KUALA LUMPUR 15 Feb. - Tindakan penyerang berani mati meletupkan diri sehingga mengakibatkan orang awam turut terbunuh adalah bertentangan dengan ajaran Islam, kata Dr. Muhammed Sayyid Tantawi.
Sheikhul Al-Azhar itu yang ditanya wartawan asing mengenai pendirian universiti terulung itu mengenai tindakan tersebut menjelaskan, ada perbezaan antara meletupkan diri di tempat awam dengan di tengah-tengah musuh.
''Mereka yang meletupkan dirinya di kalangan musuh yang cuba untuk membunuh dan memporakperandakan negara mereka, maka pembunuhan diri seperti itu adalah syahid.
''Tetapi mereka yang meletupkan diri di kalangan wanita, kanak-kanak dan di pasar awam, bertentangan dengan ajaran Islam," katanya.
Menurutnya, adalah jelas Islam tidak bersetuju dengan tindakan tersebut yang menyebabkan orang yang tidak berdosa dan tidak berkenaan turut menjadi mangsa.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Ditanya pendirian Al-Azhar berhubung tindakan penyerang berani mati meletupkan diri kerana memerangi kekejaman Israel dan Amerika Syarikat (AS), Dr. Muhammed Sayyid berkata, beliau sudah menegaskan perkara itu sejak 10 tahun lalu.
No comments:
Post a Comment