Sunday, December 2, 2007

Sujud Tilawah dan Sujud Syukur

Soalan:
Apakah perbezaan antara sujud tilawah dengan sujud syukur. Adakah ada perbezaan antara kedua-duanya dan apakah syarat kedua-duanya ?
– Isa Latif,
Semporna, Sabah

Jawapan:
Sujud tilawah disunatkan bagi pembaca dan pendengar yang membaca dan mendengar ayat sajdah tersebut yang 15 tempat dalam al-Quran termasuk dua tempat dalam surah al-Hajj dan tiga tempat dalam surah mufassal iaitu al-Najmi, al-Insyiqaq dan al-Alaq dan sembilan lagi dalam surah berikut iaitu al-A’raf, al-Ra’d, al-Nahl, al-Israa, Maryam, al-Furqan, al-Naml, Aliflammim sajdah dan Hamim sajdah. Tempatnya (ayat sajdah yang disuruh sujud) ada bertanda dengan gambar seperti kubah. Sedangkan pada surah Sad itu bukan sujud tilawah malahan sujud syukur dan tidak disuruh dalam solat.

Adapun sujud tilawah ini disunatkan sujud bila membacanya di dalam atau di luar solat. Begitu juga makmum kerana bacaan imamnya, sekiranya dia sengaja menyalahi imamnya atau melakukan sujud secara bersendirian tanpa menurut imamnya adalah batal solatnya. Cara melakukan kedua sujud ini ialah dengan memulakannya dengan takbir untuk turun sujud dan tidak perlu mengangkat tangan semasa bangun dari sujud. Manakala rukunnya ialah bertakbir, sujud dan salam.

Dan syaratnya pula seperti solat berkeadaan suci dan tidak terlalu lama perceraiannya dengan bacaan ayat tersebut. Sedangkan sujud syukur pula dilakukan di luar solat apabila mendapat sebarang nikmat atau terlepas dari bahaya dan bala bencana atau melihat bala bencana. Wallahualam.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm

No comments: