Sunday, February 24, 2008

Arak Yang Menyihatkan Halal?

Adakah arak halal?
Soalan: Ada pandangan yang mengatakan arak itu halal kerana boleh menyihatkan tubuh badan dan kata pendapat itu lagi dalam syurga Allah benarkan minuman arak tersebut.

Bagaimana hendak menolak pandangan itu?

– Abdul. Ghani Bin Abdul Malik,

Alor Star, Kedah.

Jawapannya: Anda tidak perlu melayani pendapat yang celaru seperti ini kerana hukum arak ini sudah jelas haramnya dan diketahui dengan dharurah (semua orang tahu dengan mudah) dan siapa yang cuba mempersoalkan hukumnya, maka keimanannya tergugat (hilang dan jatuh murtad).

Demikianlah hukum mengenai perkara yang diketahui dari agama dengan dharurah seperti solat dan Rukun Islam yang lain. Memang pada permulaan Islam Allah juga mengakui kebaikan kesan arak itu kepada kesihatan manusia tetapi dosa dan bahayanya lebih besar dan hebat lagi. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-nya bermaksud: mereka bertanyamu mengenai arak dan judi katakanlah pada keduanya itu ada dosa besar di samping faedah untuk manusia dan dosa keduanya lebih besar dari manfaat keduanya (surah al-Baqarah ayat 219).

Semua agama mengharamkannya melihat kepada bahaya arak tersebut. Kenapa pula ada orang cuba menghalalkannya sedangkan arak itulah yang menjadi punca segala penyakit dan kejahatan. Orang yang minum akan mabuk-mabuk, tidak siuman lagi. Nilai manusia itu terletak pada akalnya. Bila akal manusia itu sudah hilang manusia tadi boleh bertukar menjadi haiwan. Justeru itulah arak diharam terus seperti firman-Nya bermaksud: wahai! Orang yang beriman sungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan menggunakan batang panah adalah amalan keji dari kerja syaitan maka jauhilah semoga kamu berjaya, syaitan itu bertujuan menimbulkan permusuhan dan perbalahan sesama kamu kerana sebab (mabuk) minum arak dan (kesempitan hidup kalah) judi dan ingin memalingkan kamu dari mengingati Allah s.w.t. dan mengganggu solat, adakah kamu bersedia berhenti terus (surah al- Maidah ayat 90 -91). Islam berjaya menghalang umatnya dari ketagihan arak dan judi dengan menggunakan pendekatan secara beransur-ansur (tadriji). Adapun di syurga tidak ada lagi larangan. Kerana ianya adalah negeri yang penuh dengan kenikmatan semata-mata. Yang mana arak pada waktu itu sudah tidak memusing kepala dan memabukkan lagi tetapi nikmat semata-mata. Ianya langsung tidak sama dengan arak di dunia melainkan pada nama sahaja. Allah berfirman yang bermaksud: setiap kali (mereka penghuni syurga ) diberi makanan mereka berkata ini (makanan atau minuman) yang pernah direzekikan kita di dunia dahulu (Surah al- Baqarah ayat 25). Wallahualam.

sumber

No comments: