Sunday, August 23, 2009

Aurat Wanita

Soalan:Benarkah menurut mazhab Syafie muka itu dikira termasuk dalam aurat dan wajib ditutup?

– Mansor Salleh, Azman Mahusin, Klang

Jawapan: Menurut apa yang dapat kita faham daripada mazhab Syafie, muka dan tangan itu bukan termasuk dalam bahagian aurat dan tidak wajib menutupnya melainkan pada masa tertentu apabila ditakuti berlaku fitnah. Demikianlah menurut riwayat yang masyhur daripada mazhab kita Imam Syafie sesuai dengan pendapat sahabat besar Ibnu Abbas r.a. Imam seluruh ahli tafsir yang telah mentafsirkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Dan katakanlah kepada wanita yang beriman supaya mereka menahan pandangan mereka (daripada memandang perkara yang haram) serta memelihara kehormatan mereka dan jangan mereka mendedahkan perhiasan mereka kecuali apa yang zahir daripadanya sahaja, iaitu muka dan tangan dan perhiasan yang terdapat padanya (surah an-Nur 31).

Inilah aurat yang jelas diarahkan semasa kita beribadat kepada Tuhan, iaitu semasa solat dan haji atau sebagainya kerana itulah aurat yang amat sopan pada pandangan agama. Adapun perbuatan Rasulullah memalingkan muka Fadhli sepupunya dari terus melihat muka wanita khath’amiah itu, yang berada dalam pakaian ihramnya kerana dibimbanginya boleh mendatangkan fitnah. Hakikat ini jelas daripada jawapan baginda sendiri apabila ditanya oleh bapa saudaranya, kenapa engkau palingkan muka anak bapa saudaramu dari melihat wanita khath’amiah itu? Sabdanya: Aku takut syaitan akan menpengaruhi mereka berdua yang masih muda remaja itu. Jadi kalau disuruh dan ada yang menutup mukanya pada pandangan kita ia bukan semestinya kerana aurat malah mungkin juga kerana bimbangkan berlaku fitnah.

Jangan ada mereka yang mudah keliru antara keduanya kerana perbezaannya agak ketara kerana kalau tutup muka itu dituntut kerana aurat, maka ia perlu ditutup selama-lamanya dan tidak dibenarkan membukanya lagi sekalipun semasa melaksanakan ibadat.

Tetapi sekiranya arahan menutup muka tadi kerana mengelak dari fitnah, maka ia diwajibkan semasa kemungkinan berlaku fitnah sahaja. Dan masa-masa tertentu juga mereka tertentu sahaja bukan semua orang tetapi hal ini tidak berlaku, bagi mereka yang berada dalam amalan ibadat dan sebagainya dibenar malah diarahkan supaya membuka muka dan tangannya. Pada pandangan kita Allah sekali-kali tidak mengarahkan sesiapa untuk membuka auratnya lebih-lebih lagi bila melakukan ibadat kepada-Nya. Wallahualam.

sumber

No comments: