Tuesday, January 8, 2008

Hukum Beri Wang Kepada Orang Solat Jenazah

Ikutilah jawaban oleh Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam yang saya petik dari Majalah al-Hadaf TERBITAN JABATAN MUFTI KERAJAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM; Safar –Rabiul akhir 1423H / April - Jun 2002M;Tahun 5 Bilangan 4. Untuk persoalan sampai atau tidak bacaan al-Quran kepada si mati maka bolehlah saudara-saudari rujuk disini.



Soalan: Apakah hukum memberi wang kepada orang-orang yang sembahyang jenazah?


Jawapan: (Dijawab oleh: Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam)


Dalam permasalahan seperti ini siapakah yang memberi wang itu? Jika yang memberi itu bukan ahli waris seperti kaum kerabat yang terdiri daripada zawil arham, anak menantu atau sahabat-sahabat si mati dan harta yang diberikan itu pula bukan daripada harta si mati, maka ianya adalah harus diberi kepada orang-orang yang menyembahyangkan mayat itu dengan maksud pahalanya untuk si mati tersebut.

Jika yang memberi wang itu terdiri daripada ahli waris dan wang yang diberi itu pula ialah wang pusaka atau harta warisan, maka hendaklah terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada semua ahli waris yang berkenaan itu. Sekiranya hal ini terjadi juga, maka hendaklah dielakkan supaya penggunaan wang tersebut jangan sampai menjejas atau menghalangi penunaian perkara-perkara wajib bagi si mati seperti wasiat, zakat, hutang dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, perlu juga diingat, bahawa memberi wang kepada orang yang menyembahyangkan mayat itu tidaklah termasuk perkara yang dituntut di dalam hal (تجهيز الميت) (penyelanggaraan mayat).

Dalam makna ia bukanlah satu perkara wajib ataupun sunat yang disyariatkan oleh agama. Ia adalah perkara lain yang mendatang, yang baru, yang mungkin juga didorong oleh perasaan semata-mata ingin bersedekah bagi si mati, sebagai tanda kasih dan simpati mereka. Itu saja.

Adapun perkara sunat yang elok dibuat dan bahkan digalakkan, khasnya oleh kaum kerabat dan jiran-jiran si mati, antara lain, ialah menyedia dan menghantarkan makanan kepada ahli keluarga si mati sebagai tanda simpati dan juga untuk meringankan beban mereka yang sedang sibuk menguruskan kematian itu.

Inilah yang sebenar-benarnya wajar dilakukan oleh kita orang-orang Islam, bukannya membebankan keluarga si mati itu tetapi ialah meringan dan menghiburkan mereka. Inilah perkara yang disuruh oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, sebagaimana di dalam satu riwayat, apabila datang kepada Baginda perkhabaran tentang kematian Jaafar bin Abu Thalib radhiyallahu ‘anhu, Baginda bersabda:

اصنعوا لآل جغفر طعاما فإنه قد جآء هم ما يشغلهم - رواه الترمذي


Maksudnya: “Buatkan makanan oleh kamu untuk ahli keluarga Ja‘afar kerana telah datang kepada mereka perkara yang membuat mereka sibuk (disebabkan ditimpa kematian itu).” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Di Negara Brunei Darussalam, perkara meringankan bebanan dan menghiburkan keluarga yang ditimpa kematian itu berjalan dengan baiknya dan diamalkan oleh orang-orang Islam setempat. Walaupun bukan semestinya dengan menghantarkan makanan, tetapi di dalam bentuk yang lain iaitu membawa sampul-sampul surat sambil menziarahi mayat. Sampul-sampul itu berisi wang yang berbeza-beza jumlahnya, dan diberikan kepada keluarga si mati, sebagai sedekah. Dan yang cantiknya lagi, ianya bukanlah terhad dilakukan oleh kaum kerabat dan jiran-jiran sahaja, malahan juga oleh rakan taulan siapa sahaja, dengan tidak mengira jauh ataupun dekat. Inilah budaya sunnah yang sedang berjalan di dalam masyarakat Brunei hari ini.

Berbalik mengenai pemberian kepada orang yang menyembahyangkan mayat, ianya boleh sahaja diterima sebagai sedekah bukannya upah. Begitu juga tiada halangan sekiranya si penerima tersebut menyedekahkan balik kepada keluarga si mati, lebih-lebih lagi jika keluarga tersebut diketahui lebih memerlukannya, ataupun dalam makna lain sangat berhajat, nisbah kepada keadaannya kurang berada umpamanya.

Perlu juga diingat oleh kita, bahawa hadir dan sembahyang ke atas mayat itu adalah sangat besar pahalanya menurut hadits-hadits Nabi صلى الله عليه وسلم Hadir dengan sembahyang sahaja mendapat satu qirâth. Satu qirâth itu sama dengan sebuah gunung Uhud (menurut hadits). Jadi untuk menjamin laba di akhirat, maka berlaku ihsanlah kepada si mati dengan cara menyempurnakan pengurus-annya seperti yang dituntut oleh Islam, termasuklah menyembahyangkannya. Adapun sembahyang tanpa menerima apa-apa itu, lebih pasti insyâ’ Allah, akan menerima ganjaran (pahala) seperti gunung Uhud. Inilah yang terang dan jelas sebagaimana dijanjikan.


Oleh kerana permasalahan ini berhubungkait dengan amal kebajikan yang dibuat oleh keluarga si mati dengan maksud wang pemberian itu pahalanya untuk si mati, maka di sini saya nukilkan fatwa Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, siri 56/83 mengenai kenduri arwah sebagai tambahan kepada penjelasan di atas yang kedua-duanya mempunyai unsur persamaan dari segi mengeluarkan perbelanjaan atau yang berkaitan dengan mengeluarkan wang. (Fatwa yang dinukil ini telah dibuat sedikit pengubahsuaian dalam beberapa perkara yang tidak menjejaskan keasliannya bagi tujuan memudahkan pihak yang bertanya).

Dalam fatwa berkenaan itu beliau membawakan pendapat-pendapat para ulama mengenainya. Antara kandungan fatwa tersebut menyatakan:

Al-‘Allamah As-Sayyid ‘Alwi bin Ahmad as-Saqqaf yang mati tahun 1335H di Mekkah menyebutkan dalam Tarshih al-Mustafîdin ketika dia membawa ibarat at-Tuhfah dan ulasannya:

“Sunat bagi jiran ahli si mati walaupun mereka bukan dari negeri si mati dan sunat bagi kerabat yang jauh bagi ahli si mati, walaupun mereka datang dari negeri lain, menyediakan makanan yang boleh mengenyangkan ahli si mati untuk sehari semalam, kerana ahli si mati diharu oleh kesedihan di atas kematian dan mereka menyuruh bersungguh-sungguh ahli si mati itu makan.

Sekarang sudah jadi biasa bahawa ahli si mati membuat kenduri dan memberi makan kepada orang-orang yang memberi takziah dan juga memberi makan kepada orang-orang yang tiada memberi takziah. Maka perbuatan ahli si mati memberi makan itu, boleh dimasukkan di bawah khilâf dalam perkara nuqûth (نقوط) yang disebutkan dalam bab al-Iqrâdh (الإقراض) adakah itu hibah atau qardh (hutang). Maka barangsiapa ada menerima nuqûth itu daripada orang atau jiran, maka dia boleh membalas nuqûth orang itu sama ada wajib dibalas kalau ia dikatakan qardh, atau sunat dibalas kalau dikatakan nuqûth itu hibah (pemberian).

Apakala perkara memberi makan daripada pihak ahli si mati kepada orang-orang yang memberi nuqûth itu dan serta orang lain, maka tiadalah dapat dimasukkan perkara memberi makan ini dalam khilâf ulama.

Setengah-setengah ulama memberi fatwa bahawa sah berbuat wasiat pada memberi makan kepada orang-orang yang datang memberi takziah, dan wasiat memberi makan kepada orang-orang yang memberi takziah itu boleh dan lulus dari satu pertiga dari harta pusaka si mati, dan ulama-ulama itu telah membawa berbagai-bagai dalil bagi menguatkan fatwanya dengan memberi kata ulama-ulama besar dalam perkara wasiat seperti perkara memberi makan kepada orang-orang memberi takziah itu.

Maka menurut fatwa setengah-setengah ulama ini, maka tiadalah terhenti memberi makan dan menyediakan makanan kepada ahli si mati dibuat sehari semalam sahaja. Bagaimana tersebut di atas ini pada perkara (1), maka sunat disediakan makanan kerana ahli si mati seterusnya bukan sehari semalam sahaja, sama ada mereka memberi makan akan orang-orang yang datang memberi takziah atau tiada, selagi ahli si mati berhimpun dan sugul dengan kesedihan.

Ini dia khilâf ulama dalam perkara memberi makan akan orang-orang yang datang memberi takziah.

Al-‘Allamah al-Imam asy-Syeikh Husain Ibrahim al-Maghribi, Mufti Mazhab al-Malikiyah di Makkah al-Mukarramah yang mati tahun 1292H tatkala dia ditanya: “Apa pendapat Tuan dalam perkara makanan yang dibuat pada hari ke tujuh si mati, dan dijamukan kepada pembaca-pembaca al-Qur’an dan lain-lain orang, dan orang yang membuat makanan itu tiada tujuan melainkan hanya mohon rahmat bagi si mati, dan membuat silaturahim, dan setengah-setengah orang berkata membuat makanan seperti itu adalah ditegah dan tiadalah harus dan tiada boleh dimakan makanan itu, mohon jawabnya.”

Katanya: “Bila dibuat makanan itu, kerana mohon rahmat bagi si mati, dan kerana silaturahim, dengan tujuan menarik orang dan menggerakkan hati-hati supaya berdoa kepada si mati, dan supaya mohon rahmat bagi si mati, maka itu suatu tujuan dan qashad yang baik dalam Islam, dan bagaimana dalam hadits:

إنما الأعمال بالنيات

Ertinya, “Sanya suatu amal itu hendaklah adanya dengan ada niat,” dan ini suatu kaedah yang dipakai dalam perkara perkataan dan perbuatan.

Dan tiadalah pada membuat makanan itu suatu bid‘ah, melainkan apabila dibuat makanan itu dengan tujuan mengatakan membuat makanan itu sebagai suatu perkara agama dan suatu perkara syara‘, dan mengatakan dia suatu perkara hak si mati yang mesti ditunaikan oleh ahli si mati, sebagaimana dibuat oleh kebanyakan orang-orang jahil daripada orang awam Islam dengan tujuan yang rupa begitu, kalau ada begitu, maka hendaklah ditegah membuat makanan itu.”

Berkata al-‘Allamah al-Mawaq: “Yang ketujuh perkara yang dibuat kerana si mati, (jamu makanan) dan datang pembaca-pembaca al-Qur’an dan lain-lain orang pada jemputan makanan itu, maka barangsiapa tiada membuat makanan itu dan dia buat perkara yang lebih baik dari mengadakan makanan itu, maka dia telah buat perkara baik, dan barangsiapa tiada membuat makanan itu dan tiada membuat sesuatu yang lebih baik dari makanan itu, maka dia telah menzalimkan dirinya (yakni tiada berbuat sesuatu kebajikan bagi si mati).

Adapun perkara yang dibuat oleh ahli si mati dengan bersusah payah pada mengadakan berbagai-bagai rupa makanan dengan tujuan ria, mengada-ada, menunjuk-nunjuk, dan bermegah-megah, maka apa perkara yang membawa ria dan menunjuk-nunjuk, dan mencari nama adalah ia perbuatan dan kelakuan orang-orang zaman jahiliah sebelum Islam. Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:

أَنَا وَأُمَّتِي بُرَآءٌ مِنَ التَّكَلُّفِ

Maksudnya: “Aku dan umatku bersih daripada sebarang perbuatan yang memberatkan.”

Ringkasnya: Membuat makanan kerana menghimpunkan orang kerana bertakziah adalah makruh, dan membuat makanan kerana membalas budi baik kerabat dan jiran kepada ahli simati, tiadalah makruh dan juga kerana silaturahim kepada si mati, wallahu ‘alam. [Jika dilihat kepada kebiasaan kenapa majlis kenduri arwah itu diadakan, ialah bertujuan memohon rahmat kepada Allah Ta’ala bagi si mati dengan mengajak dan membawa orangramai khususnya sanak saudara berdoa untuk simati agar mendapat rahmat dari doa tersebut; selain itu mengeratkan lagi hubungan persaudaraan di kalangan sanak-saudara dan jiran. Maka dari sudut ini mengadakan majlis kenduri arwah itu adalah satu perbuatan yang baik dan digalakkan Islam. Jelasnya mengadakan kenduri arwah dan membuat jamuan itu jika tujuannya untuk membalas budi baik kepada orang dan jiran kepada si mati serta menghubungkan silaturahim tidaklah menjadi kesalahan dalam agama. Yang elok dan sunat pula, ialah kaum kerabat dan jiran menghantarkan makanan kepada ahli simati sebagai tanda simpati dan meringankan beban mereka …. Hadaf 2002, Tahun 6 no.1]

Bagaimana cara pahala bacaan sampai kepada si mati?

Orang-orang Islam sekarang membaca tahlîl mendoakan keampunan bagi si mati, dan membaca al-Qur’an dan pahalanya disedekahkan, atau dihadiahkan kepada si mati, dan bersedekah dan berkenduri makanan dan pahala keduanya dihadiahkan kepada si mati, maka tiadalah ada tegahan syara‘ padanya bahkan disuruh dan sunat bersedekah dan berdoa bagi mohon keampunan ke atas si mati dan juga orang Islam bersedekah, bertahlîl dan berkenduri dan membaca al-Qur’an seperti dalam majlis tiga hari, dan tujuh hari, dan empat puluh hari, kerana telah diriwayatkan daripada (at-Tâbi‘ al-Jalîl Mujâhid yang mati di Makkah tahun 102 atau 103 Hijrah) telah berkata: “Orang mukmin yang mati tetaplah langit dan bumi menangis akan kematiannya selama empat puluh pagi.” Ditanya orang: “Mengapa kamu menangis hai langit dan bumi?” Katanya: “Mengapa bumi tiada menangiskan seorang hamba Allah yang telah meng‘imârahkan bumi dengan ruku‘ dan sujud? Mengapa langit tiada menangiskan kematian seorang hamba Allah yang tasbîhnya (سبحان الله) dan takbîrnya (الله أكبر) menderam dan berderu seperti menderam bunyi burung lebah.” Orang bertanya: “Apa tanda langit menangis?” “Tandanya merah warna arah-arah langit itu.” Tamat.

Adapun orang yang bukan mukmin tiada beriman kepada Allah Ta‘ala, maka tiadalah langit dan bumi menangiskan dia, sebagaimana firman Allah Ta‘ala dalam perkara orang-orang Fir‘aun yang telah Allah menenggelamkan mereka.

فما بكت عليهم السمآءوالأرض - سورة الدخان: 29


Tafsirnya: “Tiadalah langit dan bumi menangiskan Fir‘aun dan orang-orangnya.” (Surah ad-Dukhân: 29)

Berkata al-Imam al-Khazin (asy-Syafi‘e yang mati tahun 741H dalam tafsirnya): “Kerana orang mukmin itu apabila dia mati, maka menangislah langit dan bumi empat puluh pagi, dan orang-orang Fir‘aun itu tiada ada apa amal salih mereka naik ke langit, maka tiadalah langit menangiskan kehilangan mereka, dan tiadalah ada apa amal salih mereka di atas muka bumi, maka tiadalah bumi menangiskan mereka.”

Daripada sahabat Anas bin Malik dalam hadits marfû‘:

مَامِنْ مُؤْمِنٍ إِلاَّوَلَهُ بَابَانِ. بَابٌ يَصْعَدُ مِنْهُ عَمَلُهُ وَبَابٌ يَنْزِلُ مِنْهُ رِزْقُهُ فَإِذَا مَاتَ بَكَيَا عَلَيِهِ فَذَلِكَ قَوْلُهُ: فَمَا بَكَتْ عَلَيْهِمُ السَّمَآءُ وَالأَرْضُ - رواه الترمذي


Maksudnya: “Orang mukmin ada mempunyai dua pintu, satu pintu naik amal ibadatnya dari pintu itu ke langit, dan satu pintu yang lain turun rezeki untuknya dari langit melalui pintu itu, maka apabila orang mukmin itu mati, maka menangislah kedua pintu-pintu itu, maka itulah tafsir pada firman Allah Ta‘ala:

فَمَا بَكَتْ عَلَيْهِمُ السَّمَآءُ وَالأَرْضُ


Kata qîl: “Yang menangiskan orang mukmin yang mati itu, ialah penduduk langit dan penduduk bumi.” Tamat.

Tersebut dalam kitab al-‘Awârif daripada sahabat Anas رضي الله عنه telah berkata: “Pada tiap-tiap pagi dan tiap-tiap petang, maka rantau-rantau bumi itu memanggil setengahnya akan setengahnya: “Adakah lalu seseorang yang memberi selawat di atas kamu (memberi salam), atau seseorang berkata zikir Allah kepada kamu?” Setengah rantau itu berkata: “Ya”, dan setengah rantau yang lain berkata: “Tiada”. Maka apabila rantau itu berkata: “Ya”, maka rantau itu telah ketahui bahawa dia telah dapat sesuatu kelebihan daripada rantau yang berkata: “Tiada”. Seseorang hamba Allah yang berkata zikir Allah pada mana-mana rantau bumi, atau ia berselawat ke atas rantau itu, (yakni memberi salam), maka rantau itu akan menjadi saksi di sisi Tuhan bagi orang itu pada Hari Kiamat, dan menangislah rantau (yang kena selawat dan diselubungi oleh zikir Allah) itu, ke atas orang yang berzikir dan berselawat pada hari orang itu mati.” Tamat.

Dan lagi tersebut dalam Nazhm al-Imam as-Suyuthi yang mati tahun 911H رحمه الله تعالى:

“Telah disebutkan oleh ‘Ubaid bin ‘Amru dari riwayat Ibnu Juraih (al-‘Âlim al-‘Allâmah al-Faqîh mati tahun 150H): “Bahawa orang mukmin dicuba dengan fitnah sepanjang masa tujuh hari, dan orang munâfiq difitnahkan dengan percubaan sehingga empat puluh hari.”

Katanya sebelum ini:

“Adalah sahabat-sahabat (رضي الله عنهم) telah berkata bahawa sunat diberi makanan akan orang dan berkenduri kerana si mati, sepanjang tujuh hari dari matinya, kerana menolong si mati daripada kesusahan percubaan fitnah di kubur itu.” Tamat

Maka perkataan at-Tâbi‘e al-Jalîl Mujâhid itu hingga akhir ibarat yang di atas ini, saya salinkan daripada perkataan al-Imam al-‘Ârif Billâh Ta‘ala al- ‘Allâmah al-Faqîh asy-Syeikh Ahmad ibn Ahmad ibn Ismail al-Hulwaniyi al-Khalijiyu asy-Syafi‘e al-Azhari yang mati tahun 1308H dalam kitabnya Wasâ’il ar-Rahamat fî ma Yuthlab li man Mât.

Kemudian katanya: “Dari apa yang saya sebutkan di atas ini, maka sayugialah si mati diraikan sehingga empat puluh hari, dengan bacaan al-Qur’an, bersedekah, berkenduri kerana si mati, itulah sedaya yang kita boleh menolong si mati itu, wallahu a‘lam.” Tamat.

Maka inilah satu-satu dalil di atas perbuatan orang Islam sekarang bersedekah, berkenduri, berdoa, membaca al-Qur’an, bertahlil kerana si mati dan pahalanya mereka berharap daripada Allah Ta‘ala menerimanya, dan mereka berniat, berqashad sedekahkan pahalanya itu kepada si mati itu. Dari itu hendaklah bacaan al-Qur’an, tahlil dan sedekah dan kenduri itu diniatkan pahalanya disedekahkan kepada si mati supaya sampai pahala itu kepada si mati.”

Khusus dalam hal ini, sama ada amalan mengadakan kenduri arwah atau mengeluarkan wang kepada orang-orang yang menyembahyangkan mayat, hendaklah mengambil kira semuanya itu tidak memberatkan atau membebankan kepada keluarga atau ahli waris si mati. Firman Allah:

لاَيُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًاإِلاَّوُسْعَهَا – سورة البقرة: 286


Tafsirnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”(Surah al-Baqarah: 286)

أَنَا وَأُمَّتِي بُرَآءٌ مِنَ التَّكَلُّفِ


Hal ini juga sesuai dengan ajaran dan pimpinan Rasulullah صلى الله عليه وسلم sebagaimana disebutkan oleh hadits di atas iaitu: Maksudnya: “Aku dan umatku bersih daripada sebarang perbuatan yang memberatkan.”

http://al-fanshuri.blogspot.com/

No comments: