Oleh Sazarina Shahrim
KUALA LUMPUR: Umat Islam yang menggunakan botox dinasihat segera menghentikan tindakan itu dan wajib bertaubat kerana ia jelas bertentangan dengan agama apabila Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa suntikan menggunakan bahan itu untuk tujuan kecantikan adalah haram.
Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahad, berkata selain pengguna botox, tindakan sama juga wajib diambil di kalangan pihak yang menyediakan khidmat rawatan kosmetik menggunakan bahan berkenaan.
Beliau berkata, fatwa itu seharusnya dijadikan panduan dan diikuti oleh orang Islam di negara ini kerana penggunaan botox jelas memberi lebih kemudaratan daripada kebaikan.
“Manusia ini memang suka melakukan perkara ditegah tetapi tidak suka pula melakukan perkara yang diharuskan. Jangan hanya kerana mahu kelihatan cantik kita sanggup melakukan perkara yang bertentangan dengan agama.
“Banyak lagi cara dan produk yang boleh digunakan untuk kelihatan cantik yang tidak melanggar fatwa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Pada Julai 2006, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan penggunaan suntikan botox bagi tujuan kosmetik adalah haram kerana didapati mengandungi bahan meragukan dan bersifat najis.
Suntikan itu hanya dibenarkan untuk tujuan perubatan dengan syarat penggunaannya dikategorikan sebagai dalam keadaan darurat dan berdasarkan keperluan serta dilakukan pakar bertauliah.
Walaupun fatwa sudah dikeluarkan, semakin ramai pula wanita Islam termasuk yang berpurdah menggunakan suntikan Botulinum Toxin Type A (BTA), termasuk botox.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Mohd Latiff Ahmad, berkata pengharamannya hanya membabitkan orang Islam, tetapi penggunaannya di negara ini tidak diharamkan, terutama dalam kes perubatan.
Namun, katanya lagi, suntikan botox untuk kecantikan tidak dilakukan di hospital atau klinik kerajaan.
Ketua Wanita Jemaah Islah Malaysia (Wanita JIM), Dr Harlina Halizah Siraj pula berpendapat, fatwa yang dibuat bukan untuk menyusahkan masyarakat dan pastinya sudah membincangkan kemudaratan akibat penggunaannya.
“Kecantikan dan untuk sentiasa kelihatan muda menjadi ‘trend’ yang menyebabkan orang ramai khususnya golongan wanita untuk mendapatkannya.
“Ia bergantung kepada kesedaran individu, sama ada tetap mahu meneruskannya juga tanpa menghiraukan fatwa yang dikeluarkan,” katanya.
Beliau percaya, isu penggunaan botox diperincikan dalam majlis berkenaan kerana ada pihak yang di kalangan pakar kecantikan yang tidak bertauliah menyediakan perkhidmatan hingga memudaratkan pengguna.
No comments:
Post a Comment