Saturday, May 17, 2008

Warnakan Rambut Untuk Suami

SOALAN 1
bolehkah seorang isteri mewarnakan rambut (warna perang) semata-mata berhias untuk suami?

JAWAPAN:

Islam membenarkan penganutnya sama ada lelaki mahupun perempuan untuk mewarnakan rambut mereka. Keharusan ini adalah bersyarat, iaitu sebelum mewarna rambut hendaklah seseorang itu memastikan kandungan pewarna itu.

Ini kerana mungkin ada bahan yang digunakan dalam penyediaan pewarna yang mungkin boleh menghalang air dari sampai kepada anggota tubuh badan. Sekiranya pewarna itu boleh menghalang air daripada membasahi rambut maka pewarna itu tidak dibenarkan.

Saya difahamkan bahawa di antara pewarna-pewarna yang ada di pasaran ada kandungan bahan kimia yang boleh menghalang air dari sampai kepada rambut (air tidak melekat pada rambut). Pewarna yang sebegini tidak boleh digunakan.

Jika ada yang menggunakannya akan menyebabkan wuduknya tidak sah, bila wuduk tidak sah maka solatnya juga tidak sah. Hal ini perlu diberi perhatian sebelum mewarnakan rambut.

Kebanyakan ulama mengharuskan mewarnakan rambut dengan bahan yang asalnya daripada tumbuh-tumbuhan seperti inai dan katam. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Zarr al-Ghifari r.a. katanya: Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sebaik-baik pewarna bagi mewarnakan uban kamu ialah inai dan katam. Katam ialah pewarna yang diambil daripada sejenis pokok.” (Tirmizi: 1753. Abu Dawud: 4205).

Difahamkan warna inai hendaklah menjadi pilihan mereka yang ingin mewarnakan rambutnya. Sebahagian ulama mengharuskan mewarnakan rambut dengan warna hitam dengan syarat mestilah orang muda dan bukan orang tua. Bagi orang yang sudah berumur inailah yang paling sesuai.

Justeru, saya berpendapat, mewarnakan rambut hukumnya harus bagi wanita yang bersuami, jika tujuannya memperlihatkan kecantikan kepada suaminya sahaja, tetapi hendaklah tidak mempamerkannya kepada umum.

sumber

No comments: