajari. Sebab itu kata ulama, umat Islam perlu beramal dengan ilmu yang mereka pelajari menurut kemampuan masing-masing. Kita di Malaysia perlu beramal mengikut pengajian mereka menurut mazhab Syafii dan tidak harus beramal dengan mazhab lain yang tidak pernah dipelajari dan begitu asing dari apa yang pernah diketahuinya.

Kerana setiap orang itu wajib beramal dengan ilmunya sendiri. Bagaimana pula ada orang menyuruh kita beramal dengan ilmu yang tidak pernah kita pelajarinya. Ini semua terjadi dengan ketentuan dari Allah s.w.t. Jadi umat Islam tidak perlu bergaduh dalam membela mazhab masing-masing. Mereka semua berada atas kebenaran petunjuk dari Tuhan mereka. Ingatlah fitnah perpecahan umat lebih dahsyat dari pembunuhan. Tidak ada dosa kesalahan yang lebih besar dari fitnah tersebut. Alasan sejarah di atas itulah antara punca berlainan fahaman di antara kita, bukan kerana taksub mazhab atau fanatik mana-mana imam atau pemimpin dan sebagainya. Wallahualam.


http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm

No comments: