Sunday, August 23, 2009

Hak Seorang Madu

SOALAN:
SAYA rasa masalah saya sehingga ini seumpama tidak berpenghujung. Madu saya begitu bengis, sentiasa menghalang perhubungan kami menyebabkan suami saya bertemu saya sembunyi-sembunyi dan mengabaikan masalah anak-anak.

Jumpa saya hanya sesekali pada siang hari, tidak pernah bermalam, jauh sekali bersama menjenguk keluarga.

Madu saya memaksa agar saya diceraikan, tetapi suami saya membekukan diri kerana ia masih sayang. Saya tidak mengadu ke pejabat agama kerana ia akan menimbulkan masalah lain kepada suami. Emosi saya tertekan. Anak- anak tidak menentu. Hidup kami seumpama tidak ada haluan.

– Nurul, Selama.

JAWAPAN: Orang lelaki bermadu, sama ada seorang, dua atau tiga orang isteri tanpa persetujuan isteri, atau isteri-isteri tua adalah satu perkara biasa. Andainya si isteri yang sedia ada merestui perkahwinan berikutnya, banyak masalah yang berlaku di kalangan mereka yang berpoligami akan selesai dengan sendirinya.

Sifat tidak reda suami berkahwin lagi adalah punca utama timbulnya masalah di kalangan mereka yang berpoligami. Sifat tersebut adalah sifat semula jadi manusia kerana itulah mereka yang mempunyai isteri lebih daripada satu selalunya menghadapi masalah.

Seorang suami apabila telah bernikah dengan seorang perempuan atau lebih daripada seorang, dia berkewajipan memberi nafkah terhadap isteri atau isteri-isteri yang dinikahi olehnya.

Kewajipan tersebut adalah ‘‘kewajipan syarii’’ iaitu kewajipan ataupun tanggungjawab yang diwajibkan oleh syarak (undang-undang Islam) seperti yang tersebut jelas dalam al-Quran (al-Baqarah: 233), yang bermaksud, Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang makruf. Seseorang itu tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya.

Perkataan ‘‘rezeki’’ yang dimaksudkan di sini ialah makanan secukupnya. ‘‘Pakaian’’ pula ialah baju ataupun penutup badan dan yang dimaksudkan dengan ‘‘makruf’’ itu ialah kebaikan sesuai dengan ketentuan agama, tidak berlebihan dan tidak pula berkurangan.

Dalam surah at-Talaq: 6 pula Allah menyuruh agar para isteri itu ditempatkan di mana si suami tinggal menurut kemampuan, jangan menyusahkan mereka menyebabkan mereka susah hati. Andainya mereka iaitu isteri-isteri yang sudah ditalak itu sedang hamil, Allah menyuruh agar mereka diberi nafkah sehinggalah mereka bersalin.

Dalam sebuah hadis riwayat daripada Muslim, dikatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah berkata ketika Hajjatu ‘I-wida, agar kaum lelaki itu takutkan Allah dalam urusan yang berkaitan dengan isteri, kerana sesungguhnya mereka telah mengambil mereka dengan kalimah Allah. Dan kamu telah menghalalkan kemaluan (kehormatan) mereka dengan kalimah Allah. Isteri-isteri tadi tidak boleh membawa masuk ke dalam rumah orang yang tidak disukai oleh suami. Andainya mereka melanggar perintah tersebut, pukullah mereka, tetapi jangan sampai melukai. Mereka berhak mendapatkan belanja dari kamu dan pakaian dengan cara yang makruf.

Islam mewajibkan si suami memberi nafkah kepada isteri ataupun isteri-isteri dengan syarat tertentu iaitu pernikahan yang sah. Isteri menyerahkan diri kepada suami. Suami dapat menikmati darinya. Tidak menolak apabila diajak pindah ke tempat yang dikehendaki oleh suami. Kedua-duanya saling dapat menikmati hasil daripada hubungan mereka.

Perempuan yang tidak dinikahi atau tidak sah nikahnya tidak wajib diberi nafkah. Ini adalah jelas, biarpun mereka telah bersekedudukan lama dan beranak-pinak.

Isteri yang tidak mahu menyerahkan diri untuk disetubuhi, atau isteri enggan pindah ke tempat yang dikehendaki oleh suami, maka kewajipan suami adalah gugur. Walaupun demikian, isteri yang menderita sakit kuat yang menyebabkan terhalang pergaulan dengan suaminya, ia tetap wajib mendapat nafkah.

Begitu juga halnya kalau si suami bertabiat ganas atau kasar atau terpotong kemaluannya atau dikebiri atau si suami sakit kuat menyebabkan dia tidak berupaya menggauli isteri ataupun di penjara kerana hutangnya atau kerana kejahatan jenayah yang dilakukan oleh suami.

Nafkah

Si isteri tetap berhak untuk mendapat nafkah daripada si suami kerana dalam keadaan sedemikian rupa, si isteri masih tetap berupaya menyediakan dirinya untuk si suami. Kesalahan menyebabkan masuk penjara adalah kesilapan si suami menyebabkan dia tidak berupaya menikmati hidup dengan si isteri atau isteri-isterinya.

Sebaliknya isteri yang di penjara kerana kejahatan yang dilakukan olehnya, dia tidak berhak menerima nafkah.

Begitu juga halnya dengan isteri yang keluar bekerja padahal si suami tidak membenarkannya, maka dia tidak berhak mendapat nafkah. Begitu juga halnya dengan isteri yang tidak mahu digauli oleh suaminya kerana sedang puasa sunat atau iktikaf sunat. Ini kerana isteri telah mengabaikan hak suaminya untuk menikmati dirinya.

Andainya si isteri tinggal hidup serumah dengan suaminya, maka si suami wajib menanggung nafkahnya dan mengurus segala keperluan seperti makan, pakaian, pembantu rumah termasuk rawatannya. Dalam keadaan seperti ini, isteri tidak berhak meminta nafkah dalam jumlah tertentu selagi suami melaksanakan kewajipannya.

Sekiranya si suami bakhil, tidak memberi nafkah kepada isterinya dengan cukup atau tidak memberi nafkah tanpa alasan-alasan yang benar lagi munasabah, maka isteri berhak menuntut jumlah nafkah tertentu baginya juga tanggungannya. Hakim boleh memutuskan jumlah nafkah yang berhak diterima oleh isteri. Suami mesti melaksanakannya apabila keterangan yang dijelaskan oleh isteri ternyata benar.

Isteri pula berhak mengambil sebahagian daripada harta suami dengan cara yang baik, untuk keperluannya untuk memenuhi keperluan biarpun tanpa pengetahuan suami. Ini kerana suami telah melengah-lengahkan kewajipannya yang wajib dikeluarkan.

Dalam sebuah hadis daripada Sayidatina Aishah, bahawa Hindun binti Utbah pernah bertanya, katanya, ‘‘Ya, Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan adalah orang yang kikir. Dia tidak mahu memberi nafkah kepadaku juga anakku, sehinggakan aku terpaksa mengambil daripadanya tanpa pengetahuannya. Rasulullah bersabda menyatakan, ambillah apa yang mencukupi bagimu, dan anakmu dengan cara yang baik–Maksud hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Selain mesti yang wajib dilaksanakan oleh suami yang bersifat kebendaan, suami juga wajib menghormati isterinya, bergaul dengan baik, wajar, bertimbang rasa dan bersikap menahan diri daripada melakukan sesuatu yang tidak menyenangkan si isteri. Allah seperti yang tersebut dalam surah an-Nisa’:19 menyuruh agar suami bergaul dengan isteri-isteri dengan cara yang baik.

Rasulullah menyatakan bahawa mukmin yang baik imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya. Orang yang paling baik di antara kamu ialah orang yang sangat baik kepada isterinya.

Suami mesti menjaga isteri dengan baik, memelihara daripada sesuatu yang boleh menodai kehormatannya, menjaga harga diri dan menjunjung kemuliaannya. Dengan berbuat demikian, juga dengan amalan-amalan lain yang perlu dilakukan menurut keperluan Syariah, rumah tangga akan bahagia membolehkan keharmonian berumah tangga terlaksana.

Seperti yang saya jelaskan, sifat tidak memberi restu suami berpoligami adalah perkara biasa bagi seorang isteri. Walaupun demikian, apabila seseorang perempuan itu telah dikahwini oleh seseorang lelaki, maka adalah menjadi tanggungjawab si suami untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Memberi nafkah, kasih sayang, menghormatinya, memberi rawatan apabila sakit, menjaga kehormatannya dan sebagainya. Isteri yang dikahwini, sama ada seorang atau empat orang adalah amanah Allah, yang mesti dipelihara dengan adil. Semakin banyak isteri yang dinikahi, maka semakin banyaklah beban yang wajib ditanggung oleh suami. Tanggungjawab ini akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak. Andainya isteri teraniaya di dunia, tidak diberi haknya, isteri berkenaan akan menuntut di depan Allah dan Allah akan memberi haknya. Jangan kerana beristeri banyak seseorang lelaki itu menjadi muflis di akhirat, yang akhirnya dihumbankan dalam neraka jahanam.

Sifat cemburu dan tamak isteri memang boleh menyebabkan si suami curi-curi jumpa isteri madunya, sama ada yang muda atau tua. Curi-curi jumpa di siang hari. Suami takut memberi nafkah atau berkunjung-bermalam di rumah isteri tadi menyebabkan madu tersebut teraniaya dan menanggung tekanan emosi. Isteri seperti ini lupa yang madunya adalah berhak, mempunyai status seumpamanya. Perkahwinan yang dilakukan adalah sah. Amalan sunah Rasulullah, yang tidak wajar dia memaksa atau menggesa suami agar menceraikannya.

Masalah besar yang puan tanggung lebih jelas lahir daripada sifat suami puan yang tidak berupaya menjelaskan keharusan berpoligami dalam Islam. Kesilapan dan dosa memaksa seorang lelaki menceraikan isterinya semata-mata kerana cemburu atau sebab yang tidak dibenarkan oleh Islam, dosa seorang suami tidak menunaikan tuntutan giliran bermalam di rumah para isteri, dosa tidak memberi nafkah dan sebagainya.

sumber

No comments: