Sunday, July 6, 2008

Jamak Walaupun Dekat?

SOALAN: saya mempunyai beberapa orang kawan satu kuliah dari Timur Tengah. Apabila pulang dari kuliah, mereka selalu melakukan solat jamak sedangkan jarak perjalanan dari asrama ke universiti hanyalah dalam beberapa batu sahaja. Adakah boleh kita sembahyang jamak seperti mereka?

– Norasyikin Mohamad,

Pantai Baru, Kuala Lumpur.

JAWAPAN: Di negara kita ini lain, bukan seperti kawan-kawan saudara dari Timur Tengah yang berlainan mazhab dan fahamannya daripada kita. Mereka mungkin berpegang kepada mazhab Syiah atau lain. Malahan dalil yang mereka pegang juga lain bukan seperti dalil yang kita terima. Contohnya seperti kadar jarak perjalanan, ada sesetengah riwayat mengatakan ada masanya Rasulullah saw melakukan jamak solatnya setelah jarak perjalanannya hanya antara empat hingga lima kilometer. Sedangkan apa yang kita faham bahawa jarak perjalanan yang membolehkan seseorang itu untuk mendapatkan sebarang kemudahan seperti jamak ialah jauh dan jarak satu-satu perjalanan itu melebihi dua marhalah iaitu lebih kurang 90 atau 100 kilometer (km) perjalanan. Ini menurut riwayat yang masyhur dan sahih lagi diterima oleh kebanyakan ulama.

Jadi kita andaikan apa yang dilaporkan bahawa Rasulullah saw pernah melakukan jamak solatnya dalam jarak tiga batu atau empat hingga lima km. sebagaimana sesetengah riwayat seperti Syurahbil r.a dan lain-lain itu bukan jarak perjalanannya tetapi laporan mengenai permulaan kemudahan itu harus dilakukan. Sebenarnya perjalanan Rasulullah SAW melebihi dua marhalah umpamanya menuju ke Mekah dan apabila baginda keluar dari kawasan kota Madinah lebih kurang tiga batu, baru Rasulullah saw mula melakukan jamak solatnya. Sebagaimana yang kita tahu, kemudahan yang diberi untuk seseorang musafir itu bukan bermula dari rumahnya tetapi setelah dia keluar dahulu dari kampung halamannya terlebih dahulu atau keluar dari kawasan perumahannya.

Kerana jarak sejauh dua marhalah perjalanan itu sudah disepakati kebanyakan para ulama untuk membolehkan kemudahan (rukhsah) bagi mereka yang bermusafir. Manakala mereka yang berjalan menuju ke suatu tempat yang jaraknya tidak sampai dua marhalah, tidak harus melakukan sebarang kemudahan (rukhsah) yang diberikan kepada seseorang yang bermusafir. Wallahualam

sumber

No comments: