Sunday, December 2, 2007

Mengumpat Bukan Dengan Lidah?

Bersama: MOHD. YUSOF ABAS

Soalan:
Adakah umpatan itu berlaku hanya dengan lidah? Bagaimana sekiranya seseorang itu melakukan umpatan tersebut dengan lakonan atau meniru keadaannya yang tidak disukai tersebut? Apakah hukumnya?

– Shukila Ramli,
Pasir Puteh, Kelantan.


Jawapan:

Sekalipun umpatan itu disebut sebagai penyakit lidah, bukanlah bererti perbuatan umpatan itu tidak boleh berlaku dengan anggota lain. Ini kerana pada kebiasaan sahaja (umpatan berlaku melalui lidah) sedangkan umpatan tersebut boleh dilakukan dengan anggota lain seperti ajukan dan lakonan. Malahan kata ulama, perbuatan lakonan itu lebih jelas dan lebih dapat menggambarkan keburukan yang ada pada seseorang yang diumpat itu. Allah s.w.t mengingatkan kita supaya menjauhi dan tidak mendengar sama umpatan tersebut. Ini ditegaskan dalam firman-Nya bermaksud: Jangan kamu duduk bersama mereka sehingga mereka bercakap mengenai perkara lain (Surah an-Nisaa ayat 140).

Jadi apa saja yang menggambarkan tentang keburukan yang ada pada seseorang yang tidak disukainya, sekiranya dinyatakan atau digambarkan, maka itulah yang dinamakan umpatan yang ditegah agama dan dosanya tidak akan diampuni Allah melainkan setelah mendapat kemaafan dari tuannya sendiri. Semoga kita diselamatkan dari terlibat dengan kesalahan umpatan tersebut. Allah menggambarkan bagaimana buruknya dosa umpatan itu sehingga ianya disamakan dengan memakan daging saudara kita yang sudah mati dan busuk. Manusia yang waras tidak akan melakukannya kecuali mereka yang tidak siuman sahaja. Wallahualam.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm

No comments: