Saturday, February 2, 2008

Lahir anak tanpa lelaki perlu ditolak

KUALA LUMPUR 1 Feb. - Kajian untuk membolehkan wanita melahirkan anak tanpa lelaki perlu ditolak di negara ini walaupun daripada satu sudut ia membuktikan kebesaran Allah tentang sejarah Nabi Isa yang dilahirkan tanpa bapa.

Ahli akademik, Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, kaedah mencipta sperma melalui sumsum tulang wanita adalah jelas bercanggah dengan fitrah manusia dan bertentangan dengan agama Islam yang mementingkan pemeliharaan keturunan.

Katanya, Islam menekankan soal pemeliharaan nasab atau keturunan yang mensyaratkan pernikahan antara wanita dan lelaki untuk melahirkan anak.

‘‘Cuma daripada ilmu sains, penyelidikan di Universiti Tyne, Newcastle itu membuktikan kepada umat manusia bahawa kejadian Siti Mariam melahirkan Nabi Isa tanpa lelaki itu sememangnya boleh berlaku.

“Ilmu sains ini juga adalah ilmu Allah sebab itu walau setinggi mana ilmu yang ada pada manusia ia perlu dibataskan oleh agama, moral dan etika,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang merupakan bekas Profesor di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka hadapan Utusan Malaysia hari ini berhubung kajian di Britain untuk membolehkan wanita melahirkan anak tanpa kehadiran lelaki.

Kajian pakar biologi, Profesor Karim Nayernia yang dijangka dimulakan dalam tempoh dua bulan itu akan dilakukan dengan mengubah sel stem daripada seorang wanita penderma sumsum tulang kepada sperma dengan bantuan bahan kimia khas dan vitamin.

Namun berdasarkan laporan, pengkritik memberikan amaran bahawa perkembangan itu akan meminggirkan lelaki dan membawa prospek kelahiran bayi secara tiruan sepenuhnya tanpa proses semula jadi.

Sementara itu, Presiden Perubatan Islam Malaysia, Prof. Dr. Abdul Latiff Mohamad berkata, sebagai umat Islam, kajian seumpama itu wajar dihalakan untuk mencipta sesuatu sel atau organ manusia yang lain dan bukan sperma yang melibatkan soal zuriat.

Katanya, ini kerana tidak mustahil jika sel stem sumsum tulang boleh menghasilkan sperma, kaedah yang sama juga boleh mencipta sesuatu yang lain.

“Malah ada laporan bahawa di Jepun terdapat sekumpulan saintis mencipta buah pinggang dengan sel stem.

“Ilmu sains itu memang luas tetapi seluas mana pun saya percaya ia perlu dipandu mengikut batas agama dan moral untuk membolehkannya dimanfaatkan manusia.

“Macam yang hendak di buat di Universiti Tyne itu, jelas Islam tidak membenarkannya walau macam mana darurat keadaannya sekalipun,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Tan Sri Zaleha Ismail turut menegaskan kaedah seumpama itu wajar ditolak oleh masyarakat di negara ini tanpa mengira agama dan kaum.

Katanya, jika kajian itu berjaya dan diperluaskan ke negara ini, ia dibimbangi boleh menimbulkan lebih banyak kemudaratan kepada manusia sendiri.

“Tak usahlah kita hendak melawan fitrah kejadian manusia. Mungkin dari sudut sains ia berhasil tetapi kena lihat pula dari sudut sosial dan lain-lain.

“Saya bimbang ia boleh membawa masalah lebih besar daripada soal mengatasi masalah kemandulan,” ujarnya.

sumber

No comments: