Thursday, January 29, 2009

Akikah

HIKMAH AKIKAH

Akikah mengandungi beberapa hikmah, antaranya:

-Sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah kerana telah mengurniakan anak.
-Untuk mengisytiharkan kepada masyarakat umum tentang anugerah yang dikurniakan oleh Allah.
-Untuk memulakan kehidupan anak dengan perkara-perkara kebaikan.
-Mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli masyarakat dengan keluarga yang dikurniakan anak.
-Melahirkan rasa kegembiraan kerana mendapat zuriat yang menepati sunnah Rasulullah.

PENGERTIAN AKIKAH

Pengertian akikah ialah sembelihan binatang an'am yang dilakukan kerana menyambut kanak-kanak yang baru dilahirkan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah.

Hukum akikah ialah sunat muakad bagi orang yang menanggung sara hidup kanak-kanak tersebut. Jika anak itu lelaki disunatkan menyembelih dua ekor kambing, manakala jika anak itu perempuan disunatkan menyembelih seekor kambing. Binatang seperti lembu, kerbau atau unta boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian.

PERBEZAAN ANTARA KORBAN DAN AKIKAH

Terdapat beberapa perbezaan antara korban dengan akikah:

Akikah tidak terikat pada masa tertentu, sedangkan korban dilakukan pada masa-masa tertentu, iaitu selepas sembahyang dan khutbah Hari Raya Aidiladha hingga 13 Zulhijah.

Daging akikah boleh diberi milik kepada orang kaya manakala daging korban hanya boleh diberi kepada fakir miskin.
Akikah dilakukan sempena menyambut kelahiran anak sebagai tanda kesyukuran kepada Allah, manakala korban dilakukan kerana memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Ismail.

Daging korban sunat disedekahkan secara mentah, sedangkan daging akikah sunat disedekahkan setelah dimasak.

Waktu akikah adalah dari hari kelahiran kanak-kanak itu sehinggalah ia baligh. Masa yang paling afdal untuk melakukan akikah adalah pada hari ketujuh kelahiran kanak-kanak itu. Sabda Rasullullah s.a.w.:

Yang bermaksud: "Setiap bayi itu tergadai dengan akikahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuh dan dicukur kepalanya dan diberi nama."

Syarat-syarat akikah:

Berniat akikah ketika menyembelih.

Hendaklah binatang tersebut tidak ada cacat yang boleh mengurangkan dagingnya serta sampai umur.

CARA MELAKUKAN AKIKAH

Berdoa semasa hendak menyembelih:

Yang bermaksud: "Dengan nama Allah, Allah Maha Besar. Ya Allah, binatang ini daripada-Mu dan kembali kepada-Mu, ini akikah …" (menyebut nama anak).

-Menyembelih ketika matahari sedang naik.
-Daging akikah dimasak terlebih dahulu sebelum disedekahkan.
-Tidak mematah-matahkan tulang-tulang daripada binatang akikah, hanya mencerai-ceraikan sendi-sendinya.
-Menyedekahkan daging akikah kepada fakir miskin.
-Memasak daging akikah dengan cara gulai manis untuk dihidangkan kepada tetamu.

Perkara-perkara yang perlu dilakukan ketika menyambut kelahiran anak:

-Membaca azan di telinga sebelah kanan anak yang baru lahir.
-Membaca qamat di telinga sebelah kirinya.
-Membaca doa di kedua-dua belah telinganya, contohnya membaca surah Al-Ikhlas.
-Menyapu lelangit kanak-kanak tersebut dengan benda-benda yang manis seperti buah tamar atau pisang.
-Menamakan kanak-kanak tersebut dengan nama-nama yang baik pada hari ketujuh kelahirannya.
-Mengadakan jamuan dan doa kesyukuran sempena kelahirannya.
-Mencukur rambut kanak-kanak tersebut selepas menyembelih akikah untuknya.
-Memberi sedekah emas atau perak seberat rambut kanak-kanak yang dicukur itu ataua wang yang sama nilai dengan emas atau perak tersebut.
-Menyedekahkan daging akikah kepada fakir miskin.

sumber

No comments: