Friday, November 7, 2008

Waktu Bayar Zakat Fitrah

SOALAN:
SAYA terlambat membayar zakat fitrah pada Ramadan tahun lalu. Apakah caranya supaya saya tidak terlepas lagi dan bolehkah zakat fitrah diqadakan?

JAWAPAN:

ZAKAT fitrah adalah wajib dan setiap yang wajib, hendaklah diberikan keutamaan menunaikannya. Menurut Imam As-Syafie, waktu menunaikan zakat fitrah sebenarnya terbahagi kepada tiga fasa. Fasa pertama ialah harus, iaitu bermula dari hari pertama Ramadan. Fasa kedua pula ialah waktu sunat (paling utama), iaitu pada subuh hari raya pertama sehinggalah sebelum solat sunat Aidilfitri. Fasa ketiga ialah waktu makruh, iaitu selepas solat sunat Aidilfitri sehinggalah akhir hari raya pertama.

Bagi mereka yang terlupa atau sengaja melewatkan zakat fitrah sehingga terbenamnya matahari, yakni masuk hari kedua Syawal, maka ia akan dikira berdosa dan wajib mengqadakannya.

Ini bermaksud, seseorang itu masih wajib mengeluarkan juga zakat fitrah itu walau setelah luput hari pertama syawal dan zakatnya itu pada masa tersebut dikira qada.

Oleh itu, eloklah disegerakan menunaikan zakat fitrah tanpa perlu menunggu sebelum solat hari raya. Ini bagi mengelakkan terjatuh ke dalam waktu haram dan berdosa kerana terlewat menunaikannya.

sumber

No comments: