Friday, February 15, 2008

Khalifah Muawiyah Jahat?

SOALAN: Saya keliru dengan pandangan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa Muawiyah bin Abu Suffian sebenarnya ialah seorang yang jahat dan perampas kuasa daripada Sayidina Ali bin Abi Talib. Apa pandangan agama Islam mengenai hal ini?

– Muhammad Jiwa, Kampung Baru,

Kuala Lumpur.

JAWAPAN:

Anda tidak perlu keliru dan gelabah mengenai perkara ini kerana panduan dan catatan sejarah yang ditinggalkan adalah jelas. Kita perlu mengikut dan menerima hanya satu ajaran yang dinamakan ahli sunah waljamaah. Mereka tidak mudah menuduh sesiapa dari kalangan umat Islam (ahli al-Qiblah) apa lagi dari kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w. di mana mereka pernah berjuang dan mempertahankan Islam bersama Rasulullah. Mereka berjasa dalam pembukaan negara Islam Madinah. Biasanya pendapat seperti itu datangnya dari kumpulan khawarij.


Kumpulan ini menentang bukan sahaja Muawiyah tetapi mereka mengatakan Ali juga adalah salah kerana menerima tahkim (berdamai melalui orang ketiga). Bagi kita, kedua pihak Ali dan Muawiyah adalah atas petunjuk dan keredaan Allah kerana sekalipun mereka berselisih pendapat sehingga berlaku pergaduhan tetapi bukan kerana kepentingan peribadi malah atas dasar ijtihad yang betul dan ikhlas. Dalam hal ini Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: siapa yang berijtihad dan kebetulan tepat (ijtihadnya) maka baginya dapat dua ganjaran dan siapa yang berijtihad tetapi salah ijtihadnya maka baginya satu ganjaran sahaja. Dalam sabdanya lagi yang bermaksud: jangan kamu mengutuk para sahabatku. Demikian juga dalam sabdanya yang lain bermaksud: sahabatku adalah seperti bintang yang mana kamu ikuti kamu akan beroleh petunjuk.

Sehubungan ini juga Allah berfirman bermaksud: Mereka yang terdahulu, yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang- orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat) Allah reda akan mereka semua dan mereka pula reda akan Dia serta Ia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. (Surah at-Taubah ayat 100).

Apa yang dapat difahami bahawa para sahabat dan pengikut mereka semuanya akan mendapat keredaan Allah. Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa dari kalangan sahabat tadi malah kita harus menerima mereka sebagai sahabat dan mereka adalah umat terbaik selaras dengan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: sebaik-baik kurun itu ialah kurunku dan mereka yang mengiringnya.


No comments: