Sunday, July 31, 2011

Berakhlak mulia, bersabar dengan sikap buruk isteri

Soalan:

ASSALAMUALAIKUM. Apa pandangan Islam mengenai seorang suami yang hanya menganggap isteri hanyalah tukang masak, kilang mengeluarkan anak dan tempat bersenang-senang apabila diperlukan. Tidak tahu menjaga perasaan isteri dan susah untuk senyum. Adakah tugas suami hanya memberi nafkah, tempat tinggal dan makanan.

Jawapan:

Alhamdulillah wassolatuwassalam ‘ala rasulillah waba’d.
Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rum ayat 21 bermaksud: Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai golongan lelaki), isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.

Dalam ayat ini dijelaskan matlamat pernikahan bagi mencapai ketenangan jiwa, cinta dan kasih sayang. Semua ini berkaitan dengan rohani bukan jasmani. Jika matlamat itu diabaikan, rumah tangga tidak bernilai dan pernikahan antara dua insan hanyalah pertemuan dua tubuh, sedangkan roh (jiwa) keduanya berjauhan.

Syariat Islam mewajibkan suami memenuhi tuntutan jasmani bagi isterinya seperti nafkah, pakaian, tempat tinggal, ubat-ubatan dan lain-lain. Tuntutan isteri mestilah sesuai dengan keadaan suami. Kemudian syariat Islam tidak mengabaikan hak isteri dari sudut kerohaniannya kerana manusia tidak dinamakan manusia kecuali dengan adanya roh.
Tetapi ramai kalangan suami yang salah anggap, di mana mereka menyangka kewajipan mereka terhadap isteri hanyalah memberi nafkah, pakaian dan tempat tinggal. Tidak ada lagi kewajipan mereka selain daripada itu kerana mereka lupa bahawa wanita berhajat, bahkan lebih berhajat kepada kata-kata yang baik, senyuman manis, sentuhan kasih sa-yang, ciuman yang menyenangkan, perilaku yang lemah lembut dan gurauan yang menyenangkan hati, menghilangkan dukacita serta membahagiakan hidup. Semua ini sangat diperlukan wanita sebagai mana mereka berhajat kepada pakaian, nafkah, tempat tinggal dan keperluan material yang lain.

Imam al-Ghazali menyebut sebahagian hak suami isteri dan adab bergaul dalam rumah tangga dan dia menyatakan jika hak dan adab bergaul itu tidak diwujudkan dalam rumah tangga, maka rumah tangga akan hancur. Antara adab dinyatakan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW ialah:

  • Berakhlak mulia di hadapan isteri dan bersabar dengan sikap buruknya.
    Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 19 bermaksud: “Dan bergaullah dengan mereka dengan makruf (baik).
    Imam al-Ghazali berkata: Ketahuilah bukanlah seseorang itu disebut berakhlak mulia kalau dia hanya menahan diri daripada menyakiti wanita, tetapi yang dimaksudkan dengan berakhlak mulia ialah orang yang menanggung keburukannya, dan lemah lembut kepada wanita ketika wanita berkeras dan marah.”

  • Hendaklah bergurau dengan isteri sebagai mana yang disebut Imam al-Ghazali: “Suami hendaklah bergurau dan bermain-main kerana ia akan menyenangkan hati wanita. Contohnya, meskipun Umar keras dan tegas peribadinya, namun beliau berkata: Sewajarnya suami seperti anak kecil, tetapi jika anggota keluarganya menghendaki sesuatu daripadanya, mereka mendapati dirinya seorang lelaki.” Demikianlah, Wallahua’lam.

  • Sumber

    Pendakwah mesti guna hadis sahih, hasan

    Soalan:

    ASSALAMUALAIKUM ustaz, saya ada terbaca kitab atau majalah lama mengenai hadis seperti berikut:

    1. Sabda Nabi: “Ada dua golongan, jika ia baik maka baiklah masyarakat dan jika buruk maka buruklah masyarakat. Dua golongan itu adalah pemerintah dan ulama.

    2. Sabda Nabi: “Akhir zaman nanti akan wujud golongan lebih teruk daripada dajal.” Sahabat bertanya “Siapakah dia” dan Nabi menjawab “mereka ialah ulama yang jahat.”

    3. Sabda Nabi: “Ada lima musuh orang Islam (mukmin dan muslim). Mereka ialah orang syaitan, nafsu, orang fasiq, munafik dan kafir.

    4. Sabda Nabi: “Aku adalah bapa kepada kalian.” Kemusykilan saya ialah, adakah semua hadis diatas hadis sahih? Jika ia sahih maka adalah wajar ulama menghebahkannya dalam setiap perbincangan berkaitan masalah kepincangan masyarakat.


    Jawapan:

    Alhamdulillah wassolatuwassalam ‘ala rasulillah.
    Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apa juga perintah yang dibawa Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa juga yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa (bagi orang yang melanggar perintah-Nya). (Surah Hasyr, ayat 7)

    Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim menyebut bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya berdusta keatasku (menggunakan namaku) bukan seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.

    Dalam ilmu hadis, sekiranya hadis itu dihukumkan sahih dan hasan, maka wajib ia diterima. Manakala sekiranya dihukumkan daif, maka sebahagian ulama berkata sekiranya tidak seberapa daifnya boleh digunakan untuk menyatakan Targhib dan Tarhib (galakan dan ancaman) serta fadilat amal dengan syarat tidak meyakini ia sabda baginda SAW dan dinyatakan kedaifannya.

    Namun sekiranya ia termasuk hadis yang terlalu daif seperti matruk, mungkar dan maudu’, maka wajib ditolak.

    Dalam Islam, berdusta menggunakan nama Nabi adalah kesalahan besar kerana Nabi Muhammad SAW adalah sumber pengambilan agama. Maksud berdusta iaitu menyandarkan perkataan atau perbuatan atau pengakuan kepada Nabi SAW sedangkan Baginda tidak berkata atau berbuat atau mengakui sebagai mana dalam hadis itu. Ini adalah jenayah besar dalam Islam kerana seolah-olah mahu mewujudkan agama baru.

    Apabila pendakwah mahu menyampaikan sesuatu hadis, selayaknya ia memilih hadis dihukum sahih atau hasan agar orang lain dapat menerima kebenaran yang diyakini. Namun sekiranya sesuatu hadis itu berada pada kedudukan daif, pendakwah harus menyatakan hukum bagi hadis itu agar orang lain tidak menganggapnya khabar yang diyakini daripada Nabi SAW.

    Sebagai contoh, hadis pertama yang saudara nyatakan itu, menurut al-Hafiz al-Iraqi sanadnya adalah daif, teks hadisnya berbunyi: “Sinfani min ummati, iza saluhaa, saluhan naas. Wa iza fasadaa, fasadan naas: As-Sultaan wal Ulama.’ Yang bermaksud: Dua golongan daripada umatku, jika keduanya baik maka baiklah semua manusia dan jika keduanya buruk, maka buruklah semua manusia; (Dua golongan yang dimaksudkan itu ialah) pemerintah dan ulama.’

    Manakala hadis kedua pula daripada riwayat Ahmad daripada Abu Zar dengan sanad yang baik. Teksnya yang saya temui adalah: “La ana min ghairid dajjal Akhwafu ‘alaikum minad dajjal. Faqiil: Wa ma zalika? Faqala: Minal a immatil mudhilliin. Maksudnya Benar-benar saya lebih takut menimpa kamu daripada Dajal. Sahabat bertanya: “Apakah itu wahai Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Ia adalah kalangan pemimpin yang menyesatkan.

    Sebenarnya ada banyak lagi hadis yang patut dihebahkan dalam masyarakat supaya kehidupan masyarakat berpandukan jalan selamat, bahagia dan harmoni sebagai mana yang dikehendaki oleh syariat Islam. Demikianlah, Wallahua’lam.

    Sumber

    Wajib ganti setiap puasa ditinggalkan

    Soalan:

    Assalamualaikum ustaz. Saya tidak berpuasa beberapa hari kerana kedatangan haid pada bulan Ramadan. Ini berlaku beberapa tahun dulu dan saya masih belum menggantikannya. Adakah saya perlu menggantikannya dan dikenakan fidyah?

    Jawapan:

    ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala rasulillah, waba’d.
    Alah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagai mana diwajibkan atas orang-orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.”

    Sekiranya seseorang tertinggal beberapa hari puasa di bulan Ramadan, maka hendaklah dia menggantikannya sebelum tiba Ramadan yang baru. Dalam sebuah hadis yang riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah r.a berkata: “Aku masih berhutang puasa Ramadan dan aku tidak dapat menggantikannya sehingga Syaaban tiba dan itu adalah kerana sibuk melayani Rasulullah SAW.”

    Menurut al-Hafiz Ibn. Hajar rhm: “Keinginan Aisyah yang tinggi untuk berpuasa pada bulan Syaaban adalah kerana syarak tidak membenarkan menangguhkan ganti puasa sehingga Ramadan yang baru tiba.

    Seseorang yang melengahkan ganti puasa terbahagi kepada dua golongan. Golongan pertama, iaitu golongan yang berlengah atas alasan yang sah di sisi syarak seperti sakit yang berpanjangan. Jika keadaan ini berlaku, maka seseorang itu boleh menggantikan puasa walaupun selepas Ramadan yang kedua.

    Golongan yang kedua pula adalah golongan yang tidak mempunyai alasan untuk melengahkan perkara itu.

    Contohnya, dia berupaya menggantikan puasa tetapi tidak melakukannya sebelum Ramadan baru bermula dengan sengaja.

    Golongan kedua ini berdosa kerana gagal menggantikan puasa tanpa alasan yang sah. Kalangan ulama bersepakat bahawa dia hendaklah menggantikan puasa.
    Namun mereka berbeza pandangan sama ada dia kena menggantikan puasa di samping membayar fidyah atau tidak.

    Imam Malik, Syafi’I dan Ahmad berpendapat bahawa mesti membayar fidyah di samping menggantikan puasa. Pandangan ini berdasarkan riwayat daripada beberapa orang sahabat seperti Abu Hurairah dan Ibnu Abbas RHM.

    Imam Abu Hanifah pula berpendapat bahawa tidak perlu membayar fidyah. Cukup hanya menggantikan puasa. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang memerintahkan agar orang yang tidak berpuasa, hendaklah menggantikannya sebagai dalil. Ayat ini tidak menyebutkan tentang pembayaran fidyah kepada orang miskin. Itulah pendapat yang dipegang beliau.

    Imam al-Bukhari RHM. memilih pandangan yang kedua. Beliau berkata dalam kitabnya Sahih al-Jami’: “Ibrahim al-Nakha’i berkata bahawa jika seseorang lalai (tidak menggantikan puasa yang ditinggalkan) sehingga Ramadan baru, dia hendaklah menggantikan hari-hari yang tertinggal bagi kedua-dua tahun. Tetapi dia tidak berpendapat perlunya membayar fidyah bagi setiap hari yang tertinggal.

    Ada juga petikan mursal daripada Abu Hurairah dan ibnu Abbas yang berkata bahawa dia perlu membayar fidyah.

    Kemudian Imam al-Bukhari menyebut: “Tetapi Allah tidak menyebut mengenai membayar fidyah kepada orang miskin (melalui firman-Nya).”

    Oleh itu, apa yang wajib ialah menggantikan puasa saja tetapi jika seseorang ingin lebih selamat dengan membayar fidyah di samping menggantikan puasa, itu lebih baik.

    Jika anda melambatkan ganti puasa tanpa sebarang alasan, anda hendaklah bertaubat kepada Allah dan bertekad tidak akan mengulangi kesilapan ini akan datang. Demikianlah, wallahua’lam

    Sumber