Tuesday, July 26, 2011

Erti keberkatan zakat

SERING zakat dikaitkan dengan berkat. Misalnya, ada ungkapan bahawa orang yang berzakat pasti mendapat berkat. Persoalannya, bagaimanakah keberkatan itu dinilai, adakah apabila berzakat RM300 setahun, maka kita dapat kembali RM600? Atau ada petunjuk tertentu dalam menilai keberkatan yang kita perolehi. Harap mendapat penjelasan daripada pihak ustaz.

Jawapan:

Berkat adalah suatu kurniaan istimewa daripada Allah SWT. Hanya orang yang memperolehi keberkatan itu sahaja yang merasai nikmatnya.

Maka, manusia memang diminta agar mencari keberkatan. Tanpa keberkatan, maka manusia tidak akan merasa lega dan puas biar pun harta melimpah.

Allah SWT menyatakan:Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (al-Baqarah: 155-157)

Betapa bertuahnya orang Islam, kerana Allah SWT telah memberikan suatu cara bagi mendapat berkat pada harta. Bahkan, ia membuka jalan keberkatan pada hidup dan keluarga. Itulah namanya sedekah, infak dan zakat.

Berkat pada zakat amat besar kesannya. Ia menatijahkan kesejahteraan yang berpanjangan walau di mana sahaja kita berada.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya harta itu manis lagi menawan. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang benar, diberkati padanya (Sebahagian hadis riwayat Ahmad)."

Berkat pada zakat ibarat baja pada pokok. Fungsi baja menyuburkan pokok, agar pokok yang ditanam hidup subur, tegak menjulang ke langit dan akarnya kuat mencengkam bumi.

Dahannya kukuh dan rantingnya tidak rapuh. Daunnya subur hijau merimbun dan meneduhkan. Paling akhir, pokok itu akan berbunga dan berbuah lebat, masak meranum dan mengenyangkan ramai orang.

Maka, demikianlah fungsi zakat pada harta manusia. Zakat memberikan kesuburan kepada harta. Kesuburan dalam bentuk yang tidak nampak lahiriahnya, namun ditandai dengan pelbagai perkara.

Harta kita tidak cepat rosak, tahan bertahun lamanya diguna. Ia juga memberikan manfaat kepada ramai orang. Harta-harta kita juga terselamat daripada nafsu rakus manusia, tidak dicuri dan disamun.

Bahkan harta itu juga dapat membawa kita kepada jalan mendekati Allah SWT bukan sebaliknya.

Rasulullah SAW pernah memperihalkan harta dan keberkatannya. Kata nabi: "Kawallah keselamatan harta benda kamu dengan benteng-benteng zakat (riwayat Abu Daud)."

Maka, kita wajib memastikan amanah harta ditunaikan secara sepatutnya seperti melakukan infak, zakat dan sedekah. Sebagaimana diingatkan Allah: Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. (ali-Imran: 92)

Ada pun kesan-kesan keberkatan memang boleh 'dilihat' oleh kita, dengan syarat hendaklah kita memerhatikannya dengan pandangan 'mata hati'. Sebagai contoh, kita dikurniakan anak-anak yang soleh, sihat fizikal dan mental juga cemerlang dalam pendidikan, mendapat isteri yang solehah dan taat kepada suami serta rajin berbudi, atau dikurniakan suami yang mithali lagi suka berbakti, keluarga kita pula sentiasa ceria dan harmoni.

Mendapat harta yang cukup serta segala keperluan dapat dipenuhi, tidak pula ditimpa musibah yang mencengkam diri, tiada juga berlaku pergeseran dengan jiran di kanan dan kiri, bahkan harta pun selamat tidak dicuri dan pelbagai indikator lagi.

Hakikatnya, memang kita umat Islam dididik agar melaksanakan kewajipan agama tanpa mengharapkan balasan; namun sebagai orang awam apa salahnya jika kita meletakkan keberkatan yang dijanjikan Allah SWT ini sebagai motivasi dalam amalan.

Tidak menjadi satu kecacatan di sisi Allah SWT, kerana menjadi hak Allah jugalah untuk memberikan imbalan yang setimpal atas setiap amal perbuatan insan.

Firman Allah SWT: Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah (syurga). (al-Lail: 5-7). Wallahu a'lam.

Sumber

No comments: