Saturday, October 18, 2008

Seputar Bulan Syaaban

BULAN Syaaban adalah antara bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Ia dianggap pintu gerbang sebelum kita menyambut Ramadan. Malah, Rasulullah SAW menganjurkan kita menggandakan amal ibadat dalam bulan ini.

Bagaimanapun, dalam keghairahan kita melakukan ibadat masih terdapat perselisihan pendapat berhubung pelaksanaan ibadat tertentu oleh masyarakat untuk dilakukan pada bulan ini.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto MOHD. SHAHARANI SAIRI menemu bual pensyarah kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Mohamad Shukran Abdul Razak bagi memperincikan hal ini.

Apakah maksud Syaaban dan apakah kelebihan yang terkandung di dalamnya?

MOHAMAD SHUKRAN: Dalam sebuah hadis Rasulullah ada bersabda yang antara lain maksudnya, Nabi bertanya kepada umatnya, Tahukah kamu kenapa bulan ini dinamakan Syaaban? Jawab umatnya: Allah dan Rasulnya lebih mengetahui maknanya. Baginda menjawab Syaaban ini kata dasarnya adalah yatasha’abu yang membawa maksud berkembang segala kebaikan.

Kelebihan Syaaban dapat dilihat apabila Rasulullah SAW pernah memberitahu sahabat mengenai Syaaban. Bulan itu dinamakan demikian kerana pada bulan itu Allah banyak memberi rahmat kepada hamba-Nya.

Antara amalan yang kerap dilakukan oleh umat Islam negara ini adalah membaca Yasin tiga kali dan mengaitkannya dengan malam Nisfu Syaaban. Adakah terdapat nas tentang perbuatan sedemikian?

MOHAMAD SHUKRAN: Umumnya, masyarakat Melayu di negara kita memang melakukan banyak amalan. Setengahnya kalau dirujuk kepada sumber asal ada percanggahan pendapat. Ada yang merujuk kepada nas sahih dan kadang-kadang ia dilakukan secara jemaah tetapi bila diselidiki amalan tersebut tidak ada nas yang sahih.

Melihat pada tradisi yang biasa dan masyhur dilakukan oleh umat Islam negara kita adalah amalan membaca Yasin tiga kali menyambut Nisfu Syaaban. Kali pertama ia diniatkan supaya dikuatkan iman, kedua dimurahkan rezeki dan ketiga dipanjangkan umur.

Sebenarnya amalan sebegini bukanlah berakar umbi di kalangan masyarakat Melayu sahaja tetapi ia berlaku sejak zaman tabien. Antaranya adalah solat sunat al-khair yang dibuat beratus-ratus rakaat pada malam tersebut.

Solat sedemikian ditolak oleh ulama fikah hijaz iaitu Mekah dan Madinah kerana tidak ada nas atau hadis sahih mengenainya.

SETERUSNYA

Boleh Agih Sendiri Zakat?

ANTARA soalan yang sering dikemukakan kepada pegawai zakat ialah: Bolehkah saya mengagih sendiri zakat? Untuk menjelaskan soalan ini, ada huraiannya. Samalah seperti orang bertanya, solat tanpa memakai baju sekadar berkain pelekat bagi orang lelaki, adakah sah atau tidak? Jawapannya mungkin sah mungkin tidak. Maka, apakah alasannya? Apakah hujahnya?

Zakat adalah ketetapan Allah SWT. Ia adalah rukun Islam. Menunaikannya mestilah mempunyai kaedah yang khusus. Kaedah ini samalah apabila kita mahu mendirikan solat. Adakah boleh kita mendirikan solat mengikut kehendak hati kita sendiri. Solat Zuhur empat rakaat kita pendekkan sahaja kepada dua, atau takbiratul ihram yang berbahasa Arab kita tukarkan ke bahasa Inggeris. Bolehkah?

Dalam mendefinisikan zakat, ulama secara jelas menyebutkan kalimah ‘tertentu’. Zakat adalah harta-harta tertentu yang dikeluarkan dengan syarat-syarat tertentu dan diberikan kepada asnaf-asnaf yang tertentu. Terdapat tiga kali kalimah ‘tertentu’ dalam definisi zakat menurut syariat. Jelaslah, bahawa zakat adalah satu ibadat yang khusus. Maka, ia perlu difahami dalam melaksanakannya. Hakikat faham inilah yang mungkin tiada pada majoriti orang Islam kini. Sebab itulah, Nabi Muhammad SAW awal-awal lagi menyampaikan pesan: "Seorang yang faqih (faham agama) itu lebih berat (susah) bagi syaitan (untuk merosakkannya) berbanding seribu orang ahli ibadah (yang jahil)." (riwayat at-Tirmizi)

Kenapa? Kerana dengan faham dalam agama, kita tahu meletakkan keutamaan. Kata Dr. Yusuf Al-Qardhawi, ada fiqh al-awlawiyatnya. Maka, kita tidak tersasar dalam tindakan dan tidak rugi dalam beramal.

seterusnya

Niat Puasa Sebulan

Adakah wajib saya berniat setiap hari sepanjang bulan Ramadan atau memadai saya berniat sekali sahaja untuk sebulan?

JAWAPAN:

Kebanyakan ulama berpendapat seseorang yang berpuasa di bulan Ramadan hendaklah berniat setiap hari. Namun demikian diharuskan berniat untuk satu bulan Ramadan.

Perbezaan pendapat adalah berpunca dalam melihat bulan Ramadan itu sendiri. Golongan yang mensyaratkan niat setiap hari kerana ibadat puasa adalah ibadat yang terpisah antara hari-harinya.

Maksudnya, jika dilihat ibadat puasa serta rukunnya jelas ia terpisah. Ini kerana puasa itu bermula dari mula azan subuh hingga azan maghrib. Selepas azan maghrib hingga azan subuh kita tidak lagi berpuasa. Itulah yang dimaksudkan dengan ibadat yang terputus antara hari-harinya.

Bagaimanapun, golongan yang mengharuskan niat puasa untuk sebulan adalah berdasarkan kepada bulan itu sendiri. Maksudnya, bulan Ramadan adalah bulan puasa maka harus berniat puasa untuk keseluruhannya.

Maka dalam meneliti pendapat-pendapat ulama serta nas-nas yang serta dalil yang dikemukakan jelas kedua-duanya betul. Justeru, ingin disarankan di sini bahawa harus kita menghimpun kedua-dua kaedah di atas dengan berniat pada hari pertama dengan dua cara niat, satu untuk setiap hari dan satu lagi niat untuk sebulan.

Lafaz niat untuk sebulan dalam bahasa Melayu adalah: “Sahaja aku niat puasa fardu Ramadan untuk esok hari bagi tahun ini kerana Allah Taala”, manakala untuk sebulan pula: “Sahaja aku niat puasa bulan Ramadan keseluruhannya kerana Allah Taala”.

Maka dengan berbuat demikian kita telah mengambil jalan selamat, iaitu kita mesti berusaha untuk berniat setiap hari dalam masa yang sama kalau ada hari yang terlupa untuk berniat maka cukuplah niat kita pada permulaan Ramadan untuk sebulan.

sumber