Salam....
Harap soalan saya tidak  keterlaluan dan sudi dijawab ustaz. Saya malu sebenarnya hendak mengaku  akan hal ini, tapi sedikit sebanyak ia amat mengganggu hidup saya...
Saya  bermasalah. Saya kira saya seorang yang ingin menjaga agama, bertudung  labuh lagi berstoking, tak pandai bergaul dengan lelaki, suka dengar  ceramah agama dan orang yang solat dan mengaji tapi ada tabiat buruk  dengan bahasa modennya onani.
Dah lama dan dah berkali saya  taubat tak mahu ulangi... tapi saya buat lagi. Saya tahu dosa tapi saya  buat suka hati, dan sekarang saya takut jika Allah murka dan memberi  balasan dengan perkara ini.
Contoh situasinya, saya baru menonton  tv Tanyalah Ustaz, membaca majalah Anis dan membuka radio alunan  al-Quran. Tiba-tiba hati terdetik nak buat. Sedangkan saya dah benteng  hati ke arah agama ustaz... saya dengan mudah berkhayal dan buat  sendiri. Sedang radio masih mengalunkan bacaan al-Quran. Saya  betul-betul buat tak malu dengan Tuhan.... (sebab orang tak nampak)
Tolong  beri kata dua pada saya ustaz, hati saya cintakan agama tapi sikap  buruk saya ini sangat-sangat menipu diri. Yang rugi saya. Saya mula  bimbang jika generasi saya esok melakukan amal buruk ini...
Dan satu lagi, adakah orang boleh kenal/tahu kita jenis yg beronani.
Maaf dan terima kasih.
   
   
  JAWAPAN:
  Wlksm Ukhti,
   
  Pertamanya  saya ucapkan tahniah kerana anda dipilih Tuhan sebagai orang yang  berusaha untuk memelihara agama, menutup aurat dengan sempurna, suka  akan majlis-majlis dan ilmu agama, memelihara solat, istiqamah membaca  Al-Quran dan lain-lain. Tidak ramai orang yang dipilih oleh Tuhan  sebegitu rupa. Yang tidak kurang pentingnya, anda ada rasa bersalah dan  mahu membuat perubahan. Sikap sebegini bukan mudah dicari, tapi ia ada  pada anda. Alhamdulillah syukur.
   
  Sesungguhnya  Allah SWT Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Apabila kita bertaubat  bersungguh-sungguh, dosa-dosa kita akan dihapuskan oleh Allah.
   
  Tentang tabiat buruk (onani/martubasi) itu saya sarankan beberapa usaha dan ikhtiar yang boleh dilakukan.
   
   
  Pertama: DARI SUDUT PERUBATAN ALTERNATIF ISLAM
  Antaranya  anda cubalah pergi dapatkan rawatan daripada pengamal perubatan  alternatif Islamik (yang biasa kita sebut sebagai mu’allij, contohnya di  Darussyifa’). Tak perlu ceritakan masalah anda kepada perawat, cukup  minta perawat tolong ruqyahkan. Cakap saja yang anda berasa tidak sedap  badan dan khuatir kalau-kalau ada ‘gangguan’. Sekiranya perawat itu  wanita dan anda bersedia berkongsi masalah anda dengannya, bolehlah  diceritakan.
   
  Saya  menyarankan langkah ini kerana maklumat yang anda beri menunjukkan ada  kemungkinan wujudnya gangguan jin ataupun sihir. Di bawah ini ialah  maklumat yang dimaksudkan:
  “Contoh  situasinya, saya baru menonton tv Tanyalah Ustaz, membaca majalah Anis  dan membuka radio alunan al-Quran. Tiba-tiba hati terdetik nak buat.  Sedangkan saya dah benteng hati ke arah agama ustaz... saya dengan mudah  berkhayal dan buat sendiri. Sedang radio masih mengalunkan bacaan  al-Quran. Saya betul-betul buat tak malu dengan Tuhan.... (sebab orang  tak nampak).”
   
  Jika  sudah sampai ke tahap sebegini, mungkin anda mengalami ‘gangguan’.  Katakanlah setelah dirawat nanti ternyata tidak ada sebarang gangguan,  anda tidak rugi apa-apa. Perawat pun tidak tahu apa masalah sebenar/  rahsia anda. Malah berasa lega kerana diri anda ternyata selamat.
   
  Tapi  seandainya memang ada dan ia berjaya disingkirkan, saya yakin tabiat  itu akan hilang dengan mudah. Oleh itu saya angat sarankan agar anda  dapat menemui mana-mana muallij dengan segera.
   
  Saya  melihat, dorongan untuk anda melakukannya banyak datang dari dalam  diri, bukannya dari luar diri seperti dirangsang orang lain, menonton,  menatap, mendengar dan sebagainya. Hal ini kerana ketika berinteraksi  dengan bahan-bahan keagamaan pun anda dengan sendirinya terdorong untuk  melakukannya. Oleh itu keutamaan rawatan adalah ke atas diri anda yang  rohani.
   
   
  Kedua: DARI SUDUT PENGAWALAN DIRI & LATIHAN JIWA
  Anda  berusahalah membuang perlakuan itu. Hendak membuang terus secara  mengejut memang sukar, oleh itu anda buangkanlah ia secara  beransur-ansur. Kurangkan kekerapan melakukannya. Jika selama ini  (sekadar contoh) ia dilakukan 2 kali seminggu, kurangkan jadi 1 kali  seminggu. Kemudian kurangkan lagi 1 kali sebulan dan seterusnya.  InsyaAllah suatu hari nanti tabiat itu akan mereda dan hilang.
   
  Tapi seandainya anda dapat membuangnya serta-merta, hal itu adalah sangat baik lagi bermanfaat.
   
   
  Ketiga: DARI SUDUT SUNNAH NABI & FITRAH MANUSIAWI
  Anda  berusahalah agar dapat lekas mendirikan rumahtangga. Dengan cara itu  ‘kehendak’ anda dapat disalurkan pada tempatnya dan insyaAllah perlakuan  itu akan hilang dengan sendirinya. Saya mendoakan agar anda bertemu  jodoh yang sesuai, baik lagi soleh dalam masa yang terdekat.
   
   
  Keempat: DARI SUDUT SAINS & KESIHATAN
  Kawal  pemakanan. Kita boleh mengurangkan keinginan dengan cara mengawal  pengambilan makanan. Biasakan diri jangan makan sampai kenyang, tapi  tidak terlalu sedikit sehinggakan tubuh kekurangan zat dan tenaga. 
   
  Kekuatan  dan keinginan melakukan seks banyak datang daripada makanan yang  diambil berlebihan. Sebab itu para ulama mengurangkan makanan.  Rasulullah juga menasihatkan kita agar berhenti makan sebelum mencapai  kenyang. Jika selepas makan kita berasa puas (maksudnya kita sudah  memenuhkan perut), sebenarnya ia memudaratkan diri dalam jangka masa  panjang. Jika selepas makan kita berasa seperti hendak makan lagi  (maksudnya kita berhenti sebelum puas/kenyang), itulah yang terbaik  untuk kesihatan.
   
  Anda  kurangkan bahan yang merangsang seperti kopi dan teh. Hal ini memang  dipesan oleh Asy-Syahid Hasan al-Banna (Pengasas Ikhwanul Muslimin).  Anda juga perlu kurangkan pengambilan gula, kerana ia merangsang  kekuatan (dan pengurangan ini bagus untuk kesihatan) terutamanya air  berkarbonat. Mengurangkan bahan-bahan yang merangsang kekuatan tubuh  dapat mengurangkan kehendak dan keupayaan untuk melakukan perbuatan itu.
   
  Kaedah  yang biasa dianjurkan ialah berpuasa. Tapi takkanlah hendak berpuasa  setiap hari, mungkin kita tidak mampu. Jadi anda boleh cuba istiqamah  puasa Isnin dan Khamis, ataupun salah satunya. Cuma yang saya lihat di  negara kita ini, cara kebanyakan orang berbuka puasa tidak sesuai untuk  kesihatan. Memanglah perut dikosongkan seharian, tapi apabila berbuaka  puasa, pelbagai benda dimakan dan dengan kuantiti yang banyak. 
   
  Oleh  itu, jika anda berpuasa, ketika berbuka makanlah sekadarnya. Yang  pentingnya berbukalah dengan makanan yang berkhasiat walaupun dalam  jumlah yang sedikit.
   
  
Kelima: DARI SUDUT PERSEKITARAN DIRI
  Perlakuan  itu menjadi apabila anda bersendirian. Oleh itu, selalulah bersama-sama  orang lain. Selalulah buat aktiviti bersama rakan-rakan atau  saudara-mara walaupun sekadar berbual kosong ataupun menonton  bersama-sama. Maksudnya, biarlah ada individu lain berhampiran anda.  Sudah tentu ruang untuk anda melakukannya sangat kecil.
   
   
  Keenam : DARI SUDUT AGAMA
  Apabila timbul perasaan hendak melakukannya, ucapkan dengan bersuara dan penghayatan:
  Dua Kalimah Syahadah
  Selawat ke atas Rasulullah
  Istighfar
  Lakukan berulang-ulang.
   
   
  Ketujuh: DARI SUDUT PSIKOLOGI / KUASA MINDA
  Apabial  timbul keinginan, sebut nama/ panggilan orang-orang yang anda hormati  seperti ibu, ayah, guru, pendakwah dan sebagainya dan bayangkan mereka  semua sedang berada hampir dengan anda dan memerhatikan perbuatan anda  dengan perasaan dukacita pada wajah mereka. Teruskan ‘mencipta’ gambaran  sebegitu.
   
   
  Setahu  saya, umumnya tidak ada ilmu untuk mengetahui seseorang itu sering  melakukan onani/martubasi. Cuma orang tua-tua zaman dahulu ada kaedah  tertentu untuk melihat sama ada seseorang itu masih dara ataupun tidak.  Ada yang melihat pada suatu tempat di muka dan ada yang melihat pada  tangan. Ada juga yang mendakwa mampu mengetahuinya melalui kaedah ghaib  tetapi umumnya semua itu hanyalah sangkaan-sangkaan. 
   
  Pada  zaman ini jumlah orang yang mengetahui kaedah ini pun amatlah kecil  (saya sendiri tidak ada ilmu ini), dan peluang anda untuk terserempak  dengan orang sebegini sangatlah kecil. Oleh itu janganlah risau.  Tambahan pula, dara seseorang wanita itu adakalanya boleh pecah/hilang  kerana sebab-sebab lain, bukan melalui aktiviti yang berkaitan dengan  seks sahaja. 
   
  Doktor  mungkin boleh mengetahui kekerapan seseorang melakukan onani/ martubasi  melalui ujian dan pemeriksaan. Tapi, doktor mana yang saja-saja hendak/  boleh buat pemeriksaan bahagian itu? Jadi, tidak perlu risau.
   
  Kesimpulannya,  jika ada pun, orang itu hanya boleh mengetahui sama ada masih ada dara  ataupun tidak, bukannya mengetahui sama ada selalu beronani atau tidak.  Dan orang yang ada ilmu sebegitu pun sudah hampir pupus dan peratusan  anda untuk terserempak dengan mereka adalah terlalu kecil.
   
  Akhirnya,  dengan penjelasan ringkas ini diharap dapatlah memberikan kesan positif  pada diri anda dan menambahkan kekuatan jiwa anda untuk berubah kea rah  yang lebih baik daripada sebelumnya. Semoga segala urusan kita semua  khusunya anda dipermudahkan oleh Allah SWT.
   
  Wassalam.
   
   
   
  Abu Zulfiqar
  23 Mei 2011
   
   
  HAMBA ALLAH MENULIS:
  Terima kasih ya ustaz...
Terharu rasa baca saranan-saranan ustaz yang lebih ke arah positif....
Sedih  sebenarnya dengan dosa-dosa, dan mungkin ini juga penghalang untuk  lekas bertemu jodoh.... Semoga keikhlasan ustaz, menjadi doa membantu  diri ini menjadi lebih bertakwa dan berdamping dengan orang soleh...
Semoga ustaz sekeluarga dirahmati. Syukran.
SUMBER